Thursday, May 27, 2010

AJK Presma dipersoal

2010/05/28
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berisiko dibatalkan pendaftarannya kerana tiga ahli jawatankuasa persatuan itu didakwa bukan warga negara Malaysia.

Seorang ahlinya, Kamarul Jaman Seenimohideen, mendakwa Jabatan Pendafta- ran Pertubuhan Malaysia (JPPM) akan bertindak membatalkan pendaftaran Presma sekiranya persatuan itu tidak memberikan sebab memuaskan berhubung perkara itu kepada Pendaftar Pertubuhan sehingga 18 Jun ini. Dakwanya, jawatan itu dipegang tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan.
Kamarul Jaman mendakwa, JPPM sudah mengeluarkan surat kepada setiausaha persatuan namun sehingga kini masih tiada jawapan dikeluarkan.

“Sebelum membuat aduan kepada JPPM, saya terlebih dulu menghantar surat kepada Presma tapi masih tidak menunjukkan sebarang perubahan, jadi untuk mengelak masalah kemudian hari saya terpaksa membangkitkan perkara ini,” katanya ketika hadir ke Balai Berita semalam.

“Sekiranya hal ini tidak diselesaikan dengan segera kemungkinan pendaftaran Presma akan dibatalkan sekali gus menyebabkan kebajikan ahli persatuan terabai kerana kami tidak lagi mempunyai saluran untuk bersuara.
“Saya bimbang sekiranya perkara ini disembunyikan dari pengetahuan ahli ia akan memberi kesan buruk kepada persatuan dan juga di kalangan ahli,” dakwanya yang hadir ke Balai Berita semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap Pengerusi Presma serta ahli tertinggi persatuan memandang serius masalah itu dengan memaklumkan kepada ahli supaya perbincangan dapat dilakukan seterusnya menyelesaikan hal itu bersama

4,500 ibu tunggal dakwa kena tipu 'Mummy Zie'

Oleh Sarah Sulaiman
sarahsulaiman@bharian.com.my
2010/05/28


SEBAHAGIAN daripada ahli PITCB menunjukkan gambar 'Mummy Zie' yang didakwa menipu membabitkan kerugian RM1.3 juta.Wanita janji beri pulangan pelaburan RM10,000 lesap

SELAYANG: Hampir 4,500 ahli Persatuan Ibu Tunggal Cempaka Biru daerah Gombak dan Petaling (PITCB) yang mengharapkan pulangan sehingga RM10,000 dalam masa singkat berputih mata apabila wang pelaburan mereka dilarikan seorang wanita yang mendakwa sebagai ejen Pertubuhan Kebajikan Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia (Pekesim). Wanita terbabit yang dikenali sebagai ‘Mummy Zie’ menawarkan kepada ahli persatuan terbabit untuk melabur serendah RM200 dan mendapat pulangan selepas tiga, enam atau sembilan bulan mengikut konsep Membantu dan Dibantu. Pengerusi PITCB, Khatijah Mohd mendakwa beliau mendapat tahu skim itu menerusi ‘Mummy Zie’ bahawa pelabur dijanjikan pelbagai pulangan lumayan dan akhirnya beliau bersetuju menggunakan nama persatuan itu bagi tujuan promosi menarik pelabur daripada ahli persatuan.

“Dia memujuk saya dan ahli lain untuk melabur dalam skim terbabit... penyelewengan yang dilakukan disedari penasihat saya pada awal bulan ini sekali gus kita membuat laporan polis kerana difahamkan lebih 14,000 mangsa di seluruh negara telah berdaftar dengannya,” katanya.

Mangsa, seorang ahli korporat berkata, akibat terpedaya dengan wanita itu, beliau membeli 50 lot skim terbabit didaftarkan meng-gunakan nama ahli keluarganya dan kerugian RM10,000.

Menurut sumber, syarikat itu menawarkan pelbagai pulangan termasuk Insurans Takaful Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM50,000, komputer riba, Tabung Khas Dana Perniagaan serendah RM10,000 dan Pakej Umrah Percuma berserta wang saku.
Laporan akhbar sebelum ini melaporkan seorang datin dan 79 rakannya mendakwa kerugian lebih RM1.3 juta dipercayai diperdaya dengan tawaran melancong ke serata dunia dengan tambang murah, oleh penganjur lawatan itu yang menggunakan nama samaran seperti Mummy Zie, Mama Rock dan Atie.

Mangsa penipuan pakej itu, Datuk Maznah Harun, berkata beliau terpaksa menanggung kerugian besar hingga mencecah RM168,000 bagi mengganti wang ahli di bawahnya.

“Oleh kerana terpengaruh dengan pulangan ditawarkan, saya bersetuju melabur dan mencari ahli hingga tertipu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, Pengurus Pekesim Malaysia, Datuk Ab Ghafar Nin menafikan pihaknya melakukan penipuan berhubung ejen yang menyelia proses pendaftaran menjadi ahli pertubuhan itu tetapi menegaskan wanita terbabit telah diberhentikan perkhidmatan dari Pekesim pada 4 Mei lalu.

“Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap penyelewengan yang dilakukan. Saya menasihatkan PITCB berunding sendiri bersama Mummy Zie tanpa membabitkan Pekesim,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ke-
tika dihubungi pula memaklumkan kes itu sedang disiasat.

Wednesday, May 26, 2010

RM26,550 lesap: Eksekutif ditahan beri laporan palsu

KLANG 26 Mei 2010 - Seorang eksekutif pemasaran yang mendakwa wang tunai milik majikannya berjumlah RM26,550 dilarikan perompak pagi ini, diberkas selepas pihak polis mengesyaki dia memberi keterangan palsu.

Lelaki berusia 29 tahun itu yang bertugas di kilang membuat plastik di Klang Utama di sini diberkas ketika dia memberi keterangan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, pada mulanya lelaki itu melaporkan keretanya telah dihalang di bahagian depan dan belakang oleh dua buah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki tujuh perompak di Jalan Haji Sirat, Kapar kira-kira pukul 11.25 pagi.

Katanya, lelaki itu mendakwa dia baru mengeluarkan wang tunai RM26,550 dari sebuah bank di Klang Utama dan sedang memandu menuju ke sebuah bank lain di Bandar Baru Klang.

Ujar beliau, lelaki itu juga mendakwa kenderaannya diekori dua buah kereta Proton Waja semasa melalui Jalan Haji Sirat.

"Selepas keretanya dihalang, eksekutif itu mendakwa salah seorang daripada perompak yang bersenjatakan parang keluar dan memecahkan tingkap keretanya di bahagian penumpang sebelum merampas beg berisi wang tunai itu.

"Dia yang mendakwa ketakutan dan panik hanya melihat perompak itu melarikan diri bersama rakan-rakannya yang lain membawa wang tersebut," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohamad, polis yang menjalankan siasatan lanjut selepas menerima laporan itu bagaimanapun curiga dengan keterangan yang diberikan lelaki itu.

Ini kerana, berdasarkan keterangan pihak majikan, lelaki itu sebenarnya diarahkan untuk menunggu di dalam bank sehingga seorang lagi kakitangan syarikat dihantar untuk mengiringinya keluar namun dia tidak mengikut arahan itu.

"Berikutan itu, polis menahan lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," kata beliau.

Kerani ditipu syarikat pinjaman tidak wujud, rugi RM2,000

KUALA LUMPUR 26 Mei 2010 - Akibat terdesak kerana disenarai hitamkan, seorang kerani pentadbiran yang dibelenggu masalah kewangan cuba mencari jalan penyelesaian dengan memohon pinjaman daripada sebuah syarikat pinjaman berlesen.

Namun lain pula jadinya apabila mangsa, Flo, 39, diperdaya wakil syarikat pinjaman yang tidak wujud sehingga mengakibatkan wanita itu kerugian RM2,000.

Segala-galanya bermula pada 15 April lalu apabila mangsa menghubungi nombor telefon seorang wakil syarikat terbabit yang dipaparkan pada poster di dinding di luar bangunan pejabatnya.

Mangsa diberitahu oleh wakil itu yang dikenali sebagai Lim bahawa dia tidak menghadapi masalah untuk mendapat pinjaman RM20,000, walaupun namanya disenarai hitamkan.

Bagaimanapun, Flo perlu membayar RM2,000 terlebih dahulu sebagai bukti dia berkemampuan membayar pinjaman, selain yuran pemprosesan dan stem duti.

Mangsa berkata, dia kemudian membuat pembayaran RM500 pada 18 April sebelum disusuli dengan RM1,500 pada 5 Mei.

"Saya masukkan wang itu ke dalam dua akaun individu berbeza seperti yang diminta Lim. Duit sebanyak RM2,000 itu saya pinjam daripada seorang rakan.

"Namun selepas beberapa hari, wang pinjaman yang saya tunggu masih belum diluluskan. Lim memberi alasan saya lambat membuat bayaran, jadi kena membuat bayaran tambahan RM1,500 lagi," katanya.

Flo memberitahu, dia enggan melayan permintaan Lim dan mendesak lelaki itu supaya memulangkan wangnya.

Malangnya, Lim gagal dihubungi selepas itu dan barulah dia menyedari bahawa dirinya telah ditipu.

"Saya kemudian menyemak nombor pendaftaran syarikat itu yang didaftarkan di Ipoh. Namun saya terkejut mendapati syarikat itu telah ditamatkan perkhidmatannya pada 1978," ujarnya.

Menurut Flo, dia yakin dengan jaminan Lim selain mempercayai kewujudan syarikat tersebut yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berikutan itu, katanya, mangsa membuat aduan kepada Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, 20 Mei lalu dan laporan di Balai Polis Selayang, dua hari selepas tersebut.

Ketuanya, Datuk Michael Chong memberitahu, trend penipuan dialami mangsa bukan sesuatu yang baru kerana pihaknya telah menerima lapan aduan seumpama itu sejak tahun lalu.

"Si penipu ini menyamar ah long atau peminjam wang berlesen untuk memperdaya mangsa yang rata-ratanya terdesak mencari sumber kewangan alternatif.

"Dengan hanya bermodalkan telefon dan poster, tiada perjumpaan diperlukan... Suspek mampu memperdaya ribuan ringgit daripada mangsa sebelum lesap," jelasnya.

391 telefon bimbit palsu dirampas di tapak ekspo

TEMERLOH 26 Mei 2010 - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Temerloh merampas sebanyak 391 unit telefon bimbit tiruan bernilai lebih RM156,800 di Bandar Jengka, Maran dekat sini akhir bulan lalu.

Ketua Pegawai bahagian itu, Othman Din berkata, rampasan itu dilakukan di 10 gerai yang menjual telefon berkenaan di sebuah tapak ekspo di Bandar Pusat Jengka.

Katanya, ekspo anjuran pihak swasta itu menjual pelbagai jenama telefon bimbit tiruan buatan China dan dipercayai menipu ramai pelanggan dengan menawarkan pelbagai fungsi seperti WiFi dan 3G.

''Bagaimanapun sebenarnya telefon berkenaan yang berjenama terkenal hanya mempunyai satu atau dua fungsi seperti membuat panggilan dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja.

''Telefon berkenaan yang dijual dalam lingkungan harga RM400 seunit mudah rosak dan tiada jaminan jika berlaku kerosakan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Othman, seramai 18 pegawai penguat kuasa yang diketuai beliau sendiri membuat serbuan di tapak ekspo tersebut setelah mendapat aduan daripada pembeli yang menjadi mangsa penipuan.

Tambahnya, penjual berkenaan juga tidak mengeluarkan resit syarikat sebenar yang mempunyai alamat dan nombor telefon untuk dihubungi jika berlaku kerosakan.

Othman memberitahu, semua peniaga terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 kerana membuat kenyataan palsu yang boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara dan mereka juga boleh di kompaun sehingga RM50,000.

Katrij dakwat tiruan bernilai RM100,000 dirampas

Abdul Hamid Abu Bakar menunjukkan sebahagian katrij pencetak tiruan yang dirampas di Johor Bahru, kelmarin. - Utusan/ RAJA JAAFAR ALI

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 26 Mei - Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor merampas 4,000 katrij dakwat pencetak pelbagai jenama disyaki tiruan bernilai kira-kira RM100,000 di sekitar Skudai semalam.

Ketuanya, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan terhadap sembilan premis di Skudai dan sebuah premis di Taman Universiti dekat sini yang disyaki menjadi pembekal kepada para peniaga di sekitar kawasan berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati premis itu beroperasi sejak setahun lalu dan dipercayai menjual bahan berkenaan kepada penuntut universiti dan syarikat-syarikat kecil di kawasan itu.

"Barangan yang dipamerkan adalah tulen dan apabila pengguna bersetuju untuk membelinya, mereka akan menukarkan barangan itu dengan tiruan. Pengguna dapat membezakan ketulenan produk berkenaan kerana ia memiliki logo hologram.

"Barangan itu dijual pada harga antara RM90 hingga RM650 bagi setiap katrij dan harga berkenaan adalah sama seperti harga barang tulen," katanya.

Abdul Hamid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 1(b) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana mengedar barangan berjenama tiruan yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan berkala bagi memastikan kes serupa ditangani secara menyeluruh.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa membeli barangan dan perlu memastikan ia adalah tulen.

UPP rampas 2,500 helai pakaian

JITRA 26 Mei 2010 - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas kira-kira 2,500 helai pakaian pelbagai jenis daripada seorang lelaki warganegara Thailand dalam satu operasi di Kilometer 1.3 Lebuh Raya Utara Selatan di Bukit Kayu Hitam di sini semalam.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Muhamad Zunaidi Nairit Abdullah berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan ketika memandu pikap bernombor pendaftaran Thailand yang penuh dengan muatan pakaian berkenaan pada pukul 5.30 petang.

Jelasnya, penahanan tersebut pada mulanya dibuat kerana anggotanya curiga dengan tindakan lelaki berkenaan yang membawa muatan barangan sedangkan mengikut syarat kenderaan seumpama itu hanya dibenarkan membawa penumpang.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak membuat pengisytiharan penuh barangan yang dibawanya itu kepada kastam untuk dibawa masuk ke negara ini.

"Lelaki berkenaan didapati hanya membayar RM300 sedangkan dia sepatutnya mengisi borang perisytiharan kastam K1 kerana membawa muatan yang banyak," katanya di sini hari ini.

Muhamad Zunaidi berkata, siasatan awal mendapati kesemua pakaian yang dibawa suspek itu dianggarkan bernilai RM15,000 dan ia diserahkan kepada kastam untuk penilaian semula.

Menurutnya, lelaki berkenaan mengakui pelbagai jenis pakaian yang dibawanya itu untuk dibekalkan bagi pasaran di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, kes itu akan diserahkan kepada kastam untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Beliau memberitahu, kira-kira 30 minit selepas itu, anggota UPP merampas sejumlah 192 tin minuman keras yang cuba diseludup masuk dari negara jiran.

Katanya, minuman keras bernilai kira-kira RM450 dengan nilai cukai RM930 itu ditemui disorokkan di dalam sebuah pikap yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.

Menurutnya, kes itu turut dirujuk kepada kastam untuk disiasat di bawah akta yang sama

Bekas Penolong Pengarah KBS Didenda RM25,000

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM 26 Mei - Bekas Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia Sukan, Mohd Saipuddin Zakaria yang mengaku bersalah dalam tiga tuduhan rasuah didenda RM25,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen hari ini tanpa menjalani hukuman penjara.

Mohd Saipuddin menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah untuk kerja percetakan poster KBS sebanyak RM10,000 daripada Lai Kon Ching yanng bertindak sebagai wakil untuk tiga syarikat yang mendapat kontrak percetakan.

Effithree (M) Sdn Bhd, Teguh Ventures dan Semarak Manufacturing yang masing-masing yang diberi kontrak bernilai RM18,000, RM18,600 dan RM8,750 mendapat kontrak tersebut melalui pejanjian antara Saippudin dan Kon Ching.

Kon Ching didakwa telah menawarkan RM10,000 kepada Saipuddin bagi mendapatkan kesemua kontrak tersebut.

Semasa perbicaraan mahkamah diberitahu Kon Ching telah menasihati Saipuddin untuk menggunakan syarikat milik isterinya, Taikom Enterprise untuk menerima wang tersebut sebagai bayaran untuk khidmat rundingan.

Pendakwaraya, Mohd Asrawi Abdul Hanipah berkata siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendapati tiada rundingan atau khidmat sebegitu diperlukan untuk mendapatkan kontrak ini dan hanya beberapa gambar sahaja yang diberikan kepada Kon Ching.

Peguambela Saipuddin yang tidak mahu mendedahkan identitinya kepada media memberitahu mahkamah bahawa Saipuddin telahpun mengaku bersalah untuk kesemua tuduhan ke atasnya dan meminta mahkamah untuk menggunakan budi bicara bagi meringankan hukuman.

Tambah peguambela, Saipuddin telah mengalami banyak kerugian sejak ditangkap termasuk jawatan, harga diri, penghormatan dan juga rumahtangga.

Saipuddin telah bercerai dengan isterinya Maswanti Mahmud, pemilik Taikom Enterprise yang menjadi salah satu saksi pendakwaraya dalam kes ini.

"Anak guaman saya telah melalui pelbagai pengalaman pahit sepanjang kes ini dan telah menunjukkan bahawa beliau amat kesal dengan tindakan beliau. Saya yang mengenali beliau dan keluarga beliau tahu beliau bukanlah seorang yang buruk akhlaknya.

"Saya percaya anak guam saya kesal dan ingin membetulkan kesilapannya. Beliau tidak akan membenarkan diri dipatuk ular yang sama dalam lubang yang sama," kata peguambela Saipuddin.

Hakim Mat Ghani Abdullah memutuskan Saipuddin telah menunjukkan perlakuan baik sepanjang penangkapan dan perbicaraan, dan juga mendapati tertuduh kesal dengan tindakannya.

"Mahkamah percaya Saipuddin merupakan seorang yang berakhlak dan denda ini adalah sebagai pengajaran untuk Saipuddin dan juga untuk pegawai kerajaan yang lain. Mahkamah juga ingin menyampaikan bahawa stigma masyarakat bahawa pegawai kerajaan boleh dibeli dengan wang ringgit perlu berubah," kata Mat Ghani.

Tuesday, May 25, 2010

Cubaan seludup minuman keras untuk kenduri

KUBANG PASU 25 Mei - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) menahan tiga lelaki yang cuba menyeludup minuman keras dari negara jiran bernilai RM1,639 di Kilometer 1.3, Lebuh Raya Utara Selatan di Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Ketiga-tiga lelaki berusia 19 hingga 31 tahun itu ditahan pukul 8.15 pagi ketika menaiki dua buah kereta.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Muhamad Zunaidi Nairit Abdullah berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua kereta itu menemui sejumlah 28 botol minuman keras jenis 'Passport Scotch' dan 'Ballantines Blended' tersorok di ruang tayar simpanan di salah sebuah kereta itu.

"Dalam ruang yang sama sebuah lagi kereta, kami menemui 22 botol minuman keras termasuk jenis 'Scotch Whisky'," katanya di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zunaidi, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga lelaki yang berasal dari Alor Setar dan Ipoh, Perak itu memberi alasan menyeludup minuman keras tersebut untuk meraikan kenduri saudara terdekat mereka.

Sementara itu, kata beliau, dalam satu lagi operasi, UPP menahan lima wanita dan dua lelaki rakyat Myanmar berusia antara 20 hingga 25 tahun yang memasuki negara ini tanpa dokumen.

Beliau berkata, turut ditahan empat lelaki, dua daripadanya penduduk tempatan yang juga kakitangan kerajaan berusia antara 20-an hingga 43 tahun kerana dipercayai cuba membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini.

Warga Inida ditahan cuba seludup masuk kura-kura

25/05/2010 4:24pm


NEW DELHI 25 Mei — Seorang anggota sindiket penyeludupan haiwan eksotik serantau ditahan di lapangan terbang Dhaka, Bangladesh, semalam kerana cubaan menyeludup 480 kura-kura bintang India (Geochelone Elegans) ke Malaysia.

Suspek berkenaan, Peer Mohammad dari Tamil Nadu, India, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal ketika berdaftar di kaunter Malaysia Airlines (MAS) dengan membawa sebuah bagasi berat.

Menurut akhbar Daily Star di Dhaka, suspek berkenaan mengisytiharkan bagasinya mengandungi bahan makanan dan berjaya melepasi proses saringan penumpang di pintu keselamatan.

"Setelah mendapati bagasi suspek semakin berat, kami minta dia membukanya dan menemui kura-kura hidup. Suspek hendak berlepas ke Kuala Lumpur,” kata detektif lapangan terbang itu, Mostafa Jamal, kepada media.

Semasa siasatan, polis turut menemui wang tunai US$102 (RM357), RM20 dan 100 baht (RM10) serta lima keping kad SIM asing dari suspek berusia 42 tahun, yang tiba di Dhaka dari Bangkok pada 22 Mei lalu.

Suspek berkenaan memberitahu pegawai penyiasat Bangladesh bahawa dia terbabit dalam kegiatan penyeludupan kura-kura dan haiwan eksotik lain dari India.

Akhbar itu menyebut kura-kura yang dirampas itu akan diserahkan kepada bahagian Hidupan Liar dan Pemuliharan Alam di Jabatan Perhutanan Bangladesh. - Bernama

Monday, May 24, 2010

Kedai sorok gula mula digempur KPDNKK

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my



Anggota KPDNKK Kuala Selangor memunggah sebahagian gula yang disorok oleh peniaga di sebuah rumah kedai berdekatan dengan Pasar Awam Tanjung Karang, Selangor, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



TANJUNG KARANG 24 Mei – Memandangkan masalah orang ramai mendapatkan bekalan gula seakan tiada kesudahan, maka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mula bertindak.

Hari ini, kementerian itu menjalankan pemeriksaan mengejut di beberapa kedai runcit dan borong di sini untuk mengenal pasti punca sebenar masalah keputusan bekalan gula.

Hasil pemeriksaan mendapati, sikap tidak bertanggungjawab segelintir peruncit dan pemborong menyorok bekalan gula menjadi antara punca kepada masalah berkenaan.

Ini terbukti apabila pemeriksaan yang dijalankan oleh penguatkuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kuala Selangor menemui sejumlah 316 kilogram gula yang cuba disorokkan oleh seorang pemilik kedai runcit di pekan Tanjung Karang.

Peniaga berusia 53 tahun itu dipercayai bertindak menyorok gula tersebut bagi membolehkan dia menjualnya pada harga tinggi sekiranya kerajaan mengumumkan kenaikan harga gula berikutan kekurangan bekalan itu di pasaran.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK Kuala Selangor, Mispari Jaafar berkata, pihaknya menerima aduan daripada beberapa pengguna di pekan Tanjung Karang semalam mengenai sukar mendapatkan bekalan gula di kedai runcit berkenaan.

Beliau berkata, kedai runcit itu merupakan pilihan utama penduduk pekan terbabit untuk membeli barangan keperluan harian kerana kedudukannya terletak berhadapan dengan Pasar Awam Tanjung Karang dan juga tapak pasar minggu pada setiap hari Isnin.

“Pelanggan berasa hairan apabila mendapati kedai terbabit kehabisan bekalan gula semalam sedangkan masalah itu tidak pernah dihadapi sebelum ini.

“Berikutan aduan itu, lapan anggota penguat kuasa KPDNKK Kuala Selangor diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasanya, Mohd. Bakhtiar Ramli membuat pemeriksaan mengejut di premis tersebut pada pukul 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, pemilik kedai runcit terbabit baru sahaja menerima 840 kilogram gula daripada pemborong kelmarin dan perkara itu disahkan oleh pemborong yang menghantar bekalan tersebut.

Namun, katanya, penguat kuasa KPDNKK berasa sangsi dengan dakwaan peniaga berkenaan apabila mengatakan kesemua bekalan gula itu sudah habis dijual kepada pelanggan dalam tempoh 24 jam.

Mispari berkata, meskipun jawapan diberikan peniaga itu meragukan tetapi pegawainya tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana tiada bukti sehinggalah mereka ternampak sekumpulan lelaki sedang memunggah barang-barang dari sebuah lori dalam keadaan mencurigakan berhampiran kedai berkenaan.

“Lori terbabit diletakkan selang 10 pintu dari kedai runcit tersebut dan sekumpulan lelaki dilihat sibuk memunggah barang yang mencurigakan untuk disimpan dalam sebuah stor di situ.

“Melihat kehadiran penguat kuasa KPDNKK, pemandu lori bertindak melarikan kenderaannya manakala seorang lelaki yang menjaga stor pula segera menutup dan mengunci pintu,” katanya.

Menurut Mispari, penguat kuasa KPDNKK berjaya memasuki stor tersebut selepas memaksa lelaki terbabit membuka pintu dan pemeriksaan di dalamnya menemui 26 ikatan gula seberat 316 kilogram.

Beliau berkata, melihat pekerjanya ditahan, pemilik kedai runcit yang mulanya tidak mengaku menyorok gula tiba-tiba datang mengakui barang-barang disimpan di stor tersebut adalah miliknya.

APMM tahan 2 kapal asing pindah minyak secara haram

2010/05/24
JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua kapal asing kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Pengerang di Kota Tinggi semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abdul Wahab, berkata tiga pegawai dan 24 anggota APMM dalam kapal KM Manjung yang melakukan rondaan di perairan itu mengesan dua kapal dalam keadaan mencurigakan itu berhimpit antara satu sama lain, pada kedudukan 2.1 batu nautika selatan Tanjung Ayam, pada 3.30 pagi. "Pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal, MT Atami Maru dan MT Petrolemix 09, gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atau permit dari Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melaksanakan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Abdul Hadib berkata, pemeriksaan mendapati sebanyak 10,000 liter minyak dipercayai jenis Marine Fuel Oil (MFO) dipindahkan dari MT Atami Maru ke MT Petrolemix 09, setengah jam sebelum itu.

Beliau berkata, MT Petrolemix 09 juga didapati berlabuh di kawasan larangan iaitu di kawasan kabel dasar laut.

Kata, terdapat 41 kru berumur 20 hingga 53 tahun berada dalam MT Atami Maru yang didaftarkan di San Lorenzo, Honduras, dan MT Petrolemix 09 yang berdaftar di Vietnam itu.

"Kapten kedua-dua kapal dibawa ke ibu pejabat APMM Wilayah Selatan untuk siasatan mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya. - Bernama

Friday, May 21, 2010

Kegiatan tipu resit tol tumpas

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my



SUPRITENDAN Shafien Mamat menunjukkan sebahagian daripada resit kosong yang digunakan oleh sindiket untuk mencetak resit palsu yang dirampas dalam satu serbuan di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



NIBONG TEBAL 21 Mei - Polis berjaya membongkar kegiatan menghasilkan resit palsu bagi bayaran tol perjalanan sepanjang Projek Lebuh Raya Utara Selatan dalam satu serbuan di Taman Keramat Permai di sini, Isnin lalu.

Hasil kegiatan licik kumpulan itu, mereka berjaya meraih keuntungan lumayan antara RM400 dan RM600 sehari.

Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada ratusan pemandu lori yang menggunakan resit itu untuk membuat tuntutan daripada pihak majikan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah kedai, hasil maklumat awam dan risikan pihak polis selama seminggu.

Katanya, berikutan itu, seorang wanita warga Indonesia berusia 34 tahun ditahan ketika sedang memproses resit-resit palsu bercetak perkataan PLUS (Projek Lebuhraya Utara Selatan).

''Polis turut merampas sebuah komputer, beberapa gelung kertas yang siap bercetak perkataan PLUS, wang tunai RM500 dan empat keping jadual perjalanan tol seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shafien berkata, hasil siasatan lanjut, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang disyaki dalang kegiatan kumpulan tersebut.

Menurut beliau, susulan itu, seorang lagi lelaki berusia 52 tahun yang juga pemandu lori ditahan kerana bertanggungjawab sebagai pembeli gelung resit bercetak perkataan PLUS.

"Berdasarkan siasatan, pelanggan mereka hanya perlu datang ke premis tersebut dan menyatakan lokasi perjalanan yang diingini sebelum diberikan resit palsu.

"Dengan membayar RM1 hingga RM4 bagi setiap resit, pemandu lori membuat tuntutan sehingga mencecah ratusan ringgit bagi setiap perjalanan daripada majikan masing-masing," tambahnya.

Shafien berkata, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan sindiket tersebut memperoleh resit bercetak berkenaan daripada pihak sama yang membekalkan bahan itu kepada syarikat PLUS.

Ketiga-tiga suspek itu katanya, kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebat serta denda.

Seludup gula: Remaja ditahan

Aktiviti penyeludupan gula dan barang-barang lain ke daerah Sungai Golok, Thailand melalui pengkalan haram di Rantau Panjang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



RANTAU PANJANG 20 Mei 2010 - Jenayah penyeludupan gula ke daerah Sungai Golok, Thailand yang semakin berleluasa nampaknya bukan sahaja dilakukan orang dewasa tetapi golongan remaja juga dikesan mula melibatkan diri dalam kegiatan itu.

Penglibatan mereka dikesan selepas sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (PPDNKK) dengan kerjasama Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) menahan seorang remaja tempatan berusia 18 tahun bersama 468 kilogram gula yang disorok di rumahnya.

Ketua PPDNKK cawangan Pasir Mas, Hanafi Mamat berkata, remaja terbabit dipercayai membeli gula berkenaan di beberapa kedai di daerah ini untuk dikumpul sebelum dijual ke negara jiran pada harga kira-kira RM2.90, berbanding RM1.80 harga di negara ini.

"Serbuan dilakukan pukul 6 petang semalam di Chabang Empat, Salam. Remaja ini juga dikatakan menjadi dalang kepada penyeludupan gula ke daerah itu.

"Sewaktu ditahan, kita menemui 468 kilogram gula bernilai RM1,747 dalam rumah remaja itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, remaja tersebut boleh didakwa mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman RM100,000 atau tiga tahun penjara jika didapati bersalah.

Menurut Hanafi, tarikan harga yang lebih tinggi di negara jiran itu menjadi sebab utama ramai rakyat tempatan sanggup menyeludup barang kawalan itu.

"Sehingga bulan Mei ini, kita telah merampas sebanyak 13,362 kilogram gula yang hendak diseludup ke negara jiran bernilai RM22,047," katanya.

Utusan Malaysia kemudian membuat tinjauan di Sungai Golok selebar kira-kira 50 meter yang menjadi pemisah antara kedua-dua negara mendapati, aktiviti penyeludupan pelbagai jenis barang menggunakan sampan ke daerah itu berleluasa tanpa sebarang kawalan.

Selain gula, beberapa barang keperluan harian seperti lampin pakai buang dan minyak masak sangat mudah dibawa keluar dari sempadan negara ini tanpa sekatan daripada pihak berkuasa.

Di samping itu, beberapa rakyat Thailand turut mengambil peluang menawarkan perkhidmatan sampan untuk menghantar penumpang menyeberangi sungai berkenaan dari kedua-dua arah dengan bayaran RM1 sehala.

Seorang pemilik sampan warga yang berasal dari daerah Sungai Golok, Ibrahim Awang Lah, 56, berkata, pengangkutan itu menjadi pilihan utama masyarakat berhampiran yang tidak mempunyai dokumen sah untuk keluar masuk.

"Sampan digunakan untuk menyeludup keluar barang dari Malaysia kerana jika jalan darat diguna, banyak pemeriksaan terpaksa dilalui dan selalunya pihak berkuasa akan merampas barang," jelasnya

Mangsa penipuan SMS meningkat

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
pengarang@utusan.com.my



KOH Hong Sun menurunkan tandatangan pada plak perasmian Balai Polis Tebong sambil disaksikan oleh Mohd. Rodwan Mohd. Yusof (kanan) di Alor Gajah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



ALOR GAJAH 20 Mei – Meskipun orang ramai sering didedahkan dengan kes-kes penipuan menerusi panggilan telefon dan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS), bilangan mereka yang menjadi mangsa di negara ini semakin meningkat.

Buktinya, sejak awal 2008 sehingga Mac lalu, sebanyak 790 kes membabitkan jumlah kerugian RM6.5 juta telah dilaporkan di seluruh negara.

Untuk tempoh Januari hingga Mac ahun ini sahaja, sebanyak 219 kes penipuan menerusi SMS dan telefon melibatkan kerugian RM1.15 juta dicatatkan.

Perkara ini ternyata membimbangkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun kerana berdasarkan peningkatan kes itu, ia menunjukkan masyarakat masih tidak sedar tentang betapa bahayanya jenayah ini.

“Kes penipuan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dengan mudah kerana kalau kita fikir secara logik, kenapa pula kita perlu bayar kalau kita yang menang hadiah?

“Sehubungan itu saya minta masyarakat perlu berfikir lebih mendalam, kenapa kita perlu ikut cakap orang yang kita tidak pernah kenali, mana ada orang akan bagi duit begitu sahaja (untuk menipu),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Tebong di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof; Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Supritendan Sum Chang Keong.

Hong Sun berkata, bilangan kes penipuan SMS dan telefon juga didapati meningkat lebih lima kali ganda sepanjang tahun lalu berbanding 2008.

Sepanjang tahun 2008, katanya, sebanyak 75 kes telah berlaku melibatkan kerugian sebanyak RM1.68 juta.

Namun pada tahun lalu, jumlah kes meningkat lebih lima kali ganda menjadi 496 kes dengan kerugian sebanyak RM3.7 juta.

Beliau yang kesal dengan perkara itu meminta orang ramai agar lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan itu.

