Wednesday, November 9, 2011

Wanita guna kad ATM rakan dipenjara

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Gara-gara menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik rakannya untuk mengeluarkan wang tanpa pengetahuan mangsa, seorang wanita hamil tujuh bulan terpaksa meringkuk di penjara selama tujuh bulan.
Nor Shafarilla Ahmad Tahir, 27, dihantar ke Penjara Kajang setelah gagal membayar denda berjumlah RM7,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh yang tidak bekerja itu mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Dia didakwa dengan niat curang menggunakan kad ATM Maybank kepunyaan Nurul Haireena Isnin untuk mengeluarkan wang empat kali masing-masing sebanyak RM300, RM500, RM40 dan RM250 yang kesemuanya berjumlah RM1,090.
Kesalahan itu dilakukannya antara pukul 2.37 petang, 20 Oktober 2010 dan pukul 12.35 tengah hari, 1 November lalu di empat buah ATM pelbagai bank yang terletak di Sentul, Jelatek, Jalan Kuching dan Jalan Genting-Klang di sini.
Bagi keempat-empat kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997.
Terdahulu, dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Nor Shafarilla memohon hukuman ringan memandangkan dia perlu menjaga seorang anaknya yang sedang bersekolah.
Ketika ditanya oleh Zaki Asyraf alasan wanita itu melakukan kesalahan tersebut, tertuduh hanya mendiamkan diri.

Thursday, November 3, 2011

6 pegawai Imigresen ditahan

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
penganrang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Polis menahan enam pegawai Jabatan Imigresen Negeri Sembilan kerana dipercayai membekalkan dadah jenis heroin kepada warga asing yang ditahan di Depot Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Semua mereka yang merupakan pegawai Gred KP17 berusia antara 22 hingga 31 tahun ditahan di dua lokasi di negeri itu petang semalam dan tengah malam tadi.
Menurut sumber, lima daripada pegawai jabatan itu diberkas di hadapan depot tahanan antara pukul 4.30 petang hingga 4.50 petang semalam.
Beliau berkata, seorang lagi pegawai diberkas di Jalan Persiaran S2/D7, Seremban 2 pada pukul 12 tengah malam tadi.
"Kesemua mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim ketika dihubungi hari ini mengesahkan penangkapan tersebut.
Sumber bagaimanapun enggan memaklumkan sejak bila kegiatan itu berlaku, namun berkata, tangkapan dibuat setelah pihaknya membuat intipan dan mengekori pergerakan semua pegawai terlibat.

Dadah 'alas kaki' RM3.9j dirampas

Oleh MAZLINDA MURTADZA
pengarang@utusan.com.my

LIAH Omar (dua dari kiri) bersama Pengarah Kastam KLIA, Datuk M. Govinden (tiga dari kiri) serta pegawai JKDM menunjukkan dadah jenis syabu yang disorokkan dalam lapisan karpet alas kaki yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Nilai, semalam.
________________________________________


SEREMBAN 2 Nov. - Seorang lelaki warga India yang cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM3.9 juta mungkin menyangka tidak akan ditahan pihak berkuasa selepas dia terlepas daripada pemeriksaan keselamatan sejurus tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Ahad lalu.
Namun, tanpa disedari, dia sebenarnya termasuk perangkap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mengesan suspek lain di negara ini.
Hasilnya, selain suspek berusia 37 tahun, JKDM menahan dua lagi suspek warga tempatan berusia 20 dan 55 tahun ketika urusan penyerahan dadah dilakukan di hadapan sebuah hotel murah di ibu negara, pukul 12 tengah malam semalam.
Timbalan Pengarah JKDM Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata, lelaki India itu tiba di ibu negara dari Bangalore, India melalui LCCT pada pukul 10.30 malam, Ahad lalu.
Ketika pemeriksaan bagasi, pihaknya mendapati lelaki itu membawa 15 alas kaki yang dimasukkan di dalam sebuah beg.
"Hasil pemeriksaan kita dapati alas kaki itu terlalu berat dan hasil imbasan menunjukkan ada serbuk mencurigakan di dalamnya.
"Kita mengambil keputusan melepaskan lelaki itu dan pada masa sama pasukan khas ditubuhkan untuk mengekori suspek," katanya pada sidang akhbar di Kampung Jijan, Nilai dekat sini hari ini.
Liah memberitahu, selepas keluar dari LCCT, lelaki tersebut terus ke sebuah hotel murah di ibu negara dan bertemu dua lelaki warga tempatan.
"Beberapa pegawai JKDM lalu menahan kesemua suspek. Kita percaya kesemua suspek sedang melakukan urusan penyerahan dadah di hadapan hotel berkenaan sebelum serbuan dilakukan," jelasnya.
Menurut Liah, selain menemui 15.6 kilogram syabu, pihaknya turut menemui tujuh gram dadah dipercayai syabu bersama wang tunai RM10,000 dalam dua kereta milik lelaki warga tempatan itu.
"Berdasarkan dokumen perjalanan kita mendapati lelaki warga India itu berulang-alik ke negara ini sebanyak tiga kali dalam sebulan sejak Mei lalu.
"Dengan tertangkapnya kesemua lelaki itu, kita percaya JKDM dapat melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara ini," katanya.
Liah berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan direman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Awas jerat sindiket penipuan 'polis'

LEE Chee Mun menunjukkan nombor telefon polis yang digunakan sindiket menyamar polis pada sidang media yang turut dihadiri Kua Song Tuck (tengah) di Johor Bahru, semalam.
________________________________________


JOHOR BAHRU 2 Nov. - Sindiket penipuan licik yang menyamar sebagai pegawai polis Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menakutkan mangsa, kebanyakannya ahli perniagaan dikesan berleluasa di bandar raya ini sejak awal tahun lalu.
Modus operandi sindiket terancang itu adalah menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis Bukit Aman kononnya mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.
Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck mendedahkan, mangsa dimaklumkan kononnya nama mereka tersenarai dan dikehendaki pihak polis di Hong Kong berhubung kes pengubahan wang haram di negara tersebut.
"Pemanggil itu kemudian meminta mangsa membayar wang RM5,000 sebagai jaminan mahkamah selain membersihkan nama mereka di negara terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Song Tuck yang juga Ketua Biro Pengaduan Awam MCA berkata, bagi meyakinkan mangsa, seorang lagi 'pegawai polis' akan menghubungi mangsa bagi menyelesaikan urusan pembayaran wang jaminan berkenaan.
Menurutnya, mangsa yang bimbang namanya disenaraihitam sehingga menjejaskan perniagaannya akan terperangkap dengan helah sindiket itu.
"Kita percaya ramai yang menjadi mangsa namun malu untuk tampil. Bagaimanapun, lima pengadu yang berjumpa dengan saya tidak menyerahkan wang kepada sindiket itu kerana menyedari taktik penipuan tersebut.
"Kita percaya sindiket berkenaan menggunakan peralatan canggih dari luar negara kerana mereka mampu meniru nombor telefon termasuk dari Bukit Aman," katanya.
Sementara itu, salah seorang ahli perniagaan, Lee Chee Mun, 50, berkata, dia nyaris terpedaya dengan sindiket itu apabila dihubungi oleh seorang yang mendakwa sebagai 'Inspektor Ismail' kononnya dia terlibat dalam kes penipuan wang di Hong Kong.
Katanya, kurang sejam kemudian, seorang lagi pegawai yang mendakwa dari Bukit Aman yang dikenali sebagai 'Tuan Soh' menghubunginya dan meminta dia memasukkan wang sebanyak RM5,000 ke dalam satu akuan bank untuk bayaran jaminan mahkamah.
Chee Mun yang curiga dengan kedua-dua panggilan tersebut kemudian membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi di sini, semalam.

Wednesday, October 26, 2011

Bekas kerani dicari bantu siasatan kehilangan RM1 juta

PULAU PINANG 26 Okt. - Polis memburu seorang kerani wanita yang dipercayai bertanggungjawab melarikan wang RM1 juta milik syarikat tempatnya bekerja dengan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun pihak ketiga setelah memalsukan tandatangan majikannya.
Suspek berusia 38 tahun disyaki melakukan jenayah itu antara 2006 dan 2009.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik, berdasarkan siasatan polis, suspek telah mengeluarkan 49 cek syarikat kepada tiga akaun yang dimilikinya selain suami dan rakannya.
"Ia terbongkar kerana suspek tiba-tiba meletakkan jawatan. Majikannya membuat laporan polis pada Oktober 2009," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Roslee berkata, hasil siasatan mendapati suspek telah bekerja selama 16 tahun di syarikat itu dan sehingga kini dipercayai masih berada di negara ini.
"Suspek diamanahkan untuk menguruskan semua urusan yang berkaitan kewangan oleh majikannya, tetapi dia pula mengkhianati syarikat itu," katanya.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, Roslee berkata, polis mahu menghubungi Ooi Chew Gue (gambar), 38, yang beralamat di 33-09-12 Lorong Semarak Api 3, Desa Sri Swarna Bandar Baru, 11500 Air Itam bagi membantu dalam siasatan berkenaan.
Tambahnya, sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Chew Gue diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Azrim Abu Bakar pada nombor telefon 04-5824222.

Monday, October 24, 2011

Bank ditipu RM37 juta

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 24 Okt. - Sebuah bank tempatan mengalami kerugian teruk sepanjang 26 tahun tempoh perniagaannya selepas ditipu sebanyak RM37 juta melalui satu komplot pinjaman sebuah syarikat, dua tahun lalu.
Menurut sumber polis, setelah pinjaman diluluskan sepenuhnya secara sekali gus pada 2009, syarikat itu tiba-tiba lesap tanpa membuat sebarang pembayaran balik.
Kata sumber itu, pihak bank yang menjalankan siasatan dalaman gagal mengesan syarikat berkenaan dan akhirnya membuat laporan polis setelah diminta berbuat demikian.
"Siasatan awal polis mendapati, pinjaman dilakukan oleh pihak yang telah berkomplot dan melakukan penipuan secara licik sehingga bank tidak mempunyai masalah untuk meluluskan pinjaman kerana selain dokumen yang meyakinkan, pinjaman turut mendapat jaminan sebuah bank lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sumber itu bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada terdapat penglibatan 'orang dalam' dalam kes penipuan ini kerana siasatan pihak polis masih di peringkat awal.
Beliau juga enggan mendedahkan identiti syarikat yang membuat pinjaman itu kerana tidak mahu mengganggu siasatan selain tidak menjejaskan proses pertuduhan di mahkamah kelak.
Ini kes kedua melibatkan institusi kewangan menjadi mangsa penipuan pinjaman berjumlah tinggi.
Utusan Malaysia pada 17 Februari lalu mendedahkan, sebuah bank di ibu negara kerugian RM19 juta setelah menyerahkan wang pinjaman kepada dua syarikat yang mendakwa mendapat projek penyelenggaraan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurut sumber itu lagi, berikutan penipuan terbesar itu, polis sedang menyiasat secara terperinci termasuk meneliti semua dokumen berkaitan bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.
"Berikutan penipuan itu juga, bank berkenaan telah mencatatkan kerugian teruk dan terpaksa melakukan perubahan ke atas pengurusannya," kata sumber itu.
Bank berkenaan kemudiannya telah mencatat keuntungan semula.

Dadah bernilai RM550,000 dirampas

Oleh ANI AWANG utusanperak@utusan.com.my

NOOR Rashid Ibrahim (dua, kanan) menunjukkan sebahagian dadah jenis heroin yang dirampas pada sidang akhbar di Ipoh, Perak semalam. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
________________________________________


IPOH 24 Okt. – Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di negeri ini setelah menahan lapan lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM550,000 dalam empat serbuan termasuk di dua buah makmal memproses bahan itu di sini, Sabtu lalu.
Dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Perak itu, polis merampas lapan kilogram heroin, 1.219 kilogram syabu, 30 liter cecair syabu, 108 gram ketamin dan 21 gram pil psikotropik.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis turut merampas pelbagai barangan bernilai RM371,000 termasuk tiga buah kereta, sebuah lori, tiga motosikal, wang tunai RM32,131, barang kemas dan sembilan telefon bimbit pelbagai jenama.
Menurut beliau, kejayaan itu bermula hasil serbuan pertama di sebuah rumah di Jelapang Tambahan, di sini pada 22 Oktober lalu pukul 5 petang.
“Polis menahan seorang lelaki di dalam rumah itu dan hasil pemeriksaan menjumpai empat peket plastik berisi ketulan kristal berwarna putih disyaki syabu seberat 207 gram.
“Kita juga merampas bahan-bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah seperti iodin, asid hidroklorik, aceton, red fosforus, dimethyl sulphoxido dan caustic soda serta peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, dadah berkenaan diseludup masuk ke negara ini sebelum diproses di sekitar daerah Kinta, Batu Gajah dan Kampar sejak enam bulan lalu.
Noor Rashid berkata, susulan serbuan pertama, polis menahan empat lelaki masing-masing seorang di Taman Silibin Mewah dan tiga lagi di kawasan kebun pisang berhampiran Taman Suria, Tanjung Rambutan di sini.
Hasil pemeriksaan, polis menemui dua tong aluminium mengandungi cecair aceton, 24 tong plastik cecair aceton, empat periuk berisi syabu cecair, empat setengah plastik bertulis caustic soda dan peralatan dapur memproses dadah.
Tambahnya, polis kemudian membuat serbuan di Kondominium Taman Meru Impiana, di sini dan berjaya menahan tiga lagi suspek dengan salah seorang daripadanya patah tangan kiri selain cedera di pinggang dan kaki setelah cuba melarikan diri dengan terjun dari bangunan itu.
“Hasil pemeriksaan polis menemui serbuk disyaki heroin seberat lapan kilogram, syabu (1.012 kilogram), ketamin (108 gram) dan pil psikotropik seberat 21 gram,” ujarnya.
Menurutnya, semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lalu di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Kata beliau, kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 29 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Bekas Pengarah Muzium ATM dipenjara, denda

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 24 Okt. - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan bekas Pengarah Muzium Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Zainal Mohd. Ali, 57, menjalani hukuman penjara dua tahun dan denda berjumlah RM350,000 atau penjara 33 bulan atas 14 kesalahan rasuah, 11 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhir bekas pegawai kanan tentera itu dan rayuan balas pendakwa raya.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner dalam keputusan ringkasnya menyatakan, mahkamah tiada sebab untuk mengganggu keputusan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 April tahun lalu.
Panel itu turut menolak rayuan bapa kepada lima orang anak itu agar dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah. Dia yang berkaki palsu dan bertongkat kelihatan ditenteramkan oleh isteri dan anak lelakinya sejurus keputusan diumumkan.
Zainal yang berkhidmat selama 30 tahun dalam ATM pernah menyertai pelbagai operasi menentang komunis dan kini kudung kaki kanannya selepas terkena jerangkap samar ketika berkhidmat di Kem Gubir, Kedah di sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 1979.
Pada asalnya, dia dihukum penjara empat tahun serentak atas kesemua 14 tuduhan tanpa dikenakan denda. Bagaimanapun, rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang kemudian mengurangkan hukuman penjara kepada dua tahun dan dikenakan denda RM350,000.
Zainal disabitkan atas lapan tuduhan salah guna kuasa dengan menggunakan kedudukannya sebagai pengarah Muzium iaitu meminta suapan daripada kontraktor, Mohamed Annuar Abdul berhubung pesanan kerajaan berjumlah RM154,600.
Kesalahan itu dilakukan di antara November dan Disember 2000 di Pejabat Muzium ATM, Jalan Padang Tembak di ibu negara.
Dia turut disabitkan atas satu tuduhan rasuah membuat tuntutan palsu berhubung pesanan kerajaan bernilai RM19,500 di Pejabat Bahagian Perkhidmatan Anggota, Kementerian Pertahanan.
Zainal juga disabitkan atas lima tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM33,000 melalui cek daripada Mohamed Annuar di Maybank cawangan-cawangan berasingan.
Sebelum itu, peguam Mejar (B) Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang mewakili Zainal berhujah agar mahkamah mempertimbangkan rayuan anak guamnya supaya tidak didenda kerana wang suapan itu bukan untuk kegunaan sendiri.
Peguam bela turut memohon mahkamah mengambil kira rekod perkhidmatan selama 30 tahun serta pernah menyumbang jasa mempertahankan negara sehingga kudung kaki kanannya.
Hujah beliau, ekoran keputusan mahkamah, Zainal tiada punca pendapatan selepas diberhentikan kerja selain hilang nikmat persaraan seperti wang pencen dan faedah lain yang sepatutnya diperoleh sepanjang perkhidmatan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Asnawi Abu Hanipah berhujah agar rayuan berkaitan denda ditolak kerana hukuman yang diputuskan itu selaras dengan undang-undang.

Wanita Thailand ditahan seludup masuk ganja

SAIDI Ismail (dua, kiri) menunjukkan ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dirampas dari seorang wanita Thailand yang cuba menyeludupnya dengan menaiki bas ekspres di Alor Setar, Kedah, semalam.
________________________________________


ALOR SETAR 24 Okt. - Seorang wanita warga Thailand dipercayai keldai dadah yang cuba menyeludup masuk ganja dengan menaiki sebuah bas ekspres dicekup oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhampiran Plaza Tol Jitra dekat sini pada Khamis lalu.
Suspek berusia 28 tahun yang merupakan suri rumah itu ditahan pada pukul 9.10 malam oleh sepasukan pegawai JKDM yang diketuai oleh Donian Othman, hasil maklumat awam.
Ganja tersebut ditemui disorok dalam sebuah beg pakaian dalam ruang bagasi bas yang dalam perjalanan dari Changlun menuju ke Johor Bharu.
Timbalan Pengarah JKDM negeri, Saidi Ismail memberitahu, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 20 ketul mampat daun kering ganja seberat 18.6 kilogram yang dianggarkan bernilai RM44,700.
Katanya, dadah itu dipercayai untuk pasaran di ibu negara kerana destinasi wanita terbabit adalah Kuala Lumpur.
"Pihak kami menahan bas ekspres itu dan meminta kesemua 12 penumpangnya turun. Setelah suspek membuka begnya yang berkunci, kami menemui ketulan mampat ganja dan tiga helai baju," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, wanita yang mempunyai dua anak itu dipercayai menaiki teksi dari Changlun ke Bukit Kayu Hitam setelah membuat pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sebelum menaiki bas untuk ke ibu negara.
Menurut Saidi, suspek dipercayai sering keluar masuk membawa dadah itu melalui negara ini, disebabkan kebiasaan itu, suspek tidak cuba melarikan diri ketika diperiksa.
Tambahnya, suspek kini direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

5 kontena beras wangi dirampas

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
utusansabah@utusan.com.my

HAMZAH Sundang (tengah) menyatakan sesuatu kepada pegawainya semasa melihat beras wangi yang dirampas di Pelabuhan Sabah dekat Sepangar, Kota Kinabalu, semalam. – UTUSAN/GHAZALI BASRI
________________________________________


SEPANGAR 24 Okt. – Cubaan menyeludup masuk lima kontena berisi beras wangi dari Vietnam berjaya digagalkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah pada Selasa lalu.
Timbalan Pengarah JKDM negeri, Hamzah Sundang berkata, beras bernilai kira-kira RM300,000 itu dibawa masuk menerusi Singapura sebelum dirampas di Pelabuhan Sabah dekat sini.
Beliau berkata, serbuan dibuat berdasarkan maklumat daripada orang ramai.
“Beras seberat 130 tan metrik yang melibatkan 5,200 karung beras wangi itu dipercayai untuk pasaran di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, rampasan itu dibuat kerana segala urusan mengimport beras memerlukan lesen import yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan hanya Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diberi kelulusan mengimport beras.
“Selain tidak memiliki daftar cukai terhadap beras yang dirampas itu, tiada pihak yang mengaku barang tersebut milik mereka dan hanya terdapat surat penghantaran oleh ejen perkapalan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, ia merupakan rampasan beras pertama di Sabah pada tahun ini dan nilai rampasan agak besar kerana harga beras wangi adalah mahal.

Sunday, October 9, 2011

Skim tipu jual mesin

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


Suspek kes penipuan mesin layan diri dibawa masuk ke dalam kereta polis sambil disaksikan oleh sekumpulan mangsa di hadapan sebuah hotel di Petaling Jaya, kelmarin.

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Satu skim penipuan perniagaan mesin layan diri (vending machine) yang melibatkan kerugian ratusan juta ringgit berjaya ditumpaskan menerusi penangkapan seorang lelaki di Petaling Jaya dekat sini semalam.

Kegiatan penipuan itu dibongkar hasil maklumat yang diperoleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas kira-kira setahun mengumpul bukti dan maklumat daripada kira-kira 1,600 individu yang menjadi mangsa skim berkenaan.

Dalam serbuan semalam, PPIM dengan kerjasama polis memberkas lelaki yang dipercayai salah seorang dalang utama skim penipuan itu ketika memberi ceramah di sebuah hotel.

Pegawai Kerja PPIM, Mustafa Hamzah berkata, dalam serbuan itu juga 30 mangsa penipuan skim tersebut meminta supaya suspek memulangkan semula wang mereka sehingga berlaku pergaduhan kecil.

“Suspek akhirnya mengaku bahawa beliau bertanggungjawab serta sedang berusaha untuk memulangkan wang yang dituntut mangsa,” dakwanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, PPIM kemudiannya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang menghantar anggota untuk menahan suspek bagi siasatan lanjut.

Katanya, mangsa dikatakan ditipu supaya membeli beberapa jenis mesin layan diri Matkiosk (mesin serbaguna), Waterdrop (air) dan ‘kiddie ride’ (alat permainan kanak-kanak).

Menurutnya, modus operandi skim itu adalah dengan menjanjikan keuntungan setiap bulan kepada pelabur yang membeli mesin itu, namun tidak pernah dibayar.

Setiap mesin layan diri itu katanya, dijual dengan harga serendah RM18,000 dengan ada di kalangan pelabur yang membeli beberapa mesin berbeza membabitkan nilai sehingga RM100,000.

Berikutan penangkapan suspek itu juga, Mustafa menyeru orang ramai yang menjadi mangsa kepada penipuan skim perniagaan mesin layan diri itu tampil memberi maklumat kepada pertubuhan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan seorang lelaki ditahan dalam kejadian itu kerana dipercayai terlibat dalam skim penipuan perniagaan.

Friday, September 23, 2011

Dua pengarah syarikat dipenjara 12, 6 tahun

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Dua bekas pengarah sebuah syarikat elektronik masing-masing dihukum penjara 12 tahun dan enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM26 juta, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Jagjit Singh memutuskan demikian terhadap Gordon Toh Chun Toh, 59, dan Datuk Abul Hassan Mohammad Rashid, 68, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Beliau menetapkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Chun Toh manakala Abul Hassan dihukum penjara enam tahun. Chun Toh turut didenda RM1 juta atau penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh dibenarkan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan alternatif, kedua-dua tertuduh sebagai Pengarah Multi-code Electronics Industries (Malaysia) Bhd. ketika kejadian didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang RM26,045,473.94 milik syarikat tersebut.
Wang terbabit didakwa berkait dalam satu penipuan berhubung pembelian 11.1 juta unit saham Multi-code Electronics dengan menyebabkan pengeluaran deposit tetap syarikat tersebut berjumlah RM17,646,168.74 dengan RM17,552,275.20 telah dipindahkan ke akaun Kenanga Investment Bank Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 23 dan 28 Mac 2007 di Suite 11.2B, Aras 11, Menara Pelangi, No. 2, Jalan Kuning, Taman Pelangi, Johor Bharu.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Jagjit dalam keputusannya berkata, pihak pembelaan telah gagal membuktikan wujudnya keraguan selain mendapati keterangan empat saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh adalah berbentuk penafian dan rekaan semata-mata.
Menurut beliau, elemen pecah amanah berjaya dibuktikan menerusi keterangan tiga saksi pendakwaan yang menyatakan transaksi wang berkenaan berlaku tanpa diketahui oleh semua ahli lembaga pengarah syarikat.
Jagjit menambah, Chun Toh yang merupakan warga Singapura adalah dalang utama kegiatan terbabit dan kedua-dua tertuduh didapati masih memegang jawatan sebagai pengarah Multi-code Electronics ketika kejadian berlaku.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), Shanti Geoffrey, manakala Chun Toh diwakili peguam bela Joshua Kevin dan Abul Hassan diwakili oleh Ng Aik Guan.

Guru, kontraktor ditahan palsukan surat MB Perak

IPOH 22 Sept. - Polis menumpaskan kegiatan pemalsuan surat sokongan menggunakan cop pejabat Menteri Besar Perak dengan penahanan seorang guru penolong kanan dan seorang kontraktor di sini dan Pulau Pinang, pada 13 September lalu.
Penipuan tersebut membabitkan permohonan balak dan penjualan lot kuota Bumiputera dalam projek perumahan membabitkan kerugian RM40,000 di negeri ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kedua-dua lelaki berusia 45 dan 47 tahun itu ditahan setelah polis menerima dua laporan penipuan berkenaan pada 2 dan 11 Ogos lalu.
Katanya, polis turut merampas tiga cop berkaitan urusan rasmi Pejabat Menteri Besar Perak dan beberapa dokumen permohonan projek perusahaan di negeri ini.
Katanya lagi, siasatan polis mendapati cop yang dirampas itu tulen dan dipercayai dicuri daripada pejabat Menteri Besar Perak.
"Ini kes yang pertama berlaku di negeri ini dan kita masih menyiasat kemungkinan kumpulan itu mengenakan bayaran tertentu untuk mendapatkan surat sokongan.
"Kita menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan dua suspek terbabit dengan kes penipuan di negeri lain," katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak (IPK) di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, siasatan juga mendapati kedua-duanya tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau dan mereka ditahan reman untuk siasatan.
Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan denda.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihat supaya tidak mempercayai tawaran untuk mendapatkan lot tanah sebaliknya memeriksa dulu kesahihan dan ketulenan dokumen yang dikemukakan.

Thursday, September 22, 2011

Hospital sengaja caj lebih didedah

Oleh muhamad Amirul Afiq mastor
pengarang@utusan.com.my

Bukti caj berlebihan apabila hanya empat alatan yang digunakan manakala yang lain adalah bagi menambah stok hospital.
________________________________________


KUALA LUMPUR 21 Sept. – Sebuah hospital swasta di ibu kota didakwa ‘menipu’ ramai pesakitnya sejak lima tahun lalu apabila mengenakan caj rawatan berlebihan termasuk yang tidak masuk akal untuk menambah stok ubat dan peralatan berkaitan di hospital berkenaan.
Perkara itu didedahkan oleh seorang bekas doktor di hospital berkenaan yang kecewa tindakan pengurusan hospital tersebut mengambil cara mudah untuk membuat keuntungan dengan menekan pesakit.
“Malah petugas hospital juga diarahkan agar mengenakan caj tambahan terhadap beberapa kelengkapan hospital yang kehabisan stok ke dalam akaun pesakit walaupun ia tidak digunakan pesakit terlibat.
“Alatan seperti kapas, kain pembalut, jarum suntikan, tiub getah, sarung tangan dan sebagainya dimasukkan ke dalam bil menyebabkan pesakit seolah-olah ‘membantu’ menanggung kos hospital yang tidak sepatutnya,” katanya yang enggan identitinya didedahkan di sini hari ini.
Doktor tersebut yang telah mengenal pasti penipuan itu turut mengumpul bahan bukti dari 2007 bagi menguatkan dakwaannya itu.
Menurutnya, bayaran tambahan lebih RM200 dikenakan terhadap pesakit terutama di bahagian kecemasan serta kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan insurans bagi membayar bil perubatan mereka.
Katanya, lazimnya pesakit yang menggunakan insurans tidak mengambil tahu caj yang dikenakan hospital dan menyerahkan kepada pihak insurans menjelaskan bil mereka.
“Keadaan itu menyebabkan pihak hospital mengambil kesempatan mengaut keuntungan bagi menanggung kos peralatan yang sepatutnya ditanggung oleh pihak hospital sendiri,” katanya.
Menurutnya, mereka yang menjadi mangsa ialah pesakit sendiri apabila caj yang dikenakan berlebihan dan tahap maksimum pembiayaan insurans pesakit akan berkurangan.
Keadaan itu juga katanya, akan menyebabkan pesakit terpaksa membayar sendiri caj perubatan sekiranya mendapatkan rawatan pada masa depan kerana insurans mereka telah mencapai tahap maksimum.
“Itu baru di bahagian kecemasan yang hanya mengambil masa paling lama dua jam, belum lagi jika mereka terpaksa dimasukan ke wad beberapa hari,” katanya.
Menurut doktor berkenaan, beliau mengetahui ‘penipuan’ tersebut apabila seorang pesakit di bawah kendaliannya yang menghidap gastrik terpaksa membayar caj berlebihan terhadap perkhidmatan yang tidak diperoleh seperti dua kotak kapas, pembalut luka, jarum suntikan, cadar dan sarung bantal yang tidak digunakan oleh pesakit di bahagian kecemasan.
“Saya pernah berkhidmat di beberapa hospital lain seperti di Sunway, Tawakal, Ampang Puteri dan beberapa hospital lain namun kes seperti ini tidak pernah berlaku,” katanya.

Sindiket jurunikah ‘touch n go’ dikesan

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my
2011/09/22
IPOH: Satu sindiket juru nikah palsu dikesan bergiat aktif di beberapa negeri termasuk Perak dengan menawarkan khidmat menikahkan pasangan Islam terutama yang berdepan masalah atau kesukaran berkahwin dengan mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000 setiap pasangan.

Sindiket itu turut diberi jolokan sindiket nikah ‘touch n go’ kerana kelicikan dalangnya, lelaki dikenali panggilan ‘Tok Ayah’ berusia lewat 40-an atau awal 50-an yang menyediakan khidmat itu secara bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Modus operandi sindiket itu ialah Tok Ayah membawa konco-konconya bertemu pasangan yang mahu mendapatkan khidmat mereka di tempat ditetapkan, termasuk di tepi jalan sebelum menikahkan ‘pelanggannya’.
Berdasarkan risikan, Tok Ayah dikatakan berpangkalan di Kedah tetapi bergerak antara negeri itu sehingga Wilayah Persekutuan bagi menawarkan khidmatnya sekali gus menarik minat pasangan tertentu yang memilihnya sebagai jalan pintas untuk bernikah.

Ia disebabkan pasangan terbabit tidak mahu bersusah payah mematuhi prosedur ditetapkan pihak berkuasa agama negeri atau apabila berdepan masalah untuk berkahwin sehingga sebelum ini pasangan seperti itu sering pergi bernikah di negara jiran.

Lelaki itu juga didakwa membekalkan sijil nikah palsu dan di Perak, kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) mengesan dan merampas beberapa sijil nikah palsu yang ditiru berdasarkan format sijil nikah baru versi jawi digunakan di Perak berkuat kuasa di negeri terbabit tahun lalu.

Pengarah JAIP, Mohd Yusop Husin, berkata siasatan mendapati Perak menjadi tempat persinggahan Tok Ayah melakukan kegiatan itu antara Kedah dan Wilayah Persekutuan dan di negeri ini, suspek dikatakan menggunakan seorang ejen bagi memudahkan urusan mendapatkan pasangan untuk dinikahkan.
Bagaimanapun, katanya, lelaki itu sukar diberkas kerana begitu licik menjalankan kegiatannya termasuk secara bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain menemui ‘pelanggannya’.

“Antara kes terbaru yang kita kesan dikatakan berlaku di Margosa (Bandar Seri Botani, dekat Simpang Pulai).

“Berdasarkan maklumat, lelaki ini menikahkan sendiri pasangan selain turut membawa bersamanya saksi sebelum memberikan sijil nikah palsu tertera nama pendaftar bertauliah. Bayaran dikenakan bagi proses itu antara RM2,000 hingga RM5,000 yang perlu dijelaskan sebaik proses selesai.

“Sijil asli mempunyai lapan ciri keselamatan namun pemeriksaan sijil nikah palsu yang kita peroleh mendapati ada perbezaan dari segi saiz, warna dan kualiti kertasnya. Dari segi warna umpamanya, warna kuning pada logo Perak lebih pudar berbanding yang asli,” katanya kepada Berita Harian.

Tuesday, September 20, 2011

Kereta mewah, parabola seludup RM830,000 dirampas

KOTA KINABALU 20 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini merampas lima kereta mewah dan 48 set parabola bernilai RM830,000 yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini tanpa permit sah.
Kejayaan itu hasil serbuan yang dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Naluyan, Tenom dekat sini pada pukul 11 pagi, Jumaat lalu.
Timbalan Pengarah JKDM negeri, Hamzah Sundang berkata, pihaknya membuat serbuan itu berdasarkan risikan dan maklumat yang diterima berhubung kegiatan penyeludupan di rumah berkenaan.
"Dalam serbuan itu, pihak kami menemui lima unit kereta mewah iaitu tiga buah Toyota Crown Royal Saloon serta masing-masing sebuah Toyota Crown Athlete dan Toyota Crown Royal Touring bersama 48 set parabola yang kesemuanya bernilai RM830,000 termasuk cukai," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua kereta mewah yang dirampas dipercayai diseludup dari negara jiran dan nombor pendaftarannya telah diubah suai bagi meyakinkan pembeli selain mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Dalam serbuan itu, kami menahan seorang suspek mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, katanya.
Hamzah dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai yang ingin membeli kereta mewah dengan harga murah agar membuat semakan dan pemeriksaan kenderaan terlebih dahulu di Jabatan Pengangkutan Jalan atau Puspakom Sabah.
Langkah ini, katanya, perlu bagi mengelak terbeli kenderaan seludup kerana nombor pendaftarannya diubah suai seakan-akan baru.
Beliau turut meminta kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan kepada JKDM dengan menghubungi mana-mana pejabat berdekatan atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855.

Warga emas dipenjara, denda terima suapan urus poligami

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Seorang warga emas dipenjara sehari dan denda RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan menerima suapan yang kononnya untuk membantu menguruskan perkahwinan poligami pada Februari lalu.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Osman Nandood, 64, yang mengaku menerima rasuah wang tunai sebanyak RM2,300 daripada Mohamad Adib Ab. Rahman.
Tindakan itu sebagai upah untuk membantu menguruskan perkahwinan poligami antara Mohamad Adib dan pasangannya Nor Fariha Rosli tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah Seksyen 23 Akta Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).
Tertuduh yang berkerja sendiri didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis beralamat No. 39, Jalan 2A/6, Taman Setapak Indah, Sentul di sini pada pukul 2.37 petang, 13 Februari lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.
Osman yang berbaju Melayu biru dan berkopiah putih yang kelihatan sugul di kandang tertuduh ketika mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara selama setahun sekiranya gagal membayar denda.
Di mahkamah sama, seorang Pembantu Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Zulkifli Dawam, 50, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu Mohd. Adib dan Nor Fariha.
Mohd. Zulkifli didakwa telah memperdayakan pasangan tersebut untuk mempercayai bahawa tertuduh merupakan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk sedangkan dia tidak mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan seperti yang diperuntukkan mengikut undang-undang.

Tujuh lelaki ditahan seludup diesel bersubsidi

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Tujuh lelaki termasuk tiga pemandu lori sebuah syarikat minyak tempatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan 70,000 liter minyak diesel bersubsidi untuk dijual kepada industri tempatan dan asing.
Penahanan mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu turut melibatkan dua pemandu syarikat minyak swasta, seorang pemilik tangki minyak haram dan seorang pekerjanya.
Kesemua suspek ditahan berasingan di sekitar Sandakan, Sabah dalam operasi khas Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 9 pagi ini.
Menurut sumber, tiga buah tangki syarikat minyak tempatan, dua buah tangki syarikat minyak swasta serta sebuah tangki minyak haram disita dalam operasi tersebut.
"Sebanyak 70,000 liter minyak diesel bersubsidi yang cuba dipindahkan dianggarkan bernilai RM130,000.
"Ketika diserbu, berlaku aktiviti pemindahan minyak dari sebuah lori minyak tempatan ke sebuah lori individu manakala sebuah lagi lori syarikat minyak yang sama kepada sebuah tangki minyak haram," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut sumber itu, SPRM menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada kesemua individu terbabit ada kaitan dengan sindiket penyeludupan minyak bersubsidi ke negara jiran.
Difahamkan, kegiatan penyeludupan kumpulan itu dihidu sejak awal tahun ini, sebelum satu operasi dilancarkan bagi menumpaskan kegiatan mereka.

Dadah syabu disorok dalam pelembap bibir

SEPANG 20 Sept. - Pelbagai taktik digunakan oleh sindiket dadah untuk membawa masuk barang larangan itu ke negara ini, namun kecekapan pihak berkuasa membolehkan kegiatan ini dibanteras.
Terbaharu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan menyeludup 1.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM375,000 yang disembunyikan dalam penutup pelembap bibir, Khamis lalu.
Pengarahnya, Datuk M. Govinden berkata, tangkapan itu berhasil selepas membuat pemantauan terhadap para penumpang yang tiba dari Doha, Qatar di KLIA.
Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menahan seorang pelajar lelaki kolej swasta warga Afrika selepas curiga dengan barangan keperluan wanita yang dibawanya termasuk pelembap bibir.
"Imbasan bagasi dan beg sandang yang dibawanya tidak menunjukkan imej mencurigakan.
"Bagaimanapun, kita curiga dengan barangan wanita yang dibawanya, lalu pemeriksaan rapi dibuat. Hasilnya, kita menemui bungkusan mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu yang dibungkus dalam kertas karbon sebelum disorok dalam pelembap bibir," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, suspek yang berusia awal 30-an itu memasukkan pelembap bibir jenama Romantic Bird yang telah diisi dengan syabu ke dalam 12 kotak dan setiap kotak dianggarkan mengandungi 24 batang pelembap bibir.
Sementara itu, dalam satu lagi kejayaan, beliau memaklumkan, pihaknya merampas sebuah kereta elektrik jenis Tazzari buatan Itali di Zon Perdagangan Bebas KLIA kerana menuntut pengecualian cukai dengan menggunakan surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tengah hari semalam.
Katanya, kereta itu diikrarkan sebagai Electric Car TK 8703.90 310 yang menarik duti import 30 peratus, 10 peratus duti eksais dan 10 peratus cukai jualan dengan menggunakan surat kelulusan disyaki palsu bagi mengelakkan cukai berjumlah RM52,056.20 dan lesen import.

Polis tahan dua lelaki disyaki curi kabel RM1j

2011/09/21
KLANG: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit mencuri kabel bernilai hampir RM1 juta dalam serbuan di sebuah stor barang lusuh di Jalan Sungai Jati, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek yang berumur 20-an dan 40-an itu ditahan ketika sedang meleraikan kabel curi di premis berkenaan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Klang, Deputi Superintendan Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata serbuan pada jam 10.30 pagi itu hasil maklumat yang diperoleh daripada pasukan Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Klang.
"Kita menjalankan intipan selama seminggu dan mendapati premis terbabit menyimpan pelbagai jenis kabel curi antaranya milik Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Pihak TM dan TNB juga sudah mengesahkan kabel curi berkenaan milik mereka ketika dipanggil untuk membuat pengesahan di lokasi serbuan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, kabel berkenaan dipercayai dicuri di sekitar Klang dan polis turut menyita tiga lori dan bangunan premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tiada rekod lampau dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Barang Lusuh 1947,” katanya.

Kontraktor Sarawak rugi RM20 juta akibat kontrak kerja palsu

2011/09/20
KUCHING: Seorang kontraktor Sarawak ditipu RM20 juta oleh satu sindiket yang memalsukan kepala surat sebuah kementerian persekutuan dari Kuala Lumpur untuk kontrak papan iklan di luar negeri ini yang sebenarnya tidak wujud, kata Ketua Polis Negeri, Datuk Mortadza Nazarene.

"Kontrak kerja itu yang dikatakan diberikan pada April 2010 disiapkan oleh mangsa pada November tahun yang sama dan sebaik siap, beliau menuntut RM20 juta itu tetapi tidak dilayan, dan ini mendorong mangsa memeriksa perkara itu dengan pihak kementerian berkenaan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Sarawak, Supt Mohd Firdaus Abdullah, di sini, hari ini.
Mortadza berkata, mangsa terkejut apabila mendapati kementerian tidak tahu menahu mengenai kontrak itu tetapi kepala surat kementerian itu dipalsukan, mendorongnya membuat laporan polis bulan ini.

Kereta curi RM1.4j diisytihar perabot

Oleh Norrasyidah Arshad
bhnews@bharian.com.my
2011/09/20

ZAINUL (kanan) memeriksa sebahagian kereta Toyota bernilai RM1.4 juta yang dirampas kastam di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, semalam.
Kastam tumpas aktiviti seludup ke Thailand

PELABUHAN KLANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor merampas 17 kereta bernilai RM1.4 juta dipercayai dicuri yang disimpan dalam enam kontena di Pelabuhan Utara, 14 September lalu dan menahan seorang lelaki dua hari kemudian kerana mengisytihar kereta berkenaan sebagai perabot.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Zainul Abidin Taib, berkata seorang lelaki berumur 47 tahun yang bekerja sebagai ejen pengikrar itu ditahan kerana membuat ikrar palsu.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu cuba menyeludup kereta berkenaan ke Pelabuhan Laem Chabang, Thailand, menggunakan alamat pejabat di Damansara yang sebenarnya kosong.

“Serbuan seterusnya di alamat kedua yang didaftarkan mengikut nama syarikat sama di Rawang mendapati premis ini kosong. Kami sebaliknya menemui dua kontena kosong berukuran 40 kaki dipercayai akan digunakan untuk memuatkan kenderaan curi.

“Kami masih menyiasat sama ada sindiket ini ada kaitan dengan sindiket Black Water berikutan modus operandi didapati sama. Kami sedang bekerjasama dengan polis untuk mengesahkan status sebenar kereta yang dirampas ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kenderaan yang dirampas ialah 13 Toyota Hilux, Toyota Camry (tiga) dan sebuah Toyota Fortuner.
Zainul berkata, siasatan ke atas latar belakang lelaki yang ditahan itu mendapati dia tidak ada rekod jenayah.

Katanya, lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 (Semakan 1980) iaitu membuat ikrar tidak benar ke atas dagangan dan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau tidak lebih lima tahun penjara atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pada 30 Jun lalu, polis menumpaskan satu sindiket mencuri 98 kereta mewah bernilai RM8 juta di sebuah gudang di Kampung Black Water, Jalan Klang-Banting.

Thursday, August 4, 2011

Awas 'Datuk palsu' cuba tarik pelaburan haram

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Seorang lelaki dikesan menggunakan gelaran Datuk palsu untuk memperdaya orang ramai supaya melabur dalam syarikatnya yang menjalankan perniagaan pesisir pantai, beroperasi di Wilayah Persekutuan Labuan dan Lembah Klang.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu mendakwa gelaran Datuk Kehormat diperoleh dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta diberi lesen untuk memperdagangkan mata wang asing sebanyak AS$30 bilion (RM89 bilion) untuk dibawa masuk ke dalam negara.
Menurut sumber, dianggarkan sejumlah RM900,000 dana dipercayai berjaya dikumpul daripada orang ramai sejak syarikat itu mula aktif Mac lalu.
Bekas pegawai polis itu dikatakan cuba meraih kepercayaan orang ramai dengan pengalaman kerjayanya yang lalu selain mempamerkan cek bernilai jutaan ringgit sebagai modal perniagaannya itu.
"Modus operandi penipuan yang dilakukannya adalah dengan menunjukkan surat-surat rasmi beberapa agensi termasuk PDRM, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia kepada orang ramai bagi meyakinkan yang pelaburan mereka selamat dan terjamin.
"Bagaimanapun, jika diteliti surat-surat yang dikemukakan hanya surat permohonan lesen untuk memperdagangkan mata wang asing ke dalam negara," kata sumber itu.
Tambahnya lagi, lelaki itu menawarkan dividen dan pulangan lumayan hasil pelaburan tersebut yang kononnya bakal dinikmati tahun depan.
"Individu tersebut turut mempamerkan senarai pengarah dan pemegang saham daripada tujuh syarikat bagi meyakinkan orang ramai.
"Bagaimanapun, undang-undang jelas menunjukkan tiada pemberian lesen memperdagangkan mata wang asing diberi kepada syarikat sendirian berhad.
"Lesen tersebut hanya diberi kepada bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan," katanya.
Turut difahamkan, ahli perniagaan tersebut memiliki rekod lampau selepas ditahan Jabatan Imigresen kerana menjalankan agensi pembantu rumah asing menggunakan nama syarikat sama pada 1994.

Tuesday, July 26, 2011

RM63j rugi angkara jenayah siber

Oleh LEE HOOI BOON
pengarang@utusan.com.my
PULAU PINANG 25 Julai – Sebanyak 6,167 kes penipuan dalam Internet melibatkan nilai kerugian RM63 juta dilaporkan di negara ini sepanjang tahun lalu.
Ia meningkat empat kali ganda dalam tempoh empat tahun berbanding pada 2007 yang hanya mencatatkan 1,139 kes dengan nilai RM11.4 juta.
Bagi 2008, sebanyak 1,821 kes dengan kerugian RM12.9 juta dilaporkan, manakala 2009 adalah 3,863 kes bernilai RM22.3 juta.
Ketua Unit Jenayah Internet, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Deputi Supritendan Mahfuz Ab. Majid berkata, tiga jenayah siber yang kerap dilakukan adalah perbankan Internet, VoIP (Voice Over Internet Protocol) dan e-Perdagangan.
“Jenayah-jenayah itu melibatkan penipuan dalam cubaan memperoleh maklumat peribadi seperti nama pengguna, nombor akaun, nombor pengenalan peribadi (PIN), kata laluan serta butiran kad kredit dengan menyamar sebagai entiti boleh dipercayai menerusi komunikasi elektronik.
“Oleh itu, kini boleh dilihat sindiket tidak perlu lagi menipu orang ramai secara berdepan, sekadar dalam talian saja sudah memadai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja semasa Seminar Industri Antarabangsa bertemakan Teknologi Dalam Jenayah dan Pencegahan Kerugian di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mahfuz memberitahu, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak menyedari bahawa mereka telah dijadikan mangsa dalam jenayah siber seperti pencurian identiti, virus dan penghantaran e-mel.
“Pada masa yang sama, saya juga mendapati ramai dalam kalangan mereka juga ditipu semasa membeli secara talian terus.
“Pembelian secara talian terus sangat berisiko dan tidak dijamin kerana individu yang berminat perlu membayar terlebih dahulu sebelum mendapat produk mereka dan kebanyakan mereka tidak menerima produk berkenaan,” katanya lagi.
Pada perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, trend rakyat Malaysia yang suka berjudi secara talian terus juga melibatkan kerugian serta penipuan.
Sehubungan itu, katanya, polis kini berdepan cabaran yang besar untuk menyiasat jenayah siber kerana undang-undang sedia ada tidak selari dengan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang berkembang dengan pesat.
“Justeru, undang-undang sedia ada perlu dikaji semula dan agensi-agensi berkaitan juga perlu bekerjasama bagi menangani jenayah siber di negara ini,” katanya.
Pengerusi Eksekutif Internet Fraud Watchdog Ltd. (IFW), Ken Gamble berkata, Malaysia mencatatkan sebagai 13 negara paling aktif dalam jenayah siber di seluruh dunia.
Katanya, negara-negara lain yang turut mencatat angka tertinggi dalam jenayah itu adalah United Kingdom, Ukraine, Indonesia, Yugoslavia, Lithuania, Romania, Turki, Russia, Pakistan, Israel, Nigeria dan China.
“Ia menunjukkan jenayah siber melibatkan rangkaian penjenayah antarabangsa. Jenayah siber di seluruh dunia pada tahun ini dijangka mencecah tujuh trilion kes membabitkan penipuan perbankan, kandungan porno, gangguan, kecurian identiti, pengedaran dadah dan keganasan,” katanya.

Sunday, July 24, 2011

'Datuk Kadir' masuk jerat

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my


Azham Othman (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan salah satu pakaian seragam polis dan peralatan lain yang dirampas di IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa, semalam.
________________________________________

KOTA BHARU 24 Julai - Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan kerana menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Asisten Supritendan dan turut menipu beberapa mangsa membabitkan kerugian lebih RM125,000.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, lelaki yang berasal dari Sarawak serta memperkenalkan dirinya sebagai 'Datuk Kadir', ditahan kira-kira pukul 3 petang, Khamis lalu.
Beliau berkata, berikutan penahanan suspek, polis turut menemui beberapa peralatan penyamaran serta beberapa keping gambarnya yang lengkap berpakaian seragam polis di rumahnya di Tanjung Chat di sini.
"Hasil daripada maklumat awam yang diterima, suspek telah ditahan ketika sedang memandu kereta Toyota Alphard di Jalan Long Yunus di sini dan menemui sebuah jaket keselamatan tertera logo polis di dalam kereta itu serta wang tunai bernilai RM2,619.
"Siasatan lanjut di rumah suspek turut menemui beberapa peralatan penyamaran polis seperti pakaian seragam, lencana, pangkat, gari, tali pinggang dan sarung pistol," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelas beliau, gambar yang menunjukkan suspek berpakaian seragam polis itu dipercayai digunakan untuk menipu mangsanya agar mempercayai dia adalah pegawai anggota pasukan berkenaan.
Katanya, suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dalam kes yang sama termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor, malah dia baharu dibebaskan daripada penjara beberapa bulan lalu.
"Kes di Kelantan, membabitkan penipuan terhadap seorang peniaga emas di Kubang Kerian membabitkan urusniaga berjumlah RM125,000 manakala suspek juga pernah berjanji untuk menguruskan proses lelongan peralatan elektrik di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) bernilai RM20,000.
"Suspek juga pernah menyamar sebagai polis dan kononnya akan membebaskan seorang individu yang ditahan berkaitan kes dadah," tegasnya.
Tambahnya, suspek direman sehingga hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis serta menggunakannya tanpa kebenaran.
Selain itu katanya, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 420 akta sama kerana menipu.

Wednesday, July 20, 2011

Beberapa IPTS dikompaun hampir RM1 juta

PUTRAJAYA 20 Julai - Beberapa institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dikenakan kompaun berjumlah RM900,000 oleh Kementerian Pengajian Tinggi kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta IPTS 1996 (Akta 555) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, kesalahan yang dilakukan oleh IPTS terbabit antaranya mengeluarkan iklan yang mengelirukan bakal penuntut, mengendalikan kursus tanpa kelulusan serta memindahkan premis tanpa sebarang notis.
Tindakan tegas itu katanya, dilakukan bagi memastikan setiap IPTS sama ada berstatus universiti atau kolej mematuhi peruntukan di bawah Akta 555.
"Kementerian memandang serius kesalahan yang dilakukan dan mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa IPTS terbabit di mahkamah.
"Ibu bapa dan bakal penuntut juga dinasihatkan supaya melawat dan menilai sendiri sesebuah IPTS sebelum menerima sesuatu tawaran selain meneliti terma dan syarat yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Kesedaran Mengenai Pemilihan IPTS di sini hari ini.
Menurut Kok Chung, kementerian juga mengeluarkan arahan meminta IPTS mengemas kini semua bentuk iklan sehingga April lalu.
"Jika mereka gagal mematuhi Seksyen 72 hingga 75 dan 83 Akta 555 berhubung perkara Pengiklanan serta Garis Panduan Pengiklanan, kementerian boleh mengambil tindakan perundangan di bawah Seksyen 72(2), 73(4) dan 83 (mengikut mana yang bersesuaian).
"Kementerian juga tidak teragak-agak untuk menghebahkan nama IPTS terlibat di laman web jika disabitkan kesalahan," katanya.
Dalam pada itu, Kok Chung berkata, bagi memastikan bakal penuntut dan ibu bapa tidak tertipu dengan tawaran yang mengelirukan, kementerian akan mengeluarkan iklan mengenai pemilihan IPTS bermula bulan ini hingga September ini di akhbar-akhbar terpilih.
"Kementerian memperuntukkan hampir RM200,000 bagi tujuan tersebut sebagai langkah kesedaran kepada orang ramai mengenai pemilihan IPTS.
"Pelaksanaan program kesedaran ini mempunyai matlamat yang besar khususnya dalam usaha meningkatkan kualiti sektor pengajian tinggi swasta serta membantu bakal penuntut dan ibu bapa membuat pemilihan yang bijak," katanya.

Bimbang rasuah golongan muda

BUTTERWORTH 20 Julai — Jumlah golongan muda yang terbabit dalam amalan rasuah semakin membimbangkan berikutan 61 peratus kes tangkapan di Pulau Pinang pada enam bulan pertama tahun ini melibatkan golongan itu.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Pulau Pinang, Datuk Latifah Md. Yatim berkata, peratusan tangkapan yang melibatkan golongan itu sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 71 peratus.
“Sebanyak 27 daripada 44 tangkapan di negeri ini antara Januari hingga Jun tahun ini melibatkan golongan muda iaitu mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun,” katanya kepada pemberita selepas Forum Perdana Ehwal Islam di sini hari ini.
Forum anjuran SPRM Pulau Pinang itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff.
Latifah berkata, bagi tahun 2007, tangkapan yang dibuat oleh SPRM Pulau Pinang yang melibatkan golongan muda adalah sebanyak 62 peratus, 2008 (74 peratus) dan 54 peratus pada 2009.
“Tangkapan di peringkat nasional ke arah itu juga. Daripada 501 tangkapan antara Januari hingga Jun tahun ini, 277 tangkapan melibatkan golongan muda,” katanya.
Beliau berkata, golongan muda terutamanya pelajar terbabit dengan rasuah berikutan mahu mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Latifah berkata, golongan pelajar bertindak sebagai pemberi rasuah apabila ditahan polis kerana tidak memakai topi keledar atau tidak ada cukai jalan.
Selain itu, katanya, keinginan untuk hidup mewah juga menjadi punca golongan muda terbabit dengan amalan rasuah.
“Mereka ingin hidup mewah tetapi pendapatan tidak cukup...ini mendorong mereka terbabit dengan rasuah,” katanya. – BERNAMA

Thursday, July 14, 2011

Abang 'Datuk Kabi' dipanggil bela diri

KUALA LUMPUR 13 Julai - Abang kepada lelaki yang menggelarkan dirinya 'Datuk Kabi', C. Yoganandha Moorthy diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan membabitkan cek bernilai RM26,000 lapan tahun lalu.
Hakim Che Mohamad Zulkifli Jusoh memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aishah KM Abu Bakar berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh.
Yoganandha Moorthy, 38, didakwa menipu Atan Wan Ismail, 58, dan Siow Thiam Huat, 50, dengan memperdayakan kedua-dua mangsa bahawa dia telah menjelaskan bayaran penuh ke atas akuan sewa beli kereta menggunakan cek bernilai RM26,000.
Perbuatan itu telah mendorong kedua-dua mangsa menyerahkan sebuah kereta Proton Waja dan dua keping cek bernilai RM24,084.45 dan RM3,000 sebagai bayaran perbezaan baki harga kereta yang masih terhutang.

Kegiatan seludup balak di Sarikei tumpas

KUCHING 13 Julai - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 5 merampas 200 batang kayu balak bernilai RM108,000 selepas menahan sebuah kapal kargo di kawasan Sungai Batang Rejang, Sarikei lewat petang semalam.
Dalam rampasan dipercayai terbesar setakat ini di negeri itu, PGM turut merampas kapal berkenaan yang bernilai RM350,000, manakala kapten serta lima anak kapal berusia 20-an ditahan untuk siasatan.
Komander PGM Wilayah 5, Asisten Komisioner Mohd. Saleh Mat Jani berkata, tindakan tersebut dilakukan kerana mereka didapati membawa muatan kayu balak tanpa pengesahan pihak berkuasa.
"Kayu-kayu balak itu tidak mempunyai tanda pengesahan pada pangkal dan hujung, sementara kapten kapal juga gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan muatan yang dibawanya.
"Kesemua hasil rampasan dirujuk kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk tindakan selanjutnya mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 1958," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Saleh, rampasan tersebut merupakan kali kelima seumpamanya sepanjang tahun ini.
"Bagi kes-kes terdahulu, tiga daripadanya berlaku di Sarikei, manakala satu kes di Bintulu melibatkan jumlah rampasan sekitar RM1 juta.
"Operasi kali ini terbesar dengan jumlah rampasan keseluruhan RM458,000 dan ia merupakan hasil intipan selama seminggu oleh lima anggota PGM yang diketuai Sarjan Mejar Mumi Iboh," katanya.

Lapan juta keretek gagal diseludup

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2011/07/14
KDRM tahan lori bawa rokok tiada cap cukai di kawasan import BSI

JOHOR BAHRU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menggagalkan cubaan menyeludup keretek bernilai RM360,960 membabitkan cukai lebih RM1 juta selepas menahan sebuah lori ketika pemeriksaan di kawasan import Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, Jumaat lalu.
Pengarah KDRM Johor, Datuk Ramli Johari, berkata pihaknya turut menahan pemandu lori berkenaan berusia 38 tahun bagi membantu siasatan dalam pemeriksaan kira-kira jam 2 petang itu.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai KDRM Johor dan Terengganu yang menjalankan operasi bersama menahan lori terbabit selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan menemui lebih tiga juta batang keretek berjenama 'LA Lights' dalam kenderaan terbabit. Rokok itu tidak mempunyai dakwat keselamatan dan cap cukai bagi membuktikan barang berkenaan lulus kastam serta tidak mempunyai tanda 'Amaran Oleh Kerajaan Malaysia'.

"Rokok adalah barang larangan import dan memerlukan permit daripada KDRM mengikut peraturan 18, Peraturan-peraturan Kastam 1977," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, semua rokok itu dirampas manakala pemandunya direman sehingga 20 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana terbabit mengangkut barang belum lulus kastam.
Dalam kes berasingan, KDRM Johor menahan seorang pemandu lori dan kelindannya berusia 30 dan 20 tahun selepas disyaki cuba menyeludup dua juta batang rokok putih jenama Canyon dalam pemeriksaan di depan sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Lingkaran Dalam di sini, pada hari sama.

Ramli berkata, dalam pemeriksaan kira-kira jam 2.30 petang itu, sepasukan anggota dan pegawai KDRM bertindak menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik lori terbabit berhenti, pemandu dan kelindannya bertindak melarikan diri, tetapi mereka berjaya dicekup hasil kecekapan anggota dan pegawai KDRM.

"Hasil pemeriksaan dalam lori terbabit, dua juta batang rokok putih bernilai RM100,000 membabitkan cukai hampir RM1 juta. Selepas diteliti, rokok terbabit juga tidak mempunyai dakwat keselamatan dan cap cukai,” katanya. Kedua-dua suspek kini direman sehingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Wednesday, July 13, 2011

13 ditahan main judi komputer di Ampang

2011/07/13
KUALA LUMPUR: Seramai 13 orang ditahan ketika leka berjudi manakala 54 mesin judi dan 41 mesin slot dirampas dalam serbuan di sebuah pusat membeli-belah di Ampang malam tadi.

Ketua operasi DSP Mohamed Mokhsen Mohamed Zain dari Urus setia NKRA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, berkata serbuan dilakukan kira-kira 9.30 malam ke atas tiga premis di kompleks itu.
Ketika ditahan kesemua mereka yang berusia antara 19 dan 50 tahun sedang asyik bermain judi komputer. Dua penjaga premis juga ditahan, katanya kepada pemberita, di lokasi serbuan.
Katanya siasatan awal mendapati kesemua premis yang beroperasi 24 jam itu berselindung di sebalik perkhidmatan internet dan pusat hiburan keluarga.

"Premis itu juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup bagi mengawal aliran keluar masuk pelanggan," katanya.

Kesemua yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1952. – BERNAMA

Bapa, ibu ‘ketua’ pencuri anak beranak

2011/07/13
TELUK INTAN: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Itulah yang berlaku kepada sepasang suami isteri yang sering membawa dua anak mereka berusia tiga dan empat tahun untuk mencuri pelbagai barangan di pusat beli-belah dan kedai sekitar negeri ini, sebelum ditahan selepas mencuri dua telefon bimbit seorang kerani di Taman Ros di sini, Selasa lalu.
Pasangan terbabit yang begitu licik menjalankan kegiatan mereka berjaya meloloskan diri daripada buruan polis kerana sering berpindah randah.
Modus operandi suspek adalah pergi ke premis perniagaan yang tiada pelanggan sebelum si bapa atau ibu berpura-pura bertanya harga sesuatu barangan dan kemudian bertengkar dengan peniaga berkenaan.

Pada masa sama seorang daripada mereka mengajak dua anak kecil masing-masing seorang lelaki dan perempuan mencuri barangan di kedai itu sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata pasangan itu yang masing-masing berusia 29 tahun turut diburu polis Sungai Siput, Tapah dan Sitiawan kerana pelbagai kesalahan termasuk kes curi motosikal.

Beliau berkata, pasangan itu diberkas ketika menunggang motosikal curi di Jalan Sungai Manik di sini, ketika melarikan diri selepas mencuri dua telefon bimbit milik seorang kerani syarikat insurans di Taman Ros.
Katanya, hasil soal siasat, pasangan itu mengaku terbabit dalam beberapa kes mencuri di beberapa pusat beli-belah dan kedai di sekitar Teluk Intan.

“Polis kemudian merampas pelbagai barangan curi termasuk telefon bimbit, komputer riba, jam tangan dan kamera yang disembunyikan di dua rumah iaitu di Taman Fajar dan Jalan Perak di Taman Malaysia.

"Siasatan mendapati pasangan itu bersama dua anak mereka terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes curi di sekitar Teluk Intan sejak dua bulan lalu.

"Siasatan juga mendapati motosikal dinaiki pasangan itu turut dilaporkan dicuri di Sitiawan. Lelaki terbabit mempunyai beberapa kes jenayah lampau dan masih menjadi buruan polis Tapah, Sungai Siput dan Sitiawan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Tempat sampah seludup manusia

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com. my
2011/07/13
57 pendatang ditahan cuba guna laluan tikus

KOTA TINGGI: Sindiket penyeludupan manusia dikesan menjadikan kawasan pembuangan sampah berhampiran pesisir pantai Johor sebagai laluan baru menyeludup masuk atau keluar pendatang tanpa izin dari negara ini.
Taktik terbaru itu terbongkar selepas sepasukan anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua menahan 57 warga Indonesia dalam serbuan ke satu kawasan pembuangan sampah Kampung Masjid dekat Teluk Ramunia, di sini kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.
Komandernya, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan, berkata seramai 44 lelaki dan 13 wanita berusia 19 hingga 50 tahun ditahan hasil maklumat awam serta risikan dan dipercayai cuba menyeludup keluar dari negara ini menggunakan laluan tikus.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah, selain mengaku cuba pulang ke negara asal melalui jalan laut secara haram.

“Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan, tiada tekong atau anggota sindiket penyeludupan manusia yang bertanggungjawab membawa mereka keluar dari negara ini di kawasan berkenaan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pendatang itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Zainul Abidin berkata, pihaknya sudah menahan seramai 755 pendatang tanpa izin yang cuba menyeludup keluar secara haram dengan 62 kes membabitkan Akta Imigresen sejak awal tahun hingga kelmarin.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung cubaan pendatang asing tanpa izin untuk keluar dari negara ini secara haram supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkenaan kepada PGM Wilayah Dua ditalian 07-2372222 atau 07-2376122

Termakan pujukan jurujual, 32 pelajar universiti merana tanggung hutang

MEMPELAJARI bahasa Inggeris memang digalakkan tetapi ada juga kursus atau program mempelajari bahasa itu yang hanya ingin mengaut keuntungan.
Bagi 32 pelajar sebuah universiti di utara, mereka berasa teraniaya apabila terpaksa menanggung hutang RM2,389 seorang selepas membeli barangan set program pembelajaran bahasa Inggeris selepas termakan pujukan jurujual.
Walaupun tidak berkemampuan, mereka sanggup menggunakan wang pinjaman pendidikan, meminjam wang kawan dan mengeluarkan wang simpanan semata-mata untuk membeli set program itu daripada sebuah syarikat pembelajaran bahasa terkemuka.
Jurujual pada mulanya memberitahu bayaran boleh dilakukan secara ansuran selama 19 bulan tanpa sebarang caj faedah tetapi rupa-rupanya mereka turut dikenakan caj faedah lewat bayar.
Setelah beberapa bulan berlalu, produk yang dibeli tidak pun digunakan, manakala empunya badan pula terpaksa menanggung beban apabila ansuran bulanan sebanyak RM110 gagal dilunaskan.
Mereka mendakwa tertipu dengan syarat yang dikenakan oleh syarikat itu membabitkan caj faedah lewat bayar selain gangguan tuntutan hutang daripada ejennya.
Berikutan itu, kesemua pelajar terbabit yang berasal dari seluruh negara tampil membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Alor Setar, Kedah untuk membatalkan kontrak pembelian produk tersebut.
Seorang penuntut terbabit, Che Khairunnisa Che Mohamad, 23, memberitahu, dia bersetuju membeli peralatan tersebut dengan membayar deposit RM299 manakala bakinya, RM2,090 dibayar secara ansuran RM110 sebulan dalam tempoh 19 bulan.
''Alangkah terkejut apabila terima penyata pada bulan berikutnya bahawa saya harus selesaikan RM2,104 atau faedah akan dikenakan atau nama saya disenaraihitamkan,'' katanya yang berasal dari Kelantan pada prosiding tuntutannya di TTPM baru-baru ini.
Seorang lagi penuntut, Nuryanti Syafila Che Att, 22, pula memberitahu, dia membeli produk tersebut pada 23 Julai tahun lepas dan hanya sempat membayar beberapa bulan kerana tidak mampu.
''Namun apa yang saya geram adalah caj faedah lewat bayar dan panggilan telefon berbaur ugutan daripada ejen syarikat,'' katanya yang menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membelinya.
Pada prosiding tuntutan mereka baru-baru ini, syarikat terbabit, Linguaphone Distributors Sdn. Bhd., yang hadir sebagai penentang diwakili oleh Pengurus Kawalan Kreditnya, Ariffin Long Chik.
Setelah mendengar keterangan kedua-dua pihak, Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak menolak tuntutan mereka untuk membatalkan kontrak kerana urusan jual beli itu dilaksanakan secara sah dengan persetujuan penuntut terbabit berdasarkan kontrak yang ditampilkan sebagai bukti.
''Jika semua anda menggunakan hak anda sebagai pengguna hari itu dan menolak pujuk rayu jurujual terbabit, perkara ini tidak akan berlaku.
''Tidak ada undang-undang yang mampu melindungi pengguna jika mereka membeli sesuatu barang tersebut semata-mata anda bersimpati dengan jurujual yang telah merayu-rayu sehingga menangis,'' katanya.
Selain itu, syarikat terbabit pula diarah memberi kelonggaran dengan memanjangkan tempoh ansuran baki tunggakan selama 24 bulan bermula bulan Julai untuk setiap penuntut terbabit.
''Dalam tempoh ini syarikat tidak boleh menggenakan sebarang caj faedah jika lewat bayar atau bertindak menganggu penuntut dengan panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
''Selepas tempoh tersebut jika penuntut masih gagal membayar baki ansuran mereka, syarikat boleh mengenakan caj faedah lapan peratus setahun ke atas jumlah tunggakan tersebut,'' katanya.

99 kena tipu gelaran Datuk

2011/07/13
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti 99 individu menjadi mangsa penipuan sebuah persatuan kerabat diraja di negeri ini sehingga mereka dipercayai sanggup membayar antara RM20,000 hingga RM150,000 untuk mendapatkan gelaran Datuk.

Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, berkata pengurniaan gelaran Datuk kepada 99 individu itu tidak sah di sisi undang-undang dan tidak boleh diguna pakai.
“Kami ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya sehingga sanggup mengeluarkan wang untuk mendapat gelaran Datuk seperti berlaku kepada 99 individu yang terpedaya dengan persatuan ini.
“Difahamkan, mereka membayar RM20,000, RM50,000 dan RM150,000 untuk mendapat gelaran Datuk,” katanya, semalam.

Pada 11 Februari lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pertubuhan itu kerana menjalankan kegiatan bercanggah dengan Undang-Undang Kelantan.

Abdul Razak berkata, persatuan berkenaan mengadakan majlis istiadat pengurniaan sebanyak dua kali membabitkan 99 penerima pada 15 Disember 2009 dan Januari lalu.

99 kena tipu gelaran Datuk

2011/07/13
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti 99 individu menjadi mangsa penipuan sebuah persatuan kerabat diraja di negeri ini sehingga mereka dipercayai sanggup membayar antara RM20,000 hingga RM150,000 untuk mendapatkan gelaran Datuk.

Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, berkata pengurniaan gelaran Datuk kepada 99 individu itu tidak sah di sisi undang-undang dan tidak boleh diguna pakai.
“Kami ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya sehingga sanggup mengeluarkan wang untuk mendapat gelaran Datuk seperti berlaku kepada 99 individu yang terpedaya dengan persatuan ini.
“Difahamkan, mereka membayar RM20,000, RM50,000 dan RM150,000 untuk mendapat gelaran Datuk,” katanya, semalam.

Pada 11 Februari lalu, Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pertubuhan itu kerana menjalankan kegiatan bercanggah dengan Undang-Undang Kelantan.

Abdul Razak berkata, persatuan berkenaan mengadakan majlis istiadat pengurniaan sebanyak dua kali membabitkan 99 penerima pada 15 Disember 2009 dan Januari lalu.

MAIP perlu pantau amil palsu kutip fitrah

MAIP perlu pantau amil palsu kutip fitrah

2011/07/13
KUANTAN: Warga bandar ini mahu Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP) mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak tertentu terutama individu yang menyamar sebagai amil bagi mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan ini.

Mereka berpendapat tindakan tegas itu dapat menyekat kegiatan tidak bertanggungjawab, sekali gus memastikan hasil kutipan zakat fitrah itu disalur terus kepada golongan memerlukan seperti fakir miskin.
Kakitangan swasta, Hamid Isa, berkata kehadiran mereka harus dikekang kerana ia boleh menggugat kesejahteraan masyarakat Islam.
"Tindakan tegas yang dilaksanakan MAIP perlu kerana kita tidak mahu mereka mengaut keuntungan ketika masyarakat menunaikan kewajipan berzakat itu pada Ramadan ini," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Salmiah Musa, pula meminta MAIP meningkatkan penguatkuasaan, sekali gus dapat menghalang pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai amil untuk menipu orang ramai.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata individu yang tahan kerana menyamar sebagai amil akan dikenakan hukuman mengikut Seksyen 173 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, No. 8 Tahun 1982.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada majlis cabutan bertuah `Ops Berkat' dan penyerahan zakat di bangunan MAIP, di sini, semalam.

Tuesday, July 12, 2011

Kastam rampas pelbagai barangan diseludup bernilai RM2.8 juta

2011/07/12
KUALA LUMPUR: Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas pelbagai barangan yang diseludup bernilai RM2.8 juta yang membabitkan cukai sebanyak RM7.3 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Saadon Mohd Dros berkata, nilai rampasan keseluruhan barangan diseludup untuk 2010 pula ialah RM25.2 juta yang melibatkan jumlah cukai RM68.9 juta.
"Antara barangan yang dirampas ialah minuman keras, rokok, tayar dan telefon bimbit," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pasar Borong Selayang selepas melancarkan Kempen Mencegah Pengedaran Rokok Tidak Sah, di sini hari ini.
Katanya, sempena kempen itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian Penguatkuasaan, Wilayah Persekutuan mengadakan operasi bersama agensi penguatkuasaan yang lain di sekitar Pasar Borong Selayang semalam.

Katanya, di dalam operasi tersebut sebanyak 16 premis diperiksa di sekitar kawasan itu dan hasil daripadanya lima orang ditahan kerana disyaki menyimpan rokok yang diseludup.

"Nilai keseluruhan yang dirampas ialah RM2,550.28 dan membabitkan cukai sebanyak RM11,781.88," katanya.

Beliau berkata, ia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang-barang itu atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Rokok yang dirampas adalah pelbagai jenis rokok kretek seperti Nusantara, Gudang Garam Surya, Sampoerna dan pelbagai rokok putih seperti John, Canyon, Luffman dan June.

