Wednesday, September 8, 2010

Tee keluar 10 surat sokongan

Oleh Noor Syahidatool Aqma Mohd Noor
bhnews@bharian.com.my
2010/09/09
Seorang lagi Ahli Majlis MPK turut disiasat

SHAH ALAM: Hasil laporan audit yang dijalankan Jabatan Audit Selangor menunjukkan bekas Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Boon Hock mengeluarkan 10 surat sokongan terhadap 20 syarikat bagi mendapatkan projek di bawah MPK pada 2008. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata hasil siasatan juga mendapati syarikat yang disokong Tee berjaya memperoleh sebanyak 16 kontrak bernilai hampir RM900,000 daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. Beliau berkata, selain itu satu kontrak bernilai RM19,924.20 turut diserahkan kepada syarikat Perkhidmatan AA, iaitu seorang daripada pengarah syarikat itu adalah anak Tee.

“Tee melanggar etika sebagai ahli majlis kerana tidak membuat deklarasi sebenar mengenai pembabitan syarikat milik anaknya dalam perebutan tender itu.

“Adalah amat jelas terdapat konflik kepentingan dan beliau (Tee) sepatutnya membuat deklarasi untuk mengelak perlanggaran etika tatacara memberi sokongan untuk dapatkan kontrak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam.

Kerajaan negeri memutuskan untuk memecat Tee sebagai Ahli Majlis MPK berkuat kuasa 6 Ogos lalu.
Berikutan itu, DAP memecat Tee yang didakwa mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1 juta untuk 20 syarikat menjalankan projek di bawah MPK sejak dilantik ahli majlis pada Julai 2008.

Tee, yang menjadi Ahli Majlis MPK bagi penggal kedua, dikaitkan dengan kes salah guna kepala surat milik pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor, Ronnie Liu untuk membantu kroni dan seorang ahli keluarganya mendapatkan kontrak bernilai RM1 juta daripada PBT itu.

Tee juga menjadi pembantu khas kepada Ronnie, bermula Mac 2008 hingga 18 November 2009.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar, semalam turut mengenal pasti seorang lagi Ahli Majlis MPK, Hamidah Mat Som yang didapati menyokong beberapa syarikat untuk mendapatkan 19 kontrak kerja bernilai RM400,000.

Menurut kenyataan itu, salah sebuah syarikat yang disokong Hamidah itu dimiliki oleh suaminya sendiri dengan memperoleh nilai kontrak RM104,412 daripada PBT berkenaan untuk tempoh tiga tahun bermula 2009

No comments:

Post a Comment