Tuesday, August 10, 2010

2 lelaki ditahanjual pingat Sultan Johor

JOHOR BAHRU 10 Ogos 2010 - Polis Johor menahan dua lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan menjual Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dengan harga RM5,000 setiap satu setelah menerima laporan daripada seorang mangsa pada 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, susulan laporan yang dibuat oleh mangsa berusia 37 tahun itu, pihaknya berjaya menahan kedua-dua lelaki berusia 40 dan 49 tahun di Seri Alam di sini.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM3,000 sebelum menyedari dirinya ditipu dan bertindak membuat laporan polis.

''Saya telah mempersembahkan perkara ini kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan baginda amat murka terhadap apa yang berlaku.

''Baginda bertitah, orang ramai jangan terperdaya dengan kegiatan tersebut. Ini kerana pengurniaan tersebut adalah hak mutlak Sultan Johor dan pihak istana tidak pernah melantik mana-mana pihak berhubung pengurniaan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya akan menyegerakan kertas siasatan untuk dimajukan kepada Timbalan Pendakwaraya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini telah terdapat dua kes seperti itu dan justeru itu, tegasnya mana-mana pihak diingatkan agar tidak mencemarkan imej institusi Diraja dan polis tidak berkompromi terhadap perbuatan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai boleh menghubungi Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor di talian 07-2220351 atau 07-2221415 dan talian hotline polis 07-2221999 sekiranya didatangi pihak yang menjual pingat kebesaran itu.

No comments:

Post a Comment