Wednesday, March 31, 2010

Gagal seludup 500 liter diesel bersubsidi

KOTA KINABALU 31 Mac 2010 - Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini mematahkan cubaan menyeludup 500 liter diesel subsidi setelah menahan sebuah lori di Kampung Rampayan, Menggatal dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, lori muatan tiga tan itu didapati menyorokkan diesel tersebut di bahagian atas lori berkenaan yang telah diubah suai.

Penolong Pegawai Pemerintah PGM Kota Kinabalu, Cif Inspektor Cyril Douglas berkata, diesel yang disorok itu ditutup dengan kain kanvas bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, turut ditahan, pemandunya yang merupakan warga asing berusia lingkungan 40-an.

"Siasatan ke atas pemandu itu masih berjalan dan diesel tersebut diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri untuk siasatan lanjut.

"Tangkapan ini adalah hasil daripada kerjasama dan maklumat orang awam yang berasa curiga dengan pergerakan lori tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diminta supaya terus memberi kerjasama kepada pihak PGM bagi membanteras sebarang penyeludupan di negeri ini.

Syarikat kumpul sawit tipu peneroka

2010/04/01
MELAKA: Ratusan pekebun dan peneroka sawit sekitar Selandar dan Kemendor di Jasin menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pengumpul bahan komoditi itu yang didapati mengubah suai alat timbangan sejak empat bulan lalu.

Penipuan alat timbang pukal itu dikesan selepas peneroka mendapati pendapatan purata mereka susut antara RM30 hingga RM50 bagi setiap tan berbanding nilai jualan sebelumnya.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka, Abd Hafidz A Rahim, berkata taktik kotor syarikat terletak di Mukim Jus, Jalan Selandar itu berakhir apabila operasinya dibongkar oleh sekumpulan pegawai KPDNKK yang menyamar sebagai pekebun sawit yang ingin menjual tiga metrik tan buah sawit dimuat dalam sebuah lori di situ, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

“Pemeriksaan lanjut mendapati alat timbang pukal itu sudah diubah suai dengan tujuan menipu pekebun sawit, tanda ‘seal’ yang dikeluarkan Metrologi Corporation Malaysia (MCM) pada alat itu didapati dipotong bagi membolehkan bacaan timbangan berkurangan sebanyak 20 kilogram berbanding sepatutnya,” katanya kepada media di pejabatnya, di sini, semalam.

Katanya, pengubah suai alat timbang pukal membolehkan syarikat itu meraih keuntungan menerusi penipuan puluhan metrik tan buah sawit berikutan 20 lori dicatatkan berurus niaga di situ setiap minggu.

Beliau berkata, sebaik mendapat maklumat, pihaknya melakukan intipan selama empat bulan untuk mencari bukti dan akhirnya menyerbu premis berkenaan dengan kerjasama pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Melaka serta MCM, dan menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas alat timbang pukal itu, kelmarin.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya menyoal siasat seorang penyelia lelaki berusia 42 tahun serta merampas seunit alat timbang, komputer dan pencetak resit yang nilai keseluruhannya RM75,000 serta menyita sementara operasi syarikat berkenaan.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Syarikat berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Perihal Dagangan 1972 kerana membuat perihal dagangan palsu.

“Meskipun pekebun dan peneroka terpaksa menjual hasil di tempat lain, namun pihak kami mengucapkan syabas kepada pengadu kerana berjaya melumpuhkan taktik penipuan yang mengaut untung secara mudah ke atas susah payah mereka,” katanya.

Sunday, March 28, 2010

T-Melmax bakal kukuh kedudukan

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/03/29
Rancang tersenarai pasaran ACE

T-MELMAX Sdn Bhd, penyedia khidmat perisian bagi sektor perbankan, bakal mengukuhkan kedudukan di pasaran Asean dalam tempoh dua tahun akan datang menerusi rancangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, tahun depan.

Syarikat berstatus MSC itu kini sudah meneroka pasaran Thailand dan Indonesia dengan menyandarkan produk pembayaran elektronik yang dibangunkan anak tempatan sepenuhnya. Ketua Eksekutif T-Melmax, Abdul Mushir Che Chik, berkata bersandarkan rekod kewangan semasa, syarikat sudah memenuhi kriteria diperlukan untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Katanya, cadangan penyenaraian itu sejajar hasrat T-Melmax untuk mengukuhkan kehadirannya di pasaran Asean, sebelum menembusi pasaran yang lebih luas pada masa depan.

“Justeru, hasil daripada penyenaraian itu kelak bakal digunakan bagi tujuan itu (pengembangan di pasaran Asean) serta meningkatkan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menambah lebih banyak produk kepada pelanggan,” katanya ketika ditemubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Abdul Mushir berkata, tempoh penyenaraian itu juga bertepatan dengan usia syarikat yang bakal mencecah 10 tahun pada 2012, jelas menunjukkan perkembangannya dalam industri yang jarang diceburi Bumiputera.

Katanya, antara rancangan pengembangan T-Melmax pada masa depan ialah memperkayakan kegunaan produk yang dihasilkannya bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyedia perkhidmatan utama untuk industri perbankan perniagaan.

“Kami mahu fokus dalam satu-satu bidang yang diceburi. T-Melmax tidak mahu terlalu menumpukan segmen perniagaan lain,” katanya.

T-Melmax kini adalah antara penyedia khidmat perisian bagi bank utama di Malaysia. Antara pelanggannya ketika ini ialah Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, EON Bank, Bank Rakyat dan MBf.

Abdul Mushir berkata, syarikat merancang mengukuhkan kerjasama dengan syarikat lain bagi meninjau peluang membangunkan perkhidmatan yang dapat memberi manfaat lebih luas kepada pelanggan.

“Kami terbuka kepada sebarang pihak yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam bidang ini dengan T-Melmax,” katanya.

Produk utama dibangunkan T-Melmax ialah 'MaxPaygate Link' iaitu perisian yang mampu mengatasi soal berkaitan dokumen dalam sesebuah syarikat seperti urusan sumber manusia, gaji, cukai, caruman hari tua dan insurans pekerja, serta bayaran kepada pembekal.

Syarikat itu memperoleh dana daripada Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) untuk membangunkan rangkaian produknya.

Sindiket loteri haram tumpas

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 28 Mac 2010 - Polis berjaya mematahkan sindiket perjudian loteri haram yang terbesar di negeri ini dengan membabitkan pertaruhan mencecah sehingga RM4.8 juta sebulan selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Batu Dua di sini petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6.15 petang itu, polis menahan dua lelaki yang dipercayai menyewa rumah tersebut bagi menguruskan pertaruhan dari seluruh negeri ini.

Pegawai Pencegahan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat D7 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad berkata, siasatan pihaknya mendapati, rumah itu disewa sejak tiga tahun lalu bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, rumah itu hanya dijadikan sebagai pusat operasi yang mengumpul keseluruhan pertaruhan yang dibuat melalui ejen di seluruh negeri ini.

"Serbuan dilakukan selepas kita mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai kewujudan satu rumah yang dijadikan sebagai pusat operasi perjudian.

"Polis tanpa membuang masa terus menyerbu pusat judi berkenaan dan mendapati aktiviti perjudian tersebut memang ada," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Berikutan serbuan itu, dua lelaki berusia 43 dan 44 tahun ditahan kerana dipercayai mendalangi kegiatan perjudian berkenaan.

Ujarnya, kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai ejen kepada pusat perjudian itu yang mengutip wang berjumlah antara RM20,000 hingga RM30,000 sehari dan mampu mencecah sehingga RM4.8 juta sebulan.

Katanya, turut dirampas, beberapa peralatan untuk menerima pertaruhan daripada pelanggan termasuk mesin faks, komputer riba dan telefon bimbit.

Kedua-dua suspek, kata Maszely, kini ditahan mengikut Seksyen 4A (a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM200,000 atau lima tahun penjara.

Sementara itu, dalam serbuan di Gua Musang, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan atas kesalahan yang sama.

"Turut dirampas tiga helai kertas pertaruhan dan wang tunai RM2,000," ujarnya.

Friday, March 26, 2010

Pemandu tanpa lesen kaut RM700 sehari

2010/03/27
KUALA BERANG: Seorang pemandu treler yang tidak mempunyai lesen memandu mampu memperoleh pendapatan bersih RM700 sehari selepas ditolak kos sewa kenderaan dan minyak untuk mengangkut bijih besi dari Grik, Perak ke Kuantan.

Kegiatan lelaki itu terbongkar apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi berhampiran Tasik Kenyir di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie, berkata pemandu berusia 40 tahun terbabit juga didapati membawa lebih muatan selain tidak memiliki Lesen Kenderaan Barangan (GDL).

Katanya, pemandu treler yang akan menyambut hari ulang tahun kelahirannya esok dibebaskan, tetapi treler dipandunya ditahan sehingga ada rakannya yang mempunyai lesen memandu mengambil kenderaan berkenaan.

“Kita mengadakan operasi bersama anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu selepas menerima aduan mengenai kerosakan teruk jalan yang belum diwartakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sebanyak lapan saman dikeluarkan terhadap enam treler yang sarat dengan muatan bijih besi dan dua lori balak,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi berkenaan, semalam.

Tinjauan Berita Harian mendapati lebih 80 treler yang sarat dengan muatan bijih besi ditinggalkan di jalan berkenaan iaitu kira-kira 20 kilometer dari lokasi sekatan jalan raya, selepas pemandunya menyedari JPJ sedang melakukan sekatan jalan raya.

Bagaimanapun, JPJ dan anggota polis trafik tidak dapat mengambil sebarang tindakan untuk kenderaan ditinggalkan itu belum diwartakan.

Thursday, March 25, 2010

Sindiket jual resit tol palsu tumpas, empat ditahan

2010/03/26
SLIM RIVER: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpaskan satu sindiket mencetak dan menjual resit palsu tol Plus Expressways (Plus), dipercayai terbesar di negara ini berikutan penahanan empat anggotanya termasuk dua wanita asing dalam serbuan ke sebuah rumah di hadapan Hentian Rehat dan Rawat di Jalan Slim River-Sungkai, di sini, petang semalam.

Sindiket itu dikatakan menjual resit tol kepada pemandu lori menggunakan lebuh raya itu ke semua destinasi di negara ini dan dikatakan mendapat permintaan kerana 'diskaun' diberi hingga mencecah 85 peratus.

Difahamkan, kegiatan itu menyebabkan Plus kerugian sehingga RM3 juta apabila pemandu lori membeli resit palsu sindiket yang dikatakan bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu dengan merempuh palang di plaza tol tanpa membuat pembayaran dan kemudian menggunakan resit palsu yang tercatat kadar sebenar untuk membuat tuntutan palsu kepada majikan masing-masing. Ketua KPDNKK Cawangan Tapah, Ahmad Shafie Hussin berkata, pihaknya bersama pengurusan Plus, menyerbu rumah yang dijadikan pusat kegiatan itu pada kira-kira jam 4.20 petang selepas Unit Risikan KPDNKK membuat intipan selama dua bulan di hentian itu yang dikenal pasti lokasi utama pemandu lori membeli resit palsu Plus.

"Dua suspek warga Indonesia berusia lingkungan 20-an bersama seorang lelaki berusia 40-an sedang mencetak resit palsu di rumah itu, manakala seorang lagi suspek juga berusia 40-an sedang berurusan dengan pemandu lori di hentian berkenaan terletak bertentangan rumah terbabit.

"Apabila serbuan dibuat, tiga suspek terbabit tidak dapat berbuat apa-apa dan menyerah diri, sebelum seorang lagi ditahan ketika suspek kembali ke rumah itu,” katanya di lokasi serbuan di sini, semalam.

Ahmad Shafie berkata, pemandu lori menjadikan hentian itu membeli tiket tol palsu Plus dengan hanya memaklumkan resit dikehendaki mengikut kelas serta plaza tol masuk dan keluar serta kadar tol kepada suspek yang bertemu mereka.

Katanya, selepas menerima maklumat pemandu lori, anggota sindiket menghubungi rakannya menggunakan 'walkie talkie' atau terus ke rumah itu untuk membuat cetakan resit seperti diminta.

Difahamkan, tiket palsu Plus dibeli mengikut kelas kenderaan iaitu Kelas Tiga berharga RM5 dan Kelas Satu berharga RM3.

Pemandu lori dikatakan mengelak membayar tol dengan melanggar palang tol walaupun syarikat sudah memberi wang tol dan kes sering berlaku di susur keluar Plaza Tol Slim River.

Ahmad Shafie berkata, pihaknya merampas tiga komputer dan tiga mesin cetak yang digunakan untuk membuat tiket palsu Plus.

Katanya, dua lelaki tempatan itu ditahan untuk disoal siasat, manakala dua warga Indonesia pula akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana hanya mempunyai salinan pengenalan diri saja.

Katanya, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 18(1) Akta Perihal Dagangan 1972 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Wednesday, March 24, 2010

Skim cepat kaya guna nama Islam dikesan di Perak

2010/03/24
IPOH: Sebuah syarikat di sini dikesan menjalankan skim cepat kaya menggunakan nama "Islam" yang beroperasi aktif di Perak sejak Januari lalu dengan mensasarkan pelajar institusi pengajian tinggi.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak, Mokhtar Sulaiman, berkata syarikat yang dipercayai beroperasi dari sebuah pejabat di sini menjalankan aktiviti berkenaan melalui kaedah wang pos.

"Beberapa peserta telah membuat laporan selepas menyedari mereka ditipu. Pengasas skim itu sangat bijak kerana menggunakan agama Islam dalam pelaburannya bagi menarik perhatian," katanya selepas merasmikan Seminar Cabaran Pengguna Di Pasaran peringkat negeri Perak di sini, hari ini. Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati antara pelajar yang terjebak telah menggunakan wang pinjaman pendidikan untuk melabur dalam skim itu.

Beliau berkata, siasatan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia sedang dijalankan terhadap syarikat berkenaan.

Setakat ini, katanya, aktiviti itu dipercayai terhad di Perak dan belum menular ke tempat lain. - Bernama

Tuesday, March 23, 2010

Ejen jualan langsung tipu warga Amerika RM1.8 juta

24/03/2010 12:59pm

KUALA LUMPUR 24 Mac 2010 - Seorang ejen jualan langsung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang atas enam tuduhan menipu soerang warga Amerika membabitkan jumlah RM1.8 juta tahun lalu.

Mohd. Syafiq Sulaiman, 30, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Hakim Noradidah Ahmad menetapkan jaminan RM100 ribu dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah. - Utusan

Curi air: 2 banglo diserbu

Oleh Shamaruddin Saidin
utusan N9@utusan.com.my



Seorang penguat kuasa Sains membuka paip penyambungan yang menyalahi undang-undang dalam satu operasi di sebuah premis di Mantin, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

SEREMBAN 23 Mac 2010 - Gara-gara mencuri air, dua rumah banglo di sebuah kawasan kediaman mewah di Mantin di sini diserbu oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu operasi semalam.

Pengurus Komunikasi & Hal Ehwal Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz, berkata, serbuan dilakukan hasil siasatan penguatkuasanya tentang premis tersebut sebelum ini.

"Serbuan ke atas kedua-dua premis yang merupakan banglo setingkat dan banglo dua tingkat itu dilakukan bermula pukul 5.00 petang.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan SPAN bersama Unit Penguatkuasaan Sains mendapati, kedua-dua premis tersebut membuat penyambungan haram menggunakan paip Unplastic Poly Vinyl Chloride(UPVC) bersaiz 20 milimeter dan juga paip High Density Poly Ethlyene (HDPE ) bersaiz 25 milimeter tanpa melalui sebarang meter air," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azlan, hasil serbuan itu, pegawai SPAN dan penguat kuasa Sains menyita paip-paip penyambungan tersebut sebagai bahan bukti.

"Berdasarkan siasatan awal di lokasi, pihak SPAN mendapati pemilik kedua-dua banglo berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (AIPA 2006).

"Denda yang diperuntukkan adalah RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Tegasnya, pihak Sains memandang serius kes curi air seperti ini dan akan terus menjalankan pemantauan agar pihak yang disyaki menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini dapat dibawa ke muka pengadilan.

"Pengguna juga dinasihatkan untuk menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan daripada sebarang pembaziran memandangkan musim kering yang dijangka berterusan di beberapa negeri ketika ini.

"Di samping itu, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 untuk sebarang bantuan atau maklumat lanjut," ujarnya lagi.

Monday, March 22, 2010

Ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa

2010/03/23
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan pengarah syarikat tempat letak kenderaan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, membabitkn kesalahan membuat ramalan mengelirukan sehingga syarikat milik pelabur Itali membeli 250,000 unit saham syarikat kenderaan itu bernilai RM1.2 juta enam tahun lalu.

Datuk Edison D'cruz @ Eddison Decruz, 63, yang juga bekas pengarah syarikat Auto Parking Inc Sdn Bhd, dituduh bersubahat, manakala pengarah syarikat itu, Sarina Kamaluddin, ibu tungal tiga anak, dituduh melakukan kesalahan itu.

Kedua-dua mengaku tidak bersalah dan Sarina dibenarkan dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala manakala Edison, RM15,000.

Awas pencuri meter air lama

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 22 Mac 2010 - Ketika Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) berusaha menukar lebih 80,000 meter air lama di premis pengguna seluruh negeri ini, ia menarik perhatian pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk mencurinya.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan AKSB, Haswan Hassan memberitahu, sebanyak 50 kes dikesan di beberapa jajahan termasuk di Pasir Mas dan berdasarkan laporan polis yang dibuat, sudah ada tangkapan dilakukan.

Katanya, mereka yang terbabit antara lain cuba menyakinkan pengguna dengan menyamar sebagai kontraktor atau subkontraktor yang dilantik oleh AKSB bagi menjalankan tanggungjawab itu.

''Mereka menunjukkan contoh meter digital (smart meter) dalam bentuk plastik kepada pengguna dan memaklumkan meter asal atau lama yang diperbuat daripada logam (tembaga) itu akan dicabut serta-merta.

''Mereka juga memberitahu pengguna kononnya meter baru boleh dituntut di pejabat AKSB terdekat. Malah, ada yang cuba mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna atas kerja-kerja yang kononnya mereka lakukan," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian, mereka juga dikesan mencabut dan mencuri meter lama di premis yang tidak berpenghuni dengan sewenang-wenangnya dengan alasan notis makluman telah diberikan.

Katanya, gejala ini secara tidak langsung telah memberi imej tidak baik kepada AKSB selaku operator tunggal pembekal air di negeri ini di samping menimbulkan masalah kepada pengguna.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna agar berhati-hati termasuk mendapatkan salinan surat kebenaran penukaran daripada kontraktor sebelum memberikan kebenaran.

''Orang ramai juga diingatkan supaya jangan membuat pembayaran kerana tiada sebarang caj dikenakan bagi penukaran meter yang perlu dilakukan serta-merta.

''Akibat kecurian itu, AKSB serta pengguna hadapi masalah seperti terpaksa menanggung kos menggantikan semula meter dan kemungkinan bacaan meter tidak tepat berikutan tiada rekod dicatatkan selepas meter lama dicuri dan digantikan dengan meter baru.

''Juga timbul aduan bekalan air dipotong tanpa sebab kerana rekod menunjukkan tiada tunggakan bil. Ini kerana meter lama tersebut dicabut," ujarnya.

Katanya, dalam usaha menanganinya, AKSB akan memastikan kontraktor utama yang dilantik dan subkontraktor mereka memantau dengan lebih dekat kerja-kerja yang dilakukan di samping bekerjasama dengan pihak polis.

Beliau menjelaskan kerja-kerja penukaran meter ini telah dimulakan pada 2008 lagi dan sehingga kini lebih separuh telah dilakukan sebagai salah satu usaha mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).

Katanya, penggunaan meter baru ini yang dapat mengelak alat itu menjadi sasaran pencuri mempunyai bacaan lebih tepat serta jangka hayatnya melebihi 15 tahun berbanding meter lama yang cuma tujuh tahun dan bacaan mulai terjejas selepas penggunaan tiga tahun.

''Kerja-kerja itu dijangka diselesaikan pada Ogos 2011. AKSB memperuntukkan RM129 juta bagi mengatasi NRW yang turut melibatkan penggantian paip jejari lama bagi elak kebocoran di samping memastikan persempadanan air mengikut sistem agihan," ujarnya.

Sunday, March 21, 2010

Tawar pakej mencurigakan

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my



Abd. Hafidz A. Rahim menunjukkan lesen perniagaan palsu dan katalog air minuman kesihatan yang ditawarkan kepada pelanggan di Melaka, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------

MELAKA 21 Mac 2010 – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah nasib sebuah syarikat jualan langsung yang diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Melaka petang semalam kerana disyaki cuba melakukan penipuan.

Kegiatan itu terbongkar gara-gara kesilapan kakitangan syarikat tersebut yang tidak menyedari lelaki yang dihubungi di telefon bimbit untuk menawarkan pakej percutian menginap di mana-mana hotel selama tiga hari dua malam secara percuma adalah Ketua Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Abd. Hafidz A. Rahim.

Curiga dengan tawaran pakej tersebut, beliau telah mengarahkan enam anggotanya menyamar sebagai pasangan suami isteri untuk menyertai sesi penerangan syarikat itu di salah sebuah hotel terkemuka di negeri ini.

Menurut Abd. Hafidz, setelah enam anggotanya memperoleh nombor rahsia untuk membolehkan mereka memasuki sesi tersebut, beliau telah dimaklumkan oleh kakitangannya bahawa syarikat terbabit menawarkan pakej yang tidak sah kepada orang ramai.

‘‘Sewaktu kakitangan saya berada pada sesi penerangan itu mereka mendapati syarikat berkenaan cuba memperdaya kira-kira 12 pelanggan dengan taktik yang sama menawarkan pakej percutian secara percuma.

‘‘Bagaimanapun, setibanya di tempat itu, syarikat tersebut sebenarnya mahu pelanggan membeli minuman kesihatan bernilai RM176 sebotol dan pelanggan perlu membuat pelaburan percutian bernilai RM14,800.

‘‘Lebih mengejutkan, kakitangan syarikat itu seperti memaksa pelanggan dan mengambil wang sewaktu tempoh bertenang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Bertindak daripada maklumat kakitangannya yang menyamar, beliau berkata, sepasukan anggota penguat kuasa terus membuat serbuan di sebuah dewan seminar.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati syarikat itu melanggar Akta Jualan Langsung 1999 apabila memberi tempoh bertenang kepada pelanggan dalam tempoh yang singkat untuk mengutip bayaran.

Mengikut akta, kata Abd. Hafidz, tempoh bertenang untuk pelanggan membuat bayaran pada mana-mana syarikat jualan langsung berlesen adalah 10 hari.

Ujarnya, sebanyak tiga pelanggan membuat bayaran antara RM1,000 hingga RM4,000 dengan menggunakan kad kredit untuk menyertai pakej percutian di mana-mana hotel di seluruh dunia.
‘‘Selain itu juga, kita dapati lesen syarikat jualan langsung daripada kementerian yang dipamerkan, bukan yang asal sebaliknya yang telah dibuat salinan.

‘‘Lesen itu dilihat amat mencurigakan dan kita akan merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyiasat ketulenan lesen tersebut,” ujarnya.

Ekoran daripada itu tambah beliau, pihaknya telah merampas 79 botol minuman kesihatan, mesin pencetak dan mesin kad kredit yang keseluruhan bernilai RM15,000.

Beliau berkata, syarikat itu akan disiasat di bawah Akta Jualan Langsung 1999 sebelum mereka didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

'Pembalakan haram masih lagi berlaku'

2010/03/22
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mendapati aktiviti pencerobohan hutan termasuk pembalakan haram masih lagi berlaku walaupun penguat kuasaan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Timbalan Menterinya, Tan Sri Joseph Kurup, berkata 108 kes kesalahan hutan membabitkan pembalakan haram dalam hutan simpanan kekal di Semenanjung direkodkan dalam tempoh empat tahun sejak 2007, manakala lapan kes lagi bagi tempoh tahun tahun ini sehingga 10 Mac lalu.

Beliau berkata, bagi tempoh 2006 hingga tahun lalu, seramai 144 orang yang terbabit dalam kegiatan pembalakan haram ditangkap, manakala 226 unit mesin serta jentera berat dirampas. “Kutipan kompaun dan ganti rugi yang dikenakan kepada pesalah dan pencuri hutan dalam tempoh berkenaan berjumlah RM11.2 juta. Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang terbabit dalam pencerobohan hutan dan pembalakan haram kerana tindakan itu memberi impak negatif kepada alam sekitar.

“Jadi, kita melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memberi perhatian serius terhadap usaha membanteras kegiatan pembalakan haram,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Friday, March 19, 2010

Sindiket pasport palsu Indonesia tumpas

Sakaruddin Che Mood (dua dari kanan) menunjukkan pasport palsu Indonesia yang dirampas pada sidang akhbar di Kajang, Selangor, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KAJANG 19 Mac 2010 - Polis melumpuhkan satu sindiket memproses dan menjual pasport Indonesia palsu yang dipercayai bergiat aktif di sekitar daerah ini dengan penahanan salah seorang anggotanya di Taming Jaya di sini semalam.

Dalam tangkapan kira-kira pukul 2.30 petang itu, suspek lelaki warga Indonesia yang berusia 35 tahun sebelum itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis peronda.

Menyedari kehadiran polis, suspek bertindak mencampak sebuah beg dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, pemeriksaan ke atas beg suspek menemui 19 buku pasport Indonesia palsu.

"Suspek kemudian dibawa sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat yang tidak berpenghuni di kawasan yang sama dan menemui sebahagian peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit.

"Turut ditemui, enam buku pasport Indonesia palsu, 53 keping gambar saiz pasport individu, cop mohor Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen serta cop beberapa negeri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.

Menurut Sakaruddin, soal siasat terhadap suspek yang bertindak sebagai runner kepada sindiket itu mendapati pelanggan akan dikenakan bayaran sebanyak RM150 untuk membuat pasport palsu itu.

Beliau berkata, polis percaya rata-rata pelanggannya adalah pekerja warga Indonesia yang dipercayai memasuki negara kita secara haram.

"Mereka ingin memiliki pasport palsu ini untuk melepaskan diri sekiranya berdepan pemeriksaan rambang oleh pihak berkuasa. Pasport ini mereka tidak dapat gunakan untuk melepasi sempadan," jelas beliau.

Sakaruddin menambah, suspek kini ditahan reman selama 14 hari bagi disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1996.

"Polis sedang giat berusaha mengenal pasti dalang di sebalik sindiket terbabit," ujarnya.

Projek lebuh raya: Datuk didakwa tipu Datuk

PUTRAJAYA 19 Mac - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu seorang pengarah urusan sebanyak RM40,000 bagi mendapatkan projek pembinaan lebuh raya di Johor, dua tahun lalu.

Datuk Azraie Jamaluddin, 33, dituduh menipu Datuk Shahroldin Ali, 60, bagi mendapatkan projek Lebuh Raya Bertol Pasir Gudang-Johor Bahru di antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 13 Ogos 2008 di Hotel Marriott di sini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu mangsa yang ketika itu merupakan Pengarah Urusan Master Prestige Sdn. Bhd. sehingga lelaki itu mempercayai bahawa wang berkenaan boleh digunakan untuk mendapatkan projek tersebut daripada Menteri Kerja Raya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda serta sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin dan menetapkan kes itu disebut pada 19 April ini.

Azraie diwakili oleh peguam Azman Zakaria manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kevin Morais.

250 warga India terkandas ditipu ejen

KUALA LUMPUR 19 Mac 2010 - Mereka sanggup membayar RM20,000 seorang semata-mata untuk datang ke negara ini bagi mencari pekerjaan. Bayaran itu merupakan upah untuk ejen yang menguruskan kemasukan pekerja ini selain bayaran proses dokumen perjalanan mereka ke Malaysia.

Namun, dengan jumlah tinggi yang dibayar itu selain terpaksa meninggalkan negara sendiri untuk mencari rezeki di Malaysia, sudah pasti mereka tidak menyangka nasib buruk yang akan menimpa.

Itulah sengsara yang ditanggung kira-kira 250 warganegara India yang terkandas di negara ini selepas menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat mencari pekerjaan tempatan sejak Jun tahun lalu.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu dikatakan masuk ke negara ini secara sah pada bulan Jun tahun lalu namun gagal mendapat sebarang peluang pekerjaan sehingga hari ini.

Menurut seorang wakil kumpulan itu, Sampuran Singh, 50, lebih malang lagi, wakil ejen tersebut turut menghilangkan diri beberapa hari lalu dan gagal dihubungi.

"Mengikut perjanjian dengan ejen tersebut, kami akan mendapat peluang pekerjaan sebaik sahaja masuk ke Malaysia.

"Kami turut diminta membayar RM20,000 setiap seorang sebagai bayaran memproses dokumen perjalanan serta upah kepada ejen berkenaan," katanya di sini hari ini.

Sampuran berkata, kesemua warga India yang menjadi mangsa penipuan itu kini ditempatkan di sebuah asrama di Jalan Chow Kit dan diberi makan sehari sekali.

"Selepas sembilan bulan berada di negara ini, kami masih belum mendapat pekerjaan. Kami turut berhadapan dengan masalah apabila semua pasport dan dokumen perjalanan telah diambil oleh ejen berkenaan.

"Sehubungan itu, kami membuat aduan kepada Pejabat Kedutaan India di Malaysia dan berharap mereka dapat membantu kami pulang ke tanah air," katanya.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini memberitahu, aduan tersebut akan disiasat dan dirujuk kepada majikan.

Bagaimanapun, pihaknya enggan mengulas lanjut berhubung kes itu.

Kedai pakaian diserbu, jual barangan perangsang seks

19/03/2010 4:53pm


MIRI 19 Mac 2010 — Rahsia sebuah kedai menjual pakaian yang baru beroperasi di sini sejak beberapa bulan lepas terbongkar semalam apabila sepasukan polis menemui pelbagai barangan perangsang seks dijual di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Jamaludin Ibrahim hari ini berkata 13 barangan terlarang berkenaan yang dianggarkan bernilai RM3,000 dirampas dari kedai itu yang terletak di salah sebuah kompleks membeli-belah di bandar raya ini.

"Semasa serbuan, polis menahan dua lelaki masing-masing berumur 26 dan 41 tahun, di mana tangkapan dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana disyaki menjual bahan-bahan lucah,” katanya pada sidang berita di sini.

Beliau berkata polis telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk menahan reman kedua-dua lelaki berkenaan hari ini bagi meneruskan siasatan.

Serbuan yang dibuat di sini merupakan sebahagian daripada operasi menyeluruh polis untuk membanteras kegiatan penjualan bahan-bahan lucah di negara ini, katanya. - Bernama

Thursday, March 18, 2010

Warga Republik Chech didakwa cuba tipu peniaga

KLANG 18 Mac 2010 - Seorang warganegara Republik Chech dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba menipu peniaga minyak dengan menjual cek bernilai RM480 juta pada harga RM336 juta pada bulan lalu.

Antonin Posposil, 68, mengaku tidak bersalah cuba menipu V. Mahendren, 31, untuk mempercayai bahawa cek bernilai RM480 juta dijual dengan harga RM336 juta.

Posposil didakwa melakukan perbuatan itu di No. 19, Jalan Mata Kucing, Telok Gadong, dekat sini pada pukul 11.30 petang, 22 Februari lalu.

Hakim Datuk Anita Harun menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula bagi membolehkan tertuduh melantik peguam serta penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, warga emas itu boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Nurul Maisarah menawarkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin rakyat tempatan serta memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Anita membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula bagi membolehkan tertuduh melantik peguam serta penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Premis jual gajet seks di Melaka diserbu

MELAKA 18 Mac 2010 - Tahun lalu, Utusan Malaysia membuat pendedahan mengenai kewujudan sebuah premis menjual gajet seks secara terbuka di pusat beli-belah Dataran Pahlawan, Banda Hilir dekat sini.

Bagaimanapun, tidak ada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ke atas kedai tersebut.

Keadaan itu menyebabkan pemilik premis tersebut mampu tersenyum menjalankan operasi secara terbuka tanpa ada sekatan kepada orang ramai khusus golongan remaja yang mengunjungi kedai berkenaan.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 2.30 petang semalam, pekerja di premis menjual gajet seks itu terkejut besar dan tergamam apabila kedainya diserbu oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Hasil serbuan yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd. Rahman berjaya merampas sejumlah 26 gajet seks tiruan seperti alat kelamin lelaki bergetar dan rantai kunci berbentuk kemaluan.

Salehuddin berkata, premis berkenaan telah menyalahgunakan lesen perniagaan perubatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menjual produk seks berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

''Kedai ini menjual pelbagai peralatan seks yang sememangnya dilarang oleh kerajaan. Selain itu, pemilik premis ini telah menyalahgunakan lesen perniagaan perubatan dengan menjual peralatan seks kepada orang ramai secara terbuka,'' katanya kepada pemberita di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.

Ekoran daripada serbuan tersebut katanya, polis telah menahan seorang wanita berusia 21 tahun yang juga merupakan jurujual di kedai berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan kesemua gajet seks yang dirampas itu diimport dari China, Hong Kong, Taiwan dan Jepun.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Salehuddin menasihatkan mana-mana pengusaha kedai supaya tidak menyalahgunakan lesen yang diberi pihak berkuasa untuk menjual gajet seks secara terbuka.

Razaleigh tidak setuju kes royalti ke mahkamah

Zulkifli Sulong
KUALA TERENGGANU, 19 Mac 2010: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah menolak cadangan untuk membawa isu royalti minyak ke mahkamah kerana ia tidak akan membawa ke mana-mana.

Beliau merujuk kepada kes perebutan kuasa di Perak selepas kerajaan negeri Pakatan Rakyat dijatuhkan melalui pintu belakang.

"Oleh itu, bagi saya ada tiga sahaja cadangan yang praktikal iaitu mencari orang tengah untuk menyelesaikannya, membawa kes ini ke Timbang Tara atau meneruskan sahaja tekanan kepada kerajaan Pusat sebagaimana yang dibuat sekarang.

"Kalau mahu mencari orang tengah, saya bersedia untuk menjalankan amanah itu jika diminta," kata beliau di hadapan lebih 5,000 penonton dan pendengar Dialog Royalti Petroleum di Terengganu Equaestrian Resort (TER) dekat Kuala Ibai malam tadi.

Dialog itu dianjurkan oleh Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu atau Mampat bersama Gegar iaitu NGO yang memperjuangkan royalti minyak untuk kerajaan Terengganu dan Kelantan.

Turut serta di pentas bersama Tengku Razaleigh adalah wakil kerajaan Terengganu ketika di perintah PAS iaitu Datuk Mustafa Ali dan Datuk Abu Bakar Chik serta wakil kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.

Majlis dialog itu dirasmikan oleh Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ismail, penaung Mampat.

Orang ramai yang datang sejak Maghrib apabila diadakan juga Solat Hajat di Masjid Tengku Tengah berhampiran TER turut menandatangani kain rentang bagi membantah sekatan royalti untuk kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu.

Turut menandatanganinya adalah Datuk Mustafa dan Datuk Husam serta Tengku Paduka.

Di majlis itu, Mampat turut melancarkan buku kompilasi ucapan, kertas kerja dan forum Konvensyen Royalti Petroleum yang diadakankan tahun 2008 lalu di tempat yang sama.

Ketika ditanya, apakah beliau bersetuju untuk turun ke jalan raya sekiranya usaha yang dilakukan sekarang tidak berhasil, Razaleigh berkata, beliau tidak bersetuju.

"Saya rasa tidak perlu sampai ke situ...kita akan berjaya kalau kita teruskan usaha menekan kerajaan agar mematuhi apa yang telah termaktub dalam akta itu dan dipersetujui oleh Petronas dan kerajaan negeri," katanya.

Dalam ucapannya juga, Razaleigh berkata, dia sentiasa konsisten dalam sikapnya mengenai isu royalti ini.

Ia turut disokong oleh Mustafa yang mengesahkan Razaleigh bersetuju untuk menjadi saksi ketika kerajaan negeri Terengganu menyaman Petronas dan kerajaan Pusat dahulu.

"Bahkan, afidavit beliau telah kita siapkan. Malangnya mahkamah menerima permohonan agar kes ini dibicarakan tanpa perlu memanggil saksi," kata Mustafa.

Visa palsu: Warga Bangladesh jadi dalang

18/03/2010 3:45pm


NIBONG TEBAL 18 Mac — Polis membongkar sindiket membuat visa pekerja asing palsu yang didalangi warga Bangladesh selepas menyerbu sebuah flat di Bukit Panchor di sini pada 5 Mac lalu, dan menahan dua rakyat negara tersebut.

Namun polis masih mencari dalang berkenaan yang dikenali sebagai Al Mager Sadar atau Wahid berusia lingkungan 30-an.

"Kita percaya dia merupakan dalang kepada sindiket yang bergerak aktif di negeri ini sejak beberapa bulan lepas,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat.

Beliau berkata dua warga Bangladesh yang ditahan itu berumur 30 dan 38 tahun.

"Kedua-dua mereka bekerja kilang di sini dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit,” katanya. - Bernama

Datuk didakwa tawar skim pelaburan tanpa kelulusan

18/03/2010 3:52pm


PETALING JAYA 18 Mac 2010 - Seorang lelaki bergelar datuk dihadapkan di dua buah Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menawarkan kepada orang awam supaya membeli kepentingan dalam skim pelaburan sarang burung walhal ketika itu tidak mendapat kelulusan Pendaftar Syarikat.

Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Wong Sen Chiew, 54, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Sen Chiew turut didakwa menawarkan pembelian saham syarikat Golden Nest Properties International melalui skim pelaburan `bird nest cultivation’ bukanlah satu perniagaan biasa yag menjalankan perniagaan jual beli saham dan tawaran tersebut adalah dilarang.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Sen Chiew antara 28 November 2008 dan 1 Ogos 2009 di Tingkat 1, Blok A, Jaya One, Jalan Universiti di sini.

Tertuduh yang didakwa di hadapan Hakim Balqis Aini Mohd. Ali dan Hakim Aslam Zainuddin dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM100,000 dengan seorang penjamin.

Turut didakwa dalam prosiding yang sama, pengarah bagi portfolio pemasaran Golden Nest, Kok Sai Hong, 35.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 April ini. - Utusan

Wednesday, March 17, 2010

Pencuri bonsai simpan pokok di motel

KUANTAN 17 Mac 2010 - Tindakan seorang lelaki yang menggunakan sebuah rumah tumpangan sebagai tempat menyimpan 20 pokok bonsai yang dicuri sekitar bandar ini terbongkar apabila dia ditahan polis di Balok di sini kelmarin.

Suspek berumur 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis yang menyerbu premis terbabit kira-kira pukul 8 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkifli Taha berkata, penangkapan dibuat selepas menerima beberapa aduan daripada Persatuan Bonsai Kuantan yang mendakwa kehilangan pokok bonsai.

''Polis telah menerima beberapa laporan mengenai kehilangan pokok bonsai di sekitar bandar ini sejak bulan lalu.

"Usaha persatuan itu mencari pokok bonsai mereka yang hilang sejak bulan lalu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka menjumpai pokok itu di luar motel itu, kira-kira pukul 5 petang semalam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau, persatuan tersebut kemudian terus membuat laporan dan pada kira-kira pukul 8 malam, polis menyerbu premis terbabit.

"Hasil serbuan tersebut, polis menemui 20 pokok bonsai pelbagai saiz bernilai lebih RM30,000 yang diletakkan di luar bilik berkenaan," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian pokok bonsai itu telah dijual dipercayai sebagai menampung kehidupan seharian suspek.

"Polis percaya lebih 15 orang kehilangan pokok bonsai ini," jelasnya.

Zulkifli berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi IPD Kuantan di talian 09-5132222.

RM1.2j suap lulus 4,337 visa pekerja

Oleh Norhashimah Mohd Radzal
norhashimah@bharian.com.my
2010/03/18
Saksi ke-21 kes rasuah bekas ketua pegawai imigresen buat tiga kali pembayaran

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam, urusan meluluskan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh dalam kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Md Don, membabitkan pembayaran RM1.2 juta.

Datuk Zulkafli Maulud, 53, yang menjalankan perniagaan perkapalan, pembekalan senjata api dan pengambilan pekerja asing berkata, beliau membuat tiga kali pembayaran berjumlah RM1,214,360 kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Low Chang Hian. Saksi ke-21 itu berkata, bagi pembayaran terakhir beliau membawa wang tunai RM256,400 dan cek bernilai RM98,000 untuk diberikan kepada Low di Cafe Paya Serai, Hotel Hilton Petaling Jaya.

“Saya sampai di hotel itu bersama beberapa pegawai BPR (Badan Pencegah Rasuah) lebih kurang pada jam 9.45 malam dengan wang tunai RM256,400 yang saya terhutang pada Low. Saya pasti jumlahnya itu kerana saya juga membawa sekeping cek berjumlah RM98,000.

“Cek saya peroleh daripada majikan yang memohon visa, manakala wang tunai pula separuhnya adalah daripada BPR,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Kamal Ariffin Ismail dalam pemeriksaan utama.

Zulkafli berkata, Low tiba bersama isterinya yang dikenali sebagai Datuk Yong, pada jam 10 malam dan ketika itu ada tiga pegawai BPR yang berpakaian biasa duduk di sebelah mejanya.
“Saya ditugaskan menyerahkan wang dan cek kepada Low di bawah pengawasan pegawai BPR. Low dan isterinya duduk semeja dengan saya, saya serahkan duit dan cek bagaimanapun Low tidak mahu menerima cek itu kerana beliau mahu saya menunaikannya.

“Selepas mendapat pengesahan wang sudah diserahkan, pegawai BPR kemudian datang ke meja kami dan membawa (menahan) Low dan isterinya secara berasingan. Kami kemudian dibawa ke Ibu pejabat BPR di Putrajaya,” katanya.

Zulkafli memberi keterangannya dalam perbicaraan kes Wahid, 57, yang menghadapi tuduhan menerima rasuah RM60,000 daripada Low sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin bersambung hari ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang off Jalan Duta di sini, pada jam 10.15 malam, 10 Julai 2008.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah dan Ahmad Kamal, manakala Wahid diwakili peguam Datuk V Sithambaram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin bersambung hari ini.

Tuesday, March 16, 2010

Unit udara APMM gagalkan aktiviti pindah minyak di Pengerang

2010/03/17
JOHOR BAHRU: Unit Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malayia (APMM) berjaya menggagalkan kegiatan pemindahan minyak secara haram yang membabitkan dua kapal tangki di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi, semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim APMM Tanjung Sedili, Komander Maritim Abdul Hadib Abd Wahad dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedua-dua kapal tangki, MT Sakthi dan MT Napa 1 itu dikesan pada kira-kira jam 11.40 pagi di kedudukan 2.5 batu nautika Tenggara Tanjung Stapa.

Beliau berkata, kedua-dua kapal itu disyaki sedang memindahkan minyak apabila hos minyak kapal berkenaan didapati bersambung antara satu sama lain semasa helikopter Dauphin APMM menghampirinya. Katanya, helikopter Dauphin itu kemudian menghubungi bot kilat APMM yang berada berhampiran lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

Abdul Hadib berkata, pemeriksaan lanjut mendapati MT Sakthi sedang memindahkan 30,000 liter minyak jenis Marin Fuel Oil (MFO) ke MT Napa 1 tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Beliau berkata, ada 30 anak kapal di dalam kedua-dua kapal yang dimiliki syarikat yang sama, yang berpangkalan di Singapura dan kapten serta juruteranya kemudian dibawa ke ibu pejabat APMM, di sini, untuk tindakan selanjutnya. - Bernama

Kedai jual ubat seks diserbu

JOHOR BAHRU 16 Mac 2010 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri menyerbu sebuah kedai menjual ubat perangsang dan gajet seks di Jalan Wong Ah Fook di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Zainal Baharom berkata, serbuan pukul 4 petang bersama itu dijalankan bersama Jabatan Kesihatan dan Farmasi negeri selepas pihaknya menerima aduan orang awam.

Menurutnya, turut dirampas adalah ratusan pil perangsang seks disyaki tiruan yang membabitkan jumlah rampasan keseluruhan bernilai hampir RM100,000.

"Gajet seks yang dirampas itu akan dirujuk kepada pihak KPDNKK bagi tindakan selanjutnya sama ada ia boleh dijual ataupun tidak.

"Sementara pil-pil perangsang seks tiruan yang dirampas akan dibawa ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zainal berkata, tiga lelaki berusia 20-an yang dipercayai pekerja kedai terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya menyiasat kes berkaitan pil-pil perangsang seks di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Akta Racun 1952.

Menurutnya, antara barangan yang dijual adalah alat getar, kondom bergerigi, cincin berbulu ayam dan cecair pelincir aroma lemon dipercayai diseludup dari Taiwan, China dan Indonesia.

Perhilitan rampas 29,196 hempedu ular

KUALA LUMPUR 16 Mac 2010 - Seekor ular sawa hanya memiliki satu hempedu. Ini bermakna untuk mendapatkan sebanyak 29,196 hempedu ular, maka itulah bilangan reptilia itu yang perlu diburu dan dikorbankan.

Jumlah itu ternyata mengejutkan tetapi hakikatnya ia benar-benar berlaku.

Kegiatan memburu ular sawa untuk mendapatkan hempedunya terbongkar berikutan kejayaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas kepingan hempedu yang sudah diawet itu dari sebuah kedai menjual binatang di Kulim, Kedah pada 9 Mac lalu.

Ia merupakan rampasan terbesar hempedu ular yang dibuat oleh Perhilitan setakat ini.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaannya, Saharudin Anan berkata, dalam serbuan itu, peniaga tersebut turut didapati memiliki secara haram 31,596 kepingan besar kulit ular sawa serta 4,058 kepingan kecil kulit reptilia sama di premis perniagaannya.

"Walaupun premis perniagaan itu berlesen, kami percaya pemiliknya iaitu seorang lelaki berusia 40-an menjalankan kegiatan jual beli organ haiwan tersebut secara haram.

"Lelaki itu tidak ditahan namun kesemua barangan itu dirampas untuk siasatan lanjut. Dia akan dihadapkan ke mahkamah sekiranya kami ada bukti kukuh untuk mendakwanya," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Perhilitan di Cheras di sini hari ini.

Saharudin menambah, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan barang yang dirampas itu adalah untuk dieksport berdasarkan jumlahnya yang banyak.

Dalam satu lagi serbuan pada 10 Mac lalu, Perhilitan menahan tiga sekeluarga di sebuah rumah di Teluk Intan, Perak kerana disyaki menyimpan tiga ekor tenggiling betina serta memiliki sekeping sisik haiwan itu.

Menurut Saharudin, kesemua tenggiling itu ditemui dan disimpan dalam stor dan bilik tidur rumah suspek.

Keempat-empat suspek dalam kedua-dua serbuan bakal berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, Akta 76 jika sabit kesalahan.

Hati-hati individu menyamar pegawai JKM

KOTA KINABALU 16 Mac 2010 - Orang ramai khususnya warga emas dinasihatkan supaya berhati-hati dengan individu yang menyamar sebagai pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mendakwa mampu mengurus segala masalah berkaitan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Negeri kepada mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Supritendan Soh Hock Sing berkata, ini kerana, pada tahun ini sahaja, sebanyak 12 kes penipuan melibatkan kerugian RM26,590 dikesan di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini.

Katanya, dalam kebanyakan kes, mangsa mengadu didatangi oleh seorang wanita dan lelaki yang akan memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai JKM.

''Kebiasaannya suspek akan mendampingi warga emas itu di kawasan tumpuan ramai seperti kompleks membeli-belah.

"Suspek kemudian akan membawa mangsa menaiki kereta kononnya untuk dibawa ke JKM tetapi dalam perjalanan itu akan dikehendaki mengisi borang dan diminta menyerahkan bayaran mengurus bantuan tersebut.

"Sejurus selepas itu mereka akan menghantar mangsa balik dan terus menghilangkan diri," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau memberitahu, kebanyakan kes penipuan itu berlaku di Tuaran, Papar, Putatan, Penampang, Inaman dan Kota Kinabalu.

"Jadi kita minta orang ramai terutama pesara dan warga emas berhati-hati dan tidak terpedaya dengan kumpulan penipu itu," katanya

Sementera itu Hock Sing turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan.

Katanya, pada tahun lalu sahaja sebanyak 39 kes melibatkan kerugian sebanyak RM124,480 dilaporkan akibat menyertai peraduan menerusi SMS itu.

"Pada tahun ini sahaja sebanyak sembilan kes melibatkan kerugian RM11,967 sudah dilaporkan.
''Oleh itu, orang ramai perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh,'' katanya.

Penguat kuasa halal 'dikurung'

REMBAU 16 Mac 2010 - Pengusaha sebuah kilang memproses ayam di Pedas dekat sini bertindak di luar dugaan apabila 'mengurung' 12 pegawai dari dua agensi penguatkuasaan yang melakukan serbuan di premis itu hari ini.

Pengusaha tersebut bertindak mengunci pagar premis itu ketika serbuan dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada pukul 5.30 petang.

Turut terperangkap di dalam premis itu ialah tiga wartawan dan dua jurukamera yang membuat liputan serbuan berkenaan.

Difahamkan, tindakan itu dilakukan oleh pihak pengusaha bagi menghalang sebarang berita dan gambar mengenai serbuan Jakim dan KPDNKK di premis itu dilaporkan oleh pihak media.

Mereka 'dikurung' selama kira-kira tiga jam dan hanya dapat keluar dari kilang itu selepas polis tiba dan melakukan rundingan dengan pengusaha berkenaan.

Penolong Pengarah Jakim, Mohd. Amri Abdullah yang ditemui pemberita menjelaskan, operasi itu dibuat berikutan rampasan satu tan metrik ayam di Pulau Pinang kerana diragui cara penyembelihannya.

"Siasatan awal kami mendapati kilang ini membekalkan ayam kepada salah sebuah syarikat yang membekalkannya pula kepada salah sebuah pasar raya terkenal di Pulau Pinang.

"Berikutan maklumat itu, sepasukan anggota KPDNKK dan Jakim bertindak memeriksa kilang ini," katanya.

Mohd. Amri memberitahu, Jakim menggantung sementara sijil halal kilang terbabit sehingga siasatan selesai.

SPRM: 500 ditangkap terbabit kes rasuah

Mac 16, 10 4:19pm

Seramai 500 orang, 38.2 peratus daripada mereka penjawat awam, ditangkap tahun lalu berhubung pelbagai kes rasuah.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zakaria Jaafar berkata, daripada 191 penjawat awam yang ditahan, dua adalah daripada kumpulan pengurusan tertinggi dan 29 daripada kumpulan profesional.

Selain itu, beliau berkata, 107 tangkapan membabitkan orang awam, 180 daripada swasta dan 22 ahli politik.

"Daripada 176 orang yang dihadapkan ke mahkamah, 89 terdiri penjawat awam, 46 orang awam, 27 daripada sektor swasta dan 14 ahli politik,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas dan perpisahan Pengarah SPRM Pahang di Kuantan hari ini.

Datuk Sutinah Sutan yang sebelum ini memegang jawatan tersebut dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pencegahan) SPRM, manakala tempatnya diganti oleh Pengarah SPRM Selangor, Moh Samsudin Yusoff.

- Bernama

Monday, March 15, 2010

2 anggota sindiket pemalsuan kad kredit ditahan

15/03/2010 4:18pm

KOTA KINABALU 15 Mac 2010 — Dua lelaki dipercayai anggota sindiket pemalsuan kad kredit antarabangsa, ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah, Supt Soh Hock Sing, berkata polis merampas 37 kad kredit palsu selepas menahan kedua-dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun itu pada pukul 11.30 pagi.

"Had pengeluaran bagi setiap kad kredit itu adalah antara RM13,000 hingga RM15,000 dan kad palsu itu dipercayai untuk pasaran asing kerana kad berkenaan tidak mempunyai cip keselamatan berteknoloji tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya pihaknya mendapat maklumat awam dan memerhatikan tingkah laku suspek dari Pulau Pinang dan Perak itu yang menunggu penerbangan ke Hong Kong sebelum menahan mereka.

"Kedua-dua supek ditahan reman selama lima hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu terbabit dalam sindiket itu

Sunday, March 14, 2010

UPP rampas 76 guni benih kerang seludup

RANTAU PANJANG 14 Mac 2010 - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 76 guni benih kerang bernilai RM52,000 yang dipercayai cuba diseludup di Kampung Banggol, Setol, dekat sini, petang semalam.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata, pihaknya juga menahan seorang lelaki dipercayai pemandu lori yang membawa benih kerang itu.

Menurutnya, kejayaan itu hasil serbuan yang dilakukan sepasukan enam anggota unitnya dari Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur, Tumpat, setelah mendapat maklumat daripada orang ramai kira-kira pukul 7 malam.

"Kita percaya, kerang itu cuba diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di negeri ini," katanya kepada pemberita di Pejabat UPP Pengkalan Kubur, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati lori terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu berdasarkan lesen cukai jalan yang dipamerkan.

Menurutnya, semua barang kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kelantan untuk diambil tindakan lanjut.

Katanya, tangkapan barang kes tersebut mengikut Akta Perikanan 1983 di bawah Peraturan Perikanan Pemuliharaan (Kultur Kerang) dan jika sabit kesalahan boleh didenda di mahkamah sehingga RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

— BERNAMA

Sebutan kes Nasreen guna dokumen palsu, 16 April

KUALA LUMPUR 12 Mac - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 16 April ini sebutan kes aktres dan produser, Nasreen Ngasri (gambar) yang didakwa atas tuduhan menggunakan dokumen cagaran berharga yang palsu.

Pada prosiding hari ini, peguam yang mewakili Nasreen, Amir Feisal Ariff memaklumkan Hakim Asmadi Hussin bahawa pihak pendakwaan belum membekalkan dokumen yang diperlukan oleh beliau.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasuha Mohamed Ali yang mengesahkan perkara tersebut memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi sebutan.

Asmadi bagaimanapun menyatakan, sekiranya pihak-pihak berkenaan masih memohon tarikh baru pada prosiding akan datang, mahkamah akan terus menetapkan tarikh perbicaraan.

Nasreen, 27, atau nama timangannya, Darling pada 6 Februari lalu, didakwa atas tuduhan menggunakan dokumen cagaran berharga yang palsu.

Dokumen tersebut adalah 'Director's Circular Resolution Nasridz Pictures Sdn. Bhd.' bertarikh 16 Ogos 2007.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan oleh Nasreen pada 16 Ogos 2007 di RHB Bank Berhad, Jalan Tun Razak di sini.

Nasreen didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pelakon itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin.

Penyangak besi

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

2010/03/08
MELAKA: Kewujudan 'penyangak besi' di sekitar Melaka Sentral dekat sini, sejak kebelakangan ini semakin menimbulkan kebimbangan orang ramai termasuk peniaga di situ, berikutan banyak kepingan logam berkenaan yang digunakan sebagai penutup longkang lesap secara tiba-tiba tanpa dikesan.

Sukar memastikan pihak yang dipertanggungjawabkan, tetapi majoriti mengaitkan jenayah itu dilakukan penagih dadah yang sering dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan terutama pada waktu malam.

Mereka dikatakan mencuri kepingan besi itu untuk dijual bagi mendapatkan wang membeli dadah. Antara kawasan yang menjadi mangsa mereka ialah deretan rumah kedai di Jalan PMS 1, Plaza Melaka Sentral selain beberapa kawasan berhampiran. Pihak terbabit dikatakan menjalankan aktiviti mencuri kepingan besi itu pada waktu malam, tanpa mengendahkan orang ramai yang lalu lalang di situ.

Ada kalanya, mereka juga bertindak pada siang hari dengan memberanikan diri menyamar sebagai pengimpal, kononnya mahu memperbaiki besi yang kononnya rosak itu.

Tinjauan Berita Harian ke kawasan berkenaan mendapati lebih 20 penutup longkang hilang terutama di kawasan belakang premis berkenaan, manakala beberapa besi cerucuk kecil kelihatan terjulur akibat kesan daripada longkang yang pecah.

Peniaga, Noraini Sulaiman, 50, mendakwa besi penutup longkang itu sudah hampir beberapa bulan hilang dan masih tidak diselenggara pihak berwajib sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang ramai.

Beliau yang sudah setahun berniaga di situ, berkata aduan mengenai permasalahan berkenaan pernah dibuat peniaga di kawasan itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi tiada tindakan diambil sehingga kini.

"Sejak kepingan besi penutup hilang, longkang di kawasan ini terbuka dan keadaan itu menyebabkan orang ramai yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membuang sampah dalam longkang berkenaan.

"Saya juga khuatir keselamatan orang ramai khasnya kanak-kanak yang lalu lalang di sini mungkin berhadapan risiko terjatuh dalam longkang yang tidak ditutup kerana tidak menyedari keadaan itu," katanya.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Yati, 24, berkata beliau kesal dengan tindakan pihak yang mengambil kesempatan mencuri kepingan besi penutup longkang itu tanpa memikirkan kepentingan orang lain.

"Besi penutup longkang ini dijual sebagai besi buruk dan kita percaya kegiatan itu dilakukan pengumpul barang buangan seperti penagih dadah, kutu rayau atau peniaga kitar semula yang sentiasa mencari peluang mencuri pelbagai barangan bernilai untuk dijual semula.

"Masalah besi penutup longkang yang hilang ini boleh diatasi jika besi itu disimen bagi mengelakkan ia dikeluarkan, selain pihak berwajib melakukan pemantauan secara kerap," katanya.

Friday, March 12, 2010

UPP kesan taktik baru penyeludupan minyak di Padang Besar

2010/03/13
PADANG BESAR: Seorang penyeludup menyangkakan tindakannya mengubahsuai kenderaannya dengan meletakkan replika peralatan audio dapat mengelirukan pihak berkuasa di sempadan namun ia ternyata meleset.

Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) mengesan sebuah kenderaan yang berdaftar di Thailand di kilometer 9.9 Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian jam 11.30 pagi semalam dan semasa diperiksa hanya terdapat peralatan audio di dalam but kenderaan itu.

Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman, berkata hasil pemeriksaan rapi pihaknya menemui tangki minyak tambahan di belakang replika peralatan audio itu.

Katanya, sekiranya tidak diperiksa rapi, ia kelihatan seperti aksesori peralatan audio yang sering dipasang peminat audio kereta yang lain. Kereta jenis Honda Civic itu serta 300 liter petrol bernilai RM540 yang terdapat dalam tangki tambahan itu turut dirampas manakala pemandunya, seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan. Zakaria berkata, kenderaan itu sepatutnya hanya boleh mengisi 70 liter petrol tetapi disebabkan wujud tangki tambahan ia boleh mengisi bekalan yang berkali ganda untuk diseludup. Siasatan awal mendapati lelaki itu baru menjalankan kegiatan penyeludupan itu dua hari lalu dan berbelanja RM500 untuk pengubahsuaian kenderaannya.

"Kes ini dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) untuk tindakan lanjut," katanya. - Bernama

UPP tahan warga emas simpan petrol secara haram

PADANG BESAR 12 Mac 2010 - Seorang lelaki warga tempatan ditahan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) kerana menyimpan 630 liter petrol bersubsidi bernilai RM1,194 tanpa kebenaran di rumahnya di Pekan Kaki Bukit di sini semalam.

Komander UPP Padang Besar, Asisten Supritendan Noor Janihan Nayan berkata, lelaki berusia 54 tahun itu cuba melepaskan diri dengan menunjukkan salinan surat Permohonan Kuasa Khas yang membenarkan dia menyimpan petrol berkenaan.

"Bagaimanapun surat itu menunjukkan bahawa ia sudah luput tarikh malah surat berkenaan hanya membenarkan penyimpanan 100 liter petrol bersubsidi sahaja," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, pihak UPP yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan mendapati sebuah rumah yang bahagian hadapannya dipenuhi dengan 21 tong yang setiap satu berisi 30 liter petrol dan 12 tong kosong.

"Seorang lelaki telah mengaku sebagai tuan punya minyak berkenaan dengan menunjukkan surat kebenaran tetapi surat itu sudah luput tarikh malah sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)," katanya.

Menurut beliau, lelaki berkenaan dipercayai mengaut keuntungan cepat dengan menjual petrol bersubsidi secara haram kepada warga asing dan warga tempatan dengan nilai RM2.20 seliter berbanding harga biasa iaitu RM1.80.

"Difahamkan dia menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa dan mengumpul petrol berkenaan di hadapan rumahnya setelah mengambil petrol itu di stesen-stesen minyak berhampiran," katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang mewarisi perniagaan bapanya menjual petrol pernah dikenakan kompaun pada 2007 atas kesalahan yang sama.

Noor Janihan berkata, lelaki berkenaan diserahkan kepada KPDNKK untuk tindakan lanjut di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Thursday, March 11, 2010

Kes 'Darling' guna dokumen palsu disebut 16 April

2010/03/12
KUALA LUMPUR: Kes pelakon dan penerbit Nasreen Ngasri, yang lebih dikenali sebagai 'Darling' yang didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai cagaran berharta, akan disebut semula di Mahkamah Sesyen di sini, 16 April ini.

Hakim Asmadi Hussin menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nasuha Mohamed Ali menyerahkan beberapa dokumen yang masih belum diserahkan kepada peguam bela Amir Feisal Ariff yang mewakili Nasreen.

Pada 6 Februari lalu, Nasreen, 27, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dokumen cagaran berharga palsu iaitu ''Director''s Circular Resolution Nasridz Pictures Sdn Bhd'' bertarikh 16 Ogos 2007.

Nasreen didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dia yang diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, dituduh melakukan perbuatan itu di RHB Bank Berhad, Jalan Tun Razak di sini, pada 16 Ogos 2007. - Bernama

Cubaan seludup keluar petrol gagal

Seorang anggota PGM memeriksa petrol yang dirampas ketika cuba diseludup keluar di perairan Laut Sahabat 16, Lahad Datu, awal pagi kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



LAHAD DATU 11 Mac 2010 - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Lahad Datu merampas sejumlah 2,200 liter petrol yang cuba diseludup keluar dari negara ini di perairan Laut Sahabat 16 dekat sini awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Lahad Datu, Asisten Supritendan Rusdin Banin berkata, petrol bernilai kira-kira RM3,960 itu dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot kira-kira pukul 1 pagi.

"Dalam operasi 'Ops Tayang' yang diketuai oleh Inspektor Ahmad Puad Othman itu, PGM turut menahan dua lelaki termasuk juragan bot berkenaan.

"Kita juga turut menyita bot berkenaan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan PGM Lahad Datu di sini hari ini.

Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Beliau memberitahu, siasatan masih dijalankan termasuk mengesan individu lain yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai terus memberikan kerjasama kepada polis bagi menghapuskan aktiviti jenayah dan penyeludupan di daerah ini.

"Kita berharap orang ramai akan terus memberikan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui apa-apa kegiatan menyalahi undang-undang termasuk penyeludupan," katanya.

European Union akan dikenakan tindakan

KUALA LUMPUR 11 Mac 2010 - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat, Isles Internationale Universite (European Union) Limited kerana menawarkan kursus ijazah yang tidak sah kepada para penuntutnya.

Tindakan itu juga dilakukan bertujuan menjaga kepentingan orang awam daripada terus ditipu oleh syarikat itu yang dahulunya dikenali sebagai Irish International University (IIU).

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan SSM, Muhammad Redzuan Abdullah berkata, syarikat itu menawarkan kursus yang tidak sah pada harga yang tinggi dan mengurniakan ijazah yang tidak diiktiraf oleh Lembaga Akreditasi Negara (kini dikenali sebagai Agensi Kelayakan Malaysia).

"Kami telah memulakan tindakan penggulungan syarikat berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini setelah menerima pelbagai aduan termasuk daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

"Ia akan dilaksanakan di bawah Akta Syarikat 1965 kerana syarikat itu telah digunakan untuk tujuan yang salah dan mengganggu kepentingan awam," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Muhammad Redzuan, Kedutaan Republik Ireland juga telah mengesahkan bahawa syarikat itu bukan sebuah universiti dari negara itu dan tidak pernah diiktiraf sebagai universiti sebelum ini.

Menurutnya, syarikat tersebut pernah menghantar permohonan kepada kerajaan untuk mendaftar sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Bagaimanapun, permohonan berkenaan ditolak kerana tidak memenuhi kriteria dan tidak layak didaftarkan sebagai institusi pengajian tinggi di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 dan Akta Pendidikan 1996.

Sehubungan itu, syarikat yang diperbadankan di Dublin, Ireland itu mendaftar sebagai syarikat asing di Malaysia di bawah Seksyen 332 (1A) Akta Syarikat 1965 pada 14 Januari 2002.

Muhammad Redzuan dalam pada itu menjelaskan, tindakan yang diambil SSM adalah bertepatan dengan seruan yang dibuat oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"UNESCO begitu peka terhadap penyalahgunaan bidang akademik untuk kepentingan tertentu.

"Justeru, pertubuhan itu telah menyediakan garis panduan untuk negara ahlinya supaya menjaga integriti sistem pendidikan tinggi dan memastikan semua badan yang menghulurkan bantuan kewangan kepada para penuntut tidak menyokong penyalahgunaan seperti itu," jelasnya lagi.

Senibahri Arkitek nafi terbabit dengan reka bentuk bumbung stadium

2010/03/11
KUALA TERENGGANU: Senibahri Arkitek, syarikat perunding yang dilantik kerajaan negeri untuk mereka bentuk kerangka Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini menafikan terbabit dengan reka bentuk bumbung stadium itu yang runtuh pada 2 Jun tahun lalu.

Pemilik syarikat itu, Raja Kamarul Bahrin Shah, mendakwa bahawa pihaknya hanya ditugaskan untuk mereka bentuk struktur bangunan stadium manakala syarikat dari Korea yang dipilih oleh kontraktor utama ditugaskan untuk mereka bentuk struktur kerangka bumbung stadium.
"Kita hanya bertindak sebagai perunding kerajaan dan tidak terbabit secara langsung dengan reka bentuk terperinci struktur dan pengawasan pembinaan bumbung tersebut. Sepanjang pembinaan bumbung stadium itu, ia diselia dan disiapkan perunding yang dilantik oleh kontraktor utama," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan kertas siasatan mengenai kejadian itu yang didedahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, di sini.

Beliau berkata, di bawah kontrak dengan kontraktor utama, perunding dan pemborong pakar adalah terbabit dalam reka bentuk yang terperinci bumbung berkenaan.

"Mereka (perunding dan pemborong pakar) adalah dilantik oleh pemborong utama (kontraktor utama) di bawah kontrak untuk mereka bentuk, membina, mengawasi dan menyiapkan sistem bumbung "space frame" dan kerja-kerja berkaitan.

"Sementara kami, dilantik oleh kerajaan negeri dan tidak terbabit dengan reka bentuk terperinci struktur dan juga pengawasan bumbung tersebut," katanya.
Sambil menyambut baik pendedahan Menteri Besar, Raja Kamarul Bahrin berkata, bahawa pihaknya sudah memberi penjelasan penuh kepada Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) berhubung kejadian tersebut.

LAM dan PAM dijangka mengeluarkan kenyataan mereka dalam masa terdekat ini, katanya.

Sementara itu, pemilik Senibahri Arkitek itu memberitahu bahawa sebelum ini pihaknya pernah memberi pandangannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung ketidaksempurnaan bumbung tersebut yang dikesan sejak dalam proses pembinaan.

"Kami telah menghantar empat surat dengan surat terakhir dihantar ialah pada 19 Februari tahun lalu yang antaranya menyatakan pihak Senibahri Arkitek tidak mahu bertanggungjawab ke atas apa-apa yang berlaku selepas nasihat yang diberikan tidak dibuat susulan sewajarnya.

"Kita menjangkakan kejadian runtuhan bumbung yang bernilai RM35 juta itu memberi kesan kepada struktur bangunan stadium. Sejauh mana kesan ke atas struktur stadium itu tidak akan diketahui sehingga pemeriksaan dilakukan tetapi kita boleh bayangkan kesannya akibat runtuhan bumbung seberat 2,500 tan itu," katanya. - Bernama

Wednesday, March 10, 2010

PAC tidak puas hati penjelasan SPMB

Oleh Magendran Rajagopal

2010/03/11
Tempoh 3 minggu diberi perjelas isu peningkatan kos projek diusul

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak berpuas hati dengan penjelasan wakil Syarikat Perumahan Malaysia Berhad (SPMB) yang dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan peningkatan mendadak kos beberapa projek yang diuruskannya.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata beliau dan anggota jawatankuasa itu meminta SPMB menyediakan maklumat lebih terperinci berhubung butiran perbelanjaan dan punca sebarang kenaikan kos.

“Penelitian awal mendapati, ada projek tertentu mengalami pertambahan kos berbanding anggaran asal tetapi tidak dapat dipastikan sama ada wujud salah laku pada pihak SPMB. “Kita akui tanggungjawab SPMB adalah besar kerana ia menguruskan pembinaan 24,000 unit rumah manakala 9,000 unit sudah dijual. Kita tidak mempersoalkan kebolehannya tetapi hanya mempertikaikan kos yang ditanggung.

“Sehubungan itu, kita beri mereka tempoh tiga minggu untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci dan menemui kita sekali lagi pada 23 Mac ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Isu kos melebihi anggaran asal itu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008, sekali gus mengundang teguran pelbagai pihak yang mendakwa wujud salah laku dalam pengurusan kewangan.

Setahun sebelum itu, SPMB dikritik berikutan dakwaan masih berhutang kira-kira RM500 juta kepada 34 kontraktor Bumiputera.

Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, turut menyelar SPMB kerana lewat menyiapkan projek kompleks perumahan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang membabitkan kontrak RM1.5 bilion bagi membina 6,000 unit rumah.

Ahmad Zahid, yang juga bekas Pengerusi SPMB, dilaporkan berkata bukan saja projek berkenaan lewat siap, malah rumah yang siap dikesan mempunyai banyak kecacatan.

Premis jual perisian cetak rompak diserbu lagi

KUALA LUMPUR 10 Mac 2010 - Sebuah premis di Plaza Low Yat yang pernah diserbu dua tahun lalu kerana menjual perisian cetak rompak sekali lagi diserbu pasukan penguatkuasa atas kesalahan yang sama semalam.

Dalam serbuan pukul 4 petang itu, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas dua unit komputer riba yang digunakan untuk menyimpan perisian cetak rompak itu.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, tujuh perisian ditemui dalam komputer tersebut iaitu Windows XP 2007 dan Microsoft.

"Bagaimanapun, tiada penahanan dibuat terhadap suspek," katanya selepas mengetuai operasi tersebut.

Roslan berkata, premis itu pernah diserbu atas kesalahan yang sama pada tahun 2008.

"Nampaknya premis ini masih tidak sedar terhadap kesalahannya menjual perisian cetak rompak," katanya.

Menurutnya, premis itu melakukan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan perisian cetak rompak atau penjara sehingga lima tahun.

Katanya, disebabkan premis itu melakukan kesalahan kali kedua, nilai denda yang dikenakan juga meningkat dua kali ganda jika sabit kesalahan.

‘Tidak mengikut spesifikasi’

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 10 Mac 2010 – Semua pihak termasuk perunding dan kontraktor yang terlibat dalam membina Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berharga RM292 juta perlu bertanggungjawab terhadap kejadian runtuhan bumbung stadium pada 2 Jun tahun lalu.

Perkara itu didedahkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman sejurus mendapat kelulusan dan persetujuan mesyuarat itu di sini hari ini.

Pendedahan itu sekali gus menamatkan teka-teki berhubung bila laporan itu akan didedahkan kepada umum setelah beberapa kali tertangguh sejak kejadian tahun lalu.

Laporan 60 muka surat termasuk gambar yang disediakan Jawatankuasa Penyiasatan mengenai kejadian itu turut menyebut bahawa kontraktor utama projek berkenaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan kejadian tersebut.

Laporan itu menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan bumbung stadium berkenaan runtuh yang antara lain menyebut reka bentuk didapati tidak mencukupi di mana perekanya gagal mengambil kira pertimbangan sepenuhnya bagi menyokong struktur bumbung.

Bumbung yang dibina terlalu lemah serta tiada kawalan berkualiti pada tapak selain kerja-kerja pembuatan dan material pula tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.

Selain itu, faktor lain sebagai penyebab runtuhan adalah disebabkan bentuk seni bina tanpa menggunakan tiang penyokong lalu menyebabkan bumbung sangat sensitif kepada sebarang pergerakan yang berlaku.

Ahmad menjelaskan, semua pihak yang terbabit dalam pembikinan stadium berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan pihaknya sudah memberi notis kepada kontraktor terbabit untuk menjalankan kerja pembersihan sisa bumbung yang runtuh.

Beliau turut mempersoalkan kewibawaan sesetengah jurutera atau checker yang sepatutnya mempunyai pengalaman lebih luas dalam membina sesebuah kompleks mega sedemikian bagi mengelak timbul masalah.

“Sebab itu saya kata, sepatutnya checker lebih hebat daripada pihak lain. Sama juga dengan guru yang sepatutnya ada tali pinggang hitam dan dia mesti lebih hebat daripada anak murid. Begitu juga untuk jadi konsultan, dia kena ada sekurang-kurangnya 15 tahun hingga 20 tahun pengalaman.

“Kadang-kadang dia kerja antara empat hingga lima tahun saja, dia dah lari. Adakah kita pernah buat bangunan macam ini? Satu lagi kesilapan kita, bila kita lantik konsultan, kita anggap konsultan lebih hebat. Kita tak periksa balik, betul atau tidak reka bentuk dia,” katanya.

Beliau menegaskan, berdasarkan perjanjian asal, kontraktor yang terlibat akan dipertanggungjawabkan terhadap kejadian yang berlaku.

Mengenai kerja-kerja pembersihan bumbung runtuh, Ahmad menjelaskan, buat masa ini, pihaknya sudah mengeluarkan notis mengenainya namun belum menerima maklum balas.

“Sehubungan itu kita akan keluarkan tender secepat mungkin untuk bersihkan semula bumbung runtuh ini, mungkin dalam minggu ini keluar tender,” tambahnya.

Pada 14 Januari lalu, Utusan Malaysia menyiarkan bahawa laporan lengkap mengenai kejadian itu akan diumumkan Menteri Besar selewat- lewatnya minggu berikutnya selepas Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor mengesahkan laporan itu telah diserahkan kepada Ahmad.

Shaziman mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan beliau dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia pada 14 Januari lalu.

Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terletak di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dan menjadi venue utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh menyebabkan kira-kira separuh daripada strukturnya musnah.

Runtuhan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi melibatkan bumbung di bahagian timur stadium itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam selain bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Pemilik farmasi dipenjara dan didenda curi injap jantung IJN

10/03/2010 4:46pm


KUALA LUMPUR 10 Mac – Seorang pemilik farmasi hari ini dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini kerana mencuri injap jantung di Institut Jantung Negara (IJN), pada Julai 2008.

Majistret Mohd. Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Sim Bon Sing, 54, dari Puchong setelah beliau mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Bon Sing didakwa mencuri dua kotak Sequent Pleace bernilai RM10,000 milik Syarikat B Braun Sdn. Bhd., di Tingkat 1, Bilik Makmal IJN , No. 145 Jalan Tun Razak pada pukul 11.54 pagi, 22 Julai 2008.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan, Bon Sing, yang juga pembekal kepada IJN, dikatakan mencuri barang itu untuk dijadikan contoh bagi membolehkan beliau mendapat tender untuk membekalkan barangan injap jantung kepada IJN. – Bernama

Tuesday, March 9, 2010

Lelaki ditahan jual minyak diesel subsidi

ANGGOTA Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri memeriksa sebahagian 500 liter minyak diesel ketika menahan sebuah lori di Labu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

SEREMBAN 9 Mac 2010 - Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri menahan seorang lelaki yang menjual minyak diesel bersubsidi secara haram dalam sebuah estet berhampiran Batu 10, Labu dekat sini petang semalam.

Dalam serbuan yang disertai tujuh anggota penguat kuasa itu, suspek berusia 29 tahun itu ditahan kerana memiliki 500 liter minyak diesel dipercayai untuk diedarkan sekitar estet berkenaan.

Pengarahnya, Norashiken Ishak berkata, serbuan itu dibuat hasil daripada maklumat orang ramai dan risikan yang dibuat oleh pihaknya.

"Lelaki berkenaan ditahan bagi tujuan soal siasat dan pihak kami telah bertindak merampas sebanyak 500 liter minyak diesel yang dimuatkan dalam sebuah lori satu tan.

"Hasil siasatan awal, kami percaya lelaki ini merupakan pembeli minyak diesel bersubsidi dari lori tangki syarikat tertentu dan kemudiannya bertindak menjual minyak berkenaan untuk diedarkan di kawasan estet itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, minyak tersebut dijual secara haram kepada pembeli lain di estet tersebut bagi kegunaan lain seperti mesin penjana.

"Kita juga percaya menerusi tangkapan ini ia akan membantu pihak kami untuk membongkar identiti dalang atau penjual minyak diesel subsidi sebenar.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Bagaimanapun, jelas Norashiken, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi membongkar sindiket dan dalang sebenar penjual minyak diesel subsidi secara haram ini.

Ibu tunggal kerugian RM60,000 ditipu duda

KUALA LUMPUR 9 Mac 2010 - Setahun selepas pemergian suaminya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 2005, hidup Koh, seorang kerani pentadbiran sering dilanda kesunyian.

Malah, kehidupannya juga terumbang-ambing kerana terpaksa menjadi ibu tunggal kepada dua anak.

Di saat itu pula, muncul seorang duda, Wong, 48, yang merupakan seorang jurujual, menyayangi dirinya di samping mesra dengan anak-anaknya.

Koh, 34, yang terpaut hati dengan sikap baik Wong menerima kehadirannya sebagai teman lelaki, namun mereka tidak berkahwin. Kedua-dua anaknya juga menerima lelaki itu sebagai 'bapa tiri'.

Namun, sesudah dua tahun hidup bersama, segala-galanya berubah apabila Wong mula menunjukkan sifat-sifat buruknya.

Rupa-rupanya Wong adalah seorang kaki judi dan sering berhutang termasuk meminjam daripada ah long.

"Setiap kali dia kalah judi, dia akan pulang ke rumah dengan perasaan marah dan minta duit daripada saya.

"Apabila saya enggan atau tidak dapat penuhi permintaan itu, dia akan menengking dan kadang-kala lebih melampau sehingga memukul saya," dakwa Koh pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Selepas menahan kesengsaraan selama beberapa tahun, akhirnya pada November tahun lalu, wanita itu meninggalkan Wong tetapi malangnya masalah tersebut tidak berakhir di situ.

"Dia berhutang dengan saya sudah hampir RM60,000 selama beberapa tahun kami bersama. Saya cuba menelefonnya sejak November lalu untuk mendapatkan kembali wang itu, dia memaki saya dengan kata-kata kesat," jelasnya.

Pada 1 Mac lalu, Wong telah datang ke rumahnya di Shah Alam untuk mendapatkan semula barangan peribadinya menyebabkan mereka bergaduh lagi.

"Saya beritahu tiada apa lagi barangan miliknya ada di rumah saya, jadi dia naik berang dan bertindak agresif mencekik sebelum menolak saya jatuh dari tangga

"Insiden itu turut menakutkan kedua-dua anak (12 dan 14 tahun) saya yang berada di rumah ketika itu," katanya yang mengalami kecederaan di lutut dan bahu dalam kejadian itu.

Ekoran itu, Koh membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Subang Baru, sejurus selepas kejadian. Aduan juga dibuat kepada Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA semalam.

Jawatankuasa banteras jenayah kolar putih ditubuhkan - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 9 Mac 2010 - Sebuah jawatankuasa khas dianggotai empat agensi kerajaan ditubuhkan dalam usaha membanteras jenayah kolar putih yang semakin berleluasa ketika ini.

Agensi tersebut adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, tujuannya bagi memastikan kerjasama antara agensi terlibat diselaraskan dan tiada pertindihan fungsi dalam menyiasat sesuatu kes yang dirujuk.

Katanya, proses penyiasatan sebelum ini dilakukan sendirian oleh sebuah agensi dan mengambil masa agak lama.

"Jika penyiasatan telah dirujuk kepada SSM dan mendapati diluar bidang kuasanya, pihak lain terpaksa mengambil kes itu dan perlu dimulakan semula.

"Ia seperti menembak seekor burung dengan menggunakan tiga peluru walaupun hanya memerlukan satu peluru saja," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatan Kuasa Khas Membanteras Jenayah Kolar Putih di sini hari ini.

Melalui jawatankuasa khas ini, satu jawatankuasa kerja akan dibentuk dan dipengerusikan ketua pegawai eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin yang mana setiap agensi akan diwakili pegawai masing-masing dalam bidang siasatan.

Dalam jawatankuasa kerja ini, semua agensi akan bertukar maklumat serta kepakaran menyiasat sesebuah kes supaya prosesnya lancar dan diselesaikan dengan segera.

Seterusnya, laporan siasatan akan dibawa kepada mesyuarat jawatankuasa khas yang diadakan setiap tiga bulan.

Ismail Sabri memberitahu, jawatankuasa ini juga akan mempelawa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menjadi anggota kerana terdapat juga kes jenayah kolar putih berlaku dalam koperasi.

"Koperasi melibatkan ahli yang ramai dan sebarang penyalahgunaan kuasa memberi kesan yang besar kepada komuniti koperasi tersebut," jelasnya.

Pada masa sama, beliau menafikan penubuhannya adalah disebabkan kegagalan dan ketiadaan kerjasama antara agensi dalam menyelesaikan kes yang dirujuk.

"Siasatan masih dijalankan, tetapi ia secara mengejut dan ini boleh memberi kesan terhadap keputusan siasatan," katanya.

Tambahnya, jawatan kuasa ini akan turut mengadakan pelbagai program seperti kempen kesedaran, kursus kepada pegawai dan pelbagai lagi untuk memantapkan peranannya dalam mencapai matlamatnya.

Kedai baju terpakai tempat jual pil khayal (10/3/10)

KUALA TERENGGANU: Di sebalik menjual baju terpakai di Kampung Gong Datok, Jalan Mengabang Telipot, dekat sini, premis perniagaan itu yang sentiasa dikunjungi ramai, sebenarnya adalah tempat pengedaran pil kuda.

Kegiatan mengedar dadah sejak tiga tahun lalu, dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu hasil maklumat orang ramai dengan menyerbu premis itu dan menahan seorang pengedar berusia 27 tahun, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Superintendan Roslan Abdul Wahid, berkata sepasukan pegawai dan anggota diketuai Inspektor Muhammad Farish Amrik membuat serbuan ke sebuah rumah kedai menjual pakaian berkenaan.

Beliau berkata, polis menahan suspek berusia 27 tahun dalam premis itu yang juga pemilik kedai dan hasil pemeriksaan menjumpai beg bimbit di bawah meja tempat lelaki itu ditahan.

“Hasil pemeriksaan dalam beg itu menjumpai sebanyak 795 pil kuda bernilai RM28,000 dan turut dirampas wang tunai RM10,200,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Roslan berkata, suspek ditahan kerana kesalahan mengedar dadah dan kes disiasat di bawah Sesyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, suspek belum berkahwin berasal dari Kampung Seberang Tepoh, Kuala Terengganu turut terbabit mengedar dadah di kawasan Kampung Gong Datuk, Batu Rakit, Maras, Mengabang Telipot dan Padang Kemunting.

Bekas peguam kena 2 tahun (10/3/10)

Oleh Siti Nurazlinee Azmi
sitinurazlinee@bharian.com.my
Lelaki mengaku salah pecah amanah RM97,350.18 kena 4 sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas peguam dihukum penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang milik seorang pelanggan berjumlah RM97,350.18 enam tahun lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff memerintahkan tertuduh Noor Hadi Sallehon, 47, menjalani hukuman penjara itu bermula semalam.

Terdahulu, Rozana menolak rayuan peguam bela yang mewakili Noor Hadi, Shamsul Sulaiman supaya tertuduh diberikan bon berkelakuan baik selepas mendapati hukuman itu tidak sesuai.

Katanya, rayuan yang dikemukakan peguam tidak munasabah kerana mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan seperti didakwa ke atas tertuduh memperuntukkan hukuman minimum dua tahun dan sebatan.

"Peruntukkan itu menunjukkan betapa seriusnya kes yang dilakukan tertuduh apatah lagi Noor Hadi adalah seorang peguam. Saya berharap supaya tertuduh insaf dengan apa yang dilakukan dan berubah serta berjanji tidak akan melakukan aktiviti jenayah lagi, " katanya.

Pada 28 Ogos 2009, Noor Hadi yang masih bujang dituduh sebagai peguam yang dilantik memegang amanah melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM9,350.18.

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Tetuan Hadi & Co di Suite 41-1 Jalan 2/27F, Pusat Bandar Wangsa Maju (KLSC) di sini, pada 29 Oktober 2004 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang mempunyai firma guamannya sendiri dilantik oleh sebuah firma untuk memegang amanah tiga keping cek semuanya berjumlah RM169,959 milik seorang pelanggan.

SPRM sita balak RM3 juta (10/3/10)

Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@nstp.com.my
Kontraktor disyaki tebang pokok di luar kawasan lesen

MERSING: Ribuan batang balak pelbagai jenis dan saiz dianggarkan bernilai jutaan ringgit disita dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di sebuah kawasan pembalakan di Felda Nitar Timur, berdekatan Hutan Simpan Mersing, di sini Ahad lalu.

Serbuan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Johor, kira-kira jam 9.30 pagi itu dibuat selepas SPRM Johor menerima maklumat daripada orang ramai mengenai wujudnya kegiatan pembalakan yang dipercayai melebihi kawasan sempadan dibenarkan.

Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani, berkata bertindak atas aduan berkenaan, 15 pegawai termasuk dari Jabatan Perhutanan negeri dikerahkan ke tempat kejadian sebelum turut menyita lebih 10 kenderaan berat yang digunakan dalam kawasan pembalakan itu.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan sama ada ribuan batang balak yang ditemui di kawasan pengumpulan balak itu membabitkan kegiatan pembalakan yang dilakukan di luar kawasan lesen yang dibenarkan.

"Ribuan balak yang pelbagai jenis dan saiz yang di kawasan itu dianggarkan melebihi RM3 juta kini disita untuk tindakan lanjut.

"SPRM kini menjalankan siasatan terperinci dan mengumpul bukit bagi mendakwa mereka yang terbabit dengan siasatan kini menjurus ribuan batang balak yang ditebang itu datangnya dari kawasan yang dibenarkan atau tidak," katanya di sini, semalam.

Simi berkata, sekiranya terdapat unsur penyelewengan dan rasuah dalam kegiatan pembalakan melebihi kawasan yang dilesenkan itu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit mengikut Akta SPRM.

Bagaimanapun, difahamkan, siasatan awal tidak menolak kemungkinan sebahagian balak itu diperoleh dari luar kawasan lesen pembalakan yang dibenarkan iaitu kawasan bersempadanan dengannya, Hutan Simpan Mersing, berdasarkan beberapa aduan dan bukti yang ditemui.

Tinjauan ke tempat kejadian mendapati kawasan pembalakan dilesenkan membabitkan tanah milik Felda Nitar Timur dengan lesen dikeluarkan kepada Felda Properties Sdn Bhd itu dengan keluasan sebanyak 78.91 hektar.

Selain itu, tempoh kuat kuasa lesen pembalakan bermula 15 Februari lalu sehingga 14 Ogos depan.

Kehadiran ribuan batang balak yang sudah dibersih dan dilonggok untuk dibawa keluar daripada balak bersaiz besar sehingga kecil serta sedia untuk diproses itu membuktikan kerakusan kontraktor pembalakan di kawasan terbabit dalam mencuri khazanah negara.

Timur: Macam reban ayam

Oleh Baharom Bakar
Peniaga buah depan Pasar Besar Kedai Payang didakwa abai kebersihan

KUALA TERENGGANU: Khemah peniaga buah-buahan yang berniaga pada sebelah petang hingga awal pagi setiap hari berhampiran pintu masuk Pasar Besar Kedai Payang di sini, dikenal pasti sebagai antara punca utama lokasi beli-belah itu kelihatan seperti reban ayam.

Tindakan peniaga yang menjual buah-buahan sejak lebih tiga tahun lalu tidak menanggalkan khemah usang yang dipasang selepas tamat berniaga membantutkan usaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk menceriakan bandar raya terutama kawasan sekitar Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi tumpuan utama pelancong tempatan dan luar negara.

Khemah usang dan buruk yang dipasang itu bukan saja menyakitkan mata memandang, malah sebahagian peniaga sanggup memasang khemah dan meja sehingga menyekat laluan pengunjung untuk ke dalam pasar.

Seorang peniaga sayur yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Mah berusia dalam lingkungan 50-an berkata, tiada sebarang tindakan dilakukan penguat kuasa MBKT ke atas peniaga berkenaan menjadi antara punca utama menyebabkan keadaan di pintu masuk pusat beli-belah itu seolah-olah reban ayam.

Katanya, walaupun terbukti peniaga yang menjual buah-buahan itu mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan keindahan, agak menghairankan tiada tindakan undang-undang dikenakan penguat kuasa MBKT.

"Jika peniaga dalam pasar tidak menjaga kebersihan dan membiarkan kawasan kotor, tindakan segera dilakukan termasuk disaman, tetapi tindakan yang sama tidak dikenakan ke atas peniaga buah-buahan," katanya yang mendesak agar penguat kuasa MBKT mengenakan tindakan yang sama terhadap peniaga berkenaan.

Seorang peniaga di Pasar Besar Kedai Payang yang enggan dikenali berkata, sepatutnya peniaga berkenaan menanggalkan khemah itu selepas tamat berniaga dan memasangnya semula apabila hendak memulakan perniagaan.

"Mereka sebaliknya meninggalkan khemah buruk mereka di situ hingga mencacatkan pemandangan di kawasan ini dan kita malu dengan pandangan sinis pengunjung terhadap kompleks niaga ini," katanya.

Tinjauan Edisi Timur Berita Harian mendapati khemah usang yang diikat menggunakan tali dan disambung antara satu sama lain tidak ditanggalkan peniaga buah-buahan yang menjalankan perniagaan berhampiran pintu masuk ke Pasar Besar Kedai Payang.

Keadaan khemah itu mencacatkan pemandangan lokasi yang menjadi tumpuan utama pelancong untuk membeli-belah pelbagai barangan termasuk barangan kraf tangan.

Lebih 20 khemah yang usang dan buruk dipasang berhampiran pintu masuk Pasar Kedai Payang dan kebanyakan peniaga memulakan perniagaan mereka bermula jam 6 petang sehingga lewat pagi setiap hari.

Sementara itu, Setiausaha MBKT, Samiun Salleh, berkata semua peniaga di Pasar Besar Kedai Payang termasuk peniaga buah-buahan yang menjalankan perniagaan di bahu jalan berhampiran pintu masuk diberi tempoh tiga bulan menunaikan tanggungjawab menceriakan kawasan dan ruang niaga masing-masing.

Katanya, tindakan tegas termasuk membatalkan lesen niaga akan dikenakan jika peniaga enggan memberi kerjasama termasuk menyertai gotong-royong yang anjuran MBKT dengan kerjasama Persatuan Peniaga Pasar Besar Kedai Payang.

"MBKT akan menganjurkan gotong-royong perdana di Pasar Besar Kedai Payang dan jawatankuasa persatuan memberi jaminan memastikan peniaga menyertai program yang turut disertai Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Dagang April depan," katanya.

Sempena program gotong-royong perdana itu, peniaga akan diberi motivasi supaya mereka lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan selain menceriakan kawasan, tambahnya.

Dua kapal disyaki pindah sisa minyak haram ditahan (9/3/10)

IPOH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua kapal tangki dan anak kapalnya kerana disyaki melakukan pemindahan sisa minyak secara haram di kawasan perairan Pulau Pangkor malam tadi.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 3, Ang Cheng Hwa, berkata kegiatan itu dikesan 11 malam tadi di satu kawasan tiga batu nautika dari Pulau Pangkor.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau berkata sebuah daripada kapal berkenaan berdaftar di Klang manakala sebuah lagi berdaftar di Medan, Indonesia.

Monday, March 8, 2010

Bekas pengurus dituduh rasuah libatkan syarikat isteri

09/03/2010 12:25pm


PULAU PINANG 9 Mac 2010 – Bekas pengurus Pusat Giat Mara Balik Pulau, Radzuan Abdul Razak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di sini hari ini terhadap tuduhan rasuah pada 2006.

Radzuan, 58, dituduh melakukan kesalahan itu pada 4 Julai 2006 dengan memilih syarikat Yana One Entreprise milik isterinya, Suryaah Ismail Khan, untuk menjalankan kerja membaik pulih dan senggara tandas Pusat Giat Mara berkenaan melalui pesanan kerajaan bernilai RM2,000.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membenarkan Radzuan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan kes. – Bernama

Bekas Ahli Parlimen Labuan mengaku salah tipu bank (9/3/10)

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan pindaan menipu sebuah bank bagi tujuan permohonan pinjaman perumahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah memberitahu Hakim Duncan Sikodol bahawa pertuduhan dipinda kepada Seksyen 109 (1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi satu lagi tuduhan, Hakim Sikodol melepaskan dan membebaskan Suhaili daripada tuduhan memberi maklumat palsu dalam satu akuan bersumpah pada 1995 selepas Fariza memaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti untuk dikemukakan kepada mahkamah.

Pada 14 April tahun lalu, Suhaili mengaku tidak bersalah membuat kenyataan palsu itu kepada Mohd Naser Mohd Noor, seorang Jaksa Pendamai, berhubung pendaftaran syarikatnya, Saraequity Sdn Bhd, pada 3 Ogos 1995.

Pada 13 April tahun lalu pula, Suhaili, 48, bekas Pengerusi Perbadanan Labuan sehingga 31 Mac tahun lepas, mengaku tidak bersalah kerana menipu dengan menggunakan kad pengenalan yang bukan miliknya untuk menjadi penjamin dalam permohonan pinjaman itu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan rotan dan juga boleh dikenakan denda.

Suhaili, yang diwakili peguam Rakbir Singh, dituduh menipu pengurus bank Malayan Banking Berhad, Ismail Jantan, di cawangan Kota Kinabalu tanpa memaklumkan bank berkenaan bahawa beliau muflis pada 3 April 1996 dalam permohonan pinjaman perumahan syarikatnya, Saraequity Sdn Bhd, sebanyak RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000 untuk membeli satu unit apartmen di Api-Api Centre, di sini.

Fariza memberitahu mahkamah bahawa Suhaili diisytihar muflis melalui perintah mahkamah pada 3 April 1993 dan dilepaskan daripada kebankrapan pada 9 Mei 1997, lebih setahun selepas permohonan pinjaman itu diluluskan oleh bank berkenaan.

Sikodol menetapkan esok untuk mendengar rayuan dan menjatuhkan hukuman. Suhaili sepatutnya dibicarakan selama seminggu mulai hari ini tetapi pihak pendakwaan memohon untuk mengemukakan pindaan terhadap pertuduhan itu yang membawa hukuman yang lebih ringan. - Bernama