Thursday, May 6, 2010

Awas sindiket jual tanah

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 6 Mei 2010 - Orang ramai dinasihati tidak terpedaya dengan sindiket penipuan menjual tanah kerajaan yang diceroboh yang kini bergerak aktif di daerah ini. Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr. Salehuddin Ishak mengakui terdapat sindiket tertentu yang membuka tanah haram secara berkelompok sebelum menjual borang permohonan kepada orang ramai.

Katanya, ahli sindiket tersebut menjual borang dengan harga antara RM50 hingga RM100 sedangkan ia sebenarnya boleh diperoleh di pejabat daerah dan tanah secara percuma.

"Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak ghairah untuk membeli tanah tersebut tetapi sebenarnya mereka menjadi mangsa penipuan.

"Sindiket yang tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan ekoran sikap masyarakat sendiri yang terlalu dahagakan tanah sehingga sanggup membiarkan diri mereka ditipu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama atlet basikal dan silat Pahang yang akan bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) XIII di Melaka Jun ini, di kediamannya di sini malam tadi.

Salehuddin berkata, antara tanah kerajaan yang dikesan diceroboh ialah di kawasan sempadan Temerloh-Jerantut, sempadan Temerloh-Bera dan Lanchang dekat sini.

Beliau memberitahu, pihaknya juga mengesan tanah kerajaan yang diceroboh orang luar yang membina penempatan dan membuka ladang sejak 40 tahun lalu.

Katanya, terdapat penempatan yang dibina secara haram di Kampung Paya Mengkuang Ladang dekat sini dan penerokaan tanah kerajaan untuk aktiviti pertanian sempadan Temerloh-Bera dengan keluasan puluhan hektar.

"Kami mengetahui perkara ini dan mempunyai maklumat terperinci mengenai setiap keluarga yang tinggal di kampung itu malah lokasi penerokaan tanah haram pun kami ada.

"Kami mengambil kira banyak perkara termasuk dari segi kemanusiaan untuk mengambil tindakan tetapi penempatan yang mereka bina tetap salah dari segi undang-undang dan akan bertindak sedikit demi sedikit," katanya.

Salehuddin memberitahu, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh mempunyai kemampuan untuk melaksanakan penguatkuasaan di kawasan terbabit tetapi menghadapi dilema antara undang-undang dan kemanusiaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah itu dengan menguatkuasakan undang-undang tetapi pada masa sama mengambil kira soal kemanusiaan

No comments:

Post a Comment