Tuesday, March 9, 2010

Ibu tunggal kerugian RM60,000 ditipu duda

KUALA LUMPUR 9 Mac 2010 - Setahun selepas pemergian suaminya yang meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 2005, hidup Koh, seorang kerani pentadbiran sering dilanda kesunyian.

Malah, kehidupannya juga terumbang-ambing kerana terpaksa menjadi ibu tunggal kepada dua anak.

Di saat itu pula, muncul seorang duda, Wong, 48, yang merupakan seorang jurujual, menyayangi dirinya di samping mesra dengan anak-anaknya.

Koh, 34, yang terpaut hati dengan sikap baik Wong menerima kehadirannya sebagai teman lelaki, namun mereka tidak berkahwin. Kedua-dua anaknya juga menerima lelaki itu sebagai 'bapa tiri'.

Namun, sesudah dua tahun hidup bersama, segala-galanya berubah apabila Wong mula menunjukkan sifat-sifat buruknya.

Rupa-rupanya Wong adalah seorang kaki judi dan sering berhutang termasuk meminjam daripada ah long.

"Setiap kali dia kalah judi, dia akan pulang ke rumah dengan perasaan marah dan minta duit daripada saya.

"Apabila saya enggan atau tidak dapat penuhi permintaan itu, dia akan menengking dan kadang-kala lebih melampau sehingga memukul saya," dakwa Koh pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Selepas menahan kesengsaraan selama beberapa tahun, akhirnya pada November tahun lalu, wanita itu meninggalkan Wong tetapi malangnya masalah tersebut tidak berakhir di situ.

"Dia berhutang dengan saya sudah hampir RM60,000 selama beberapa tahun kami bersama. Saya cuba menelefonnya sejak November lalu untuk mendapatkan kembali wang itu, dia memaki saya dengan kata-kata kesat," jelasnya.

Pada 1 Mac lalu, Wong telah datang ke rumahnya di Shah Alam untuk mendapatkan semula barangan peribadinya menyebabkan mereka bergaduh lagi.

"Saya beritahu tiada apa lagi barangan miliknya ada di rumah saya, jadi dia naik berang dan bertindak agresif mencekik sebelum menolak saya jatuh dari tangga

"Insiden itu turut menakutkan kedua-dua anak (12 dan 14 tahun) saya yang berada di rumah ketika itu," katanya yang mengalami kecederaan di lutut dan bahu dalam kejadian itu.

Ekoran itu, Koh membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Subang Baru, sejurus selepas kejadian. Aduan juga dibuat kepada Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA semalam.

No comments:

Post a Comment