Tuesday, May 25, 2010

Cubaan seludup minuman keras untuk kenduri

KUBANG PASU 25 Mei - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) menahan tiga lelaki yang cuba menyeludup minuman keras dari negara jiran bernilai RM1,639 di Kilometer 1.3, Lebuh Raya Utara Selatan di Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Ketiga-tiga lelaki berusia 19 hingga 31 tahun itu ditahan pukul 8.15 pagi ketika menaiki dua buah kereta.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Muhamad Zunaidi Nairit Abdullah berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua kereta itu menemui sejumlah 28 botol minuman keras jenis 'Passport Scotch' dan 'Ballantines Blended' tersorok di ruang tayar simpanan di salah sebuah kereta itu.

"Dalam ruang yang sama sebuah lagi kereta, kami menemui 22 botol minuman keras termasuk jenis 'Scotch Whisky'," katanya di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zunaidi, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga lelaki yang berasal dari Alor Setar dan Ipoh, Perak itu memberi alasan menyeludup minuman keras tersebut untuk meraikan kenduri saudara terdekat mereka.

Sementara itu, kata beliau, dalam satu lagi operasi, UPP menahan lima wanita dan dua lelaki rakyat Myanmar berusia antara 20 hingga 25 tahun yang memasuki negara ini tanpa dokumen.

Beliau berkata, turut ditahan empat lelaki, dua daripadanya penduduk tempatan yang juga kakitangan kerajaan berusia antara 20-an hingga 43 tahun kerana dipercayai cuba membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini.

No comments:

Post a Comment