Tuesday, August 31, 2010

Pengawal keselamatan dipenjara, denda RM9,000

SHAH ALAM 30 Ogos 2010 - Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara sehari dan denda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM4,700 bagi mendorong seorang pegawai kastam mengeluarkan radiator yang diimport dari India, enam tahun lalu.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh turut memerintahkan S. D. Vetrivellu, 48, dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Vetrivellu mengaku menerima RM4,700 di No. 89, Tingkat 1, Jalan 5/10B, Spring Crest Industrial Park, Batu Caves, Gombak dekat sini pada pukul 5 petang, 24 September 2004.

Wang itu sebagai dorongan agar seorang pegawai kastam yang bertugas di Pelabuhan Klang melakukan suatu perbuatan rasuah iaitu melepaskan empat unit radiator penyejuk air yang diimport dari India.

Dia didakwa mengikut Seksyen 162 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee manakala tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang bertindak sebagai orang tengah telah diminta oleh seorang peniaga, M. Veerapan untuk mengeluarkan empat radiator penyejuk air dari Pelabuhan klang.

Tertuduh kemudian meminta seorang pengarah urusan sebuah syarikat, M. Mani Segar untuk berurusan dengan Pelabuhan Klang bagi membawa keluar barangan tersebut.

Selepas dua kali berurusan, Mani Segar berjaya membawa keluar radiator penyejuk air tersebut tanpa dikenakan bayaran cukai oleh pihak kastam. Dia bagi pihak syarikatnya mengenakan bayaran RM1,551 kepada tertuduh sebagai upah.

Meskipun barangan tersebut telah berjaya dibawa keluar, tertuduh kemudian meminta RM4,700 daripada Veerapan kononnya sebagai bayaran kepada pihak kastam.

Veerapan yang bersetuju dengan permintaan itu bagaimanapun membuat laporan kepada SPRM dan tertuduh telah ditahan semasa wang itu diserahkan kepadanya pada hari kejadian.

Sunday, August 29, 2010

Buka gerai jual air ketum

2010/08/30
PERMAISURI: Ketika umat Islam lain giat berniaga makanan dan minuman pada Ramadan ini untuk menambah pendapatan, seorang penoreh getah berusia 24 tahun dari Kampung Langkap, di sini, menggunakan gerainya untuk menjual air ketum dan pil kuda.

Bagaimanapun, kegiatan licik lelaki terbabit menjual bahan terlarang itu terbongkar selepas polis yang memantau kegiatannya sejak dua minggu lalu menyerbu rumah suspek di Kampung Langkap kira-kira jam 7.40 pagi semalam. Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid, berkata dalam serbuan itu, polis menemui beg kecil berisi 20 pil kuda pada suspek, 53 paket air ketum dan dua kilogram daun ketum yang disimpan dalam guni bernilai RM800. Beliau berkata, pil kuda, air serta daun ketum terbabit dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Langkap bagi memenuhi permintaan tinggi pelang-gannya di kawasan Padang Muar, Pelong dan Sri Kenangan.

Thursday, August 26, 2010

Polis tumpaskan sindiket bon rizab simpanan Persekutuan AS, wang palsu

2010/08/27
SHAH ALAM: Polis Shah Alam berjaya menumpaskan satu sindiket menghasilkan bon rizab simpanan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan wang palsu negara itu yang bernilai ratusan juta ringgit, selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita termasuk seorang warga tempatan, dalam serbuan awal pagi tadi.

Keempat-empat suspek ditahan di sebuah hotel di bandaraya ini, dalam satu serbuan yang dijalankan Bahagian Jenayah Komersial Shah Alam.

Suasana Jeti Pulau Ketam bagai Indonesia

Oleh Wartawan Berita Harian
bhnews@bharian.com.my
2010/08/27


SALAH satu daripada empat pemeriksaan pihak berkuasa yang perlu dilalui warga asing di Jeti Pulau Ketam.Ejen tawar pelbagai khidmat termasuk cop bawah pokok

PELABUHAN KLANG: Suasana Jeti Penumpang Pulau Ketam di sini bagaikan di Indonesia kerana dipenuhi ejen atau chalo warga republik itu yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk memalsukan cop imigresen bagi membawa masuk atau keluar rakan senegara tanpa dokumen. Sekurang-kurangnya empat sindiket yang dianggotai kira-kira 80 ejen warga Indonesia dikatakan beroperasi di jeti itu, selain berpuluh ribu pendatang tanpa izin yang menggunakan khidmat chalo setiap hari. Malah, anggota sindiket itu bertambah sebelum atau selepas musim perayaan, seperti menjelang Aidilfitri.

Difahamkan, sepanjang tahun lalu 561,266 penumpang menggunakan jeti itu untuk keluar-masuk Malaysia.

Setiap chalo dikatakan mampu memperoleh pendapatan antara RM5,000 sehingga RM20,000 sebulan atau hingga RM30,000 sebulan pada musim perayaan, berikutan pertambahan pelanggan.

Anggota sindiket itu juga dipercayai mempunyai jaringan rapat dengan pengusaha feri komersial dan pihak berkuasa di jeti berkenaan.
Chalo menawarkan khidmat dikenali sebagai ‘bawah pokok’ bagi urusan cop palsu imigresen bagi warga Indonesia yang tiada dokumen keluar-masuk negara ini dan tinggal melebihi tempoh, tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing.

Ejen haram ini mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM1,800 bagi setiap pelanggan mereka bergantung kepada khidmat yang disediakan.

Bagi setiap cop ‘bawah pokok’ dikenakan RM50, manakala cop imigresen keluar-masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula dikenakan RM450 kerana ia cop rasmi yang asli, bagaimanapun maklumat pada dokumen yang dicop tidak dimasukkan dalam data imigresen.

Sumber memberitahu Berita Harian, contoh cop diambil daripada pasport dan proses menghasilkan cop palsu itu dilakukan sendiri anggota sindiket yang mempunyai kepakaran.

“Cop palsu ini menghalalkan keluar masuk pekerja Indonesia ini. Ini taktik terbaru digunakan sindiket kebelakangan ini berbanding dulu apabila mereka yang tidak memiliki dokumen terpaksa menaiki kapal sayur dan ikan serta disembunyikan di bahagian enjin feri dalam keadaan yang tidak selesa.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna cara lama itu tidak digunakan lagi kerana setiap hari ada kapal dagang yang belayar ke negara jiran dan kegiatan sindiket ini berjalan lancar setiap hari," katanya.

Sumber berkata, kehadiran warga asing di jeti itu seharusnya dipantau kerajaan kerana sewajarnya tugas menyambut tetamu ke negara ini dilakukan rakyat tempatan.

“Kehadiran ramai chalo memberi gambaran seolah-olah kita berada di Tanjung Balai Asahan, Indonesia,” katanya

Muktamad: Felda diarah bayar peneroka RM11 juta

Ogos 26, 10 11:56am

Kongsi 0Selepas lebih sepuluh tahun, akhirnya 354 peneroka Felda Kemahang Tiga dari Kelantan mendapat khabar gembira apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Felda membayar mereka RM11 juta kerana menipu peneroka berkenaan berhubung gred buah kelapa sawit.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan Felda yang mencabar keputusan yang dibuat oleh panel lain, mahkamah itu yang sebelum ini mengketepikan rayuan berkenaan.


Lebih 150 peneroka hadir pada perbicaraan yang penuh sesak ini manakala ratusan lagi berhimpun di luar menantikan penghakiman. Kebanyakan mereka mengagahi perjalanan lebih sembilan jam dari Kelantan untuk mencari keadilan.

Dengan penghakiman hari ini, setiap peneroka itu dijangka menerima RM25,000 hingga RM30,000 setiap seorang.

Keputusan hari ini mempunyai implikasi besar ke atas Felda dan kerajaan kerana ia akan menyaksikan lebih banyak saman difailkan dan mengugat kepercayaan sebelum ini bahawa penubuhan agensi kerajaan itu oleh perdana menteri kedua, Tun abdul Razak Hussein bagi meningkatkan kebajikan masyarakat bumiputera dengan menaikkan taraf hidup mereka sebenarnya mempunyai kepincangan.

Keputusan sebulat suara

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan Felda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan Felda membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Baharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka-peneroka itu.

Panel hakim, yang turut terdiri Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.

Menurut Alauddin, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah hari ini tidak mempunyai jurisdiksi untuk mengkaji keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

"Justeru, rayuan itu ditolak."

Mahkamah juga memerintahkan Felda membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Mahkamah Tinggi Kota Baharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka-peneroka itu setelah peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar, dan mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka.

Jumlah meningkat

Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul.

Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan Felda untuk merayu dan mengarahkannya supaya membayar pampasan kerana menipu 354 peneroka sejak 1995.

Panel tiga orang hakim ketika itu diketuai oleh Tun Zaki Azmi yang sebulat suara enggan membenarkan Felda membuat rayuan.


"Mahkamah puas hati bahawa tiada mana-mana bahagian dalam undang-undang bagi perkara ini disemak semula oleh mahkamah ini. Kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan," kata Zaki dalam penghakiman lisannya.

Dua lagi panel hakim tersebut ialah Datuk Gopal Ram dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Peneroka menamakan Felda, pengurus tanah rancangan tersebut, Ibrahim Ismail (telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defenden.

Mereka diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusoff.

Tuesday, August 24, 2010

Kastam rampas 425 kotak mercun, bunga api bernilai RM300,000

24/08/2010 2:55pm


PETALING JAYA, 24 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan berjaya merampas 425 kotak mercun dan bunga api bernilai hampir RM300,000 selepas menahan sebuah treler di Plaza Tol Changkat Jering, Taiping, Perak, kelmarin. – Utusan

Friday, August 20, 2010

Warga asing lesap bersama wang syarikat RM200,000

20/08/2010 2:58pm


KUANTAN 20 Ogos – Polis sedang mengesan seorang pekerja syarikat pengurup wang di sini yang menghilangkan diri bersama wang tunai berjumlah RM200,000 sejak 7 Ogos lalu.

Suspek, Abdul Malik Basir yang merupakan warganegara India berusia 50-an disyaki melarikan wang milik syarikat majikannya.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, sebelum menghilangkan diri, suspek dikatakan diarah oleh majikannya untuk membawa wang tersebut dari sini ke Kuala Lumpur untuk ditukarkan. – Utusan

Thursday, August 19, 2010

Pemalsuan kad kredit RM23 juta tumpas, 3 ditahan

KUALA LUMPUR 19 Ogos 2010 - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa yang bernilai RM23 juta setelah menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri di sebuah rumah di Kota Kemuning, Seksyen 33 Shah Alam dekat sini Isnin lalu.

Ketiga-tiga suspek ditahan pihaknya selepas berjaya menahan dua lelaki di sebuah hotel di ibu negara pada bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila pihak pengurusan hotel menerima tempahan tiga bilik daripada seorang lelaki bernilai RM860 yang dibayar menggunakan kad kredit American Express (Amex) pada pukul 8 pagi 13 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, dua hari kemudian, pihak hotel menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mempersoalkan tempahan bilik yang dibuat menggunakan nombor kad kreditnya walaupun dia tidak pernah membuat tempahan.

Curiga dengan insiden itu, pihak pengurusan hotel membuat laporan polis kira-kira pukul 2 petang pada keesokan hari.

"Namun, pada 24 Julai lalu, pihak pengurusan hotel ada menghubungi polis dan memaklumkan lelaki terbabit yang pernah menggunakan kad kredit palsu itu turut membuat tiga tempahan bilik di hotel berkenaan dengan menggunakan nama dan passport dari Singapura.

"Kira-kira pukul 4 petang, polis pergi ke hotel berkenaan dan berjaya menahan dua lelaki yang berada di bilik berasingan manakala kita menemui sebuah komputer bimbit pada bilik ketiga yang tiada penghuni.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari bermula 28 Julai lalu dan kini dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambah Muhammad Sabtu, kedua-dua suspek berusia 38 dan 40 tahun dan salah seorang merupakan peniaga sarang burung.

Bertindak atas maklumat dan risikan, katanya, polis menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki di sebuah rumah di Seksyen 33, Shah Alam.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga suspek berusia antara 31 hingga 40 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan selain salah seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes pemalsuan kad kredit serta baru sahaja dibebaskan dari sebuah penjara di Macau atas kesalahan sama.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 2,270 keping kad kredit palsu, 17 kad kredit palsu yang telah siap, lima keping kad kredit yang dipercayai palsu, sembilan pasport antarabangsa Malaysia, satu pasport negara Hong Kong dan China dipercayai palsu.

"Turut dirampas, mesin pelekat nombor, mesin pencetak dan beberapa unit komputer riba serta dokumen bank selain dua buah kereta jenis Mazda dan Toyota," katanya.

Muhammad Sabtu berkata, hasil siasatan mendapati, suspek menggunakan kad kredit palsu itu untuk membeli barangan berjenama selain untuk tujuan penginapan di hotel-hotel mewah.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420, 467, 474 dan 472 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Muhammad Sabtu berkata, pihaknya sedang memburu seorang lagi rakan suspek iaitu individu pertama yang ditahan pihaknya di sebuah hotel bulan lalu kerana dipercayai merupakan ahli sindiket tersebut.

Beliau berkata, suspek yang merupakan peniaga sarang burung telah dibebaskan dengan jaminan pihak polis pada 30 Julai lalu dan dipercayai telah bersembunyi.

Lepasan SPM mohon kursus kena tipu

Oleh Suhana Roslan

2010/08/20
KUALA LUMPUR: Lebih 200 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerugian antara RM500 hingga RM2,000 seorang apabila ditipu sindiket perniagaan palsu yang mengendalikan sesi taklimat dan temu duga program Diploma Kemahiran Malaysia.

Sindiket itu didalangi seorang lelaki yang mempunyai 40 pekerja bertindak menghantar surat kepada mangsa menggunakan kepala surat Kementerian Sumber Manusia untuk mengikuti sesi taklimat dan temu duga program itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Mangsa, Liew Suh Ping, 19, berkata selepas menerima surat itu beliau ke PICC bersama keluarganya mendengar taklimat berkenaan dan diminta membayar RM500 sebagai yuran pendaftaran. Taklimat itu dikendalikan 40 pekerja yang memakai kot mempunyai logo kementerian terbabit dan mereka bercerita mengenai kursus ditawarkan dan insentif diberikan kerajaan.

Mereka menyuruh semua pelajar pulang dan menunggu surat tawaran yang akan dihantar ke alamat didaftarkan dalam tempoh sebulan, katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Liew berkata, menyedari tiada surat diterima dalam tempoh berkenaan, beliau menghubungi ejen syarikat itu dan mereka memintanya memasukkan RM2,000 ke dalam akaunnya.

Katanya, beliau yakin ditipu syarikat itu kerana gagal menghubungi mereka selepas itu selain alamat lokasi yang dinyatakan di dalam resit tidak wujud.
Berikutan itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Gombak, minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata pihaknya menerima 400 panggilan memaklumkan berhubung kes itu tetapi mangsa enggan membuat laporan.

Sehubungan itu, beliau meminta polis menyiasat kes itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana membabitkan ramai mangsa terutama pelajar yang baru saja selesai menduduki peperiksaan SPM

Wednesday, August 18, 2010

APMM Tawau gagalkan cubaan seludup 3.4 tan minyak masak

2010/08/19
APMM TAWAU GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 3.4 TAN MINYAK MASAK KE NEGARA JIRAN

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup 3.4 tan minyak masak ke negara jiran awal pagi tadi.
Pengarah Operasi APMM Tawau, Komander (M) Amran Daud, berkata minyak masak yang dibawa dari kawasan Kampung Titingan dirampas dari sebuah jongkong tidak berdaftar di kawasan perairan Tawau kira-kira jam 12.01 pagi tadi. "Bot ronda Maritim Kilat 38 Ketika menjalankan tugas penguatkuasaan menemui minyak masak berkenaan di dalam jongkong yang dalam perjalanan ke Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Amran berkata tiada sebarang tangkapan dibuat yang dikaitkan dengan rampasan itu kerana tidak seorangpun penumpang di dalam jongkong berkenaan mengaku pemilik kepada barangan itu namun seorang penumpang ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Sejak Januari lalu, APMM Tawau merampas sebanyak 5.596 tan minyak masak yang seludup dan rampasan pagi tadi merupakan kes rampasan pertama pada Ramadan ini.

Sementara itu, APMM di sini turut merampas 430 kilogram gula pasir daripada tiga jongkong yang dalam perjalanan dari Tawau ke Sungai Melayu di Pulau Sebatik ketika membuat rondaan biasa kira-kira 2 petang semalam. - BERNAMA

Ahli perniagaan jadi sub-ejen judi online diburu

19/08/2010 1:44pm



KUALA LUMPUR 19 Ogos – Polis sedang memburu seorang ahli perniagaan yang dipercayai menjadi sub-ejen kepada satu sindiket perjudian atas talian yang berjaya ditumpaskan polis semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lokasi sebenar ahli perniagaan itu yang dipercayai terlibat secara langsung dalam sindiket perjudian antarabangsa terutamanya pertaruhan sukan bola sepak.

Beliau berkata, sindiket perjudian antarabangsa itu antara sindiket terbesar yang dikehendaki polis kerana melibatkan nilai taruhan antara RM500 juta hingga RM1 bilion untuk setiap satu acara sukan.

Jelas beliau, dalam serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang semalam di Pusat Perniagaan Megan Avenue, Jalan Ampang di sini, pihaknya berjaya menahan 17 individu yang dipercayai pekerja kepada sub-ejen terbabit.

Katanya, ketika serbuan, kesemua pekerja yang berusia 20 hingga 30-an itu sedang mengambil dan menerima pertaruhan daripada pelanggan. - Utusan

Tuesday, August 17, 2010

Sentral: Mangsa 'lintah darat'

Oleh Suzaini Sulaiman
bhnews@bharian.com.my
2010/08/18


SEBAHAGIAN pelabur meluahkan rasa tidak puas hati selepas pelaburan gagal beri pulangan yang dijanjikan pengusaha ternakan lintah.Pelabur dakwa ditipu pengusaha projek di Kampung Sungai Yu

KUALA SELANGOR: Lebih 10 pengusaha ternakan lintah mendakwa ditipu sebuah syarikat pengurusan ternakan lintah yang beroperasi di Kampung Sungai Yu di sini apabila pelaburan yang mereka lakukan tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.
Mereka melabur antara RM50,000 hingga RM90,000 sejak 2008 selepas terpengaruh dengan promosi hebat projek berkenaan yang dikatakan disokong Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD). Seorang pelabur, Rozaidah Abdul Razak, 37, berkata beliau hanya mendapat RM20,000 daripada RM50,000 yang dilaburkannya pada November 2008 hingga November 2009.

“Setiap satu lot bernilai RM10,000 dan mengikut perjanjian, kami akan mendapat RM1,500 sebulan bagi tempoh tiga tahun selepas lintah membesar pada bulan keempat tarikh pelaburan.

“Pada mulanya saya hanya melabur satu lot tetapi berikutan promosinya hebat dan disokong MECD ketika itu membuatkan saya lebih yakin,” katanya ketika ditemui Sentral.

Beliau turut menunjukkan sijil kursus yang dihadirinya yang ditandatangani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang yang mempunyai logo Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan MECD.
Sentral difahamkan lebih 300 menjadi mangsa penipuan syarikat pengusaha lintah terbabit termasuk pengusaha yang meminjam kewangan daripada Yayasan Tekun Nasional (TEKUN) dan MARA.

Malah, ramai penjawat awam juga membuat pelaburan itu kerana mereka dijanjikan pulangan yang amat memberangsangkan tanpa membuat apa-apa kerja.

Tapak projek ternakan lintah di Kampung Sungai Yu juga dikatakan sudah tidak berfungsi dan tiada lagi tangki ternakan lintah yang boleh digunakan.

Maimunah Karim, 57, sebagai pewaris anaknya yang melaburkan seluruh wang simpanannya RM50,000 terkilan kerana tidak menduga turut menjadi mangsa penipuan.

“Pada awalnya rakan menggalakkan saya untuk menyertainya kerana kami yakin adanya ladang yang besar, manakala kursus pula dikendalikan MECD bersama MARA.

“Saya tidak membaca isi kandungan surat perjanjian kerana cukup yakin dengan skim pelaburan ini dan kecewa kerana baru tahu mengikut perjanjian itu, kami tidak boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya sambil menunjukkan surat perjanjian.

Norhayati Ahmad 31, pula memohon skim pinjaman TEKUN semata-mata untuk melabur kerana menjangkakan pulangan yang lumayan.

“Ramai lagi rakan saya yang meminjam melalui TEKUN menjadi mangsa kerana mereka berjanji akan membayar pinjaman kami dan kami hanya menunggu keuntungan saja.

“Kami amat kecewa kerana mereka sanggup menggunakan kemudahan yang diberikan kerajaan semata-mata ingin mengaut keuntungan,” katanya sambil menunjukkan resit pembayaran dari pihak TEKUN.

Penjawat awam, Salehuddin Hussin, 36, berkata beliau kecewa dengan tindakan pengusaha lintah terbabit kerana sudah melabur hampir RM90,000 untuk syarikat itu.

“Kami tidak tahu kepada siapa ingin meluahkan kekesalan dan kemarahan ini kerana kami masih berharap mereka boleh menjelaskan bayaran yang dijanjikan.

“Apabila kami cuba menghubungi mereka, ada saja alasan yang diberikan seperti pasaran tidak menguntungkan, tiada pembeli atau masalah ternakan tidak menjadi,” katanya.

Monday, August 16, 2010

COO Pempena didakwa pecah amanah

Aidila Razak
Ogos 16, 10
11:28am

Kongsi 0Ketua pegawai operasi (COO) anak syarikat kementerian pelancongan - Pempena Sdn Bhd - Mohammad Rosly Md Selamat didakwa atas tuduhan pecah amanah kerana menaja konsert tanpa pengetahuan lembaga pengarah.


Beliau didakwa bersama bekas pengawal kewangan Lim Khing Thai kerana memberikan RM160,770 "dengan niat jahat" kepada Ummi Hafilda Ali untuk penganjuran konsert pada 15 Ogos 2006.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan melebihi 20 tahun. Dia juga boleh disebat.

Hakim Rozana Ali Yusof menetapkan ikatjamin sebanyak RM20,000 seorang.

Mohammad Rosly juga diarahkan menyerahkan pasport selepas pulang daripada pertemuan keluarga di Melbourne pada 6 September. Manakala Lim menyerahkannya pasportnya hari ini.

Lim telah meletakkan jawatan pada Disember tahun lalu selepas sembilan tahun berkhidmat.

Sebutan kes tersebut ditetapkan pada 6 September.

Rosly dan Lim masing-masing diwakili oleh peguam Rejinder Singh Dhaliwal dan Chau Wei. Manakala timbalan pendakwa raya ialah Muhamad Anas Mahadzir.

Menurut borang aduan Badan Pencegah Rasuah pada 2009, ia mempunyai maklumat bahawa pegawai Pempena telah menerima rasuah dari Ummi Hafilda bagi penajaan sebuah konsert bernilai RM300,000.


Konsert tersebut adalah untuk penyanyi dari Timur Tengah, Amir Diab, di Kuala Lumpur City Centre dan Stadium Negara.

Ummi Hafilda - yang pernah mendapat jolokan nama "Monica Lewinsky Malaysia" - pernah memberi keterangan dalam kes rasuah dan kes liwat yang membabitkan mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.

Sementara itu, ketua pengarah Kementerian Pelancongan, Datuk Mirza Mohammad Taiyab, dijangka didakwa petang ini atas tuduhan berkaitan, petang ini.

Tahun lalu, Mirza dibebaskan daripada tuduhan menerima imbuhan dalam bentuk penjagaan gigi bernilai RM13,860.

Tuduhan terhadap Pempena pertama kali muncul pada 2 Julai 2008. Malaysiakini melaporkan mengenai memorandum kakitangan Pempena kepada menteri pelancongan ketika itu, Datuk Azalina Othman, mendakwa berlaku rasuah dan pecah amanah oleh dua pegawai kanan syarikat berkenaan.

Antara lain mereka didakwa menerima komisyen apabila membiayai semula kenderaan untuk perkhidmatan teksi mewah, meluluskan beberapa kontrak kepada syarikat RM2 dan kos berlebihan untuk mewujudkan sebuah portal e-pelancongan sekitar RM5 juta.


Beberapa hari kemudian, Azalina memberitahu Dewan Rakyat bahawa satu siasatan dalaman sedang dijalankan. Pada 3 November, beliau mendedahkan bahawa audit PriceWaterhouse Coopers (PWC) telah mengesahkan urusan Pempena yang 'meragukan'.

Laporan siasatan PWC, yang didedahkan oleh ahli parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang MP pada bulan November tahun tersebut, menyatakan bahawa sehingga Jun 2008, Pempena telah melabur RM54.5 juta dalam 24 syarikat, tetapi hanya empat yang memberi keuntungan.

PWC juga menyatakan, sehingga November 2008, projek perkhidmatan teksi mewah (Pets) yang menelan belanja RM18.3 juta, mengalami kerugian sehingga RM7.8 juta.

Thursday, August 12, 2010

Kertas siasatan hilang, dijual di kedai kitar semula

KUALA LUMPUR 12 Ogos 2010 – Polis menahan lapan lelaki termasuk empat buruh binaan warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes kehilangan kira-kira 10,000 keping kertas siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, kelmarin.

Kertas siasatan itu mengandungi rekod kes-kes jenayah IPD itu yang sudah selesai dan menunggu kelulusan untuk dilupuskan.

Ia disimpan di dalam sebuah bilik di tingkat satu, salah satu daripada bangunan IPD itu yang sedang diubah suai.

Difahamkan, keadaan fail kertas siasatan itu yang sudah usang dan berhabuk menyebabkan pekerja binaan di situ menyangkakan ia kertas lama yang sudah tidak digunakan lalu mengambilnya untuk dijual kepada kilang kitar semula.

Kertas siasatan seberat kira-kira 2,000 kilogram itu dijual pada harga RM800 kepada beberapa kilang kitar semula di Kepong berdasarkan kadar antara 37 hingga 45 sen sekilogram.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kehilangan kertas siasatan itu hanya disedari pada Sabtu lalu oleh salah seorang anggotanya yang mahu menjalankan kerja-kerja pembersihan dan mengemas kini fail-fail di situ.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki kertas siasatan terbabit diambil oleh para pekerja yang mengubah suai bangunan tersebut.

“Berikutan itu, kita telah menahan empat lelaki tempatan iaitu seorang penyelia dan tiga pemandu lori berusia lingkungan 40-an untuk membantu siasatan.

“Empat buruh binaan Bangladesh berusia lingkungan 20-an turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di IPD Gombak di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, kesemua lelaki terbabit ditahan secara berasingan pada sebelah petang dan malam kelmarin.

Beliau berkata, empat lelaki tempatan ditahan di beberapa kawasan sekitar Kepong manakala kesemua pekerja Bangladesh ditangkap ketika bekerja di tapak binaan.

Katanya, kesemua mereka direman selama empat hari mulai semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Rokok, mercun seludup lebih setengah juta dirampas

12/08/2010 2:24pm


KOTA BHARU 12 Ogos - Musim perayaan yang akan menjelang tidak lama lagi dijangka terus dipergunakan oleh penyeludup untuk menjalankan operasi mereka.

Ini terbukti apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas pelbagai jenis rokok dan mercun seludup yang berjumlah RM538,636 termasuk cukai dalam tempoh tiga hari sahaja.

Pengarah JKDM negeri, Salleh Mohamad berkata, dua lelaki turut ditahan dalam operasi itu yang bermula pada Ahad lalu. - Utusan

Tuesday, August 10, 2010

2 lelaki ditahanjual pingat Sultan Johor

JOHOR BAHRU 10 Ogos 2010 - Polis Johor menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan menjual Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dengan harga RM5,000 setiap satu setelah menerima laporan daripada seorang mangsa pada 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, susulan laporan yang dibuat oleh mangsa berusia 37 tahun itu, pihaknya berjaya menahan kedua-dua lelaki berusia 40 dan 49 tahun di Seri Alam di sini.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM3,000 sebelum menyedari dirinya ditipu dan bertindak membuat laporan polis.

''Saya telah mempersembahkan perkara ini kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan baginda amat murka terhadap apa yang berlaku.

''Baginda bertitah, orang ramai jangan terperdaya dengan kegiatan tersebut. Ini kerana pengurniaan tersebut adalah hak mutlak Sultan Johor dan pihak istana tidak pernah melantik mana-mana pihak berhubung pengurniaan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya akan menyegerakan kertas siasatan untuk dimajukan kepada Timbalan Pendakwaraya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini telah terdapat dua kes seperti itu dan justeru itu, tegasnya mana-mana pihak diingatkan agar tidak mencemarkan imej institusi Diraja dan polis tidak berkompromi terhadap perbuatan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai boleh menghubungi Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor di talian 07-2220351 atau 07-2221415 dan talian hotline polis 07-2221999 sekiranya didatangi pihak yang menjual pingat kebesaran itu.

Bekukan akaun, aset suspek

Oleh NURUL ANUAR KARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Akaun milik individu atau syarikat yang dikesan menipu orang ramai bakal dibekukan tidak lama lagi sementara wang hasil penipuan di dalam akaun itu pula akan dipulangkan kembali kepada pemiliknya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya telah meminta Bank Negara mewartakan kesalahan jualan langsung, skim piramid dan wang kutu sebagai kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) yang membolehkan akaun dan aset suspek dibekukan.

Menurutnya, ini kerana Akta Larangan Wang Kutu serta Akta Jualan Langsung dan Antipiramid hanya mempunyai peruntukan untuk hukuman denda dan penjara tetapi tidak dapat membekukan akaun atau aset pesalah.

“Dengan mewartakan kesalahan kedua-dua akta tersebut di bawah AMLA, akaun suspek boleh dibekukan semasa siasatan dijalankan dan kemudiannya dapat dipulangkan kepada pengguna yang ditipu.

“Malah, langkah ini akan membolehkan kita membekukan mana-mana akaun yang menerima pemindahan wang hasil penipuan itu walaupun akaun itu berada di luar negara,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Khas Bersama Membanteras Jenayah Kolar Putih di sini hari ini.

Jawatankuasa yang ditubuhkan pada April lalu itu dianggotai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara.

Jawatankuasa itu juga bakal disertai dua lagi agensi iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam masa terdekat bagi mengelakkan pertindihan siasatan kes.

Menurut Ismail Sabri, proses pewartaan itu akan dilakukan dalam waktu terdekat supaya wang hasil penipuan tidak dipindahkan pesalah ke akaun keluarga atau ke luar negara serta dapat dipulangkan semula kepada pengguna yang ditipu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju Akta Larangan Wang Kutu dipinda supaya mengenakan hukuman lebih berat berbanding hanya denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun.