Rokok RM8.2 juta dirampas

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my



R. MARIAPPA (tengah) menunjukkan sebahagian daripada rokok putih seludup yang dirampas semasa sidang akhbar di Butterworth, semalam. – UTUSAN/Sazali Che Din

--------------------------------------------------------------------------------



BUKIT MERTAJAM 20 Mei – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas rokok putih berjenama yang dianggarkan bernilai lebih RM8.2 juta termasuk cukai dalam dua serbuan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, baru-baru ini.

Penyeludupan rokok itu dipercayai didalangi sebuah sindiket yang menggunakan nama syarikat berstatus Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) di negeri ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) negeri, R. Mariappa berkata, sepasukan anggotanya menahan satu kontena yang diikrarkan sebagai barangan polimer di NBCT kira-kira pukul 10.30 malam pada 3 Mei lalu.

“Pemeriksaan mendapati, kontena tersebut mengandungi 42,000 karton rokok putih bernilai RM4.1 juta termasuk cukai dan diikrarkan atas nama sebuah syarikat berstatus GPB di Nibong Tebal.

“Siasatan lanjut bagaimanapun menunjukkan syarikat ini tidak terlibat dalam pengimportan bahan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mariappa berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini tetapi pihaknya sedang menyoal siasat ejen perkapalan yang terlibat dalam pengimportan rokok berkenaan.

Dalam serbuan kedua pula, katanya, kira-kira 41,000 karton rokok putih bernilai lebih RM4.1 juta dirampas selepas serbuan dilakukan ke atas sebuah kontena di pelabuhan tersebut kira-kira pukul 5.30 pagi pada 11 Mei lalu.

Seperti serbuan pertama, rokok berkenaan juga diikrarkan sebagai bahan polimer atas nama sebuah syarikat berstatus GPB yang beralamat di Kawasan Perusahaan Perai dekat sini.

“Pemeriksaan kita mendapati, syarikat tersebut juga tidak terlibat dalam pengimportan rokok berkenaan.

“Namun, berdasarkan modus operandi dan jenis rokok yang dirampas, kita percaya kegiatan membawa kedua-dua kontena tersebut didalangi oleh sindiket yang sama,” tambahnya.

Kedua-dua kes ini, katanya, disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam atau barangan larangan

Pemborong jual diesel subsidi ditahan

ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK memeriksa premis yang menyimpan diesel bersubsidi yang dipercayai dijual secara haram di Bandar Baru Sungai Long, Batu 9, Cheras semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 20 Mei - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPPDNKK) Putrajaya menahan seorang pemborong minyak diesel kerana menjual minyak diesel bersubsidi secara haram di premisnya di Bandar Baru Sungai Long, Kajang dekat sini hari ini.

Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 10 pagi, suspek berusia 40 tahun itu ditahan kerana memiliki 4,000 liter minyak diesel bernilai RM6,800 (sekiranya dijual pada harga RM2 seliter) dipercayai untuk dijual kepada pengusaha kilang berhampiran untuk tujuan penjanaan mesin.

Pegawai KPDNKK Putrajaya yang mengetuai operasi itu, Izani Abdul Latif berkata, pemeriksaan rutin pihaknya di premis tersebut mendapati salah sebuah daripada empat tangkinya berisi minyak diesel subsidi berdasarkan penanda nano.

"Meskipun premis itu mempunyai lesen menjual diesel yang sah tetapi sebarang pemilikan dan penjualan minyak diesel bersubsidi adalah dilarang.

"Berikutan itu, kami menahan lelaki itu untuk soal siasat dalam usaha membongkar siapa pembekal dan dari mana dia memperoleh bahan bakar itu," katanya kepada pemberita.

Suspek bakal berdepan hukuman mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timur: Penyeludupan sumber rezeki

Oleh Ramli Hussin

2010/05/21
Rumah di tebing Sungai Golok mudahkan penjualan barang subsidi kepada rakyat jiran

RANTAU PANJANG: Tindakan kerajaan negeri dan pihak berkuasa negeri membiarkan pembinaan rumah atas tebing dan rizab Sungai Golok memudahkan aktiviti penyeludupan berlaku di kawasan sempadan.

Ini kerana setiap rumah atas tebing sungai itu mempunyai laluan menuju ke pangkalan haram berdekatan, selain dilengkapi papan gelongsor bagi tujuan penyeludupan pelbagai barangan sama ada dibawa keluar atau masuk secara haram. Tinjauan Edisi Timur ke beberapa pangkalan haram di sepanjang sungai dekat sini mendapati setiap rumah mempunyai papan gelonsor yang dipercayai memudahkan pemunggahan barangan yang hendak diseludup. Selain penyeludupan secara langsung ke negara jiran, ramai juga penduduknya menyeberangi Sungai Golok secara haram untuk membeli pelbagai barangan keperluan harian termasuk barangan bersubsidi seperti minyak masak, gula dan tepung gandum.

Seorang warga emas yang enggan namanya disiarkan, mengakui terbabit dengan kegiatan penyeludupan barangan di sempadan sejak beberapa tahun lalu sebagai sumber rezeki menyara keluarga.

Katanya, dalam tempoh sejam, beliau mampu berulang alik sebanyak 10 kali menyeberangi sempadan menerusi pangkalan haram Paun sambil membawa barangan kawalan seperti gula dan minyak masak dalam kuantiti kecil menggunakan beg galas.

“Cara begini (sembunyi barang dalam beg galas) tidak menarik perhatian orang berbanding mengangkut barangan dalam jumlah besar sekali gus boleh menarik perhatian dan serbuan pihak berkuasa.
“Saya dah lama buat kerja ni, lagi pun rumah dekat dan tak perlu pergi cari kerja jauh-jauh. Dalam keadaan usia semakin lanjut ini, saya tak mampu buat kerja jauh dari keluarga.

“Keuntungan daripada usaha ini walaupun tak besar tetapi cukup untuk belanja harian keluarga dan sekolah anak, lagi pun ketika ini permintaan kepada gula dan minyak terlalu tinggi di seberang sana,” katanya ketika ditemui di pangkalan haram Paun di sini.

Pengendali bot di pangkalan haram Gaji, Mansor Ismail, 27, mengakui aktiviti penyeludupan membabitkan pelbagai barangan antara dua negara berjalan seperti biasa setiap hari.

Dakwanya, tanpa kegiatan penyeludupan dan pergerakan keluar masuk secara haram di sempadan negara, aktiviti ekonomi sekitar kawasan Rantau Panjang boleh lumpuh.

“Antara punca penduduk suka menggunakan pangkalan haram ini kerana tidak banyak prosedur yang perlu dilaluinya, selain mudah membawa barang masuk atau keluar apa juga barangan.

“Bagi orang tempatan, mereka sudah tak kisah lagi dengan penyeludupan yang berlaku di sini kerana ia menjadi sumber pendapatan bagi menyara keluarga terutama penduduk yang mempunyai rumah sekitar atas tebing sungai di sini.

“Kalau ada pihak berkuasa memantau, mereka boleh berehat sementara dalam rumah," katanya yang mengakui penyeludupan sudah menjadi sumber rezekinya bagi menyara keluarga.

Pegawai Pemerintah Batalion Lapan Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rooslan Radzi, yang dihubungi mengakui pihaknya berdepan kesukaran dalam melakukan pemantauan yang menyeluruh di sepanjang tebing Sungai Golok kerana kedudukan rumah yang tidak tersusun.

“Kita berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengadakan zon penampan di antara sungai dengan kawasan penempatan penduduk, bagi memudahkan pasukan keselamatan mengekang penyeludupan yang sudah lama berlaku. Tanpa zon penampan seperti diharapkan, memang kita menghadapi masalah kerana pemantauan agak terbatas,” katanya.

Beliau berkata, kawasan sempadan negara memerlukan kawalan terhadap penyusunan penempatan penduduk kerana ia juga menggambarkan wajah dan maruah kita,” katanya.

Dipenjara tiga tahun pecah amanah

KUALA LUMPUR 20 Mei 2010 - Seorang bekas pengarah syarikat dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana terbabit dalam penyelewengan dana pelaburan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (ATM) berjumlah RM45 juta serta tujuh pertuduhan mengikut Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Hakim Rozana Ali Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Khalid Ismail, 62, yang merupakan bekas pengarah syarikat Oasis Asset Management Sdn. Bhd. (OAM) setelah dia mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu.

Rozana menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap tujuh pertuduhan itu, bagaimanapun ia dijalankan secara serentak bermula hari ini.

Bagi kesalahan pecah amanah, Muhamad Khalid dikenakan penjara dua tahun dan berkuat kuasa sejurus selepas tamat hukuman penjara setahun.

Dalam keputusannya, Rozana berkata, Muhamad Khalid hanya dijatuhi hukuman penjara dan tidak dikenakan sebatan dan denda memandangkan tertuduh sudah lanjut usia serta tidak berkemampuan untuk membayar denda.

Muhamad Khalid yang berkerusi roda dan menghidap strok hanya menunduk tanda faham apabila Rozana menjatuhkan hukuman tersebut terhadapnya.

Tertuduh diwakili peguam Kiu Jia Yaw manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SC, Roz Mawar Rozin yang dibantu oleh Nor Rifhan Rozi dan Ahmad Faiz Munawar.

- BERNAMA

Wednesday, May 19, 2010

KPDNKK sasar lokasi jual barang tiruan

2010/05/20
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan pengurangan sehingga 30 peratus atau 138 daripada 460 kawasan panas yang menjadi lokasi jualan barang cetak rompak dan tiruan di seluruh negara.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin, berkata kementerian melancarkan Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) yang akan membanteras kawasan panas bagi mencapai sasaran Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) itu. Katanya, antara kawasan panas yang dikenal pasti itu termasuk Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Batu Feringgi, Pulau Pinang. “Kita menyasarkan 30 peratus premis di kawasan yang dikesan menjual barangan cetak rompak dan tiruan serta sasaran 50 peratus pada tahun depan,” katanya.

Tuesday, May 18, 2010

Ditahan buat tuntutan palsu projek RM2 juta

KUALA LUMPUR 18 Mei 2010 - Seorang jurutera adalah antara tiga individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membuat tuntutan palsu bernilai RM2 juta melibatkan projek-projek di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Kesemua mereka ditahan di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Bahagian Komunikasi Korporat Ibu Pejabat SPRM memberitahu, jurutera berkenaan ditahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 kerana menggunakan jawatannya untuk meluluskan kerja-kerja inden kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan.

"Manakala seorang juruteknik dan seorang lagi kontraktor pula ditahan mengikut Seksyen 18 akta yang sama," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua mereka ditahan kerana dipercayai bertanggungjawab mengesahkan kerja-kerja yang dilakukan di bawah projek berkenaan kononnya ia telah siap.

Sebaliknya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati, tiada sebarang kerja dilakukan.

Menurut kenyataan itu lagi, kesemua mereka ditahan pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Penyeludupan rokok makin serius

RASAH 18 Mei 2010 - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) perlu mempertingkatkan penguatkuasaan dan melipatgandakan usaha menangani masalah penyeludupan rokok haram di negara ini yang semakin membimbangkan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin (gambar) berkata, kegiatan itu dilaporkan meningkat sebanyak 37 peratus pada tahun lalu berbanding lima tahun lalu iaitu pada kadar 17 peratus.

''Peningkatan mendadak ini secara tidak langsung mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah RM2 bilion setiap tahun akibat duti eksais rokok tidak berbayar.

''Bagi mengatasi masalah ini, saya mencadangkan LKTN menambah bilangan anggota penguat kuasa sekali gus meningkatkan pemantauan dalam mengawal aktiviti haram ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Baja dan Racun Serangga Philip Morris Malaysia (PMM) kepada lembaga itu di sini hari ini.

Jelas Hamzah, langkah berkenaan juga selari dengan kuasa yang diberikan kerajaan kepada LKTN melalui penetapan Akta LKTF 2009.

''Saya juga mencadangkan agar pihak lembaga turut menjalankan kerjasama dengan pasukan penguatkuasaan lain seperti kastam dan polis bagi membendung masalah itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah turut menyeru semua syarikat pembuat rokok antarabangsa seperti Philip Morris dan British American Tobacco agar menjalankan kajian dalam mengolah kegunaan tembakau demi meningkatkan komoditi itu.

''Analisis yang dibuat oleh beberapa pengkaji antarabangsa mendapati tembakau boleh dijadikan salah satu bahan dalam bidang farmaseutikal.

''Justeru, saya minta syarikat terbabit membantu kerajaan membuat kajian bagi mempelbagaikan kegunaan tembakau, bukan sekadar untuk menghasilkan rokok sahaja.

''Jika ini menjadi kenyataan, perusahaan tembakau dapat diperluaskan di negara ini sekali gus meningkatkan pendapatan penanam tembakau tempatan," katanya.

Utara: Menyamar pegawai TNB tipu warga emas

2010/05/19
NIBONG TEBAL: Polis menumpaskan kegiatan penipuan yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan tertangkapnya dua lelaki di Sungai Acheh di sini, minggu lalu.

Suspek berusia 30-an dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak setahun lalu, ditahan pada 12 Mei lalu ketika cuba menipu seorang warga emas dengan menuduh mangsa mencuri bekalan elektrik. Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata dalam kejadian itu, suspek berpura-pura melakukan pemeriksaan meter elektrik di rumah warga emas berkenaan. Bagi mengenakan mangsa, suspek meletakkan magnet di meter elektrik yang menyebabkan penunjuk di peralatan itu bergerak perlahan, lalu menuduh warga emas berkenaan mencuri bekalan elektrik.

Katanya, suspek meminta warga emas itu membayar RM10,000 bagi mengelak kes itu dibawa ke mahkamah dan kononnya akan dikenakan denda yang lebih tinggi.

"Warga emas itu yang curiga dengan kedua-dua suspek, menghubungi polis mengenai perkara itu. Sepasukan anggota polis yang tiba kemudian memberkas kedua-dua suspek bagi membantu siasatan," katanya di sini, semalam.

Polis turut menemui buku resit yang tertera nama TNB, peralatan pemeriksaan meter, cop nama serta telefon bimbit di dalam kereta lelaki berkenaan.
Siasatan polis juga mendapati suspek pernah menipu seorang mangsa pada 6 Mac lalu yang membabitkan kerugian RM3,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

APMM patah seludup diesel

Oleh MARZITA ABDULLAH
utusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 18 Mei 2010 - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 800 liter diesel bersubsidi ke negara jiran di perairan Kuala Perlis, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi, APMM diketuai Laskar Kanan Saufe Irwandy Abdul Rahim bersama empat anggota yang sedang membuat rondaan mengesan sebuah bot pada jarak 187 meter dari sempadan Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika anggotanya menghampiri bot berkenaan, secara tiba-tiba bot itu dipandu laju menuju ke daratan.

"Seorang penyeludup dilihat terjun dari bot dan melarikan diri ke hutan bakau dan meninggalkan bot yang dibawanya," katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, pihaknya menemui 28 tong minyak berisi 800 liter minyak diesel manakala bot yang digunakan pula tidak mempunyai nombor pendaftaran.

"Nilai diesel tersebut dianggarkan hampir RM1,000 tetapi apabila dijual di negara jiran ia mampu mencecah RM2,240 iaitu mengikut harga RM2.80 seliter," ujarnya.

Katanya, bot itu dibawa ke jeti Kuala Perlis untuk siasatan lanjut manakala diesel itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menurut beliau, kejayaan mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel kali ini adalah yang ke-11 dilakukan Maritim 1 Langkawi.

"Kita dapati aktiviti menyeludup minyak di perairan Langkawi dan Perlis meningkat berbanding tahun lalu dengan tiga kes bagi tempoh Januari sehingga April ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, APMM akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan yang kerap di sempadan perairan negara untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim.

Monday, May 17, 2010

Miliki, guna wang palsu dipenjara

KUALA LUMPUR 17 Mei 2010 - Gara-gara memiliki dan menggunakan wang palsu untuk membeli dua bentuk kerongsang bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dua tahun lalu, seorang penjual air terpaksa meringkuk di penjara selama dua minggu selain didenda RM10,000.

Bagi kesalahan menggunakan wang palsu, Hakim Mahkamah Sesyen, S. M. Komathy Suppiah hari ini menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM10,000 atau penjara dua minggu terhadap Naemah Ramli, 51.

Wanita itu yang memakai baju kurung merah hati dan bertudung hitam juga dihukum penjara dua minggu bagi kesalahan memiliki 62 keping wang palsu RM50.

Komathy bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak mulai tarikh tangkapan iaitu pada hari kejadian.

Naemah gagal membayar denda tersebut.

Dia dikenakan hukuman tersebut setelah mengaku bersalah menggunakan sekeping wang palsu RM50 sebagai tulen untuk membeli kerongsang tersebut daripada jurujual, Norazmi Misti, 51.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu di gerai No. 107, Bazar Ramadan, Lorong Tunku Abdul Rahman pada pukul 10.15 malam, 24 September 2008.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Dia juga mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu memiliki 62 keping wang palsu RM50 di Balai Polis Masjid India di sini pada hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Sunday, May 16, 2010

Tembakau 1,768.5kg dirampas

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my



AhMAD Loman (tiga dari kanan) bersama pegawai Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara memeriksa tembakau diawet yang berjaya dirampas di Kampung Sungai, Bachok baru-baru ini. - UTUSAN/Rizalman Nor

--------------------------------------------------------------------------------


KOTA BHARU 16 Mei 2010 - Unit Penguat Kuasa Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) berjaya merampas 1,768.5 kilogram tembakau seludup yang bernilai RM26,527 dalam satu serbuan di Kampung Sungai, Bachok baru-baru ini.

Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman berkata, tembakau tersebut yang berharga cuma RM10 sekilogram di negara jiran, mudah dipasarkan dengan memperoleh keuntungan yang tinggi.

Katanya, rampasan pada 11 Mei itu merupakan yang terbesar setakat ini pada tahun ini dan hasil daripada maklumat orang ramai dan intipan lebih sebulan di lokasi yang disyaki menyimpan bahan itu.

"Enam anggota Unit Penguat Kuasa yang diketuai seorang pegawai terlibat dalam operasi di stor penyimpanan sebuah stesen tembakau di Kampung Sungai pada pukul 9.30 pagi hari tersebut.

"Mereka berjaya merampas 30 ikat daun tembakau kering seberat 1,768.5 kilogram. Kami percaya tembakau itu akan dijual di pasaran tempatan dengan harga RM15 sekilogram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan terhadap mana-mana individu disyaki terbabit dalam kegiatan itu.

Menurut Ahmad, sepanjang tahun lalu pihaknya telah berjaya merampas lebih 1,100 kilogram tembakau seludup dengan nilaian lebih RM17,000.

Katanya, sehubungan dengan kejayaan rampasan terbaru, Unit Penguat Kuasa LKTN akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan ke stesen-stesen pengawet.

''Di samping itu, jalinan kerjasama juga akan dipertingkatkan dengan penduduk setempat dan agensi penguatkuasaan lain," ujarnya.

Beliau menjelaskan, sebarang pembelian daun tembakau seludup adalah satu kesalahan sebagaimana diperuntukkan dalam Akta LKTN 2009.

"Berdasarkan Seksyen 49 Akta LKTN 2009 menetapkan bahawa pengawet berlesen di bawah LKTN tidak dibenarkan untuk membeli tembakau diawet daripada pengawet tidak berlesen.

"Mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peruntukan ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan," katanya.

Dalam masa yang sama, Ahmad berkata, Akta LKTN 2009 yang baru berkuat kuasa pada 1 April lalu telah meluaskan bidang kuasa pihaknya ke seluruh negara, meliputi Sabah dan Sarawak.

Pemandu lori gagal seludup 8,140 liter petrol

KUBANG PASU 16 Mei 2010 - Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup sejumlah 8,140 liter petrol berjaya dipatahkan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Negeri di Kilometer 15.1 Lebuh Raya Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.

Komandernya, Mohd. Noor Idris berkata, lori tangki yang dipandu oleh lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di lokasi tersebut oleh sepasukan anggota UPP Bukit Kayu Hitam pada pukul 9.15 pagi.

Ketika ditahan, katanya, lori itu sedang menghala ke Alor Setar, dipercayai untuk menghantar petrol kepada pihak industri tertentu berhampiran sempadan negara.

"Pemandu lori itu mengaku membawa petrol tersebut tanpa dokumen atau kebenaran untuk mengangkutnya.

"Kami menahan lelaki berasal dari Bedong, Kedah, itu manakala lori tersebut disita dan petrol bernilai RM14,652 dirampas," katanya ketika ditemui di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Mohd. Noor berkata, modus operandi digunakan adalah dengan menghantar bahan bakar tersebut ke kawasan industri berhampiran sempadan sebelum menjualnya kepada pihak tertentu.

Menurutnya, kes itu akan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri untuk disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (1961).

Jika sabit kesalahan, katanya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Thursday, May 13, 2010

Lori rempuh papan tanda, rokok seludup bertaburan

SEREMBAN 13 Mei 2010 - Kemalangan membabitkan sebuah lori yang berlaku di Kilometer 290.4, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur masuk Bukit Mahkota hari ini membongkar satu kegiatan sindiket penyeludupan rokok tiruan.

Lori muatan satu tan yang membawa kira-kira 10,000 karton rokok tiruan itu terbalik selepas merempuh sebuah papan tanda mengakibatkan ratusan kotak yang berisi rokok itu bertaburan di tepi lebuh raya.

Kejadian berlaku pukul 6.30 pagi sewaktu lori itu menghala ke arah selatan. Ia bagaimanapun tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri lebuh raya dan merempuh tiang papan tanda susur keluar itu.

Berikutan kejadian itu, pemandu lori terbabit cedera parah akibat tersepit di tempat duduk.

Difahamkan, sebelum kemalangan itu, pemandu lori tersebut bertindak memecut laju kenderaannya sebaik sahaja melepasi Plaza Tol Sungai Besi.

Namun, kira-kira 15 minit kemudian, lori yang dipandu laju itu terlibat dalam kemalangan dan insiden itu akhirnya membongkar kegiatan penyeludupan rokok tiruan.

Sepasukan anggota polis peronda lebuh raya yang tiba di tempat kejadian untuk membantu mangsa telah menghubungi Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Cawangan Negeri Sembilan untuk menyiasat kes tersebut.

Hasil siasatan, KDRM mengesahkan rokok yang dibawa dalam lori itu adalah rokok tiruan.

Usaha mengesan sindiket yang terlibat dalam kegiatan itu kini giat dijalankan melalui alamat syarikat yang tertera pada lori berkenaan.

Pemandu lori yang cedera parah pula dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Ibrahim Jaapar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.

