Wednesday, November 9, 2011

Wanita guna kad ATM rakan dipenjara

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Gara-gara menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik rakannya untuk mengeluarkan wang tanpa pengetahuan mangsa, seorang wanita hamil tujuh bulan terpaksa meringkuk di penjara selama tujuh bulan.
Nor Shafarilla Ahmad Tahir, 27, dihantar ke Penjara Kajang setelah gagal membayar denda berjumlah RM7,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh yang tidak bekerja itu mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Dia didakwa dengan niat curang menggunakan kad ATM Maybank kepunyaan Nurul Haireena Isnin untuk mengeluarkan wang empat kali masing-masing sebanyak RM300, RM500, RM40 dan RM250 yang kesemuanya berjumlah RM1,090.
Kesalahan itu dilakukannya antara pukul 2.37 petang, 20 Oktober 2010 dan pukul 12.35 tengah hari, 1 November lalu di empat buah ATM pelbagai bank yang terletak di Sentul, Jelatek, Jalan Kuching dan Jalan Genting-Klang di sini.
Bagi keempat-empat kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997.
Terdahulu, dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Nor Shafarilla memohon hukuman ringan memandangkan dia perlu menjaga seorang anaknya yang sedang bersekolah.
Ketika ditanya oleh Zaki Asyraf alasan wanita itu melakukan kesalahan tersebut, tertuduh hanya mendiamkan diri.

Thursday, November 3, 2011

6 pegawai Imigresen ditahan

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
penganrang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Polis menahan enam pegawai Jabatan Imigresen Negeri Sembilan kerana dipercayai membekalkan dadah jenis heroin kepada warga asing yang ditahan di Depot Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Semua mereka yang merupakan pegawai Gred KP17 berusia antara 22 hingga 31 tahun ditahan di dua lokasi di negeri itu petang semalam dan tengah malam tadi.
Menurut sumber, lima daripada pegawai jabatan itu diberkas di hadapan depot tahanan antara pukul 4.30 petang hingga 4.50 petang semalam.
Beliau berkata, seorang lagi pegawai diberkas di Jalan Persiaran S2/D7, Seremban 2 pada pukul 12 tengah malam tadi.
"Kesemua mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim ketika dihubungi hari ini mengesahkan penangkapan tersebut.
Sumber bagaimanapun enggan memaklumkan sejak bila kegiatan itu berlaku, namun berkata, tangkapan dibuat setelah pihaknya membuat intipan dan mengekori pergerakan semua pegawai terlibat.

Dadah 'alas kaki' RM3.9j dirampas

Oleh MAZLINDA MURTADZA
pengarang@utusan.com.my

LIAH Omar (dua dari kiri) bersama Pengarah Kastam KLIA, Datuk M. Govinden (tiga dari kiri) serta pegawai JKDM menunjukkan dadah jenis syabu yang disorokkan dalam lapisan karpet alas kaki yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Nilai, semalam.
________________________________________


SEREMBAN 2 Nov. - Seorang lelaki warga India yang cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM3.9 juta mungkin menyangka tidak akan ditahan pihak berkuasa selepas dia terlepas daripada pemeriksaan keselamatan sejurus tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Ahad lalu.
Namun, tanpa disedari, dia sebenarnya termasuk perangkap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengesan suspek lain di negara ini.
Hasilnya, selain suspek berusia 37 tahun, JKDM menahan dua lagi suspek warga tempatan berusia 20 dan 55 tahun ketika urusan penyerahan dadah dilakukan di hadapan sebuah hotel murah di ibu negara, pukul 12 tengah malam semalam.
Timbalan Pengarah JKDM Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata, lelaki India itu tiba di ibu negara dari Bangalore, India melalui LCCT pada pukul 10.30 malam, Ahad lalu.
Ketika pemeriksaan bagasi, pihaknya mendapati lelaki itu membawa 15 alas kaki yang dimasukkan di dalam sebuah beg.
"Hasil pemeriksaan kita dapati alas kaki itu terlalu berat dan hasil imbasan menunjukkan ada serbuk mencurigakan di dalamnya.
"Kita mengambil keputusan melepaskan lelaki itu dan pada masa sama pasukan khas ditubuhkan untuk mengekori suspek," katanya pada sidang akhbar di Kampung Jijan, Nilai dekat sini hari ini.
Liah memberitahu, selepas keluar dari LCCT, lelaki tersebut terus ke sebuah hotel murah di ibu negara dan bertemu dua lelaki warga tempatan.
"Beberapa pegawai JKDM lalu menahan kesemua suspek. Kita percaya kesemua suspek sedang melakukan urusan penyerahan dadah di hadapan hotel berkenaan sebelum serbuan dilakukan," jelasnya.
Menurut Liah, selain menemui 15.6 kilogram syabu, pihaknya turut menemui tujuh gram dadah dipercayai syabu bersama wang tunai RM10,000 dalam dua kereta milik lelaki warga tempatan itu.
"Berdasarkan dokumen perjalanan kita mendapati lelaki warga India itu berulang-alik ke negara ini sebanyak tiga kali dalam sebulan sejak Mei lalu.
"Dengan tertangkapnya kesemua lelaki itu, kita percaya JKDM dapat melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara ini," katanya.
Liah berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan direman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Awas jerat sindiket penipuan 'polis'

LEE Chee Mun menunjukkan nombor telefon polis yang digunakan sindiket menyamar polis pada sidang media yang turut dihadiri Kua Song Tuck (tengah) di Johor Bahru, semalam.
________________________________________


JOHOR BAHRU 2 Nov. - Sindiket penipuan licik yang menyamar sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menakutkan mangsa, kebanyakannya ahli perniagaan dikesan berleluasa di bandar raya ini sejak awal tahun lalu.
Modus operandi sindiket terancang itu adalah menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis Bukit Aman kononnya mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.
Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck mendedahkan, mangsa dimaklumkan kononnya nama mereka tersenarai dan dikehendaki pihak polis di Hong Kong berhubung kes pengubahan wang haram di negara tersebut.
"Pemanggil itu kemudian meminta mangsa membayar wang RM5,000 sebagai jaminan mahkamah selain membersihkan nama mereka di negara terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Song Tuck yang juga Ketua Biro Pengaduan Awam MCA berkata, bagi meyakinkan mangsa, seorang lagi 'pegawai polis' akan menghubungi mangsa bagi menyelesaikan urusan pembayaran wang jaminan berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang bimbang namanya disenaraihitam sehingga menjejaskan perniagaannya akan terperangkap dengan helah sindiket itu.
"Kita percaya ramai yang menjadi mangsa namun malu untuk tampil. Bagaimanapun, lima pengadu yang berjumpa dengan saya tidak menyerahkan wang kepada sindiket itu kerana menyedari taktik penipuan tersebut.
"Kita percaya sindiket berkenaan menggunakan peralatan canggih dari luar negara kerana mereka mampu meniru nombor telefon termasuk dari Bukit Aman," katanya.
Sementara itu, salah seorang ahli perniagaan, Lee Chee Mun, 50, berkata, dia nyaris terpedaya dengan sindiket itu apabila dihubungi oleh seorang yang mendakwa sebagai 'Inspektor Ismail' kononnya dia terlibat dalam kes penipuan wang di Hong Kong.
Katanya, kurang sejam kemudian, seorang lagi pegawai yang mendakwa dari Bukit Aman yang dikenali sebagai 'Tuan Soh' menghubunginya dan meminta dia memasukkan wang sebanyak RM5,000 ke dalam satu akuan bank untuk bayaran jaminan mahkamah.
Chee Mun yang curiga dengan kedua-dua panggilan tersebut kemudian membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi di sini, semalam.