Monday, May 10, 2010

Syarikat pelaburan burung walit diserbu

2010/05/10
KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat di Kulim, Kedah, hari ini diserbu kerana disyaki menawarkan pelaburan haram kepada orang ramai berkaitan peluang dalam penternakan burung walit dengan menjanjikan pulangan yang besar.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dalam satu kenyataan hari ini, berkata syarikat itu diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965. Menurut SSM, modus operandi syarikat itu adalah untuk mempelawa orang ramai melabur dalam penternakan burung walit dengan menyatakan ia akan mengurus dan menternak burung walit bagi mendapatkan sarang burung. Sarang burung itu kemudiannya akan dijual oleh syarikat berkenaan dan hasil jualan dikongsi antara syarikat berkenaan dan pelabur bagi asas 20:80 peratus.

"Pelaburan adalah sekitar RM4,000 hingga RM400,000 dan mereka dijanjikan jualan kasar kira-kira RM120,000 sebulan jika jumlah maksimum dilaburkan," menurut SSM.

Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 84 (1) dan Seksyen 91(1) akta berkenaan yang menyatakan mana-mana entiti yang cuba menawarkan kepada orang ramai sebarang skim yang menjanjikan sebarang bentuk pulangan kepada pelaburan perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Pendaftar Syarikat.

Syarikat itu sekarang berada di bawah pengawasan SSM dan aktivitinya akan dipantau dengan rapi.
"Kami akan terus memantau semua syarikat yang menawarkan skim faedah kepada orang ramai sebagai satu usaha berterusan untuk melindungi mereka dengan memastikan pematuhan ketat kepada syarat-syarat Akta Syarikat 1965," menurutnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment