Thursday, May 27, 2010

4,500 ibu tunggal dakwa kena tipu 'Mummy Zie'

Oleh Sarah Sulaiman
sarahsulaiman@bharian.com.my
2010/05/28


SEBAHAGIAN daripada ahli PITCB menunjukkan gambar 'Mummy Zie' yang didakwa menipu membabitkan kerugian RM1.3 juta.Wanita janji beri pulangan pelaburan RM10,000 lesap

SELAYANG: Hampir 4,500 ahli Persatuan Ibu Tunggal Cempaka Biru daerah Gombak dan Petaling (PITCB) yang mengharapkan pulangan sehingga RM10,000 dalam masa singkat berputih mata apabila wang pelaburan mereka dilarikan seorang wanita yang mendakwa sebagai ejen Pertubuhan Kebajikan Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia (Pekesim). Wanita terbabit yang dikenali sebagai ‘Mummy Zie’ menawarkan kepada ahli persatuan terbabit untuk melabur serendah RM200 dan mendapat pulangan selepas tiga, enam atau sembilan bulan mengikut konsep Membantu dan Dibantu. Pengerusi PITCB, Khatijah Mohd mendakwa beliau mendapat tahu skim itu menerusi ‘Mummy Zie’ bahawa pelabur dijanjikan pelbagai pulangan lumayan dan akhirnya beliau bersetuju menggunakan nama persatuan itu bagi tujuan promosi menarik pelabur daripada ahli persatuan.

“Dia memujuk saya dan ahli lain untuk melabur dalam skim terbabit... penyelewengan yang dilakukan disedari penasihat saya pada awal bulan ini sekali gus kita membuat laporan polis kerana difahamkan lebih 14,000 mangsa di seluruh negara telah berdaftar dengannya,” katanya.

Mangsa, seorang ahli korporat berkata, akibat terpedaya dengan wanita itu, beliau membeli 50 lot skim terbabit didaftarkan meng-gunakan nama ahli keluarganya dan kerugian RM10,000.

Menurut sumber, syarikat itu menawarkan pelbagai pulangan termasuk Insurans Takaful Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM50,000, komputer riba, Tabung Khas Dana Perniagaan serendah RM10,000 dan Pakej Umrah Percuma berserta wang saku.
Laporan akhbar sebelum ini melaporkan seorang datin dan 79 rakannya mendakwa kerugian lebih RM1.3 juta dipercayai diperdaya dengan tawaran melancong ke serata dunia dengan tambang murah, oleh penganjur lawatan itu yang menggunakan nama samaran seperti Mummy Zie, Mama Rock dan Atie.

Mangsa penipuan pakej itu, Datuk Maznah Harun, berkata beliau terpaksa menanggung kerugian besar hingga mencecah RM168,000 bagi mengganti wang ahli di bawahnya.

“Oleh kerana terpengaruh dengan pulangan ditawarkan, saya bersetuju melabur dan mencari ahli hingga tertipu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, Pengurus Pekesim Malaysia, Datuk Ab Ghafar Nin menafikan pihaknya melakukan penipuan berhubung ejen yang menyelia proses pendaftaran menjadi ahli pertubuhan itu tetapi menegaskan wanita terbabit telah diberhentikan perkhidmatan dari Pekesim pada 4 Mei lalu.

“Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap penyelewengan yang dilakukan. Saya menasihatkan PITCB berunding sendiri bersama Mummy Zie tanpa membabitkan Pekesim,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ke-
tika dihubungi pula memaklumkan kes itu sedang disiasat.

No comments:

Post a Comment