Wednesday, May 26, 2010

Katrij dakwat tiruan bernilai RM100,000 dirampas

Abdul Hamid Abu Bakar menunjukkan sebahagian katrij pencetak tiruan yang dirampas di Johor Bahru, kelmarin. - Utusan/ RAJA JAAFAR ALI

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 26 Mei - Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor merampas 4,000 katrij dakwat pencetak pelbagai jenama disyaki tiruan bernilai kira-kira RM100,000 di sekitar Skudai semalam.

Ketuanya, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan terhadap sembilan premis di Skudai dan sebuah premis di Taman Universiti dekat sini yang disyaki menjadi pembekal kepada para peniaga di sekitar kawasan berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati premis itu beroperasi sejak setahun lalu dan dipercayai menjual bahan berkenaan kepada penuntut universiti dan syarikat-syarikat kecil di kawasan itu.

"Barangan yang dipamerkan adalah tulen dan apabila pengguna bersetuju untuk membelinya, mereka akan menukarkan barangan itu dengan tiruan. Pengguna dapat membezakan ketulenan produk berkenaan kerana ia memiliki logo hologram.

"Barangan itu dijual pada harga antara RM90 hingga RM650 bagi setiap katrij dan harga berkenaan adalah sama seperti harga barang tulen," katanya.

Abdul Hamid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 1(b) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana mengedar barangan berjenama tiruan yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan berkala bagi memastikan kes serupa ditangani secara menyeluruh.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa membeli barangan dan perlu memastikan ia adalah tulen.

No comments:

Post a Comment