Wednesday, May 26, 2010

RM26,550 lesap: Eksekutif ditahan beri laporan palsu

KLANG 26 Mei 2010 - Seorang eksekutif pemasaran yang mendakwa wang tunai milik majikannya berjumlah RM26,550 dilarikan perompak pagi ini, diberkas selepas pihak polis mengesyaki dia memberi keterangan palsu.

Lelaki berusia 29 tahun itu yang bertugas di kilang membuat plastik di Klang Utama di sini diberkas ketika dia memberi keterangan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, pada mulanya lelaki itu melaporkan keretanya telah dihalang di bahagian depan dan belakang oleh dua buah kereta jenis Proton Waja yang dinaiki tujuh perompak di Jalan Haji Sirat, Kapar kira-kira pukul 11.25 pagi.

Katanya, lelaki itu mendakwa dia baru mengeluarkan wang tunai RM26,550 dari sebuah bank di Klang Utama dan sedang memandu menuju ke sebuah bank lain di Bandar Baru Klang.

Ujar beliau, lelaki itu juga mendakwa kenderaannya diekori dua buah kereta Proton Waja semasa melalui Jalan Haji Sirat.

"Selepas keretanya dihalang, eksekutif itu mendakwa salah seorang daripada perompak yang bersenjatakan parang keluar dan memecahkan tingkap keretanya di bahagian penumpang sebelum merampas beg berisi wang tunai itu.

"Dia yang mendakwa ketakutan dan panik hanya melihat perompak itu melarikan diri bersama rakan-rakannya yang lain membawa wang tersebut," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohamad, polis yang menjalankan siasatan lanjut selepas menerima laporan itu bagaimanapun curiga dengan keterangan yang diberikan lelaki itu.

Ini kerana, berdasarkan keterangan pihak majikan, lelaki itu sebenarnya diarahkan untuk menunggu di dalam bank sehingga seorang lagi kakitangan syarikat dihantar untuk mengiringinya keluar namun dia tidak mengikut arahan itu.

"Berikutan itu, polis menahan lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," kata beliau.

No comments:

Post a Comment