Sunday, May 16, 2010

Pemandu lori gagal seludup 8,140 liter petrol

KUBANG PASU 16 Mei 2010 - Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup sejumlah 8,140 liter petrol berjaya dipatahkan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Negeri di Kilometer 15.1 Lebuh Raya Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.

Komandernya, Mohd. Noor Idris berkata, lori tangki yang dipandu oleh lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di lokasi tersebut oleh sepasukan anggota UPP Bukit Kayu Hitam pada pukul 9.15 pagi.

Ketika ditahan, katanya, lori itu sedang menghala ke Alor Setar, dipercayai untuk menghantar petrol kepada pihak industri tertentu berhampiran sempadan negara.

"Pemandu lori itu mengaku membawa petrol tersebut tanpa dokumen atau kebenaran untuk mengangkutnya.

"Kami menahan lelaki berasal dari Bedong, Kedah, itu manakala lori tersebut disita dan petrol bernilai RM14,652 dirampas," katanya ketika ditemui di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Mohd. Noor berkata, modus operandi digunakan adalah dengan menghantar bahan bakar tersebut ke kawasan industri berhampiran sempadan sebelum menjualnya kepada pihak tertentu.

Menurutnya, kes itu akan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri untuk disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (1961).

Jika sabit kesalahan, katanya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment