Thursday, May 6, 2010

Ahli perniagaan didakwa lagi

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Mei 2010 - Seorang ahli perniagaan yang pernah menghadapi tuduhan menipu RM200 juta, didakwa lagi atas tuduhan yang sama iaitu memalsukan akujanji berkaitan sumbangan kewangan bernilai RM1.5 bilion bagi menubuhkan sebuah yayasan kebajikan, empat tahun lalu.

Anuar Abd. Aziz, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Dia didakwa mengemukakan pernyataan yang terkandung dalam Surat Pengesahan dan Akujanji Sumbangan bertarikh 9 November 2006 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Tingkat 2, 10-18, Putra Place, 100 Jalan Putra di sini antara 2 November dan 9 November 2006.

Pernyataan itu didakwa berkaitan sumbangan kewangan berjumlah RM1.5 bilion untuk menubuhkan Yayasan Sejahtera Malaysia yang diasaskan oleh tertuduh.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 24 Ogos tahun lalu, Anuar didakwa atas tuduhan yang sama untuk penubuhan Yayasan Aziz Azizah yang kononnya diasaskan olehnya.

Pegawai Pendakwa dari SSM, Mohamad Azies Han Mohd. Fadzil menawarkan jaminan RM100,000 terhadap tertuduh dengan alasan kes itu adalah serius memandangkan ia melibatkan penubuhan yayasan kebajikan yang bertujuan membantu orang awam.

Sementara itu, peguam bela yang mewakili tertuduh, Datuk V. Sithambaram pula memohon agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya telah membayar jaminan RM150,000 bagi kes yang dihadapinya pada Ogos tahun lalu.

Kata beliau, anak guamnya juga mematuhi arahan mahkamah terdahulu dengan melaporkan diri ke Balai Polis Travers sekali sebulan.

Hakim Jagjit Singh kemudiannya membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan.

No comments:

Post a Comment