Tuesday, September 21, 2010

Syarikat diarah bayar balik wang pakej umrah

KOTA BHARU 21 Sept. 2010 - Sebuah syarikat yang menyediakan pakej umrah, Khalifah Travel and Tours Sdn. Bhd. diperintah membayar semula wang berjumlah RM52,279 kepada tiga individu selepas syarikat terbabit gagal membawa mereka menunaikan umrah pada 2 Jun lalu.

Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Pretam Singh memutuskan demikian selepas mendapati syarikat berkenaan melakukan penipuan terhadap wang yang telah dibayar oleh ketiga-tiga mangsa untuk menunaikan umrah melalui syarikat itu.

"Ini jelas satu penipuan apabila syarikat tidak sepatutnya menggunakan wang pelanggan untuk membayar bil tertunggak syarikat.

"Mereka bukan orang kaya dan terpaksa menggunakan wang simpanan seumur hidup untuk menunaikan umrah,'' katanya dalam keputusan yang dibacakan di TTPM di sini hari ini.

Dalam tuntutan pertama, Baharuldin Muhamad, 48, menuntut kos yang sudah dibayar bagi pakej umrah sebanyak RM18,250 berikutan kegagalan syarikat terbabit membawa dia bersama tiga lagi ahli keluarganya menunaikan umrah.

Menurut fakta kes, Baharuldin hanya diberitahu mengenai kegagalan syarikat itu mendapatkan visa pada sebelah petang 1 Jun lalu iaitu sehari sebelum dijadualkan berlepas ke Mekah.

Masalah itu menyebabkan dia turut mengalami kerugian RM820 selepas membeli tiket kapal terbang dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Dia kemudian menuntut supaya wangnya dikembalikan semula namun hanya menerima RM2,000 daripada syarikat berkenaan.

Tuntutan kedua dan ketiga berjumlah RM42,600 pula dikemukakan oleh pasangan guru, Ismail Ab. Rahman, 58, dan isteri, Asiah Ab Rashid, 50, atas alasan yang sama.

Pada prosiding hari ini, syarikat berkenaan diwakili oleh Pengarah Urusannya, Che Zaimah @ Rohani Che Mat.

Pretam dalam keputusannya, memberi tempoh 30 hari mulai hari ini kepada syarikat terbabit supaya memulangkan wang tuntutan mereka termasuk ganti rugi kos tiket kapal terbang dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur yang kesemuanya berjumlah RM52,279.

No comments:

Post a Comment