"Pemeriksaan menunjukkan bahawa pada kotak rokok tersebut tiada sebarang setem cukai mahupun dakwat keselamatan," katanya. - BERNAMA

Pembantu rumah pura-pura mati, agensi diarah bayar ganti rugi

KISAH pembantu rumah yang melarikan diri ataupun mencuri sudah biasa kita dengar, namun berlainan pula dengan seorang pembantu rumah warga Kemboja yang berpura-pura mati untuk mengelak daripada membuat kerja rumah.
Tidak tahan dengan gelagat pembantu rumah tersebut, majikannya bertindak membuat laporan polis dan meminta agensi pekerjaannya itu mendapatkan pengganti pembantu rumah yang baharu.
Bagaimanapun permintaan Chong Siang Kai, lewat 30-an, mengadu masalah itu ke agensi terbabit tidak dilayan, sebaliknya pembantu rumah itu dihantar semula ke negara asal tanpa sebarang ganti rugi diberikan kepada majikannya.
Tidak berpuas hati dengan sikap lepas tangan itu, Siang Kai memfailkan tuntutan terhadap Agensi Pekerjaan Century Maid Sdn. Bhd. di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Putrajaya.
Pada pendengaran kes itu baru-baru ini, Siang Kai memberitahu, agensi tersebut membekalkannya seorang pembantu rumah warga Kemboja pada November tahun lalu dengan bayaran RM8,500 termasuk gaji RM550 sebulan selama enam bulan.
Bagaimanapun, selepas beberapa bulan bekerja, pembantu rumah itu telah cuba melarikan diri dari rumah selain enggan melakukan kerja yang disuruh.
''Kami pernah bawa dia ke agensi tersebut semula untuk mendapatkan khidmat kaunseling, namun, seorang kakitangan agensi itu bertindak melampau dengan menampar dan menumbuk mukanya sehingga berdarah.
''Kemuncaknya, pada 20 April lalu apabila saya jumpa dia seolah-olah tidak bernyawa dengan sebotol racun serangga dijumpai berhampirannya, tetapi mujurlah ia hanya lakonan selepas dia mengakuinya sendiri,'' kata lelaki tersebut.
Siang Kai memberitahu, permintaannya untuk mendapatkan pengganti ditolak dengan alasan tempoh jaminan setiap pembantu rumah hanya tiga bulan.
Selepas mendengar keluhan Siang Kai, Presiden TTPM, Maznah Haron memerintahkan agensi pekerjaan itu membayar balik RM1,060 kepada penuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu dikeluarkan kerana gagal menyediakan pembantu rumah yang sihat dari segi fizikal dan mental.

Broker didakwa terima RM1.7 juta hasil aktiviti haram

SHAH ALAM 11 Julai - Seorang broker mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 39 tuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.7 juta dengan cara menerima dan menggunakan wang tersebut, tiga tahun lalu.
P. Dharmendran, 35, didakwa melibatkan diri dalam aktiviti tersebut dengan menerima RM57,1146 di dua cawangan CIMB Bank Bhd. yang terletak di Jalan Tun Abdul Aziz Lim Tan, Kajang dan di Jalan PJS 11/28 A Bandar Sunway, dekat sini antara 20 November 2008 dan 7 April 2009.
Dia turut menghadapi pertuduhan mengubah wang haram k RM1,642,854 melalui cek yang dibayar kepada Yue Lap Chon, 57, di Bank Islam Malaysia Bhd. di Jalan SS 6/5S, Dataran Glomac, Pusat Bandar, Kelana Jaya, Petaling Jaya antara 13 dan 15 Mei 2009
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM5 juta.
Timbalan Pendakwa Raya, C. Vignesh Kumar menawarkan ikat jamin RM300,000 dan syarat tambahan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dengan alasan pertuduhan terhadapnya adalah serius.
Peguam Jaspa Singh yang mewakili Dharmendran memohon jumlah ikat jamin dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan.
Hakim Mohd. Fadhir Harun membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 beserta seorang penjamin dan mengarahkan lelaki itu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Kes itu disebut semula pada 1 Ogos ini.

RM150,000 ubat haram dirampas

PULAU PINANG 11 Julai – Kementerian Kesihatan merampas lebih 100 kotak ubat-ubatan haram, termasuk ubat perangsang seks bernilai lebih RM150,000 dalam serbuan besar-besaran di 10 premis termasuk dua kilang melalui Ops Ubat di Jalan Pintal Tali di sini, hari ini.
Ketika serbuan serentak di semua premis itu pukul 2.30 petang, kebanyakan peniaga sedang leka bekerja dan tidak menyedari kehadiran pasukan berkenaan.
Operasi yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Penguat Kuasa Farmasi negeri, Mokhtar Abdullah bersama 50 anggota dan pegawai dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Kuala Lumpur.
“Kita menyerbu dua kilang kecil dan beberapa premis memproses dan menyimpan pelbagai ubat tidak berdaftar di bawah kementerian, termasuk ubat tradisional, ubat batuk dan perangsang seks.
“Lebih 100 kotak mengandungi 15 jenis ubat bernilai lebih RM150,000 dirampas. Ubat-ubat itu tidak berdaftar manakala kilang tersebut pula dibatalkan lesen pengilangannya beberapa tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati, semua ubat dirampas di kilang itu pernah didaftarkan, tetapi dibatalkan kerana tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Friday, July 8, 2011

Bekas pegawai eksekutif hadapi 25 tuduhan guna dokumen palsu

30/06/2011 1:33pm

SHAH ALAM 30 Jun - Seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat kitar semula produk petroleum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 25 tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapat pembiayaan kewangan sebanyak RM126 juta daripada Maybank.
Mohamed Assari Che Mahmood, 51, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fadhir Harun.
Tertuduh didakwa memperdaya pegawai-pegawai Trade Finance Centre Maybank melalui pekerja syarikatnya, Aldwich Berhad dan Aldwich Enviro-Management Sdn. Bhd. antara 24 Disember 2008 dan 16 November 2009.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM500,000 dan menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan kes itu. - Utusan

Wednesday, June 29, 2011

Tertipu gara-gara ingin miliki telefon bimbit murah

Tertipu gara-gara ingin miliki telefon bimbit murah
AKIBAT terlalu percaya dengan urus niaga dalam talian di Internet, seorang pemuda berputih mata apabila bayaran sebanyak RM3,700 yang dibuat bagi membeli telefon bimbit melalui urus niaga berkenaan lesap.
Malah disebabkan sikap tidak berhati-hatinya, dia juga terpaksa membayar RM600 kepada tiga rakannya yang menempah telefon berkenaan melaluinya.
Menurut Tonoh Seesaw, 26, dia amat tertarik apabila melihat iklan dalam talian Alibaba.com yang menawarkan telefon Samsung Galaxy Tab dengan harga RM600.
Teruja dengan iklan tersebut, katanya, dia turut mempromosikan kepada rakan-rakannya mengenai produk yang ditawarkan dengan harga yang murah itu.
Seterusnya tanpa melakukan pemeriksaan terperinci, Tonoh berkata, dia terus menelefon nombor telefon yang tertera dalam laman web urus niaga itu bagi memesan lima unit telefon Samsung Galaxy Tab dan satu iPhone4.
"Namun selepas saya memasukkan duit sebanyak RM3,700 ke dalam akaun itu, saya terkejut kerana diminta membayar baki RM5,800 dengan alasan invois yang saya terima ialah untuk pembelian 12 unit telefon dengan harga RM9,500.
''Setelah berasa ditipu saya telah menelefon nombor berkenaan tetapi tidak dapat dihubungi dan apabila saya membuat aduan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), saya mendapati syarikat berkenaan iaitu Techcomes Limited tiada dalam pendaftaran SSM,'' katanya.
Justeru, ujar Tonoh, dia telah membuat laporan polis dan membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Presiden TTPM, Pretam Singh Darshan yang mendengar tuntutannya baru-baru ini berkata, pihaknya tidak dapat membuat apa-apa tindakan memandangkan syarikat yang didakwa itu tidak didaftarkan di negara ini.
Justeru katanya, beliau telah meminta pengadu supaya memfailkan semula tuntutan terhadap penerima wang melalui nama pemilik akaun.
''Saya tidak boleh membuat apa-apa tindakan sekiranya syarikat tidak wujud dan saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan urus niaga dalam talian,'' ujarnya.

6 didenda RM1.5j cuba seludup rokok

ENAM lelaki dijatuhi hukuman penjara dan denda atas kesalahan menyeludup rokok di Mahkamah Majistret, Johor Bahru semalam.
________________________________________

JOHOR BAHRU 28 Jun - Enam penyeludup dihukum penjara dan didenda keseluruhannya bernilai kira-kira RM1.5 juta oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan cuba mengimport barang larangan iaitu 219 kotak rokok putih jenama Zon King Mac lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka ditahan dalam kenderaan berbeza di laluan bas, Bangunan Sultan Iskandar di sini antara pukul 10.17 dan pukul 10.27 malam pada 15 Mac lalu.
Majistret Mazana Sinin memerintahkan Phang Hang Pang, 39, didenda RM350,000; Cheah Chuan Hock, 32,(RM195,000); Lau Lee Hing, 23, dan Choo Jzie Wei, 27, masing-masing (RM250,000) seorang manakala Lim Beng Seng, 39, dan Lee Wei Loon, 32, masing-masing (RM200,000).
Selain hukuman denda, kesemua tertuduh turut dipenjara dua bulan kecuali Hang Pang selama tiga bulan berikutan ia adalah kesalahan keduanya.
Kenderaan yang digunakan kesemua tertuduh iaitu enam buah van dan kesemua rokok putih yang dirampas turut dilucutkan hak di bawah Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967.
Mereka didakwa mengimport rokok putih berkenaan dengan niat untuk mengelak larangan import kerana ia adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008.
Perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(a) yang dibacakan bersama Seksyen 139 akta tersebut dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama.
Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Kastam, Supritendan Abdul Rasyidi Ab. Drahman, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Mohamad Azrulsani Othman.

Ops Lusuh: 256 ditahan curi logam

KUALA LUMPUR 28 Jun 2011 - Polis menahan 256 individu dipercayai terlibat dengan kegiatan curi logam dalam Ops Lusuh yang dijalankan secara besar-besaran dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, utiliti dan syarikat milik kerajaan (GLC), sejak Februari lalu sehingga kini, melibatkan kerugian ratusan juta ringgit.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 4,972 premis menjual barang lusuh diperiksa di seluruh negara.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin , Ops Lusuh dijalankan secara skala besar selepas kegiatan curi logam semakin berleluasa sejak Februari berikutan peningkatan harga bahan itu.
Katanya, kes kecurian logam yang digunakan untuk komponen kabel dan penerima isyarat telekomunikasi dikesan paling banyak dilaporkan iaitu ketika harga tembaga di pasaran tempatan tinggi.
"Harga di pasaran tempatan bagi satu logam penerima isyarat bagi lingkungan radius lima kilometer adalah antara RM50 dan RM200.
"Polis menyeru kerjasama orang ramai bagi membantu mengenal pasti premis yang menjalankan pembelian logam secara salah.
"Kita turut bekerjasama dengan agensi penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Imigresen berikutan premis yang dikenal pasti turut menggunakan khidmat pekerja asing," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly di Menara Celcom, Jalan Semarak, di sini hari ini.
Berikutan kecurian itu, Celcom Axiata Berhad rugi sebanyak RM283 juta pada tahun lalu.
Dalam pada itu, Shazalli memberitahu, hampir 50 peratus aduan pelanggan Internet dan telefon bimbit tidak boleh digunakan berpunca daripada masalah kecurian logam penerima isyarat.
"Syarikat mengalami kerugian lebih banyak akibat aduan terbabit kerana terpaksa menanggung kos membaiki kerosakan dan kehilangan ramai pelanggan yang beralih kepada perkhidmatan luar negara.
"Selain itu, pihak kami dimaklumkan kira-kira 6,000 kes pencerobohan talian membabitkan syarikat telekomunikasi lain dilaporkan dalam sebulan. Sekurang-kurangnya lima kes pencerobohan talian Celcom dilaporkan dalam sehari.
"Sehubungan itu, tindakan bersepadu dan tegas dengan agensi berkaitan dilihat paling efektif bagi menangani masalah," katanya lagi.

Sindiket seludup petrol, diesel tumpas

2011/06/29

GUNASELAN (kiri) yang dibantu penguat kuasa KPDNKK memeriksa diesel dalam tangki lori di Juru, Bukit Mertajam.
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang mematahkan satu sindiket penyeludupan petrol dan diesel ke negara jiran selepas menahan lima lelaki di Bukit Tengah, di sini dan Simpang Ampat, Nibong Tebal, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 30-an dan 50-an itu ditahan dalam operasi bermula jam 6 pagi yang disertai 10 penguat kuasa KPDNKK, diketuai Ketua Penguat Kuasa KPDNKK negeri, M Gunaselan.
Dalam operasi itu, penguat kuasa turut merampas 61,110 liter bahan api itu bernilai RM200,000, iaitu 42,000 liter petrol dan 19,110 liter diesel bersubsidi.
Gunaselan, berkata empat lori tangki dan sebuah lori diubah suai yang digunakan untuk membeli diesel dan petrol di sekitar Seberang Prai Tengah (SPT) turut disita.

"Semua lori itu digunakan untuk membeli minyak sebelum dibawa ke sempadan," katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Lokasi yang diserbu di Bukit Tengah dipercayai beroperasi beberapa bulan lalu dan dijadikan transit sebelum diesel atau petrol yang dibeli dibawa ke sempadan.

Kes disiasat mengikut Akta Bekalan 1961 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau tiga tahun penjara untuk individu atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM250,000.
Gunaselan berkata, pihaknya akan terus mengadakan operasi bagi membanteras penyelewengan subsidi diesel dan petrol oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Thursday, June 23, 2011

Penuntut pula diperintah langsai bayaran tertunggak RM3,060

TINDAKAN seorang lelaki memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kota Bharu, Kelantan, 'memakan diri' apabila dia diarahkan supaya melangsaikan bayaran tertunggak mesin penapis air sebanyak RM3,060 kepada seorang pengedar barang tersebut.
Presiden TTPM, Datuk Abu Bakar Awang dalam prosiding tuntutan itu baru-baru ini mengarahkan supaya penuntut terbabit yang dikenali sebagai Nik Din sahaja dari Wakaf Bharu, Tumpat, menjelaskan bayaran tersebut dalam tempoh 14 hari.
Terdahulu, Abu Bakar turut menyuarakan rasa hairan dengan tindakan Nik Din memfailkan tuntutan ke atas wakil pengedar barangan Elken, Norehan Che Pa, 37, yang mendakwa tersilap tulis pada resit harga sebenar mesin penapis air yang perlu dibayarnya.
Harga sebenar mesin tersebut ialah RM4,990, sebaliknya Norehan hanya mencatatkan harga RM4,490. Pun begitu, Nik Din pula mendakwa telah membuat bayaran penuh sebanyak RM4,590.
''Sepatutnya awak yang memfailkan tuntutan di tribunal,'' ujar Abu Bakar kepada Norehan semasa mendengar tuntutan tersebut di TTPM baru-baru ini.
Nik Din mendakwa telah membayar penuh mesin penapis air yang dibeli pada 12 Mac lalu, tetapi dinafikan oleh Norehan yang mendakwa mengalami kerugian RM400 dan memintanya tidak makan duit haram melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Tindakan itu menyebabkan Nik Din memfailkan tuntutan di TTPM dengan alasan wanita tersebut telah melanggar perjanjian.
Sebaliknya, Norehan dalam keterangannya menafikan dakwaan tersebut kerana menganggap masalah yang berlaku adalah kecil, selain tidak mahu menyusahkan banyak pihak.
''Saya tak fikir (nak failkan tuntutan) RM400 kerana saya kata tak mungkin dia yang saya panggil 'ayah' tak bayar,'' katanya.
Sementara itu, wakil syarikat Elken memberitahu, pihaknya tidak bertanggungjawab dalam kes berkenaan kerana penjualan produk dilakukan antara ejen bertauliah dengan pembeli.
Norehan ketika ditemui di luar tribunal memberitahu, Nik Din telah bersetuju membeli mesin penapis air tersebut yang berharga RM4,990 atas nama anaknya, Nik Mohd. Kazim.
Katanya, pemasangan telah dibuat pada lewat petang dan dalam keadaan tergesa-gesa, dia telah tersilap tulis jumlah penuh yang perlu dibayar iaitu hanya RM4,490.
Bagaimanapun dakwanya, apa yang menimbulkan tanda tanya ialah apabila Nik Din telah memberikan resit bahawa bayaran penuh sebanyak RM4,590 telah dibuat.

Dr Hamimah diarah bela diri tuduhan terima deposit haram

2011/06/21
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan Dr Hamimah Idruss, individu pertama yang menghadapi lapan pertuduhan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2001, membela diri terhadap pertuduhan membabitkan RM41.3 juta.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu terhadap Hamimah selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Kes itu mula dibicarakan pada 12 Julai 2005. Seramai 54 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk dua saksi dari Jerman dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Drs Suleiman Mohamed.
Terdahulu, mahkamah hampir menangguhkan sekali lagi selepas dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa peguam S Pushpam yang mewakili tertuduh meninggal dunia pada 24 Mei lalu kerana masalah kesihatan.

Ketika ditanya kepada tertuduh oleh hakim apa yang hendak diperkatakan, beliau menjawab: "Banyak kali kes ini ditangguhkan tuan, saya tidak mahu ditangguhkan...sudah tujuh tahun."

Sebelum ini, kes itu ditangguhkan tiga kali sejak 31 Mac lalu kerana peguam itu tidak sihat sebelum dimasukkan ke Pusat Perubatan Kinta, Perak sejak 18 April lalu selepas mengalami kekurangan air dalam badan yang melampau dan kepenatan serta beberapa komplikasi lain sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

Mahkamah membenarkan kes disebut semula Khamis ini bagi tertuduh melantik peguam baru.
Hamimah menghadapi lapan pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta antara 3 Jun hingga 10 Jun 2003.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Dia turut menghadapi 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 41, memalsukan surat perjanjian Safire Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd, yang setiap satunya bernilai AS$1.2 juta (RM4.56 juta).

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 468 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Deposit haram: Pengarah syarikat didakwa

KUALA LUMPUR 20 Jun - Selepas tiga kakitangan syarikat pelaburan rumpai laut didakwa menerima deposit haram kira-kira RM200 juta tanpa lesen daripada orang awam, hari ini seorang pengarah syarikat itu pula didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan serupa.
Wong Yiak Leong, 46, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Baljit Singh Bant Singh.
Dia didakwa membantu syarikat AK United Sdn. Bhd. menerima deposit haram daripada orang awam tanpa lesen yang sah di antara Oktober 2007 dan November 2008 di Tingkat 2 & 4, Wisma Dinari, Jalan Jejaka 4, Taman Maluri, di sini.
Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh pada 8 April sehingga November 2008 didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat dan masa yang sama.
Syarikat tersebut yang diwakili oleh Yiak Leong juga didakwa atas pertuduhan yang sama.
Kesemua dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dibaca bersama seksyen 106(1) serta boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya.
Dua pegawai pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM), Alvin Ong Heng Kiat dan Mohd. Shukri Ahmad yang mengendalikan pendakwaan, mencadangkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin serta syarat menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Menurut Alvin, tertuduh gagal hadir di mahkamah sebanyak tiga kali sejak 9 Jun lalu.

Ibu anak hidap leukemia ditipu

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
HULU LANGAT 20 Jun - Tiga daripada anaknya meninggal dunia akibat penyakit leukemia, manakala dua lagi yang masih hidup turut menghidap penyakit yang sama.
Atas penderitaan itu, E. Vanajah, 36, sanggup menerima tawaran seorang 'pegawai bank' wanita untuk membuat pinjaman peribadi bagi merawat penyakit dua anaknya itu.
Tanpa berfikir panjang dan demi kasih sayang terhadap anaknya, wanita itu sanggup menggadai barang kemasnya bagi mendapatkan wang sebanyak RM3,500 untuk diserahkan kepada 'pegawai bank' berkenaan sebagai deposit pinjaman berjumlah RM100,000 tahun lalu.
Vanajah yang hanya bekerja sebagai tukang cuci di pangsapuri sewanya di Seri Permai, Kampung Baru, Semenyih di sini, mula berasa sangsi apabila pinjaman belum diluluskan walaupun sudah lebih setahun menunggu, manakala 'pegawai bank' terbabit berdolak-dalih apabila ditanya.
Menurut Vanajah, dia menerima tawaran itu setelah terdesak untuk mendapatkan wang bagi membiayai rawatan dua anak perempuannya iaitu S. Anjali Devi @ Nethiar, 8, dan S. Uma Magheswari, 5.
"Saya pernah kehilangan tiga orang anak akibat leukemia. Kini hanya Nethiar dan Uma Mageswari sahaja anak saya yang masih hidup tetapi turut menderita penyakit sama.
"Oleh kerana tidak mahu kehilangan mereka, saya sanggup bergadai untuk membuat pinjaman yang sebenarnya tidak wujud itu dan kini amat berharap 'pegawai bank' itu mengembalikan wang yang sudah diserahkan kepadanya sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui semasa membuat laporan di Balai Polis Semenyih, di sini semalam.
Bukan Vanajah sahaja, malah dua lagi mangsa turut ditipu oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai sebuah bank dikenali sebagai Rajeswary berusia lingkungan 30-an.
Seorang lagi mangsa, P. Nedumaran, 43, memberitahu, dia ditipu Rajeswary untuk mendapatkan pinjaman peribadi RM150,000 sehingga sanggup mencagarkan geran kereta Nissan Sentra kepada ceti bagi mendapatkan wang RM10,000 untuk diserahkan kepada wanita tersebut.
Nedumaran berkata, Rajeswary sendiri yang memperkenalkan ceti terbabit kepadanya, namun kesemua wang RM10,000 yang dipinjam diambil oleh wanita berkenaan kononnya untuk membayar deposit 10 peratus pinjamannya iaitu RM3,500, manakala baki digunakan membayar pinjaman abang dan kakak iparnya yang turut ditipu.
"Pinjaman saya bukan sahaja tidak diluluskan sehingga kini tetapi saya juga gagal mendapatkan geran kereta yang diperlukan untuk memperbaharui cukai jalan pada 23 Jun ini," katanya sambil berharap Rajeswary memulangkan geran tersebut.
Kakak ipar Nedumaran, M. Vaniswary, 34, berkata, seperti Vanajah dan adik iparnya itu, dia bersetuju membuat pinjaman peribadi melalui Rajeswary kerana mempercayai wanita yang dikenali sejak zaman persekolahan lagi.
"Saya kenal Rajeswary sejak berusia 13 tahun lagi kerana belajar di sekolah sama tetapi tidak sangka dia tergamak memperdayakan saya dan rakan-rakan yang lain," katanya sambil mendakwa hampir 40 peratus rakannya yang tinggal di Semenyih turut menjadi mangsa wanita berkenaan.
Katanya, setiap kali ditanya tentang status pinjaman, Rajeswary akan memaklumkan ia dalam proses dan berpura-pura membawa mereka pergi ke bank tetapi berpatah balik semasa dalam perjalanan dengan alasan pegawai bertanggungjawab meluluskan pinjaman membatalkan temujanji kerana mempunyai urusan lain.

Empat pendatang bancuh ubat

Oleh Kasdi Ali

2011/06/22
IPOH: Sebuah kilang diserbu sepasukan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dikesan memproses ubat tradisional bagi wanita sakit tulang dan mengalami masalah keputihan secara haram menggunakan bangunan usang di Taman Meru dekat sini, malam Ahad lalu.

Lebih mengejutkan, beberapa jenis produk ubatan tradisional yang dikeluarkan kilang itu didapati tidak berdaftar dan hanya dibancuh empat lelaki warga Bangladesh yang diupah untuk melakukan tugas itu tanpa mengikut amalan pengilangan yang baik (GMP).
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Farmasi KKM, Wan Hamid Wan Ibrahim, berkata kegiatan tidak bertanggungjawab pengilang itu berjaya dibongkar selepas sepasukan pegawai penguat kuasa farmasi KKM Perak melakukan serbuan susulan daripada maklumat awam dan risikan.
Katanya, serbuan dilakukan sekitar jam 8 malam selepas siasatan mendapati pengilang hanya beroperasi pada waktu malam bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan.

"Pemilik kilang berusia 40-an hanya memulakan kerja memproses ubat-ubatan tradisional itu pada waktu malam hingga awal pagi bagi mengelak kegiatan itu tidak dihidu. Ketika serbuan dilakukan, empat pekerja warga Bangladesh terbabit sedang sibuk membancuh serbuk ubat berkenaan di bahagian belakang kilang itu," katanya.

Siasatan mendapati kilang ubat itu pernah dibatalkan lesen oleh KKM berikutan tidak mencapai piawaian ditetapkan.

"Ada antara ubat tradisional yang dihasilkan mempunyai jenama dan alamat sama dengan produk berasal dari China. Ada kemungkinan ubat ini dipalsukan dan dicampur steroid.
"Ini hampir dapat dipastikan berikutan ubat tradisional terbabit didakwa mampu menyembuhkan sakit tulang, radang sendi dan penyakit saraf yang sering dikaitkan dengan steroid," katanya.

Beliau berkata, penggunaan produk mengandungi kimia steroid secara tidak terkawal boleh menyebabkan pelbagai kesan buruk antaranya tulang menjadi rapuh, kegemukan, tekanan darah tinggi selain meningkatkan paras gula dalam darah.

"Kes itu akan disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan pemilik syarikat boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya. Malah, tindakan sama boleh diambil mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1985.

"Saya menasihatkan orang ramai yang ingin membeli ubat-ubatan tradisional supaya memastikan ubat didaftarkan dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) KKM selain mempunyai hologram serta nombor pendaftaran," katanya.