Wednesday, May 5, 2010

Kastam rampas rokok bernilai RM3.6 juta

Saadon Mohd. Dros (tengah) bersama anggotanya menunjukkan rokok kretek yang dirampas bernilai RM3.6 juta di Alor Setar, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

ALOR SETAR 5 Mei 2010 – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas 38,938 karton rokok keretek seludup bernilai hampir RM3.6 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan di Pulau Pinang, Pendang dan Kuala Kedah di sini, semalam.

Pengarah Kastam Negeri, Saadon Mohd. Dros berkata, ketiga-tiga serbuan tersebut dijalankan hasil daripada maklumat orang awam.

Katanya, bagi kes pertama, pasukan Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pulau Langkawi telah melakukan serbuan di sebuah rumah teres di Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang.

“Ketika serbuan, rumah tersebut tidak berpenghuni dan pihak kami menjumpai 37,050 karton rokok keretek jenama Soon dan Harry di dalam premis tersebut.

“Nilai semua rokok tersebut ialah kira-kira RM270,500 dengan melibatkan jumlah cukai sebanyak RM3.4 juta,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pihak kastam masih menyiasat penyewanya yang menjadikan rumah itu sebagai stor penyimpanan rokok seludup.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang berduti dan belum lulus kastam,” katanya.

Dalam kejayaan kedua pula, katanya, kastam menahan sebuah kereta Proton Iswara di Kilometer 58.9, Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara Pendang, pada pukul 12.35 tengah hari semalam.

Katanya lagi, setelah menjalankan pemeriksaan, pihaknya menemui 340 karton rokok keretek jenis Surya dan 50 karton rokok putih jenama Luffman bernilai hampir RM29,000 termasuk cukai.

“Seorang lelaki berusia 30-an yang memandu kereta tersebut ditahan untuk siasatan lanjut dan kemudian dia dilepaskan dengan jaminan bon,” katanya.

Saadon memberitahu, kes ketiga pula diperoleh kira-kira pukul 11 pagi semalam, apabila kastam menahan sebuah lori di hadapan balai polis Kuala Kedah di sini.

“Ketika diperiksa, lori tersebut kosong. Namun, kami membawa lori tersebut ke Pejabat Kastam Alor Setar untuk menjalankan pemeriksaan rapi.

“Hasilnya, sebanyak 1,498 karton rokok keretek jenama Bingo ditemui disembunyikan di sebalik papan lapis yang direka khas di bahagian kanan dan kiri lori itu,’’ jelas beliau.

No comments:

Post a Comment