Saturday, January 16, 2010

Amaran terhadap pengusaha kafe siber

MUAR 16 Jan 2010 - Majlis Perbandaran Muar (MPM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha kafe siber yang melanggar peraturan dalam usaha untuk membendung kegiatan tidak sihat di premis berkenaan.

Yang Dipertua MPM, Abd. Wahab Ridwan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan termasuk menutup operasi premis tersebut sekiranya amaran yang diberi berulang kali itu tidak diendahkan.

Beliau berkata, biarpun premis itu berfungsi untuk memberi perkhidmatan Internet, namun pemantauan pihaknya mendapati ia kerap kali disalahgunakan sehingga menjadi tempat pelajar ponteng serta pusat permainan komputer.

"Tindakan tegas yang diambil ketika ini oleh MPM adalah untuk membatalkan mana-mana permohonan baru bagi perniagaan kafe siber.

"Kami juga menetapkan bahawa setiap kafe siber perlu meletakkan peraturan di luar premis dan sebarang aktiviti di dalam kafe siber itu hendaklah boleh dilihat dari luar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di dua kafe siber di Jalan Ibrahim dan Jalan Joned di sini kelmarin.

Abd. Wahab berkata, antara peraturan baru yang dikuatkuasakan ialah waktu operasi kafe siber dihadkan dari pukul 10 pagi hingga 12 malam.

Katanya, pengunjung berumur di bawah 18 tahun tidak dibenarkan masuk ke dalam premis berkenaan melainkan ditemani penjaga yang terdiri daripada ibu bapa atau ahli keluarga.

"Kita mengenakan peraturan had masa ini kerana jika ia dibuka terlalu awal seperti pukul 8 pagi, ia hanya akan menjadi tempat untuk pelajar ponteng.

"Selain itu, kita juga mendapati ada premis kafe siber yang dibuka melebihi had masa dan hanya berpura-pura tutup sebelum dibuka semula selepas pukul 12 malam," katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 41 buah kafe siber di daerah ini dan pihaknya akan mengadakan pemantauan berterusan bagi memastikan peraturan baru itu dipatuhi.

No comments:

Post a Comment