Tuesday, January 19, 2010

Waspada panggilan pegawai Bank Negara

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan kad kredit kini menggunakan modus operasi menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia dan membuat panggilan secara rambang kepada pelanggan untuk ‘mencuri’ maklumat peribadi mereka termasuk nombor pin.

Sindiket itu yang dikesan bergiat di sini sejak akhir tahun lalu menyebabkan beberapa pemegang kad kredit yang tidak mengesyaki mereka dijadikan mangsa kerugian ribuan ringgit.

“Anggota sindiket membuat panggilan dan menyamar sebagai wakil Bank Negara serta memaklumkan ‘mangsa’ bahawa kad mereka sedang digunakan untuk transaksi tertentu dan ingin membuat pengesahannya.



“Anggota sindiket akan menawarkan bantuan dengan meminta butiran peribadi mangsa termasuk nombor pin serta menggunakannya untuk mengeluarkan wang mangsa,” kata Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Katanya, sehingga kini pihaknya sudah menerima banyak aduan berhubung kegiatan sindiket itu, namun hanya tiga mangsa membuat laporan polis dengan anggaran kerugian RM60,000.

Katanya, dalam kes terbaru yang dilaporkan minggu lalu, seorang kerani di sebuah syarikat menerima panggilan pihak bank dengan mengatakan kad kredit miliknya kini sedang digunakan individu lain untuk membeli barangan kemas.

“Sejurus kemudian, seorang lelaki mendakwa daripada Bank Negara menelefon untuk mendapatkan

butiran mangsa dengan meminta nombor pengenalan yang tertera pada kad kreditnya serta maklumat peribadi sebelum mengeluarkan sejumlah wang.

“Kerani itu ke bank keesokan hari dan terkejut mendapati wangnya RM4,000 lesap. Beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak,” katanya.

Chong menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan seperti itu, tidak memaklumkan sebarang maklumat peribadi sebaliknya hadir ke mana-mana bank terdekat untuk pengesahan.

No comments:

Post a Comment