Friday, September 3, 2010

Tujuh anggota sindiket palsu dokumen ditahan

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2010/09/03
Warga Indonesia jadi ejen tiket feri di Jeti Pulau Ketam

KUALA LUMPUR: Tujuh warga Indonesia ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket pemalsuan dokumen dan cop imigresen untuk membawa pendatang haram keluar masuk di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, semalam. Operasi itu susulan laporan muka depan akhbar ini minggu lalu mengenai ada anggota penguatkuasa jabatan itu dipercayai dibayar sehingga RM2,000 sehari untuk upah mereka memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada dokumen. Habuan yang diterima anggota penguatkuasa itu dibiayai sekurang-kurangnya empat sindiket yang dianggotai kira-kira 80 ejen warga Indonesia atau dipanggil ‘chalo’ yang dikatakan beroperasi di jeti itu, selain berpuluh-puluh ribu pendatang tanpa izin yang menggunakan khidmat chalo setiap hari.

Ketua Penguatkuasa Imigresen, Zamberi Abdul Aziz, berkata semua yang ditahan didapati masuk ke negara ini menggunakan pas sosial dan bekerja sebagai ejen penjualan tiket feri di jeti berkenaan.

“Semua terbabit ditahan untuk siasatan lanjut dalam operasi oleh Imigresen Selangor,” katanya ketika dihubungi semalam.

Chalo terbabit menawarkan khidmat dikenali sebagai ‘bawah pokok’ bagi urusan cop palsu imigresen untuk warga Indonesia yang tiada dokumen keluar masuk dan tinggal melebihi tempoh, tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing dengan bayaran antara RM50 hingga RM1,800.
Zamberi berkata, warga asing yang ditahan dalam operasi jam 11 pagi itu dibawa ke depoh tahanan imigresen sebelum dikenakan tindakan lanjut.

Beliau berkata, maklumat yang diperoleh daripada tujuh warga Indonesia itu akan digunakan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas kegiatan sindiket berkenaan.

No comments:

Post a Comment