Thursday, September 2, 2010

APMM tahan bot nelayan sarat subsidi minyak diesel

2010/09/02
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang berpangkalan di Tok Bali di sini menahan sebuah bot nelayan tempatan yang sarat dengan muatan 30,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai cuba dijual kepada nelayan asing, kira-kira 88 batu nautika timur Tok Bali dekat sini, semalam.

Pengarah Operasi APMM D10, Komander Maritim Saiful Nizam Ibrahim, berkata kegiatan bot itu dikesan kapal KM Jujur yang diketuai Pegawai Pemerintah, Lt Maritim Azizan Ahmad bersama 25 anak kapal yang sedang meronda di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 12 tengah hari. Beliau berkata, seorang tekong dan sembilan awak-awak warga Vietnam yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah ditahan selepas pihaknya menemui minyak diesel itu disembunyikan di dalam petak ikan bagi mengaburi pihak penguatkuasa. "Bot itu ditunda ke pangkalan APMM Tok Bali untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, kes itu akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk pendakwaan bagi kesalahan pengedaran dan pemilikan barang-barang kawalan di bawah Seksyen (21) Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122).

Katanya, jika sabit kesalahan pemilik bot itu boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

No comments:

Post a Comment