Wednesday, May 5, 2010

Warga Belanda tipu YDSM

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Mei 2010 - Seorang lelaki warga Belanda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atau tuduhan cuba menipu Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) menggunakan dokumen palsu yang dikatakan bernilai lebih RM632 juta.

Zvonko Berdik Albert, 65, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa.

Dia didakwa telah menggunakan Bil Pertukaran (Bill of Exchange) daripada Bedford International Financial Group yang bernilai 150 juta Euro (RM632,865,048.20) untuk didermakan kepada yayasan tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari, 16 April lalu di Istana Terengganu, Jalan Kia Peng di sini.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Komathy selepas mempertimbangkan hujah pendakwa dan rayuan tertuduh membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan syarat penjamin hendaklah warganegara Malaysia.

Kes itu akan disebut semula pada 2 Jun ini.

No comments:

Post a Comment