Monday, May 24, 2010

Kedai sorok gula mula digempur KPDNKK

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my



Anggota KPDNKK Kuala Selangor memunggah sebahagian gula yang disorok oleh peniaga di sebuah rumah kedai berdekatan dengan Pasar Awam Tanjung Karang, Selangor, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



TANJUNG KARANG 24 Mei – Memandangkan masalah orang ramai mendapatkan bekalan gula seakan tiada kesudahan, maka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mula bertindak.

Hari ini, kementerian itu menjalankan pemeriksaan mengejut di beberapa kedai runcit dan borong di sini untuk mengenal pasti punca sebenar masalah keputusan bekalan gula.

Hasil pemeriksaan mendapati, sikap tidak bertanggungjawab segelintir peruncit dan pemborong menyorok bekalan gula menjadi antara punca kepada masalah berkenaan.

Ini terbukti apabila pemeriksaan yang dijalankan oleh penguatkuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kuala Selangor menemui sejumlah 316 kilogram gula yang cuba disorokkan oleh seorang pemilik kedai runcit di pekan Tanjung Karang.

Peniaga berusia 53 tahun itu dipercayai bertindak menyorok gula tersebut bagi membolehkan dia menjualnya pada harga tinggi sekiranya kerajaan mengumumkan kenaikan harga gula berikutan kekurangan bekalan itu di pasaran.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK Kuala Selangor, Mispari Jaafar berkata, pihaknya menerima aduan daripada beberapa pengguna di pekan Tanjung Karang semalam mengenai sukar mendapatkan bekalan gula di kedai runcit berkenaan.

Beliau berkata, kedai runcit itu merupakan pilihan utama penduduk pekan terbabit untuk membeli barangan keperluan harian kerana kedudukannya terletak berhadapan dengan Pasar Awam Tanjung Karang dan juga tapak pasar minggu pada setiap hari Isnin.

“Pelanggan berasa hairan apabila mendapati kedai terbabit kehabisan bekalan gula semalam sedangkan masalah itu tidak pernah dihadapi sebelum ini.

“Berikutan aduan itu, lapan anggota penguat kuasa KPDNKK Kuala Selangor diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasanya, Mohd. Bakhtiar Ramli membuat pemeriksaan mengejut di premis tersebut pada pukul 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, pemilik kedai runcit terbabit baru sahaja menerima 840 kilogram gula daripada pemborong kelmarin dan perkara itu disahkan oleh pemborong yang menghantar bekalan tersebut.

Namun, katanya, penguat kuasa KPDNKK berasa sangsi dengan dakwaan peniaga berkenaan apabila mengatakan kesemua bekalan gula itu sudah habis dijual kepada pelanggan dalam tempoh 24 jam.

Mispari berkata, meskipun jawapan diberikan peniaga itu meragukan tetapi pegawainya tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana tiada bukti sehinggalah mereka ternampak sekumpulan lelaki sedang memunggah barang-barang dari sebuah lori dalam keadaan mencurigakan berhampiran kedai berkenaan.

“Lori terbabit diletakkan selang 10 pintu dari kedai runcit tersebut dan sekumpulan lelaki dilihat sibuk memunggah barang yang mencurigakan untuk disimpan dalam sebuah stor di situ.

“Melihat kehadiran penguat kuasa KPDNKK, pemandu lori bertindak melarikan kenderaannya manakala seorang lelaki yang menjaga stor pula segera menutup dan mengunci pintu,” katanya.

Menurut Mispari, penguat kuasa KPDNKK berjaya memasuki stor tersebut selepas memaksa lelaki terbabit membuka pintu dan pemeriksaan di dalamnya menemui 26 ikatan gula seberat 316 kilogram.

Beliau berkata, melihat pekerjanya ditahan, pemilik kedai runcit yang mulanya tidak mengaku menyorok gula tiba-tiba datang mengakui barang-barang disimpan di stor tersebut adalah miliknya.

No comments:

Post a Comment