Tuesday, September 7, 2010

Dedah status tanah Melayu di P. Pinang

PULAU PINANG 7 Sept 2010 - Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa kerajaan negeri mendedahkan semua senarai tanah dan harta yang dianugerahkan untuk kepentingan kaum bumiputera di negeri ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, gesaan itu dibuat kerana mereka tidak mahu lagi tanah dan harta orang Melayu yang diamanahkan terus 'lenyap' dan tidak diketahui statusnya.

Sehubungan itu, katanya, Pemenang akan menghantar permohonan tersebut kepada Unit Penyertaan Bumiputera Jabatan Perdana Menteri berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

''Kegagalan orang Melayu di Pulau Pinang adalah kerana pemimpin Melayu yang diberi amanah itu sendiri telah gagal sebab mereka ini mementingkan agenda sendiri daripada memperjuangkan nasib orang Melayu.

''Jadi, kami tidak akan bertolak ansur lagi dalam perkara macam ini, kita dah letih dan muak dengan masalah begini, kita sudah tidak boleh berdiam diri," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ekoran gesaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di negeri ini yang mahu kepentingan dan hak bumiputera terus dijaga dengan baik.

Pada sidang akhbar berkenaan, beberapa NGO Melayu turut memegang kain rentang yang tertera 'NGO Melayu menuntut dikembalikan tanah milik bumiputera kepada Melayu Pulau Pinang'.

Terdahulu, Pemenang dan Ikatan Kelab-Kelab Melayu Pulau Pinang (Ikatan) memfailkan kes di mahkamah bagi menuntut kembali tanah milik Yayasan Bumiputera Pulau Pinang (YBPP) di Seberang Perai Utara (SPU) daripada pihak terlibat.

Tambahnya, pendedahan itu perlu dilakukan supaya status tanah untuk orang Melayu diketahui sama ada dibangunkan untuk kepentingan kaum atau masih terbengkalai.

Pada masa sama, Mohd. Yussof yang juga Presiden Ikatan menggesa para pemimpin Melayu berubah sikap dan tidak lagi hanya mementingkan diri sendiri terutama dalam keadaan sekarang.

''Kalau mereka tidak sanggup hendak menolong orang Melayu sendiri, jangan pegang amanah yang diberikan kerana ia hanya menyebabkan orang Melayu lebih terguris hati," ujarnya

No comments:

Post a Comment