Monday, May 24, 2010

APMM tahan 2 kapal asing pindah minyak secara haram

2010/05/24
JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan dua kapal asing kerana melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Pengerang di Kota Tinggi semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abdul Wahab, berkata tiga pegawai dan 24 anggota APMM dalam kapal KM Manjung yang melakukan rondaan di perairan itu mengesan dua kapal dalam keadaan mencurigakan itu berhimpit antara satu sama lain, pada kedudukan 2.1 batu nautika selatan Tanjung Ayam, pada 3.30 pagi. "Pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal, MT Atami Maru dan MT Petrolemix 09, gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atau permit dari Ketua Pengarah Jabatan Laut untuk melaksanakan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Abdul Hadib berkata, pemeriksaan mendapati sebanyak 10,000 liter minyak dipercayai jenis Marine Fuel Oil (MFO) dipindahkan dari MT Atami Maru ke MT Petrolemix 09, setengah jam sebelum itu.

Beliau berkata, MT Petrolemix 09 juga didapati berlabuh di kawasan larangan iaitu di kawasan kabel dasar laut.

Kata, terdapat 41 kru berumur 20 hingga 53 tahun berada dalam MT Atami Maru yang didaftarkan di San Lorenzo, Honduras, dan MT Petrolemix 09 yang berdaftar di Vietnam itu.

"Kapten kedua-dua kapal dibawa ke ibu pejabat APMM Wilayah Selatan untuk siasatan mengikut Seksyen 491B(1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment