Wednesday, May 26, 2010

UPP rampas 2,500 helai pakaian

JITRA 26 Mei 2010 - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas kira-kira 2,500 helai pakaian pelbagai jenis daripada seorang lelaki warganegara Thailand dalam satu operasi di Kilometer 1.3 Lebuh Raya Utara Selatan di Bukit Kayu Hitam di sini semalam.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Muhamad Zunaidi Nairit Abdullah berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan ketika memandu pikap bernombor pendaftaran Thailand yang penuh dengan muatan pakaian berkenaan pada pukul 5.30 petang.

Jelasnya, penahanan tersebut pada mulanya dibuat kerana anggotanya curiga dengan tindakan lelaki berkenaan yang membawa muatan barangan sedangkan mengikut syarat kenderaan seumpama itu hanya dibenarkan membawa penumpang.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak membuat pengisytiharan penuh barangan yang dibawanya itu kepada kastam untuk dibawa masuk ke negara ini.

"Lelaki berkenaan didapati hanya membayar RM300 sedangkan dia sepatutnya mengisi borang perisytiharan kastam K1 kerana membawa muatan yang banyak," katanya di sini hari ini.

Muhamad Zunaidi berkata, siasatan awal mendapati kesemua pakaian yang dibawa suspek itu dianggarkan bernilai RM15,000 dan ia diserahkan kepada kastam untuk penilaian semula.

Menurutnya, lelaki berkenaan mengakui pelbagai jenis pakaian yang dibawanya itu untuk dibekalkan bagi pasaran di sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, kes itu akan diserahkan kepada kastam untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Beliau memberitahu, kira-kira 30 minit selepas itu, anggota UPP merampas sejumlah 192 tin minuman keras yang cuba diseludup masuk dari negara jiran.

Katanya, minuman keras bernilai kira-kira RM450 dengan nilai cukai RM930 itu ditemui disorokkan di dalam sebuah pikap yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.

Menurutnya, kes itu turut dirujuk kepada kastam untuk disiasat di bawah akta yang sama

No comments:

Post a Comment