Friday, May 21, 2010

Pemborong jual diesel subsidi ditahan

ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK memeriksa premis yang menyimpan diesel bersubsidi yang dipercayai dijual secara haram di Bandar Baru Sungai Long, Batu 9, Cheras semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 20 Mei - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPPDNKK) Putrajaya menahan seorang pemborong minyak diesel kerana menjual minyak diesel bersubsidi secara haram di premisnya di Bandar Baru Sungai Long, Kajang dekat sini hari ini.

Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 10 pagi, suspek berusia 40 tahun itu ditahan kerana memiliki 4,000 liter minyak diesel bernilai RM6,800 (sekiranya dijual pada harga RM2 seliter) dipercayai untuk dijual kepada pengusaha kilang berhampiran untuk tujuan penjanaan mesin.

Pegawai KPDNKK Putrajaya yang mengetuai operasi itu, Izani Abdul Latif berkata, pemeriksaan rutin pihaknya di premis tersebut mendapati salah sebuah daripada empat tangkinya berisi minyak diesel subsidi berdasarkan penanda nano.

"Meskipun premis itu mempunyai lesen menjual diesel yang sah tetapi sebarang pemilikan dan penjualan minyak diesel bersubsidi adalah dilarang.

"Berikutan itu, kami menahan lelaki itu untuk soal siasat dalam usaha membongkar siapa pembekal dan dari mana dia memperoleh bahan bakar itu," katanya kepada pemberita.

Suspek bakal berdepan hukuman mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment