Wednesday, May 26, 2010

Kerani ditipu syarikat pinjaman tidak wujud, rugi RM2,000

KUALA LUMPUR 26 Mei 2010 - Akibat terdesak kerana disenarai hitamkan, seorang kerani pentadbiran yang dibelenggu masalah kewangan cuba mencari jalan penyelesaian dengan memohon pinjaman daripada sebuah syarikat pinjaman berlesen.

Namun lain pula jadinya apabila mangsa, Flo, 39, diperdaya wakil syarikat pinjaman yang tidak wujud sehingga mengakibatkan wanita itu kerugian RM2,000.

Segala-galanya bermula pada 15 April lalu apabila mangsa menghubungi nombor telefon seorang wakil syarikat terbabit yang dipaparkan pada poster di dinding di luar bangunan pejabatnya.

Mangsa diberitahu oleh wakil itu yang dikenali sebagai Lim bahawa dia tidak menghadapi masalah untuk mendapat pinjaman RM20,000, walaupun namanya disenarai hitamkan.

Bagaimanapun, Flo perlu membayar RM2,000 terlebih dahulu sebagai bukti dia berkemampuan membayar pinjaman, selain yuran pemprosesan dan stem duti.

Mangsa berkata, dia kemudian membuat pembayaran RM500 pada 18 April sebelum disusuli dengan RM1,500 pada 5 Mei.

"Saya masukkan wang itu ke dalam dua akaun individu berbeza seperti yang diminta Lim. Duit sebanyak RM2,000 itu saya pinjam daripada seorang rakan.

"Namun selepas beberapa hari, wang pinjaman yang saya tunggu masih belum diluluskan. Lim memberi alasan saya lambat membuat bayaran, jadi kena membuat bayaran tambahan RM1,500 lagi," katanya.

Flo memberitahu, dia enggan melayan permintaan Lim dan mendesak lelaki itu supaya memulangkan wangnya.

Malangnya, Lim gagal dihubungi selepas itu dan barulah dia menyedari bahawa dirinya telah ditipu.

"Saya kemudian menyemak nombor pendaftaran syarikat itu yang didaftarkan di Ipoh. Namun saya terkejut mendapati syarikat itu telah ditamatkan perkhidmatannya pada 1978," ujarnya.

Menurut Flo, dia yakin dengan jaminan Lim selain mempercayai kewujudan syarikat tersebut yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berikutan itu, katanya, mangsa membuat aduan kepada Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, 20 Mei lalu dan laporan di Balai Polis Selayang, dua hari selepas tersebut.

Ketuanya, Datuk Michael Chong memberitahu, trend penipuan dialami mangsa bukan sesuatu yang baru kerana pihaknya telah menerima lapan aduan seumpama itu sejak tahun lalu.

"Si penipu ini menyamar ah long atau peminjam wang berlesen untuk memperdaya mangsa yang rata-ratanya terdesak mencari sumber kewangan alternatif.

"Dengan hanya bermodalkan telefon dan poster, tiada perjumpaan diperlukan... Suspek mampu memperdaya ribuan ringgit daripada mangsa sebelum lesap," jelasnya.

No comments:

Post a Comment