Wednesday, September 29, 2010

Darling kena denda RM15,000

Oleh Siti Nurazlinee Azmi

2010/09/30
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Nasreen Ngasri dihukum denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan, menggunakan dokumen resolusi sebagai palsu, tiga tahun lalu.

Hakim Jagjit Singh yang membuat keputusan itu turut memerintahkan Nasreen atau lebih dikenali sebagai Darling, 27, dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu. Selepas mahkamah mengambil kira hujahan peguam dan jawapan ringkas Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah KM Abu Bakar dan keinsafan tertuduh termasuk tidak mempunyai rekod lampau, mahkamah menjatuhkan hukuman denda dan jika ingkar penjara tiga bulan, katanya. Darling yang membayar denda itu dituduh menggunakan dokumen Resolusi Pekeliling Pengarah, Nasridz Sdn Bhd sebagai tulen di RHB Bank Bhd, Level 1 Tower 2, RHB Centre, 426 Jalan Tun Razak Cheras di sini, pada 16 Ogos 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu peguam Darling, A Kailesh dalam rayuan meringan hukuman memberitahu mahkamah anak guamnya mengalami tekanan perasaan apatah lagi beliau kini sedang mengandung dua bulan selepas mendirikan rumah tangga dengan Nur Azlin Rahmat, 34.

Selain itu, pengadu dalam kes ini, Mohamad Ridzuan Mat Hussin sudah menarik semula laporan bertarikh 18 Mac 2008 dan menandatangani perjanjian penyelesaian pada Mei lalu bersama tertuduh selepas Darling menyerahkan cek bernilai RM150,000 iaitu wang milik Mohamad Ridzuan, katanya.
Beliau berkata, tertuduh turut menerima kesan daripada kes berkenaan iaitu tiada pendapatan berikutan tidak lagi menerima tawaran berlakon daripada penerbit

Peniaga Nepal dipenjara 8 bulan, denda RM18,000

29/09/2010 7:19pm


KUALA LUMPUR 29 Sept. 2010 - Seorang peniaga warga Nepal dipenjara lapan bulan dan didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang ke luar negara tanpa kebenaran Pengawal Pertukaran Wang Asing pada 2007 .

Hakim Azizah Mahamud membuat keputusan itu terhadap Karna Bahadur Pun, 32, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara berasingan berkuatkuasa hari ini.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di tingkat 1, Jalan Tun Tan Siew Sin, di sini pada 18 Mac dan 22 Mac 2007.

Bagi pertuduhan pertama, Karna dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan didenda RM5,000 atau dipenjara dua bulan kerana membuat persediaan untuk mengirimkan wang ke Nepal tanpa kebenaran sebanyak RM1,950.

Pertuduhan kedua, dia dipenjara tiga bulan dan denda RM6,000 atau penjara tiga bulan atas kesalahan membuat persediaan untuk mengirimkan wang ke Nepal tanpa kebenaran sebanyak RM1,258. -

Timbalan menteri diarah bayar hutang RM1.6 juta

Hafiz Yatim
Sep 29, 10
4:53pm

Kongsi 0Datuk M Saravanan (bawah, kanan), yang sekarang ini seorang timbalan menteri telah diarahkan oleh mahkamah membayar RM1.6 juta kepada VPN Marketing Sdn Bhd untuk melangsaikan hutangnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga mengarahkan Project Penyelenggara Lebuhraya Bhd (Propel) membayar wang tambahan RM690,000 kepada syarikat itu kerana mencabuli kontrak membekalkan penghadang besi di antaranya lebuh raya Utara Selatan.


Keputusan itu dibuat di kamarnya oleh hakim Anantham Kasinater.

Dua saksi dari VPN Marketing dan dua lagi daripada Propel memberi keterangan semasa perbicaraan.

Saravanan disaman atas kapasiti peribadinya, sebelum dia dilantik sebagai timbalan menteri, selepas syarikatnya RMW Manufacturing Bhd - di mana beliau bertindak sebagai pengurus dan pengarah menggulung tikar.

VPN Marketing, sebuah syarikat berpangkalan di Bandar Puncak Alam, dalam kenyataan tuntutannya berkata mereka sejak 2004 telah membekalkan bahan keluli kepada RMW Manufacturing.

Bagaimanapun RMW Marketing masih belum menjelaskan bayaran RM2.337 juta selepas menerima barangan bertkenaan.

VPN Marketing mendakwa Saravanan melalui peguamnya bersetuju melalui sepucuk surat bertarikh 28 Nov 28, 2007, mengeluarkan surat jaminan peribadi untuk membayar RM1.647 juta manakala Propel pula dikehendaki membayar RM690,000.

VPN Marketing telah berulang kali meminta kedua-dua defenden berkenaan menjelaskan bayaran tetapi mereka didakwa gagal berbuat demikian.

Syarikat itu juga telah menghantar notis tuntutan pada 7 Sept 7, 2009 tetapi kedua-dua mereka gagal berbuat demikian

Tuesday, September 28, 2010

Suami kalah judi, tipu isteri konon diculik ah long

BATU PAHAT 28 Sept. 2010 - Hanya kerana kalah berjudi di Genting Highlands, seorang ahli perniagaan di sini, sanggup menipu isterinya sendiri dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya dia diculik oleh ah long.

Lebih teruk lelaki berusia 37 tahun itu, sendiri menyamar sebagai ceti haram tersebut dan meminta isterinya membayar hutang pinjaman sebanyak RM25,000 bagi membebaskan dirinya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, isteri suspek berusia 35 tahun menerima beberapa SMS berbaur ugutan itu pukul 5 petang, Jumaat lalu.

Katanya, bimbang dengan keselamatan suaminya, wanita yang merupakan pekerja kilang itu kemudian melaporkan perkara tersebut kepada polis.

"SMS-SMS tersebut meminta wanita itu memasukkan wang yang diminta ke dalam satu nombor akaun bank.

"Hasil siasatan, polis mengesan kedudukan telefon bimbit Nokia yang menghantar SMS itu lalu menyerbu sebuah hotel di Genting Highlands, pukul 1 pagi, kelmarin.

"Soal siasat seterusnya mendapati suspek sendiri menghantar SMS-SMS itu dan polis turut merampas telefon bimbit yang digunakan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ibrahim berkata, polis menahan lelaki itu dan menyiasat kes tersebut sebagai jenayah pemerasan

Lelaki menyamar anggota polis Bukit Aman ditahan

2010/09/28
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai seorang anggota polis dari ibu pejabat Polis Bukit Aman bagi tujuan menipu, ditahan di sekitar daerah Kluang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata penipu berumur 31 tahun itu ditahan selepas cuba memperdaya seorang lelaki dengan meminta bayaran RM50,000. Beliau berkata, penipu itu bertindak dengan mendakwa kononnya lelaki berkenaan terbabit dengan kegiatan ''black money'' dan perlu membayar RM10,000 sebagai ''penyelesaian''. Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini beliau berkata, penipu itu ditahan ketika mengeluarkan wang RM10,000 di sebuah bank.

Menurutnya, lelaki yang dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya empat kes menyamar dan menipu itu kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan. - BERNAMA

10 ditahan terlibat kes kecurian cakera keras RM4j

28/09/2010 6:26pm


SHAH ALAM 28 Sept. – Polis menahan 10 lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam kes kecurian 10,840 unit cakera keras bernilai RM4 juta dari sebuah gudang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, Sabtu lepas.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, hasil penahanan kesemua suspek, pihaknya berjaya menemui semula sebahagian besar cakera keras tersebut yang disimpan di sebuah rumah di Pekan Behrang, Tanjung Malim, Perak, semalam.

Semua lelaki terbabit ditahan dalam tempoh tiga hari sejak Sabtu, selepas polis menerima laporan mengenai kecurian sebuah lori memuatkan cakera keras dari gudang berkenaan, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

"Kita berjaya menemui lebih 90 peratus ”hard disk” terbabit. Siasatan mendapati suspek-suspek telah berusaha untuk menjualnya semula di pasaran tempatan tetapi tidak berjaya ”dispose” barangan itu dengan cepat berikutan jumlahnya yang banyak,” katanya.

Omar berkata, polis kini mengesan seorang lelaki dikenali Komessiroe anak Kamis @ Siro, berusia 25 tahun bagi membantu siasatan dan memohon kerjasama orang ramai yang mengenali lelaki itu agar tampil di balai polis berhampiran.

Polis juga masih mengesan lori yang dilarikan tersebut. - Bernama

Monday, September 27, 2010

Measat Disaman RM1.34 Bilion

Oleh Dzulkarnain Taib

KUALA LUMPUR 28 Sept 2010 - Sebuah syarikat pembekal peralatan penyokongan televisyen, AV Asia Sdn Bhd memfailkan writ saman berjumlah RM1.34 bilion di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini terhadap Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd serta sebuah lagi syarikat pembekal piring satelit, Tele System Electronic (M) Sdn Bhd.

Dalam writ saman yang dikemukakan oleh Tetuan Watson Peters & Mohd Fuad, AV Asia mendakwa Measat telah melanggar perjanjian bersama 'Mutual Non Disclosure' (MNDA) dengan mendedahkan maklumat sulit dalam perjanjian itu bagi kepentingannya.

MNDA tersebut adalah bagi tujuan AV Asia menjalankan kajian berhubung cadangan kepada Measat berkenaan penggunaan piring satelit yang berlainan saiz dan reka bentuk untuk mengurangkan masalah kaburan hujan (rain fade).

Justeru, AV Asia telah bekerjasama dengan sebuah syarikat Jepun yang membuat dan menjual peralatan televisyen dan satelit, Maspro untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk.

"Selepas menandatangani MNDA tersebut Plaintif (AV Asia) telah membekalkan kepada defendan pertama (Measat) maklumat rahsia berkenaan spesifikasi dan reka bentuk teknologi piring satelit yang dicadangkan oleh plaintif butir-butir yang mana adalah di dalam pengetahuan defendan pertama," kata penyataan tuntutan itu.

Menurut peguam plaintif, Ravi Sodhi, mendakwa maklumat yang telah didedahkan Measat telah terkandung dalam teknologi piring satelit HD terbaru Measat, Beyond.

"Bagi Tele System pula anak guam kami mendakwa ia juga telah membuat keuntungan hasil daripada maklumat yang didedahkan oleh Measat tetapi dalam piring satelit sebelum yang terbaru ini," kata Ravi pada sidang media diperkarangan mahkamah pagi tadi.

AV Asia juga menuntut gantirugi sebanyak RM4.4 juta untuk kos penyelidikan dan pembangunan dan kos acuan.

Plaintif juga menuntut satu taksiran dibuat berkenaan dengan kerugian yang dialami oleh plaintif disebabkan Measat dan Tele System menggunakan maklumat sulit plaintif.

12 nelayan Indonesia ditahan tangkap ikan secara haram

28/09/2010 11:52am


LUMUT 28 Sept. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 12 nelayan warga Indonesia kerana menangkap ikan secara haram di sini semalam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 3, Kepten Maritim Ang Cheng Hwa memberitahu demikian pada sidang akhbar di sini hari ini. – Utusan

Suami isteri dihadap ke mahkamah anjur wang kutu

28/09/2010 12:25pm


SHAH ALAM 28 Sept. – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini bagi kesalahan menggunakan syarikat milik mereka untuk menganjurkan pelaburan wang kutu yang dikenali sebagai Program Ekspres sejak dua tahun lalu.

Sabbri Yusof, 49, dan Rahimah Rahim, 39, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.

Mereka sebagai pemilik perniagaan World Heritage Resources didakwa menggunakan syarikat itu untuk menganjurkan pelaburan wang kutu Program Ekspres yang dilarang di bawah Akta Kumpulan Wang Kutu 1971 antara 1 Disember 2008 dan 29 April lalu.

Pasangan itu disaman mengikut Seksyen 3 akta tersebut yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kes itu akan disebut semula pada 2 November ini. -

Penyeludupan rokok tumpas

RASAH 27 Sept. 2010 - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok apabila merampas pelbagai jenis rokok yang bernilai RM5.6 juta dalam dua serbuan termasuk di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Linggi, Melaka Sabtu lalu.

Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Datuk Zulkifli Yahya berkata, ketika serbuan pertama dibuat pada pukul 7.15 malam di jeti berkenaan, anggota penguatkuasanya menemui 46,450 karton rokok putih pelbagai jenama tersebut dalam bot kargo dan stor jeti.

''Kita anggarkan nilai rokok putih itu adalah RM929,000 dan cukai terlibat sebanyak RM4.4 juta," katanya pada sidang akhbar di Wisma Kastam, Senawang dekat sini hari ini.

Tambahnya, hasil serbuan itu, pihaknya juga berjaya menahan bot kargo terbabit bersama enam anak kapal.

''Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan (d) Akta Kastam 1967 iaitu terlibat dalam mengimport barangan belum lulus kastam dan memiliki atau menyimpan barang yang belum lulus kastam," tegasnya.

Sementara itu dalam serbuan kedua, iaitu susulan daripada serbuan pertama itu, Zulkifli memberitahu, anggota penguat kuasa telah mengekori sebuah lori kanvas yang dipercayai telah berjaya membawa keluar komoditi dari jeti Kuala Linggi.

''Pasukan kita telah berjaya menahan lori berkenaan di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur yang mahu menghala ke arah utara pada pukul 8.55 malam, hari yang sama.

''Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan bermuatan rokok putih pelbagai jenama dengan jumlah sebanyak 13,100 karton yang bernilai RM262,000 dan cukai yang terlibat adalah RM1.2 juta," tegasnya.

Kata Zulkifli, anggota penguat kuasa JKDM juga berjaya menahan pemandu lori bersama kelindannya dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang yang belum lulus kastam.

''Kesemua rokok berkenaan merupakan barangan larangan kastam yang pengimportannya adalah dilarang di bawah Butiran 1 Bahagian II Jadual 4 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008.

''Pengimportan rokok ini memerlukan lesen import yang dikeluarkan pihak kastam," ujarnya.

Sementara itu, Zulkifli juga menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak JKDM dengan memaklumkan sebarang aktiviti penyeludupan

Friday, September 24, 2010

Rasuah: 2 Anggota polis dipenjara, denda RM10,000

24/09/2010 3:28pm


KUALA LUMPUR 24 Sept. 2010 - Dua anggota polis dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rasuah dalam dua kes berasingan, seorang daripadanya menerima suapan daripada seorang anggota polis lain.

Dalam kes pertama, Koperal Abdul Rahim Kiram, 47, dihukum penjara dua tahun dan didenda RM10,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu, selepas didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada seorang anggota polis berpangkat lans koperal, lima tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Abdul Rahim gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Abdul Rahim yang bertugas di Bahagian Risikan Jabatan Narkotik Bukit Aman, kelihatan tenang sebaik sahaja mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.

Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen di sini, seorang anggota polis berpangkat sarjan dihukum penjara setahun dan didenda RM10,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu selepas didapati bersalah menerima suapan RM300 daripada seorang lelaki empat tahun lepas.

Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Sarjan Hassim Ma’asah, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

"Setelah meneliti keterangan tertuduh dan saksi pembelaan, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dalam kes ini,” katanya.

Hassim didakwa menerima suapan wang tunai RM300 daripada Muhammad Faizal Kamaluddin sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan ke atas rakannya, Osman Saifuddin Osman yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Restoran Putra, 101 Jalan Putra pada 2.30 petang, 10 Mei 2006. - Bernama

Wednesday, September 22, 2010

Anggota geng tepuk belakang curi kad ATM ditahan

2010/09/22
SETIU: Tiga lelaki warga Peru dan Argentina yang menjalankan aktiviti mencuri kad ATM ketika mangsa mengeluarkan wang, ditahan dua hari lalu di Kemaman.

Mereka yang berumur antara 30 dan 60 tahun ditangkap orang ramai yang menyedari perbuatan itu. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata kumpulan itu adalah sindiket antarabangsa yang aktif di Terengganu sejak dua bulan lalu. Katanya, kerugian yang dilaporkan akibat kegiatan mereka setakat ini bernilai kira-kira RM30,000.

"Anggota sindiket ini mempunyai kepakaran untuk menukar kad ATM mangsa dengan kad mereka sendiri.

"Taktik mereka ialah apabila mangsa sedang memasukkan kad ATM ke dalam mesin, mereka akan segera menepuk belakang mangsa dan menunjukkan kononnya sesuatu benda milik mangsa tejatuh.

"Pada masa sama mereka dengan pantas menukarkan kad ATM mangsa di mesin dengan kad ATM lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata, kebanyakan kes terbabit berlaku di Setiu, Dungun, Kemaman dan yang terbaru di Besut.

Katanya, polis sedang menyiasat sama ada kumpulan ini melakukan kegiatan yang sama di negeri lain.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer yang boleh membawa denda RM50,000 dan penjara jika sabit kesalahan," katanya. - BERNAMA

Tuesday, September 21, 2010

Syarikat diarah bayar balik wang pakej umrah

KOTA BHARU 21 Sept. 2010 - Sebuah syarikat yang menyediakan pakej umrah, Khalifah Travel and Tours Sdn. Bhd. diperintah membayar semula wang berjumlah RM52,279 kepada tiga individu selepas syarikat terbabit gagal membawa mereka menunaikan umrah pada 2 Jun lalu.

Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Pretam Singh memutuskan demikian selepas mendapati syarikat berkenaan melakukan penipuan terhadap wang yang telah dibayar oleh ketiga-tiga mangsa untuk menunaikan umrah melalui syarikat itu.

"Ini jelas satu penipuan apabila syarikat tidak sepatutnya menggunakan wang pelanggan untuk membayar bil tertunggak syarikat.

"Mereka bukan orang kaya dan terpaksa menggunakan wang simpanan seumur hidup untuk menunaikan umrah,'' katanya dalam keputusan yang dibacakan di TTPM di sini hari ini.

Dalam tuntutan pertama, Baharuldin Muhamad, 48, menuntut kos yang sudah dibayar bagi pakej umrah sebanyak RM18,250 berikutan kegagalan syarikat terbabit membawa dia bersama tiga lagi ahli keluarganya menunaikan umrah.

Menurut fakta kes, Baharuldin hanya diberitahu mengenai kegagalan syarikat itu mendapatkan visa pada sebelah petang 1 Jun lalu iaitu sehari sebelum dijadualkan berlepas ke Mekah.

Masalah itu menyebabkan dia turut mengalami kerugian RM820 selepas membeli tiket kapal terbang dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Dia kemudian menuntut supaya wangnya dikembalikan semula namun hanya menerima RM2,000 daripada syarikat berkenaan.

Tuntutan kedua dan ketiga berjumlah RM42,600 pula dikemukakan oleh pasangan guru, Ismail Ab. Rahman, 58, dan isteri, Asiah Ab Rashid, 50, atas alasan yang sama.

Pada prosiding hari ini, syarikat berkenaan diwakili oleh Pengarah Urusannya, Che Zaimah @ Rohani Che Mat.

Pretam dalam keputusannya, memberi tempoh 30 hari mulai hari ini kepada syarikat terbabit supaya memulangkan wang tuntutan mereka termasuk ganti rugi kos tiket kapal terbang dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur yang kesemuanya berjumlah RM52,279.

Thursday, September 9, 2010

Jenayah kad kredit: Dua rakyat Malaysia dipenjara Vietnam

09/09/2010 4:49pm


KUALA LUMPUR 9 Sept — Sebuah mahkamah Vietnam menjatuhkan hukuman penjara kepada dua rakyat Malaysia kerana menggunakan kad kredit dan pasport palsu untuk mencuri wang.

Vietnam News Agency (VNA) melaporkan mahkamah umum di Ba Ria Vung Tau menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan kepada Pan Buang Seng, 24, dan 24 bulan penjara kepada Tan Yong Soon, 30.

Kedua-dua mereka dibicarakan pada Isnin di daerah itu yang terletak di kawasan pantai di tengara negara tersebut. VNA melaporkan Pan dan Tan menerima kad kredit dan pasport palsu tersebut daripada seorang lagi rakyat Malaysia yang tinggal di Bandar Raya Ho Chi Minh selepas mereka memasuki Vietnam menerusi Lapangan Terbang Tan Son Nhat pada 24 Ogos lepas.

Mereka dilapor bersetuju menggunakan dokumen terbabit untuk penipuan pengeluaran wang dengan balasan 10 peratus daripada pengeluaran tersebut.

Sehari kemudian, pada 25 Ogos, kedua-dua mereka ke Vung Tau dan menggunakan kad kredit palsu untuk mengeluarkan US$10,275 daripada mesin ATM di hotel tempat mereka menginap dan menyerahkan US$8,000 kepada pemberi dokumen itu.

VNA melaporkan polis Ba Ria Vung Tau hanya mengambil masa sehari untuk mengesan dan menangkap kedua-dua mereka. — Bernama

Wednesday, September 8, 2010

Tee keluar 10 surat sokongan

Oleh Noor Syahidatool Aqma Mohd Noor
bhnews@bharian.com.my
2010/09/09
Seorang lagi Ahli Majlis MPK turut disiasat

SHAH ALAM: Hasil laporan audit yang dijalankan Jabatan Audit Selangor menunjukkan bekas Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Boon Hock mengeluarkan 10 surat sokongan terhadap 20 syarikat bagi mendapatkan projek di bawah MPK pada 2008. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata hasil siasatan juga mendapati syarikat yang disokong Tee berjaya memperoleh sebanyak 16 kontrak bernilai hampir RM900,000 daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. Beliau berkata, selain itu satu kontrak bernilai RM19,924.20 turut diserahkan kepada syarikat Perkhidmatan AA, iaitu seorang daripada pengarah syarikat itu adalah anak Tee.

“Tee melanggar etika sebagai ahli majlis kerana tidak membuat deklarasi sebenar mengenai pembabitan syarikat milik anaknya dalam perebutan tender itu.

“Adalah amat jelas terdapat konflik kepentingan dan beliau (Tee) sepatutnya membuat deklarasi untuk mengelak perlanggaran etika tatacara memberi sokongan untuk dapatkan kontrak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam.

Kerajaan negeri memutuskan untuk memecat Tee sebagai Ahli Majlis MPK berkuat kuasa 6 Ogos lalu.
Berikutan itu, DAP memecat Tee yang didakwa mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1 juta untuk 20 syarikat menjalankan projek di bawah MPK sejak dilantik ahli majlis pada Julai 2008.

Tee, yang menjadi Ahli Majlis MPK bagi penggal kedua, dikaitkan dengan kes salah guna kepala surat milik pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor, Ronnie Liu untuk membantu kroni dan seorang ahli keluarganya mendapatkan kontrak bernilai RM1 juta daripada PBT itu.

Tee juga menjadi pembantu khas kepada Ronnie, bermula Mac 2008 hingga 18 November 2009.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar, semalam turut mengenal pasti seorang lagi Ahli Majlis MPK, Hamidah Mat Som yang didapati menyokong beberapa syarikat untuk mendapatkan 19 kontrak kerja bernilai RM400,000.

Menurut kenyataan itu, salah sebuah syarikat yang disokong Hamidah itu dimiliki oleh suaminya sendiri dengan memperoleh nilai kontrak RM104,412 daripada PBT berkenaan untuk tempoh tiga tahun bermula 2009

Tuesday, September 7, 2010

Dedah status tanah Melayu di P. Pinang

PULAU PINANG 7 Sept 2010 - Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa kerajaan negeri mendedahkan semua senarai tanah dan harta yang dianugerahkan untuk kepentingan kaum bumiputera di negeri ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, gesaan itu dibuat kerana mereka tidak mahu lagi tanah dan harta orang Melayu yang diamanahkan terus 'lenyap' dan tidak diketahui statusnya.

Sehubungan itu, katanya, Pemenang akan menghantar permohonan tersebut kepada Unit Penyertaan Bumiputera Jabatan Perdana Menteri berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

''Kegagalan orang Melayu di Pulau Pinang adalah kerana pemimpin Melayu yang diberi amanah itu sendiri telah gagal sebab mereka ini mementingkan agenda sendiri daripada memperjuangkan nasib orang Melayu.

''Jadi, kami tidak akan bertolak ansur lagi dalam perkara macam ini, kita dah letih dan muak dengan masalah begini, kita sudah tidak boleh berdiam diri," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ekoran gesaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di negeri ini yang mahu kepentingan dan hak bumiputera terus dijaga dengan baik.

Pada sidang akhbar berkenaan, beberapa NGO Melayu turut memegang kain rentang yang tertera 'NGO Melayu menuntut dikembalikan tanah milik bumiputera kepada Melayu Pulau Pinang'.

Terdahulu, Pemenang dan Ikatan Kelab-Kelab Melayu Pulau Pinang (Ikatan) memfailkan kes di mahkamah bagi menuntut kembali tanah milik Yayasan Bumiputera Pulau Pinang (YBPP) di Seberang Perai Utara (SPU) daripada pihak terlibat.

Tambahnya, pendedahan itu perlu dilakukan supaya status tanah untuk orang Melayu diketahui sama ada dibangunkan untuk kepentingan kaum atau masih terbengkalai.

Pada masa sama, Mohd. Yussof yang juga Presiden Ikatan menggesa para pemimpin Melayu berubah sikap dan tidak lagi hanya mementingkan diri sendiri terutama dalam keadaan sekarang.

''Kalau mereka tidak sanggup hendak menolong orang Melayu sendiri, jangan pegang amanah yang diberikan kerana ia hanya menyebabkan orang Melayu lebih terguris hati," ujarnya

NGO Melayu saman YBPP

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

PULAU PINANG 7 Sept. – Ikatan Kelab-Kelab Melayu Negeri Pulau Pinang hari ini menyaman Yayasan Bumiputra Pulau Pinang (YBPP) dan lapan yang lain kerana mendakwa tanah seluas 283.28 hektar milik YBPP telah dipindah milik sehingga menyebabkan kerugian lebih RM100 juta.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mendakwa mengemukakan tuntutan tersebut bagi pihak orang Melayu di negeri ini yang terpinggir akibat kecuaian YBPP dan defendan lain menjalankan tanggungjawab membela nasib mereka.

Turut mengemukakan saman tersebut adalah Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff serta 32 individu lain.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman Tetuan V. M. Mohan, Fareed & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Kesemua mereka selaku pihak plaintif menamakan YBPP; Tenagas (M) Sdn. Bhd. (Tenagas) dan Kumpulan Pinang Hartanah Sdn. Bhd. (KPHSB) yang dahulunya dikenali sebagai Fasa Klasik Sdn. Bhd. sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pengarah ketiga-tiga syarikat itu, Datuk Syed Mohamad Syed Mustaza; Pengarah YBPP, Datuk Hassan Mat Noor; Pengarah Tenagas, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Pengarah KPHSB, Anuar Othman pula dinamakan sebagai defendan keempat hingga ketujuh.

Dua lagi syarikat iaitu Bandar Kepala Batas Sdn. Bhd. (dahulu dikenali sebagai Business Term (M) Sdn. Bhd.) dan anak syarikat Tenagas, Kumpulan Pinang Properties Sdn. Bhd. (sebelum ini dikenali sebagai Renown Focus Sdn. Bhd.) turut disenaraikan sebagai defendan kelapan dan kesembilan.

Menurut pernyataan tuntutan, pihak plaintif menyatakan, YBPP telah ditubuhkan untuk mengurus dan meningkatkan ekonomi orang Melayu di negeri ini.

Berikutan itu, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri telah memberi sejumlah peruntukan bagi pembelian hartanah di Seberang Perai Utara (SPU) bernilai RM137 juta.

Bagaimanapun, dakwa plaintif, defendan keempat hingga ketujuh telah mengakibatkan KPHSB dan Kumpulan Pinang Properties menandatangani perjanjian usaha sama dengan syarikat bukan bumiputera, Hunza Propeties Berhad (Hunza) untuk memajukan hartanah tersebut.

Plaintif mendakwa, pemindahan hakmilik hartanah itu menyebabkan Hunza menjadi pemegang saham majoriti dengan memiliki 70 peratus saham manakala YBPP yang mempunyai 30 peratus saham menjadi pemegang saham minoriti.

Dakwa mereka, kesemua hartanah yang sepatutnya dibangunkan untuk memulih dan menjana ekonomi orang Melayu telah dimajukan oleh Hunza dengan membina rumah dan lot kedai dengan harga yang melebihi kemampuan orang Melayu.

Selain itu, pemindahmilikan hartanah itu didakwa bertentangan dengan objektif penubuhan YBPP yang memberi kesan langsung terhadap pembangunan ekonomi orang Melayu.

Plaintif turut mendakwa, tindak-tanduk defendan keempat hingga ketujuh sama ada secara bersama atau berasingan serta tidak dilakukan secara terbuka telah menyebabkan semua orang Melayu di negeri ini mengalami kerugian lebih RM100 juta.

Dengan itu, pihak plaintif memohon perisytiharan bahawa perjanjian usahasama dan urusan pindah milik antara defendan ketiga, kelapan dan kesembilan itu batal serta tidak sah.

Pihak plaintif juga memohon perisytiharan bahawa defendan keempat hingga kelapan telah pecah amanah, selain mahkamah mengeluarkan perintah agar mereka memindah milik semula hartanah itu kepada defendan ketiga dan kesembilan.

Mereka juga memohon injunksi menghalang defendan kelapan memindah milik atau melupuskan mana-mana bahagian hartanah tersebut yang masih didaftarkan atas nama syarikat itu sehingga perintah selanjutnya.

Turut dimohon adalah ganti rugi taksiran, ganti rugi teladan dan ganti rugi punitif serta relif lain yang difikirkan adil oleh mahkamah daripada defendan keempat hingga kelapan

Sunday, September 5, 2010

3 ditahan seludup kayu cengal RM30,000

KUANTAN 5 Sept 2010 - Sekumpulan penyeludup balak di negeri ini dikesan mengambil kesempatan menyeludup hasil hutan bernilai tinggi itu ketika seluruh umat Islam sedang sibuk bersolat tarawih.

Perbuatan mereka bagaimanapun terbongkar apabila diserbu Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan polis, kelmarin.

Dalam serbuan di kawasan Hutan Simpan Batu Talam, Raub, tiga lelaki ditahan kerana disyaki cuba memindahkan sejumlah kayu cengal dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

Turut dirampas dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu adalah dua lori enam tan, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah jengkaut.

Serbuan itu membabitkan sembilan anggota penguat kuasa JPNP dan dua anggota dari Balai Polis Cheroh, Raub.

Pegawai Perhutanan Daerah Raub, Zulfakar Ali berkata, ketika serbuan, tiga suspek yang berusia 30 hingga 50 tahun cuba melarikan diri ke dalam hutan tetapi berjaya dihalang.

"Hasil pemeriksaan dalam lori tertutup menemui tiga batang kayu cengal seberat lima tan bernilai RM25,000 yang cuba dipindahkan tanpa permit dan dipercayai untuk dibawa ke Selangor.

"Kita juga mendapati anggota sindiket terbabit mengambil masa antara tiga dan lima jam untuk menebang tiga batang pokok tersebut. Aktiviti kumpulan itu dilakukan ketika umat Islam sedang menunaikan solat tarawih," katanya di sini hari ini.

Friday, September 3, 2010

Tujuh anggota sindiket palsu dokumen ditahan

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2010/09/03
Warga Indonesia jadi ejen tiket feri di Jeti Pulau Ketam

KUALA LUMPUR: Tujuh warga Indonesia ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket pemalsuan dokumen dan cop imigresen untuk membawa pendatang haram keluar masuk di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, semalam. Operasi itu susulan laporan muka depan akhbar ini minggu lalu mengenai ada anggota penguatkuasa jabatan itu dipercayai dibayar sehingga RM2,000 sehari untuk upah mereka memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada dokumen. Habuan yang diterima anggota penguatkuasa itu dibiayai sekurang-kurangnya empat sindiket yang dianggotai kira-kira 80 ejen warga Indonesia atau dipanggil ‘chalo’ yang dikatakan beroperasi di jeti itu, selain berpuluh-puluh ribu pendatang tanpa izin yang menggunakan khidmat chalo setiap hari.

Ketua Penguatkuasa Imigresen, Zamberi Abdul Aziz, berkata semua yang ditahan didapati masuk ke negara ini menggunakan pas sosial dan bekerja sebagai ejen penjualan tiket feri di jeti berkenaan.

“Semua terbabit ditahan untuk siasatan lanjut dalam operasi oleh Imigresen Selangor,” katanya ketika dihubungi semalam.

Chalo terbabit menawarkan khidmat dikenali sebagai ‘bawah pokok’ bagi urusan cop palsu imigresen untuk warga Indonesia yang tiada dokumen keluar masuk dan tinggal melebihi tempoh, tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing dengan bayaran antara RM50 hingga RM1,800.
Zamberi berkata, warga asing yang ditahan dalam operasi jam 11 pagi itu dibawa ke depoh tahanan imigresen sebelum dikenakan tindakan lanjut.

Beliau berkata, maklumat yang diperoleh daripada tujuh warga Indonesia itu akan digunakan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas kegiatan sindiket berkenaan.

Thursday, September 2, 2010

APMM tahan bot nelayan sarat subsidi minyak diesel

2010/09/02
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang berpangkalan di Tok Bali di sini menahan sebuah bot nelayan tempatan yang sarat dengan muatan 30,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai cuba dijual kepada nelayan asing, kira-kira 88 batu nautika timur Tok Bali dekat sini, semalam.

Pengarah Operasi APMM D10, Komander Maritim Saiful Nizam Ibrahim, berkata kegiatan bot itu dikesan kapal KM Jujur yang diketuai Pegawai Pemerintah, Lt Maritim Azizan Ahmad bersama 25 anak kapal yang sedang meronda di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 12 tengah hari. Beliau berkata, seorang tekong dan sembilan awak-awak warga Vietnam yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah ditahan selepas pihaknya menemui minyak diesel itu disembunyikan di dalam petak ikan bagi mengaburi pihak penguatkuasa. "Bot itu ditunda ke pangkalan APMM Tok Bali untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, kes itu akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk pendakwaan bagi kesalahan pengedaran dan pemilikan barang-barang kawalan di bawah Seksyen (21) Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122).

Katanya, jika sabit kesalahan pemilik bot itu boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Wednesday, September 1, 2010

Melaka&Negeri Sembilan: Makan di tapak binaan

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my
2010/09/02
Lokasi ditutupi penghadang, terpencil yakinkan kegiatan mereka tidak dapat dikesan JAIM

MELAKA TENGAH: Segelintir kaki ponteng puasa terutama golongan remaja di bandaraya ini dikesan menjadikan tapak pembinaan di beberapa kawasan di Kota Laksamana, dekat sini, sebagai lokasi untuk ponteng puasa. Keadaan tapak pembinaan yang dikelilingi dan ditutupi penghadang, selain agak terpencil daripada pandangan orang ramai itu membuatkan golongan berkenaan berasakan perbuatan mereka tidak dapat dikesan terutama oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). JAIM sebelum ini memberi amaran, akan menjalankan gerakan mengesan orang Islam yang makan di khalayak ramai pada Ramadan ini. Operasi itu tidak hanya terhad kepada kepada kedai makan kecil dan warung, malah di semua tempat disyaki termasuk hotel di bandar raya ini.

Kebanyakan mereka yang terbabit dengan aktiviti ini dipercayai mengambil kesempatan membeli makanan di luar terutama di kedai bukan Islam, sebelum memasuki tapak pembinaan berkenaan kerana beranggapan kawasan itu tidak diserbu.

Tinjauan Berita Harian ke lokasi tapak pembinaan itu kira-kira jam 12 tengah hari, awal minggu ini, susulan aduan orang awam mendapati dakwaan berkenaan adalah benar dan berasas. Kebanyakan yang dilihat begitu seronok dan gembira kerana dapat makan tanpa diserbu pihak berkuasa.

Seorang penduduk, Nordin Aman, 49, ketika ditemui berkata, ia tidak harus berlaku dan golongan terbabit yang makan dan merokok sesuka hati menunjukkan mereka tidak menghormati masyarakat Islam kawasan sekeliling.
Katanya, sikap mereka jelas mencemar kesucian Ramadan dan sekali gus boleh menjejaskan imej agama Islam.

“Tindakan golongan ini jelas melanggar arahan JAIM. Sebab itu, pada saya tindakan segera perlu diambil terutama daripada segi penguatkuasaan undang-undang bagi mengelak tingkah laku mereka terus berulang,” katanya.

Rahim Jantan, 36, berkata golongan belia mesti menjaga maruah diri dan tidak menjatuhkan maruah Islam daripada pandangan penganut agama lain.

Justeru katanya, JAIM patut mengenakan hukuman berat ke atas orang yang makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan tanpa sebab yang diharuskan syarak.

“Apa yang penting dalam amalan Islam ialah keikhlasan dan kejujuran diri sendiri dengan kepercayaan bahawa Allah melihat setiap perbuatan hambanya. Saya menasihatkan belia Islam menjaga maruah diri dan agama pada Ramadan dengan tidak melakukan perkara mungkar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, pihak penguat kuasa akan lebih kerap mengadakan rondaan terutama ke lokasi baru bagi mengesan mereka yang tidak berpuasa.

“Kita akan mengenakan tindakan tegas terhadap umat Islam yang tidak berpuasa. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sebanyak RM1,000 atau enam bulan penjara bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua, boleh didenda RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi.

Rahimin berkata, pihak berkuasa itu juga tidak akan menerima sebarang alasan jika mendapati ada umat Islam makan atau minum di khalayak ramai pada bulan puasa ini kerana peringatan mengenainya sudah diberikan

Kegiatan edar mercun tumpas lagi, 357 kotak dirampas

01/09/2010 3:23pm



Oleh TAN MING WAI

PETALING JAYA 1 Sept. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur sekali lagi mematahkan kegiatan pengedaran mercun dengan merampas 357 kotak bahan larangan itu yang bernilai RM340,000.

Serbuan dilakukan kelmarin dan semalam di Hulu Klang dan di Ulu Tiram, Johor. – Utusan