Friday, May 21, 2010

Mangsa penipuan SMS meningkat

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
pengarang@utusan.com.my



KOH Hong Sun menurunkan tandatangan pada plak perasmian Balai Polis Tebong sambil disaksikan oleh Mohd. Rodwan Mohd. Yusof (kanan) di Alor Gajah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



ALOR GAJAH 20 Mei – Meskipun orang ramai sering didedahkan dengan kes-kes penipuan menerusi panggilan telefon dan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS), bilangan mereka yang menjadi mangsa di negara ini semakin meningkat.

Buktinya, sejak awal 2008 sehingga Mac lalu, sebanyak 790 kes membabitkan jumlah kerugian RM6.5 juta telah dilaporkan di seluruh negara.

Untuk tempoh Januari hingga Mac ahun ini sahaja, sebanyak 219 kes penipuan menerusi SMS dan telefon melibatkan kerugian RM1.15 juta dicatatkan.

Perkara ini ternyata membimbangkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun kerana berdasarkan peningkatan kes itu, ia menunjukkan masyarakat masih tidak sedar tentang betapa bahayanya jenayah ini.

“Kes penipuan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dengan mudah kerana kalau kita fikir secara logik, kenapa pula kita perlu bayar kalau kita yang menang hadiah?

“Sehubungan itu saya minta masyarakat perlu berfikir lebih mendalam, kenapa kita perlu ikut cakap orang yang kita tidak pernah kenali, mana ada orang akan bagi duit begitu sahaja (untuk menipu),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Balai Polis Tebong di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof; Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Supritendan Sum Chang Keong.

Hong Sun berkata, bilangan kes penipuan SMS dan telefon juga didapati meningkat lebih lima kali ganda sepanjang tahun lalu berbanding 2008.

Sepanjang tahun 2008, katanya, sebanyak 75 kes telah berlaku melibatkan kerugian sebanyak RM1.68 juta.

Namun pada tahun lalu, jumlah kes meningkat lebih lima kali ganda menjadi 496 kes dengan kerugian sebanyak RM3.7 juta.

Beliau yang kesal dengan perkara itu meminta orang ramai agar lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan itu.

No comments:

Post a Comment