Friday, May 21, 2010

Timur: Penyeludupan sumber rezeki

Oleh Ramli Hussin

2010/05/21
Rumah di tebing Sungai Golok mudahkan penjualan barang subsidi kepada rakyat jiran

RANTAU PANJANG: Tindakan kerajaan negeri dan pihak berkuasa negeri membiarkan pembinaan rumah atas tebing dan rizab Sungai Golok memudahkan aktiviti penyeludupan berlaku di kawasan sempadan.

Ini kerana setiap rumah atas tebing sungai itu mempunyai laluan menuju ke pangkalan haram berdekatan, selain dilengkapi papan gelongsor bagi tujuan penyeludupan pelbagai barangan sama ada dibawa keluar atau masuk secara haram. Tinjauan Edisi Timur ke beberapa pangkalan haram di sepanjang sungai dekat sini mendapati setiap rumah mempunyai papan gelonsor yang dipercayai memudahkan pemunggahan barangan yang hendak diseludup. Selain penyeludupan secara langsung ke negara jiran, ramai juga penduduknya menyeberangi Sungai Golok secara haram untuk membeli pelbagai barangan keperluan harian termasuk barangan bersubsidi seperti minyak masak, gula dan tepung gandum.

Seorang warga emas yang enggan namanya disiarkan, mengakui terbabit dengan kegiatan penyeludupan barangan di sempadan sejak beberapa tahun lalu sebagai sumber rezeki menyara keluarga.

Katanya, dalam tempoh sejam, beliau mampu berulang alik sebanyak 10 kali menyeberangi sempadan menerusi pangkalan haram Paun sambil membawa barangan kawalan seperti gula dan minyak masak dalam kuantiti kecil menggunakan beg galas.

“Cara begini (sembunyi barang dalam beg galas) tidak menarik perhatian orang berbanding mengangkut barangan dalam jumlah besar sekali gus boleh menarik perhatian dan serbuan pihak berkuasa.
“Saya dah lama buat kerja ni, lagi pun rumah dekat dan tak perlu pergi cari kerja jauh-jauh. Dalam keadaan usia semakin lanjut ini, saya tak mampu buat kerja jauh dari keluarga.

“Keuntungan daripada usaha ini walaupun tak besar tetapi cukup untuk belanja harian keluarga dan sekolah anak, lagi pun ketika ini permintaan kepada gula dan minyak terlalu tinggi di seberang sana,” katanya ketika ditemui di pangkalan haram Paun di sini.

Pengendali bot di pangkalan haram Gaji, Mansor Ismail, 27, mengakui aktiviti penyeludupan membabitkan pelbagai barangan antara dua negara berjalan seperti biasa setiap hari.

Dakwanya, tanpa kegiatan penyeludupan dan pergerakan keluar masuk secara haram di sempadan negara, aktiviti ekonomi sekitar kawasan Rantau Panjang boleh lumpuh.

“Antara punca penduduk suka menggunakan pangkalan haram ini kerana tidak banyak prosedur yang perlu dilaluinya, selain mudah membawa barang masuk atau keluar apa juga barangan.

“Bagi orang tempatan, mereka sudah tak kisah lagi dengan penyeludupan yang berlaku di sini kerana ia menjadi sumber pendapatan bagi menyara keluarga terutama penduduk yang mempunyai rumah sekitar atas tebing sungai di sini.

“Kalau ada pihak berkuasa memantau, mereka boleh berehat sementara dalam rumah," katanya yang mengakui penyeludupan sudah menjadi sumber rezekinya bagi menyara keluarga.

Pegawai Pemerintah Batalion Lapan Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rooslan Radzi, yang dihubungi mengakui pihaknya berdepan kesukaran dalam melakukan pemantauan yang menyeluruh di sepanjang tebing Sungai Golok kerana kedudukan rumah yang tidak tersusun.

“Kita berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengadakan zon penampan di antara sungai dengan kawasan penempatan penduduk, bagi memudahkan pasukan keselamatan mengekang penyeludupan yang sudah lama berlaku. Tanpa zon penampan seperti diharapkan, memang kita menghadapi masalah kerana pemantauan agak terbatas,” katanya.

Beliau berkata, kawasan sempadan negara memerlukan kawalan terhadap penyusunan penempatan penduduk kerana ia juga menggambarkan wajah dan maruah kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment