Wednesday, May 26, 2010

391 telefon bimbit palsu dirampas di tapak ekspo

TEMERLOH 26 Mei 2010 - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Temerloh merampas sebanyak 391 unit telefon bimbit tiruan bernilai lebih RM156,800 di Bandar Jengka, Maran dekat sini akhir bulan lalu.

Ketua Pegawai bahagian itu, Othman Din berkata, rampasan itu dilakukan di 10 gerai yang menjual telefon berkenaan di sebuah tapak ekspo di Bandar Pusat Jengka.

Katanya, ekspo anjuran pihak swasta itu menjual pelbagai jenama telefon bimbit tiruan buatan China dan dipercayai menipu ramai pelanggan dengan menawarkan pelbagai fungsi seperti WiFi dan 3G.

''Bagaimanapun sebenarnya telefon berkenaan yang berjenama terkenal hanya mempunyai satu atau dua fungsi seperti membuat panggilan dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja.

''Telefon berkenaan yang dijual dalam lingkungan harga RM400 seunit mudah rosak dan tiada jaminan jika berlaku kerosakan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Othman, seramai 18 pegawai penguat kuasa yang diketuai beliau sendiri membuat serbuan di tapak ekspo tersebut setelah mendapat aduan daripada pembeli yang menjadi mangsa penipuan.

Tambahnya, penjual berkenaan juga tidak mengeluarkan resit syarikat sebenar yang mempunyai alamat dan nombor telefon untuk dihubungi jika berlaku kerosakan.

Othman memberitahu, semua peniaga terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 kerana membuat kenyataan palsu yang boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara dan mereka juga boleh di kompaun sehingga RM50,000.

No comments:

Post a Comment