Tuesday, May 4, 2010

Rampasan minyak meningkat

KOTA BHARU 4 Mei 2010 - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri merampas minyak dan kenderaan yang digunakan bagi menyeludup keluar bahan api itu bernilai lebih RM457,000 dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pemangku Pengarahnya, Rosli Ahmad berkata, daripada 33 kes sepanjang tempoh itu, ia membabitkan 28,441 liter minyak di samping 34 buah kenderaan dan menyifatkan ia suatu pencapaian memberansangkan dalam menangani gejala itu.

Menurut beliau, jumlah tersebut jauh lebih tinggi dibandingkan dengan nilai rampasan dan kes bagi sepanjang tahun lepas yang mencatat nilai sebanyak RM196,439 dengan 21 kes melibatkan 58,000 liter minyak dan sembilan kenderaan.

''Peningkatan ini mungkin ada kaitannya dengan penempatan pegawai penguat kuasa di stesen-stesen minyak di sempadan selepas kerajaan tidak membenarkan minyak dijual lebih 20 liter kepada rakyat asing," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Buat masa ini katanya, terdapat 90 orang penguat kuasa di negeri ini termasuk 60 orang daripadanya berada di ibu pejabat.

Katanya, kejayaan rampasan itu hasil siasatan bahagian penguat kuasa di samping serahan oleh agensi penguatkuasaan termasuk kastam, Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan Marin.

Pihaknya memberi jaminan setiap kes yang diserahkan mempunyai fail siasatan dengan lantikan pegawai penyiasat bagi menyiasat setiap kes berkaitan barangan rampasan.

No comments:

Post a Comment