Wednesday, March 3, 2010

KPDNKK bongkar penyelewengan diesel subsidi

PETALING JAYA 2 Mac 2010 - Hanya kerana ingin mengaut keuntungan lumayan, sebuah syarikat yang diberikan lesen untuk menghantar diesel subsidi nelayan didakwa sanggup menipu dengan menghilangkan tanda nano pada bahan api tersebut.

Syarikat itu sepatutnya mengambil diesel subsidi dari sebuah depot di Dengkil, Sepang, untuk dihantar ke persatuan nelayan kawasan Hutan Melintang, Perak.

Namun perkara itu tidak berlaku, sebaliknya syarikat tersebut ke sebuah bengkel di Taman Perindustrian Meranti Jaya, Puchong.

Di sana, diesel berkenaan akan dimasukkan ke dalam sebuah mesin khas bagi menghilangkan tanda pengenalan nano pada diesel subsidi itu.

Diesel tersebut kemudian dijual semula kepada pihak industri dengan harga yang lebih tinggi bagi mengaut keuntungan lebih lumayan.

Bagaimanapun, kegiatan bengkel itu yang dijalankan sejak enam bulan lalu akhirnya terbongkar apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya hari ini.

Menurut Ketua Pengarah (Bahagian Penguatkuasaan), Mohd. Roslan Mahayuddin, penggunaan mesin itu adalah yang pertama dikesan sejak pengenalan teknologi nano diperkenalkan kerajaan kepada diesel subsidi.

Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 4 pagi itu, sebanyak 111,950 liter diesel termasuk 40,950 liter yang telah 'dibersihkan' bernilai kira-kira RM400,000 dirampas.

"Turut ditahan ialah dua pemandu lori dan seorang pengurus bengkel, masing-masing berusia 30-an hingga 60-an.

"Rampasan diesel itu merupakan yang terbesar dilakukan oleh kementerian sejak dua tahun lalu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum serbuan, pihaknya telah mengekori dua buah lori membawa muatan diesel subsidi sehingga ke bengkel itu.

"Hasil pemeriksaan kita menemui beberapa tong minyak dan satu mesin membersihkan diesel di kawasan bengkel terbabit," katanya.

Mohd. Roslan menjelaskan, kesemua diesel subsidi yang dibekalkan kepada nelayan akan diletakkan sejenis bahan kimia bagi membezakan antara bahan api subsidi atau tidak.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengesan sekiranya terdapat penglibatan 'orang dalam'.

"Kita percaya sindiket ini telah beroperasi selama lima ke enam bulan dan ini merupakan serbuan pertama kita terhadap syarikat terbabit," katanya.

Beliau memberitahu, kesemua suspek yang ditahan kini disiasat mengikut Peraturan 3 (3) perintah kawalan bekalan (penandaan barang-barang berjadual 2006) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

No comments:

Post a Comment