Friday, May 21, 2010

Rokok RM8.2 juta dirampas

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my



R. MARIAPPA (tengah) menunjukkan sebahagian daripada rokok putih seludup yang dirampas semasa sidang akhbar di Butterworth, semalam. – UTUSAN/Sazali Che Din

--------------------------------------------------------------------------------



BUKIT MERTAJAM 20 Mei – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas rokok putih berjenama yang dianggarkan bernilai lebih RM8.2 juta termasuk cukai dalam dua serbuan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, baru-baru ini.

Penyeludupan rokok itu dipercayai didalangi sebuah sindiket yang menggunakan nama syarikat berstatus Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) di negeri ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) negeri, R. Mariappa berkata, sepasukan anggotanya menahan satu kontena yang diikrarkan sebagai barangan polimer di NBCT kira-kira pukul 10.30 malam pada 3 Mei lalu.

“Pemeriksaan mendapati, kontena tersebut mengandungi 42,000 karton rokok putih bernilai RM4.1 juta termasuk cukai dan diikrarkan atas nama sebuah syarikat berstatus GPB di Nibong Tebal.

“Siasatan lanjut bagaimanapun menunjukkan syarikat ini tidak terlibat dalam pengimportan bahan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mariappa berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini tetapi pihaknya sedang menyoal siasat ejen perkapalan yang terlibat dalam pengimportan rokok berkenaan.

Dalam serbuan kedua pula, katanya, kira-kira 41,000 karton rokok putih bernilai lebih RM4.1 juta dirampas selepas serbuan dilakukan ke atas sebuah kontena di pelabuhan tersebut kira-kira pukul 5.30 pagi pada 11 Mei lalu.

Seperti serbuan pertama, rokok berkenaan juga diikrarkan sebagai bahan polimer atas nama sebuah syarikat berstatus GPB yang beralamat di Kawasan Perusahaan Perai dekat sini.

“Pemeriksaan kita mendapati, syarikat tersebut juga tidak terlibat dalam pengimportan rokok berkenaan.

“Namun, berdasarkan modus operandi dan jenis rokok yang dirampas, kita percaya kegiatan membawa kedua-dua kontena tersebut didalangi oleh sindiket yang sama,” tambahnya.

Kedua-dua kes ini, katanya, disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam atau barangan larangan

No comments:

Post a Comment