Wednesday, May 26, 2010

Bekas Penolong Pengarah KBS Didenda RM25,000

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM 26 Mei - Bekas Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia Sukan, Mohd Saipuddin Zakaria yang mengaku bersalah dalam tiga tuduhan rasuah didenda RM25,000 oleh Hakim Mahkamah Sesyen hari ini tanpa menjalani hukuman penjara.

Mohd Saipuddin menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah untuk kerja percetakan poster KBS sebanyak RM10,000 daripada Lai Kon Ching yanng bertindak sebagai wakil untuk tiga syarikat yang mendapat kontrak percetakan.

Effithree (M) Sdn Bhd, Teguh Ventures dan Semarak Manufacturing yang masing-masing yang diberi kontrak bernilai RM18,000, RM18,600 dan RM8,750 mendapat kontrak tersebut melalui pejanjian antara Saippudin dan Kon Ching.

Kon Ching didakwa telah menawarkan RM10,000 kepada Saipuddin bagi mendapatkan kesemua kontrak tersebut.

Semasa perbicaraan mahkamah diberitahu Kon Ching telah menasihati Saipuddin untuk menggunakan syarikat milik isterinya, Taikom Enterprise untuk menerima wang tersebut sebagai bayaran untuk khidmat rundingan.

Pendakwaraya, Mohd Asrawi Abdul Hanipah berkata siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendapati tiada rundingan atau khidmat sebegitu diperlukan untuk mendapatkan kontrak ini dan hanya beberapa gambar sahaja yang diberikan kepada Kon Ching.

Peguambela Saipuddin yang tidak mahu mendedahkan identitinya kepada media memberitahu mahkamah bahawa Saipuddin telahpun mengaku bersalah untuk kesemua tuduhan ke atasnya dan meminta mahkamah untuk menggunakan budi bicara bagi meringankan hukuman.

Tambah peguambela, Saipuddin telah mengalami banyak kerugian sejak ditangkap termasuk jawatan, harga diri, penghormatan dan juga rumahtangga.

Saipuddin telah bercerai dengan isterinya Maswanti Mahmud, pemilik Taikom Enterprise yang menjadi salah satu saksi pendakwaraya dalam kes ini.

"Anak guaman saya telah melalui pelbagai pengalaman pahit sepanjang kes ini dan telah menunjukkan bahawa beliau amat kesal dengan tindakan beliau. Saya yang mengenali beliau dan keluarga beliau tahu beliau bukanlah seorang yang buruk akhlaknya.

"Saya percaya anak guam saya kesal dan ingin membetulkan kesilapannya. Beliau tidak akan membenarkan diri dipatuk ular yang sama dalam lubang yang sama," kata peguambela Saipuddin.

Hakim Mat Ghani Abdullah memutuskan Saipuddin telah menunjukkan perlakuan baik sepanjang penangkapan dan perbicaraan, dan juga mendapati tertuduh kesal dengan tindakannya.

"Mahkamah percaya Saipuddin merupakan seorang yang berakhlak dan denda ini adalah sebagai pengajaran untuk Saipuddin dan juga untuk pegawai kerajaan yang lain. Mahkamah juga ingin menyampaikan bahawa stigma masyarakat bahawa pegawai kerajaan boleh dibeli dengan wang ringgit perlu berubah," kata Mat Ghani.

No comments:

Post a Comment