Sunday, September 5, 2010

3 ditahan seludup kayu cengal RM30,000

KUANTAN 5 Sept 2010 - Sekumpulan penyeludup balak di negeri ini dikesan mengambil kesempatan menyeludup hasil hutan bernilai tinggi itu ketika seluruh umat Islam sedang sibuk bersolat tarawih.

Perbuatan mereka bagaimanapun terbongkar apabila diserbu Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan polis, kelmarin.

Dalam serbuan di kawasan Hutan Simpan Batu Talam, Raub, tiga lelaki ditahan kerana disyaki cuba memindahkan sejumlah kayu cengal dianggarkan bernilai lebih RM30,000.

Turut dirampas dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu adalah dua lori enam tan, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah jengkaut.

Serbuan itu membabitkan sembilan anggota penguat kuasa JPNP dan dua anggota dari Balai Polis Cheroh, Raub.

Pegawai Perhutanan Daerah Raub, Zulfakar Ali berkata, ketika serbuan, tiga suspek yang berusia 30 hingga 50 tahun cuba melarikan diri ke dalam hutan tetapi berjaya dihalang.

"Hasil pemeriksaan dalam lori tertutup menemui tiga batang kayu cengal seberat lima tan bernilai RM25,000 yang cuba dipindahkan tanpa permit dan dipercayai untuk dibawa ke Selangor.

"Kita juga mendapati anggota sindiket terbabit mengambil masa antara tiga dan lima jam untuk menebang tiga batang pokok tersebut. Aktiviti kumpulan itu dilakukan ketika umat Islam sedang menunaikan solat tarawih," katanya di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment