Tuesday, May 18, 2010

Utara: Menyamar pegawai TNB tipu warga emas

2010/05/19
NIBONG TEBAL: Polis menumpaskan kegiatan penipuan yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan tertangkapnya dua lelaki di Sungai Acheh di sini, minggu lalu.

Suspek berusia 30-an dipercayai terbabit dalam kegiatan itu sejak setahun lalu, ditahan pada 12 Mei lalu ketika cuba menipu seorang warga emas dengan menuduh mangsa mencuri bekalan elektrik. Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata dalam kejadian itu, suspek berpura-pura melakukan pemeriksaan meter elektrik di rumah warga emas berkenaan. Bagi mengenakan mangsa, suspek meletakkan magnet di meter elektrik yang menyebabkan penunjuk di peralatan itu bergerak perlahan, lalu menuduh warga emas berkenaan mencuri bekalan elektrik.

Katanya, suspek meminta warga emas itu membayar RM10,000 bagi mengelak kes itu dibawa ke mahkamah dan kononnya akan dikenakan denda yang lebih tinggi.

"Warga emas itu yang curiga dengan kedua-dua suspek, menghubungi polis mengenai perkara itu. Sepasukan anggota polis yang tiba kemudian memberkas kedua-dua suspek bagi membantu siasatan," katanya di sini, semalam.

Polis turut menemui buku resit yang tertera nama TNB, peralatan pemeriksaan meter, cop nama serta telefon bimbit di dalam kereta lelaki berkenaan.
Siasatan polis juga mendapati suspek pernah menipu seorang mangsa pada 6 Mac lalu yang membabitkan kerugian RM3,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment