Friday, May 21, 2010

Dipenjara tiga tahun pecah amanah

KUALA LUMPUR 20 Mei 2010 - Seorang bekas pengarah syarikat dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana terbabit dalam penyelewengan dana pelaburan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (ATM) berjumlah RM45 juta serta tujuh pertuduhan mengikut Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

Hakim Rozana Ali Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Khalid Ismail, 62, yang merupakan bekas pengarah syarikat Oasis Asset Management Sdn. Bhd. (OAM) setelah dia mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu.

Rozana menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap tujuh pertuduhan itu, bagaimanapun ia dijalankan secara serentak bermula hari ini.

Bagi kesalahan pecah amanah, Muhamad Khalid dikenakan penjara dua tahun dan berkuat kuasa sejurus selepas tamat hukuman penjara setahun.

Dalam keputusannya, Rozana berkata, Muhamad Khalid hanya dijatuhi hukuman penjara dan tidak dikenakan sebatan dan denda memandangkan tertuduh sudah lanjut usia serta tidak berkemampuan untuk membayar denda.

Muhamad Khalid yang berkerusi roda dan menghidap strok hanya menunduk tanda faham apabila Rozana menjatuhkan hukuman tersebut terhadapnya.

Tertuduh diwakili peguam Kiu Jia Yaw manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SC, Roz Mawar Rozin yang dibantu oleh Nor Rifhan Rozi dan Ahmad Faiz Munawar.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment