Tuesday, May 18, 2010

APMM patah seludup diesel

Oleh MARZITA ABDULLAH
utusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 18 Mei 2010 - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup sebanyak 800 liter diesel bersubsidi ke negara jiran di perairan Kuala Perlis, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi, APMM diketuai Laskar Kanan Saufe Irwandy Abdul Rahim bersama empat anggota yang sedang membuat rondaan mengesan sebuah bot pada jarak 187 meter dari sempadan Thailand dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika anggotanya menghampiri bot berkenaan, secara tiba-tiba bot itu dipandu laju menuju ke daratan.

"Seorang penyeludup dilihat terjun dari bot dan melarikan diri ke hutan bakau dan meninggalkan bot yang dibawanya," katanya di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, pihaknya menemui 28 tong minyak berisi 800 liter minyak diesel manakala bot yang digunakan pula tidak mempunyai nombor pendaftaran.

"Nilai diesel tersebut dianggarkan hampir RM1,000 tetapi apabila dijual di negara jiran ia mampu mencecah RM2,240 iaitu mengikut harga RM2.80 seliter," ujarnya.

Katanya, bot itu dibawa ke jeti Kuala Perlis untuk siasatan lanjut manakala diesel itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menurut beliau, kejayaan mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel kali ini adalah yang ke-11 dilakukan Maritim 1 Langkawi.

"Kita dapati aktiviti menyeludup minyak di perairan Langkawi dan Perlis meningkat berbanding tahun lalu dengan tiga kes bagi tempoh Januari sehingga April ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, APMM akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan yang kerap di sempadan perairan negara untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim.

No comments:

Post a Comment