Keretek RM500,000 dirampas

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/05/14
PUCHONG: Polis mematahkan cubaan mengedar 720 kotak besar rokok keretek bernilai kira-kira RM500,000, selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di sebuah kedai di Bukit Puchong, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata serbuan kira-kira jam 5 petang itu dilakukan sepasukan anggota selepas membuat intipan. Katanya, bertindak atas maklumat orang awam, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan menunggu hampir 30 minit sebelum sebuah lori dinaiki tiga lelaki tempatan berusia 40-an. “Sebaik lori berkenaan sampai, polis mendapati semua suspek memunggah kotak besar ke dalam kedai dipercayai lokasi penyimpanan barang sebelum mena-han ketiga-tiga suspek termasuk pemandu lori.

“Hasil pemeriksaan terhadap premis berkenaan menemui 580 kotak besar mengandungi 100 kartun, 149 kotak kecil yang memuatkan 30 kartun rokok dan 30 kotak kecil di dalam lori berkenaan dengan anggaran nilai keseluruhan sebelum cukai RM500,000,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Zainal Rashid berkata, rokok keretek yang dirampas terdiri daripada jenama Zen, Oki dan Sampo dipercayai mula mendapat permintaan di pasaran tempatan negara ini sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan hasil rampasan termasuk lori yang digunakan dihantar ke Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan lanjut.

Perbicaraan kes liwat II ditangguh 31 Mei

Mei 13, 10 6:03pm

Buat kali kedua, keterangan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan secara tertutup di Kuala Lumpur hari ini.

Prosiding tertutup yang berlangsung selama 30 minit petang tadi juga atas permintaan Karpal Singh yang mewakili Anwar sewaktu pemeriksaan balas.

Sebelum ini, Karpal Singh membuat permintaan yang sama ketika Saiful disoal oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan pada pembukaan perbicaraan itu awal Februari tahun ini.

Seorang peguam lain Anwar, SN Nair, memberitahu wartawan bahawa prosiding secara tertutup hari ini mengambil masa 30 minit.

Selepas sesi itu, mahkamah kembali bersidang secara terbuka sebelum Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menangguhkan perbicaraan kepada 31 Mei selepas membenarkan Karpal Singh menfailkan permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Karpal Singh berkata pihaknya akan memfailkan dua rayuan iaitu rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan Anwar untuk dibekalkan dengan kenyataan saksi oleh Saiful dan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan penangguhan prosiding perbicaraan itu.

Anwar, 63, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), didakwa atas tuduhan meliwat Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Terdahulu, semasa prosiding bersambung secara terbuka, pemeriksaan balas diteruskan dengan Saiful, yang merupakan bekas pembantu Anwar, dipanggil semula untuk mengenal pasti bekas setiausaha politik Anwar, Mohamed Ezam Mohd Noor.

Semalam, Saiful dalam keterangannya berkata beliau berjumpa dengan Mohamed Ezam pada 27 Jun 2008 untuk mengadu penganiayaan yang berlaku kepadanya.

Ketika ditanya siapa yang menasihatinya untuk membuat laporan polis, Saiful menjawab: "Atas kehendak sendiri."

Kepada soalan sama ada beliau mendapat nasihat daripada bekas ratu trek negara, Datuk Mumtaz Jaafar, beliau berkata Mumtaz tidak bersetuju dengan beliau membuat laporan polis.

Ditanya sama ada beliau ada berjumpa dengan sesiapa pada pagi 28 Jun, 2008, sebelum membuat rawatan di hospital dan juga sebelum membuat laporan polis, Saiful berkata beliau ada berjumpa pakciknya "Tuah" pada pagi itu dan seorang guru agama.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu nama penuh guru agama itu, tetapi memanggilnya "Atuk".

Saiful berkata beliau ada pergi ke rumah Anwar pada 27 Jun, 2008, jam 5 petang kerana ada perjumpaan dengan "blogger" dan "Anwar Club".

Karpal Singh kemudiannya merujuk kepada satu gambar di majlis itu di mana Saiful sedang membawa minuman di meja Anwar bersama tetamunya, dan Saiful mengesahkan gambar itu.

- Bernama

23 kes penipuan tanah RM48.5j dikesan

2010/05/14
KUALA LUMPUR: Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) mengesan 23 kes penipuan tanah membabitkan nilai berjumlah RM48.5 juta yang sudah dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Pengarahnya, Hasim Ismail, berkata semua kes penipuan status hak milik tanah itu mendorong pihaknya memperkenalkan sistem biometrik sejak setahun lalu yang nyata mampu mengekang cubaan penipuan urusan pindah milik.

“Sebagai perintis sistem ini, kita dapati banyak perubahan kerana semua pihak yang berurusan dengan Bahagian Pendaftaran dikehendaki mendaftarkan diri menggunakan identiti MyKad, sekali gus memastikan kita menjalankan urusan dengan empunya tanah. “Setakat ini, dua kes dikesan ketika biometrik diperkenalkan, manakala yang lain membabitkan kes lama dengan 16 kes penipuan yang dikenal pasti masih dalam siasatan polis, lima lagi menunggu laporan Audit Trail serra tiga kes di bawah penelitian pendakwa raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Hari Bertemu Pelanggan di PTGWP serta majlis penyerahan geran kepada pemohon Lesen Menduduki Sementara (LMS) yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Mengulas mengenai sistem penyampaian, beliau berkata, konsep ‘One Piece Flow’ membolehkan semua jenis permohonan didaftarkan dalam tempoh sehari dan hingga 1 April, 91.7 peratus permohonan membabitkan 4,268 dapat diselesaikan.

“Pendaftaran segera dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan membabitkan nilai RM5.8 bilion membantu merancakkan pembangunan hartanah di Wilayah Persekutuan seterusnya memberi faedah kepada semua.

“Malah melihat trend pembayaran cukai, setakat bulan lalu, pungutan hasil memperoleh RM198 juta berbanding sasaran ditetapkan, iaitu RM213 juta yang bermakna kita mencapai 92.9 peratus pada suku tahun pertama,” katanya.

Bagi menggalakkan pemilik tanah melunaskan pembayaran cukai dengan segera, PTGWP turut menawarkan diskaun selain memberikan ganjaran seperti motosikal, komputer riba, televisyen skrin rata, telefon bimbit menerusi cabutan bertuah

Wednesday, May 12, 2010

Enam ditahan seleweng minyak janakuasa SESB

2010/05/12
KOTA KINABALU: Enam individu termasuk lima kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) ditangkap Sabtu lalu kerana mendalangi aktiviti menyeleweng minyak di stesen janakuasa Lahad Datu.

Serbuan dilakukan Jabatan Keselamatan dan Risikan SESB bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Kemenenterian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Perkara itu disahkan Pengarah Urusan SESB, Baharin Din, di sini hari ini.

UPP Kedah rampas 36 tan beras Siam wangi seludup

2010/05/12
BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 36 tan metrik beras Siam wangi bernilai lebih RM100,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini dari Thailand, malam tadi.

Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota UPP di ketuai oleh Komander Kawasan UPP, Wan Mazlan Endut menahan sebuah lori treler dipandu seorang lelaki tempatan sarat dengan muatan 720 kampit beras Siam wangi di stesen minyak Petronas Jitra, dekat sini, pada jam 7.30 malam. Komander UPP Kedah, Mohd Noor Idris, berkata selepas menjalankan siasatan pihaknya mendapati pemandu berkenaan tidak membawa sebarang dokumen sah berkaitan bagi membolehkannya membawa masuk beras itu dari Thailand ke negara ini.

Tuesday, May 11, 2010

Dua hadapi tuduhan lulus pindah saham RM1.3 juta

2010/05/12
ALOR SETAR: Dua pengarah sebuah syarikat pembinaan tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan meluluskan pemindahan saham syarikat bernilai RM1.3 juta tanpa kebenaran pemilik saham itu, lebih setahun lalu.

Khairul Nizamullah Halim, 30, dan Haslinda Mohamad, 32, kedua-duanya dari Jitra, dituduh bersama-sama melakukan perbuatan itu di No 5 Lorong Pantai Halban 1, Taman Desa Perdana, Jitra, pada 22 Disember 2008. Mengikut kertas pertuduhan, Khairul Nizamullah dan Haslinda didakwa bertindak dengan tidak munasabah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pengarah Syarikat Purata Abadi Sdn Bhd. Mereka yang juga defendan kedua dan ketiga, dituduh bersama-sama meluluskan pemindahan saham syarikat milik Aznah Ahmad, 46, kepada Irmawaty Ahmad Rusdy, 33, yang juga pengarah syarikat, berjumlah 1,312,500 unit. Kelulusan itu dibuat melalui Resolusi Edaran Pengarah bertarikh 22 Disember 2008.

Defendan juga dituduh mengetahui pindahan saham itu dibuat tanpa kebenaran dan pengetahuan Aznah.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 132 (1) Akta Syarikat 1965 dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 132 (3) (b) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara lima tahun atau denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali.
Hakim Khairul Anuar Abdul Halim mengarahkan pasport kedua-dua tertuduh
ditahan dan membenarkan mereka diikat jamin RM5,000 setiap seorang serta menetapkan Ahad ini bagi sebutan semula kes

Monday, May 10, 2010

Suami isteri disyaki anjur loteri haram ditahan

2010/05/10
KUALA TERENGGANU: Polis menahan sepasang suami isteri yang dipercayai terbabit kegiatan loteri haram dengan anggaran nilai pertaruhan mencecah RM500,000 sebulan dalam serbuan di sebuah rumah di pangsapuri Permit Harmoni, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Fauzi Abduri, berkata dalam serbuan dilakukan 5.30 petang semalam, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 59 tahun dan isterinya, 55, ditahan 20 minit kemudian sebaik pulang ke rumah. "Siasatan awal kita mendapati pasangan itu telah menjalankan kegiatan haram itu sejak empat tahun lalu di sekitar bandar ini yang membabitkan anggaran nilai pertaruhan menjangkau RM11,000 setiap hari dan mencecah RM500,000 sebulan. "Pasangan ini menggunakan rumah kediaman mereka sendiri sebagai tempat mengumpul pertaruhan bertujuan mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan, kita telah merampas satu unit telefon bimbit, satu unit data pencetak, mesin faks dan peralatan lain yang disyaki digunakan dalam kegiatan haram tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Fauzi berkata hasil penemuan dokumen komputer yang mengandungi maklumat pertaruhan judi bola sepak, polis percaya pasangan itu juga mengaut keuntungan dengan menjalankan aktiviti pertaruhan judi bola sepak.

Pasangan itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(A)(a) Akta Judi Rumah Terbuka 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan

Syarikat pelaburan burung walit diserbu

2010/05/10
KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat di Kulim, Kedah, hari ini diserbu kerana disyaki menawarkan pelaburan haram kepada orang ramai berkaitan peluang dalam penternakan burung walit dengan menjanjikan pulangan yang besar.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dalam satu kenyataan hari ini, berkata syarikat itu diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965. Menurut SSM, modus operandi syarikat itu adalah untuk mempelawa orang ramai melabur dalam penternakan burung walit dengan menyatakan ia akan mengurus dan menternak burung walit bagi mendapatkan sarang burung. Sarang burung itu kemudiannya akan dijual oleh syarikat berkenaan dan hasil jualan dikongsi antara syarikat berkenaan dan pelabur bagi asas 20:80 peratus.

"Pelaburan adalah sekitar RM4,000 hingga RM400,000 dan mereka dijanjikan jualan kasar kira-kira RM120,000 sebulan jika jumlah maksimum dilaburkan," menurut SSM.

Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 84 (1) dan Seksyen 91(1) akta berkenaan yang menyatakan mana-mana entiti yang cuba menawarkan kepada orang ramai sebarang skim yang menjanjikan sebarang bentuk pulangan kepada pelaburan perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Pendaftar Syarikat.

Syarikat itu sekarang berada di bawah pengawasan SSM dan aktivitinya akan dipantau dengan rapi.
"Kami akan terus memantau semua syarikat yang menawarkan skim faedah kepada orang ramai sebagai satu usaha berterusan untuk melindungi mereka dengan memastikan pematuhan ketat kepada syarat-syarat Akta Syarikat 1965," menurutnya. - Bernama

Thursday, May 6, 2010

Ahli perniagaan didakwa lagi

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Mei 2010 - Seorang ahli perniagaan yang pernah menghadapi tuduhan menipu RM200 juta, didakwa lagi atas tuduhan yang sama iaitu memalsukan akujanji berkaitan sumbangan kewangan bernilai RM1.5 bilion bagi menubuhkan sebuah yayasan kebajikan, empat tahun lalu.

Anuar Abd. Aziz, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Dia didakwa mengemukakan pernyataan yang terkandung dalam Surat Pengesahan dan Akujanji Sumbangan bertarikh 9 November 2006 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Tingkat 2, 10-18, Putra Place, 100 Jalan Putra di sini antara 2 November dan 9 November 2006.

Pernyataan itu didakwa berkaitan sumbangan kewangan berjumlah RM1.5 bilion untuk menubuhkan Yayasan Sejahtera Malaysia yang diasaskan oleh tertuduh.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 24 Ogos tahun lalu, Anuar didakwa atas tuduhan yang sama untuk penubuhan Yayasan Aziz Azizah yang kononnya diasaskan olehnya.

Pegawai Pendakwa dari SSM, Mohamad Azies Han Mohd. Fadzil menawarkan jaminan RM100,000 terhadap tertuduh dengan alasan kes itu adalah serius memandangkan ia melibatkan penubuhan yayasan kebajikan yang bertujuan membantu orang awam.

Sementara itu, peguam bela yang mewakili tertuduh, Datuk V. Sithambaram pula memohon agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya telah membayar jaminan RM150,000 bagi kes yang dihadapinya pada Ogos tahun lalu.

Kata beliau, anak guamnya juga mematuhi arahan mahkamah terdahulu dengan melaporkan diri ke Balai Polis Travers sekali sebulan.

Hakim Jagjit Singh kemudiannya membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan.

Awas sindiket jual tanah

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 6 Mei 2010 - Orang ramai dinasihati tidak terpedaya dengan sindiket penipuan menjual tanah kerajaan yang diceroboh yang kini bergerak aktif di daerah ini. Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr. Salehuddin Ishak mengakui terdapat sindiket tertentu yang membuka tanah haram secara berkelompok sebelum menjual borang permohonan kepada orang ramai.

Katanya, ahli sindiket tersebut menjual borang dengan harga antara RM50 hingga RM100 sedangkan ia sebenarnya boleh diperoleh di pejabat daerah dan tanah secara percuma.

"Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak ghairah untuk membeli tanah tersebut tetapi sebenarnya mereka menjadi mangsa penipuan.

"Sindiket yang tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan ekoran sikap masyarakat sendiri yang terlalu dahagakan tanah sehingga sanggup membiarkan diri mereka ditipu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama atlet basikal dan silat Pahang yang akan bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Melaka Jun ini, di kediamannya di sini malam tadi.

Salehuddin berkata, antara tanah kerajaan yang dikesan diceroboh ialah di kawasan sempadan Temerloh-Jerantut, sempadan Temerloh-Bera dan Lanchang dekat sini.

Beliau memberitahu, pihaknya juga mengesan tanah kerajaan yang diceroboh orang luar yang membina penempatan dan membuka ladang sejak 40 tahun lalu.

Katanya, terdapat penempatan yang dibina secara haram di Kampung Paya Mengkuang Ladang dekat sini dan penerokaan tanah kerajaan untuk aktiviti pertanian sempadan Temerloh-Bera dengan keluasan puluhan hektar.

"Kami mengetahui perkara ini dan mempunyai maklumat terperinci mengenai setiap keluarga yang tinggal di kampung itu malah lokasi penerokaan tanah haram pun kami ada.

"Kami mengambil kira banyak perkara termasuk dari segi kemanusiaan untuk mengambil tindakan tetapi penempatan yang mereka bina tetap salah dari segi undang-undang dan akan bertindak sedikit demi sedikit," katanya.

Salehuddin memberitahu, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh mempunyai kemampuan untuk melaksanakan penguatkuasaan di kawasan terbabit tetapi menghadapi dilema antara undang-undang dan kemanusiaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah itu dengan menguatkuasakan undang-undang tetapi pada masa sama mengambil kira soal kemanusiaan

Wednesday, May 5, 2010

Kastam rampas rokok bernilai RM3.6 juta

Saadon Mohd. Dros (tengah) bersama anggotanya menunjukkan rokok kretek yang dirampas bernilai RM3.6 juta di Alor Setar, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

ALOR SETAR 5 Mei 2010 – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas 38,938 karton rokok keretek seludup bernilai hampir RM3.6 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan di Pulau Pinang, Pendang dan Kuala Kedah di sini, semalam.

Pengarah Kastam Negeri, Saadon Mohd. Dros berkata, ketiga-tiga serbuan tersebut dijalankan hasil daripada maklumat orang awam.

Katanya, bagi kes pertama, pasukan Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pulau Langkawi telah melakukan serbuan di sebuah rumah teres di Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang.

“Ketika serbuan, rumah tersebut tidak berpenghuni dan pihak kami menjumpai 37,050 karton rokok keretek jenama Soon dan Harry di dalam premis tersebut.

“Nilai semua rokok tersebut ialah kira-kira RM270,500 dengan melibatkan jumlah cukai sebanyak RM3.4 juta,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pihak kastam masih menyiasat penyewanya yang menjadikan rumah itu sebagai stor penyimpanan rokok seludup.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang berduti dan belum lulus kastam,” katanya.

Dalam kejayaan kedua pula, katanya, kastam menahan sebuah kereta Proton Iswara di Kilometer 58.9, Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara Pendang, pada pukul 12.35 tengah hari semalam.

Katanya lagi, setelah menjalankan pemeriksaan, pihaknya menemui 340 karton rokok keretek jenis Surya dan 50 karton rokok putih jenama Luffman bernilai hampir RM29,000 termasuk cukai.

“Seorang lelaki berusia 30-an yang memandu kereta tersebut ditahan untuk siasatan lanjut dan kemudian dia dilepaskan dengan jaminan bon,” katanya.

Saadon memberitahu, kes ketiga pula diperoleh kira-kira pukul 11 pagi semalam, apabila kastam menahan sebuah lori di hadapan balai polis Kuala Kedah di sini.

“Ketika diperiksa, lori tersebut kosong. Namun, kami membawa lori tersebut ke Pejabat Kastam Alor Setar untuk menjalankan pemeriksaan rapi.

“Hasilnya, sebanyak 1,498 karton rokok keretek jenama Bingo ditemui disembunyikan di sebalik papan lapis yang direka khas di bahagian kanan dan kiri lori itu,’’ jelas beliau.

Kes curi identiti pengguna internet terus meningkat

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
2010/05/06
Pelanggan didapati tak sedar laman web bank dilayari palsu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 446 daripada 1,329 kes pencerobohan internet yang dilaporkan pada suku pertama tahun ini membabitkan cubaan mencuri identiti pengguna internet, termasuk kata nama dan kata laluan akaun internet. Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan Kawalan Mutu Cyber Security Malaysia, Dr Solahuddin Shamsuddin, berkata jumlah itu meningkat 52 peratus bagi tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 214 kes. Beliau berkata, cubaan mencuri identiti pengguna internet itu berkaitan dengan pencerobohan maklumat akaun pelanggan bank, khasnya bagi mencuri kata nama atau ‘username’ dan kata laluan atau password’ rahsia.

“Penipuan berlaku apabila pelanggan bank tidak menyedari laman web bank yang mereka layari adalah palsu kerana memiliki ciri-ciri yang hampir sama dengan laman web asli.

“Apabila mereka memasukkan kata nama dan kata laluan pada laman web palsu, maklumat peribadi dan akaun mereka dapat dicuri oleh penggodam yang kemudian dimanipulasi untuk pelbagai tujuan penipuan termasuk mengeluarkan wang milik mangsa,” katanya ketika sesi bual bicara sempena pelancaran produk pelindung komputer Kapersky PURE, di sini semalam.

Kapersky PURE adalah produk yang berupaya melindungi komputer daripada pencerobohan dan gangguan termasuk antivirus, kawalan terhadap internet, aplikasi, kata laluan, kata kemasukan, maklumat peribadi dan sistem operasi.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Solahuddin berkata, berdasarkan siasatan Siber Security Malaysia, laman web bank palsu yang dilayari mangsa itu berpangkalan di luar negara.

Beliau berkata, apabila menerima aduan berhubung pencerobohan internet, Cyber Security Malaysia menerusi Pasukan Tindak Balas Kecemasan Keselamatan Komputer Malaysia (MyCert) akan melaporkan kepada pasukan bertindak di negara yang dikenal pasti menjadi pusat penceroboh supaya memotong khidmat penyedia khidmat internet (ISP).

“Biasanya kita dapat menghentikan gangguan internet ini dengan pantas hasil hubungan baik Malaysia dengan negara memiliki pasukan seperti MyCert,” katanya.

Sementara itu, Solahuddin berkata, 80 peratus atau 504 daripada 1,329 kes pencerobohan internet yang dipandang serius pihaknya ialah perbuatan merosakkan laman web termasuk milik agensi kerajaan.

Beliau juga berkata, sebanyak 3,564 kes pencerobohan internet dilaporkan sepanjang 2009 dengan 1,766 membabitkan pencerobohan terhadap sistem, manakala cubaan mencuri identiti pengguna internet sebanyak 1,022 kes.

“Kita mengambil berat perbuatan merosakkan laman web kerana ia akan mengganggu perjalanan sistem internet agensi yang terbabit, proses capaian dan perayauan selain menimbulkan kekeliruan kepada pengguna,” katanya.

Warga Belanda tipu YDSM

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Mei 2010 - Seorang lelaki warga Belanda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atau tuduhan cuba menipu Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) menggunakan dokumen palsu yang dikatakan bernilai lebih RM632 juta.

Zvonko Berdik Albert, 65, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.

Dia didakwa telah menggunakan Bil Pertukaran (Bill of Exchange) daripada Bedford International Financial Group yang bernilai 150 juta Euro (RM632,865,048.20) untuk didermakan kepada yayasan tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari, 16 April lalu di Istana Terengganu, Jalan Kia Peng di sini.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Komathy selepas mempertimbangkan hujah pendakwa dan rayuan tertuduh membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan syarat penjamin hendaklah warganegara Malaysia.

Kes itu akan disebut semula pada 2 Jun ini.

Tuesday, May 4, 2010

Diesel seludup di R&R

Oleh Lum Chee Hong
bhnews@bharian.com.my
2010/05/05


PENGUATKUASA KPDNKK merampas 36 tong minyak diesel di R&R Seremban arah selatan, semalam.36 tong dirampas di hentian rehat dan rawat Seremban

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan membongkar kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi yang menjadikan kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban arah selatan di Lebuh Raya Utara-Selatan sebagai tempat pemindahan bahan bakar itu. Ini berikutan kejayaan KPDNKK merampas 36 tong minyak diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM1,500 yang ditinggalkan di tepi jalan sebuah ladang kelapa sawit berdekatan kawasan R&R dekat sini, petang semalam. Setiap tong yang mengandungi 20 liter minyak diesel itu dipercayai ditinggalkan di kawasan berkenaan oleh penyeludup bahan bakar untuk diambil pembeli.

Timbalan Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan, Mohd Nor Musa, berkata pihaknya merampas tong minyak diesel itu selepas tiada pihak datang mengambilnya.

“Hasil risikan mendapati minyak diesel diseludup dengan lori memasuki kawasan ladang kelapa sawit dan kemudian dijual kepada pembeli di situ,” katanya pada sidang media di kawasan R&R Seremban, semalam.

Bagaimanapun, Musa berkata, penyeludup terbabit mempunyai taktik baru menggunakan lori kargo yang mempunyai tangki minyak diesel yang besar memasuki R&R Seremban arah selatan.

Katanya, minyak dari tangki lori disalur menggunakan tiub kecil ke dalam tong dan selepas penuh, penunggang motosikal datang dan membawa tong ke ladang kelapa sawit berhampiran untuk diserahkan kepada pembeli.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda hingga RM100,000 jika sabit kesalahan

Rampasan minyak meningkat

KOTA BHARU 4 Mei 2010 - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri merampas minyak dan kenderaan yang digunakan bagi menyeludup keluar bahan api itu bernilai lebih RM457,000 dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pemangku Pengarahnya, Rosli Ahmad berkata, daripada 33 kes sepanjang tempoh itu, ia membabitkan 28,441 liter minyak di samping 34 buah kenderaan dan menyifatkan ia suatu pencapaian memberansangkan dalam menangani gejala itu.

Menurut beliau, jumlah tersebut jauh lebih tinggi dibandingkan dengan nilai rampasan dan kes bagi sepanjang tahun lepas yang mencatat nilai sebanyak RM196,439 dengan 21 kes melibatkan 58,000 liter minyak dan sembilan kenderaan.

''Peningkatan ini mungkin ada kaitannya dengan penempatan pegawai penguat kuasa di stesen-stesen minyak di sempadan selepas kerajaan tidak membenarkan minyak dijual lebih 20 liter kepada rakyat asing," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Buat masa ini katanya, terdapat 90 orang penguat kuasa di negeri ini termasuk 60 orang daripadanya berada di ibu pejabat.

Katanya, kejayaan rampasan itu hasil siasatan bahagian penguat kuasa di samping serahan oleh agensi penguatkuasaan termasuk kastam, Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan Marin.

Pihaknya memberi jaminan setiap kes yang diserahkan mempunyai fail siasatan dengan lantikan pegawai penyiasat bagi menyiasat setiap kes berkaitan barangan rampasan.

Tawar kursus tanpa kelulusan KPT kolej didenda RM15,000

05/05/2010 1:54pm

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics dijatuhkan hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengendalikan kursus pengajian tanpa mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi, dua tahun lepas.

Majistret Nor Shakinah Ahmad Kamarudin mengenakan denda terhadap kolej itu selepas ketua eksekutifnya, Prof Dr Nazaruddin Mohamed Jali yang mewakili kolej berkenaan mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu.

Kolej berkenaan membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, kolej itu didakwa mengendalikan kursus Diploma Multimedia Kreatif tanpa mendapat kelulusan Menteri Pengajian Tinggi terlebih dahulu.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kolej itu didakwa melakukan kesalahan yang sama bagi kursus Diploma Pengurusan Sumber Manusia dan Diploma Pengurusan Hotel dan Katering.
Kolej itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Maluri, Jalan Jejaka, Taman Maluri pada 12.30 tengahari, 4 Nov 2008.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 38 (1) (a) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 38 (2) Akta yang sama dan boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya. - Bernama

Sunday, May 2, 2010

47,800 liter petrol seludup dirampas

Mohd. Noor Idris (kiri bawah) bersama anggotanya memeriksa lori tangki yang ditahan di Kuala Kedah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

ALOR SETAR 2 Mei 2010 - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 47,800 liter petrol dalam tiga buah lori tangki yang dianggarkan bernilai RM86,000 selepas menyerbu sebuah kilang lama di Kampung Selarong Batak, Kuala Kedah di sini malam tadi.

Dalam serbuan pukul 9.50 malam itu, tiga lelaki berusia antara 21 hingga 38 tahun yang sedang memindahkan petrol ke dalam beberapa buah lori turut ditahan.

Komander UPP Kedah, Mohd. Noor Idris berkata, serbuan diketuai oleh beliau sendiri dengan bantuan tujuh orang anggota selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui tiga buah lori tangki yang masing-masing berisi petrol dipercayai dipam dari sebuah lagi lori tangki di lokasi berkenaan.

"Lori tangki yang sebuah lagi itu kosong kerana suspek dipercayai telah memindahkan muatan petrol ke dalam ketiga-tiga lori berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, lori berkenaan yang datang dari Pulau Pinang sepatutnya membuat penghantaran petrol ke sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut tetapi telah membawanya ke kawasan kilang ini," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Mohd. Noor berkata, kawasan kilang itu disyaki menjadi lokasi pemindahan petrol sebelum dibawa ke Padang Besar, Perlis untuk diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, kawasan tersebut tiada permit untuk menyimpan minyak selain ketiga-ketiga buah lori tangki terbabit juga tidak mempunyai permit untuk membawa bahan bakar itu.

"Kegiatan ini dipercayai dilakukan oleh sebuah sindiket sejak dua atau tiga bulan lalu dan mengambil kesempatan hari cuti sempena Hari Pekerja semalam untuk menjalankan operasi mereka," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Modal RM2 dapat lot balak

2010/05/03
BACHOK: Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, semalam, mendedahkan ada syarikat balak di Kelantan yang hanya bermodalkan RM2, mampu memperoleh beratus juta ringgit, hasil penjualan syarikat itu kepada pihak lain apabila mendapat konsesi balak tanpa tender.

Katanya, syarikat berkenaan ditubuhkan oleh orang tertentu dalam Pas dan mereka mendaftar atas permohonan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). “Saya dimaklumkan, banyak helah seperti ini dilakukan. Syarikat sebelum ini hanya bernilai RM2 dan apabila mendapat konsesi balak tanpa tender, mereka menjual syarikat terbabit kepada tauke balak dengan mendapat keuntungan sehingga beratus juta ringgit. “Kerajaan negeri harus mendedahkan senarai syarikat terbabit dalam pembalakan serta hasil yang diperoleh bagi membolehkan rakyat melihat ketelusannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pemimpin Turun Ke Desa Bersama Warga Emas Parlimen Bachok, di Kampung Badak, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, perkara seperti ini tidak harus berlaku kerana masih ramai rakyat Kelantan yang hidup dalam kesusahan dan sudah tiba masanya mereka menuntut keadilan bagi memastikan masa depan lebih terjamin.

"Rakyat Kelantan jangan dijadikan alat yang boleh dipergunakan untuk kepentingan individu atau politik sehingga wang mengalir ke tempat lain. Barisan Nasional (BN) tidak tergamak berbuat seperti ini.

“Kita (BN) hendak membelanjakan wang ihsan, kita akan beritahu semua pihak, namun kerajaan Pas Kelantan, mereka sentiasa memberi pelbagai alasan (dalam pengeluaran perbelanjaan) sebab itu saya kata kerajaan ini paling tidak telus,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, rakyat Kelantan turut dikhianati pemimpin Pas negeri itu apabila wang RM4 juta yang sepatutnya diguna untuk tujuan pembangunan digunakan untuk menjatuhkan kepemimpinan BN.

Pendedahan penulis blog Kickdefella mengenai peruntukan RM4 juta itu, katanya, harus membuka mata rakyat negeri ini bahawa Pas adalah sebuah parti yang rakus, bukan lagi berimejkan Islam

Syarikat jualan langsung didakwa gagal agih keuntungan RM17 juta

KOTA BHARU 2 Mei 2010 - Seramai 1,000 pelabur dalam syarikat skim jualan langsung terkenal di Gua Musang, Kelantan mendakwa tertipu kerana tidak mendapat agihan keuntungan sebanyak RM17 juta seperti dijanjikan.

Pelabur-pelabur itu mendakwa syarikat yang diusahakan oleh seorang wanita berusia 34 tahun itu menghentikan pembayaran keuntungan perniagaan sejak Jun tahun lalu.

Menurut juruperunding yang dilantik oleh pelabur tersebut, Mohamad Salihin Abdul Jalil, seramai 102 mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh sejak tiga bulan lalu.

''Hampir 80 peratus mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Kubang Telaga, Gunong, Bachok dan mempunyai pertalian darah dengan wanita terbabit," katanya ketika mengunjungi pejabat Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, kebanyakan ahli syarikat jualan langsung itu terdiri daripada penoreh getah, petani, kakitangan kerajaan termasuk polis, bomba, tentera, guru dan doktor yang telah membuat bayaran antara RM1,000 dan RM100,000.

Mohamad Salihin berkata, pihaknya akan membawa kes itu ke muka pengadilan dan kini dalam proses melantik peguam bagi menuntut kembali hak mereka menerusi tindakan undang-undang.

Katanya, perbincangan yang dilakukan secara bersemuka dengan usahawan wanita itu juga menemui jalan buntu.

Wanita itu, katanya, memberikan alasan gagal menunaikan cek berjumlah RM17 juta untuk diagih-agihkan kepada ahli kerana pihak ibu pejabat syarikat jualan langsung itu enggan melepaskan wang tersebut.

Menurutnya lagi, pada tahun 2007, wanita berpangkat Royal Crown Manager itu menawarkan kepada penduduk kampung peluang melabur sebagai rakan kongsi untuk membina sebuah agensi syarikat jualan langsung di pekan Gua Musang.

Sementara itu, seorang mangsa berpangkat Diamond Sales Manager yang juga pembantu kanan kepada wanita terbabit, Norizan Mat Nor, 44, berkata, dia dan isteri melabur sebanyak RM207,000 sejak dua tahun lalu kerana yakin dan percaya perniagaan tersebut akan memberi keuntungan yang berterusan.

"Sejak pembayaran dihentikan, saya mengalami tekanan perasaan yang teruk kerana menerima cacian, penghinaan dan maki-hamun daripada peserta yang marah, kecewa dan tidak puas hati dengan kegagalan syarikat yang diterajui oleh wanita itu untuk meneruskan pembayaran.

"Di peringkat awal tahun 2007, saya menjual lori untuk mendapatkan modal dan apabila pembayaran dihentikan oleh syarikat, saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar keuntungan ahli di bawah seramai 272 orang dengan bayaran RM481,570," katanya.
Dalam pada itu, Salihin menyeru mana-mana mangsa yang terlibat sama ada berada di negeri ini atau negeri lain supaya tampil membuat laporan polis atau menghubunginya di talian 014-5023523.