Thursday, May 13, 2010

Lori rempuh papan tanda, rokok seludup bertaburan

SEREMBAN 13 Mei 2010 - Kemalangan membabitkan sebuah lori yang berlaku di Kilometer 290.4, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur masuk Bukit Mahkota hari ini membongkar satu kegiatan sindiket penyeludupan rokok tiruan.

Lori muatan satu tan yang membawa kira-kira 10,000 karton rokok tiruan itu terbalik selepas merempuh sebuah papan tanda mengakibatkan ratusan kotak yang berisi rokok itu bertaburan di tepi lebuh raya.

Kejadian berlaku pukul 6.30 pagi sewaktu lori itu menghala ke arah selatan. Ia bagaimanapun tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri lebuh raya dan merempuh tiang papan tanda susur keluar itu.

Berikutan kejadian itu, pemandu lori terbabit cedera parah akibat tersepit di tempat duduk.

Difahamkan, sebelum kemalangan itu, pemandu lori tersebut bertindak memecut laju kenderaannya sebaik sahaja melepasi Plaza Tol Sungai Besi.

Namun, kira-kira 15 minit kemudian, lori yang dipandu laju itu terlibat dalam kemalangan dan insiden itu akhirnya membongkar kegiatan penyeludupan rokok tiruan.

Sepasukan anggota polis peronda lebuh raya yang tiba di tempat kejadian untuk membantu mangsa telah menghubungi Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Cawangan Negeri Sembilan untuk menyiasat kes tersebut.

Hasil siasatan, KDRM mengesahkan rokok yang dibawa dalam lori itu adalah rokok tiruan.

Usaha mengesan sindiket yang terlibat dalam kegiatan itu kini giat dijalankan melalui alamat syarikat yang tertera pada lori berkenaan.

Pemandu lori yang cedera parah pula dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Ibrahim Jaapar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment