Sunday, May 2, 2010

47,800 liter petrol seludup dirampas

Mohd. Noor Idris (kiri bawah) bersama anggotanya memeriksa lori tangki yang ditahan di Kuala Kedah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

ALOR SETAR 2 Mei 2010 - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah merampas 47,800 liter petrol dalam tiga buah lori tangki yang dianggarkan bernilai RM86,000 selepas menyerbu sebuah kilang lama di Kampung Selarong Batak, Kuala Kedah di sini malam tadi.

Dalam serbuan pukul 9.50 malam itu, tiga lelaki berusia antara 21 hingga 38 tahun yang sedang memindahkan petrol ke dalam beberapa buah lori turut ditahan.

Komander UPP Kedah, Mohd. Noor Idris berkata, serbuan diketuai oleh beliau sendiri dengan bantuan tujuh orang anggota selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui tiga buah lori tangki yang masing-masing berisi petrol dipercayai dipam dari sebuah lagi lori tangki di lokasi berkenaan.

"Lori tangki yang sebuah lagi itu kosong kerana suspek dipercayai telah memindahkan muatan petrol ke dalam ketiga-tiga lori berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, lori berkenaan yang datang dari Pulau Pinang sepatutnya membuat penghantaran petrol ke sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut tetapi telah membawanya ke kawasan kilang ini," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Mohd. Noor berkata, kawasan kilang itu disyaki menjadi lokasi pemindahan petrol sebelum dibawa ke Padang Besar, Perlis untuk diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, kawasan tersebut tiada permit untuk menyimpan minyak selain ketiga-ketiga buah lori tangki terbabit juga tidak mempunyai permit untuk membawa bahan bakar itu.

"Kegiatan ini dipercayai dilakukan oleh sebuah sindiket sejak dua atau tiga bulan lalu dan mengambil kesempatan hari cuti sempena Hari Pekerja semalam untuk menjalankan operasi mereka," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment