Sunday, May 16, 2010

Tembakau 1,768.5kg dirampas

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my



AhMAD Loman (tiga dari kanan) bersama pegawai Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara memeriksa tembakau diawet yang berjaya dirampas di Kampung Sungai, Bachok baru-baru ini. - UTUSAN/Rizalman Nor

--------------------------------------------------------------------------------


KOTA BHARU 16 Mei 2010 - Unit Penguat Kuasa Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) berjaya merampas 1,768.5 kilogram tembakau seludup yang bernilai RM26,527 dalam satu serbuan di Kampung Sungai, Bachok baru-baru ini.

Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman berkata, tembakau tersebut yang berharga cuma RM10 sekilogram di negara jiran, mudah dipasarkan dengan memperoleh keuntungan yang tinggi.

Katanya, rampasan pada 11 Mei itu merupakan yang terbesar setakat ini pada tahun ini dan hasil daripada maklumat orang ramai dan intipan lebih sebulan di lokasi yang disyaki menyimpan bahan itu.

"Enam anggota Unit Penguat Kuasa yang diketuai seorang pegawai terlibat dalam operasi di stor penyimpanan sebuah stesen tembakau di Kampung Sungai pada pukul 9.30 pagi hari tersebut.

"Mereka berjaya merampas 30 ikat daun tembakau kering seberat 1,768.5 kilogram. Kami percaya tembakau itu akan dijual di pasaran tempatan dengan harga RM15 sekilogram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan terhadap mana-mana individu disyaki terbabit dalam kegiatan itu.

Menurut Ahmad, sepanjang tahun lalu pihaknya telah berjaya merampas lebih 1,100 kilogram tembakau seludup dengan nilaian lebih RM17,000.

Katanya, sehubungan dengan kejayaan rampasan terbaru, Unit Penguat Kuasa LKTN akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan ke stesen-stesen pengawet.

''Di samping itu, jalinan kerjasama juga akan dipertingkatkan dengan penduduk setempat dan agensi penguatkuasaan lain," ujarnya.

Beliau menjelaskan, sebarang pembelian daun tembakau seludup adalah satu kesalahan sebagaimana diperuntukkan dalam Akta LKTN 2009.

"Berdasarkan Seksyen 49 Akta LKTN 2009 menetapkan bahawa pengawet berlesen di bawah LKTN tidak dibenarkan untuk membeli tembakau diawet daripada pengawet tidak berlesen.

"Mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peruntukan ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan," katanya.

Dalam masa yang sama, Ahmad berkata, Akta LKTN 2009 yang baru berkuat kuasa pada 1 April lalu telah meluaskan bidang kuasa pihaknya ke seluruh negara, meliputi Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment