Thursday, August 19, 2010

Lepasan SPM mohon kursus kena tipu

Oleh Suhana Roslan

2010/08/20
KUALA LUMPUR: Lebih 200 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerugian antara RM500 hingga RM2,000 seorang apabila ditipu sindiket perniagaan palsu yang mengendalikan sesi taklimat dan temu duga program Diploma Kemahiran Malaysia.

Sindiket itu didalangi seorang lelaki yang mempunyai 40 pekerja bertindak menghantar surat kepada mangsa menggunakan kepala surat Kementerian Sumber Manusia untuk mengikuti sesi taklimat dan temu duga program itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Mangsa, Liew Suh Ping, 19, berkata selepas menerima surat itu beliau ke PICC bersama keluarganya mendengar taklimat berkenaan dan diminta membayar RM500 sebagai yuran pendaftaran. Taklimat itu dikendalikan 40 pekerja yang memakai kot mempunyai logo kementerian terbabit dan mereka bercerita mengenai kursus ditawarkan dan insentif diberikan kerajaan.

Mereka menyuruh semua pelajar pulang dan menunggu surat tawaran yang akan dihantar ke alamat didaftarkan dalam tempoh sebulan, katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Liew berkata, menyedari tiada surat diterima dalam tempoh berkenaan, beliau menghubungi ejen syarikat itu dan mereka memintanya memasukkan RM2,000 ke dalam akaunnya.

Katanya, beliau yakin ditipu syarikat itu kerana gagal menghubungi mereka selepas itu selain alamat lokasi yang dinyatakan di dalam resit tidak wujud.
Berikutan itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Gombak, minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata pihaknya menerima 400 panggilan memaklumkan berhubung kes itu tetapi mangsa enggan membuat laporan.

Sehubungan itu, beliau meminta polis menyiasat kes itu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana membabitkan ramai mangsa terutama pelajar yang baru saja selesai menduduki peperiksaan SPM

No comments:

Post a Comment