“Sebagai contoh, tiga pengarah syarikat Grand Merger Network Resources & Services yang disabitkan kesalahan mengadakan skim kutu baru-baru ini hanya dikenakan denda RM4,000 setiap seorang.

“Tiga lagi syarikat yang menjalankan kegiatan sama dengan hasil kutipan berjumlah RM72 juta pula dijangka didakwa minggu hadapan, tetapi kita mahu pinda akta tersebut supaya hukuman yang dikenakan lebih setimpal,’’ katanya.

Menurutnya, dengan meminda Akta Larangan Wang Kutu dan menggazetkan kesalahan di bawah AMLA, KPDNKK dapat menggunakan dua akta serentak untuk menghukum pesalah dan mengembalikan hak pengguna

Timur: Kain putih, jeans dirampas

Oleh Nik Khazami Nik Aziz

2010/08/11
RANTAU PANJANG: Permintaan tinggi terhadap kain telekung setiap kali Ramadan dan Aidilfitri, dipercayai mendorong peniaga di negeri ini menghantar bekalan kain putih untuk dijahit di negara jiran.

Kegiatan itu dibongkar Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi rampasan 47 gulung kain putih sepanjang kira-kira 3,000 meter ketika tekstil itu cuba diseludup untuk dijadikan kain telekung bersulam di negara jiran dekat Jeram Perdah, kelmarin. Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Rooslan Radzi, berkata rampasan kain putih itu dilakukan anggotanya ketika menjalankan rondaan di pangkalan haram Jitong dekat Jeram Perdah, kira-kira jam 8 pagi. Ketika meninjau pangkalan itu, anggota saya terserempak beberapa lelaki yang memunggah kain putih ke dalam bot, namun sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, mereka bergegas melarikan diri meninggal semua barangan yang sedang dipunggah mereka.

Hasilnya, kami merampas 47 gulung kain putih yang setiap satunya sepanjang kira-kira 60 meter dengan nilai RM28,000. Semua gulungan kain putih ini dipercayai hendak dihantar ke negara jiran dijahit sebelum diseludup kembali ke Malaysia, katanya di sini, semalam.

Rooslan berkata, selain rampasan kain putih yang cuba diseludup ke negara jiran itu, pihaknya merampas 360 helai seluar jeans tiruan jenama Levi's bernilai RM36,000 menerusi dua rampasan yang dilakukan pagi semalam.

Katanya, kira-kira jam 7.30 pagi, anggotanya yang menjalankan rondaan bermotosikal, terserempak sekumpulan lelaki sedang memunggah bungkusan dari tebing Sungai Golok yang kemudiannya dilihat bergegas melarikan diri.
Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan yang ditinggalkan mereka, anggota saya menemui 200 helai seluar jeans jenama Levi's yang diseludup dari Thailand.

Kira-kira jam 9 pagi pula, anggota saya berhasil merampas 160 helai seluar jeans tiruan jenama sama di pangkalan haram Haji Ghani. Semua seluar jeans ini mempunyai permintaan tinggi di kalangan anak muda khususnya menjelang musim perayaan ini dianggarkan bernilai Rm100 sehelai, katanya.

Roslan berkata, semua barangan yang dirampas itu diserahkan kepada Bahagian Pencegah Kastam Di Raja Malaysia (KDRM) Kelantan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut

Wednesday, August 4, 2010

Orang kanan MLM dalang rekrut ahli

2010/08/05
KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti lelaki dipercayai orang kanan sindiket skim cepat kaya (MLM) yang ditahan dalam serbuan di rumahnya di Klang, Selangor, malam Ahad lalu, berperanan sebagai dalang yang merekrut downline bagi menyertai pelaburan haram itu.

Lelaki berusia 26 tahun itu daripada kumpulan sama dengan gadis berusia 20-an yang menyerah diri pada hari sama, seminggu selepas diintip polis kerana dikatakan mendalangi sindiket MLM yang dilumpuhkan dalam serbuan di Bandar Sunway, minggu lalu. Sumber polis berkata, dalam serbuan di rumah lelaki itu, polis merampas pelbagai dokumen dipercayai ada kaitan dengan kegiatan sindiket itu. “Lelaki itu ditahan kerana dipercayai terbabit merekrut downline terutama di kalangan golongan muda sekitar Selangor.
“Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti hubungannya dengan gadis yang mendalangi sindiket itu.

“Dia ditahan reman empat hari sehingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan,” katanya, semalam.

Dalam serbuan di Bandar Sunway minggu lalu polis turut merampas 17 kereta mewah yang dijadikan umpan untuk menarik orang ramai terutama golongan muda menyertai skim haram ini.