Tuesday, March 9, 2010

SPRM sita balak RM3 juta (10/3/10)

Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@nstp.com.my
Kontraktor disyaki tebang pokok di luar kawasan lesen

MERSING: Ribuan batang balak pelbagai jenis dan saiz dianggarkan bernilai jutaan ringgit disita dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di sebuah kawasan pembalakan di Felda Nitar Timur, berdekatan Hutan Simpan Mersing, di sini Ahad lalu.

Serbuan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Johor, kira-kira jam 9.30 pagi itu dibuat selepas SPRM Johor menerima maklumat daripada orang ramai mengenai wujudnya kegiatan pembalakan yang dipercayai melebihi kawasan sempadan dibenarkan.

Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani, berkata bertindak atas aduan berkenaan, 15 pegawai termasuk dari Jabatan Perhutanan negeri dikerahkan ke tempat kejadian sebelum turut menyita lebih 10 kenderaan berat yang digunakan dalam kawasan pembalakan itu.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan sama ada ribuan batang balak yang ditemui di kawasan pengumpulan balak itu membabitkan kegiatan pembalakan yang dilakukan di luar kawasan lesen yang dibenarkan.

"Ribuan balak yang pelbagai jenis dan saiz yang di kawasan itu dianggarkan melebihi RM3 juta kini disita untuk tindakan lanjut.

"SPRM kini menjalankan siasatan terperinci dan mengumpul bukit bagi mendakwa mereka yang terbabit dengan siasatan kini menjurus ribuan batang balak yang ditebang itu datangnya dari kawasan yang dibenarkan atau tidak," katanya di sini, semalam.

Simi berkata, sekiranya terdapat unsur penyelewengan dan rasuah dalam kegiatan pembalakan melebihi kawasan yang dilesenkan itu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit mengikut Akta SPRM.

Bagaimanapun, difahamkan, siasatan awal tidak menolak kemungkinan sebahagian balak itu diperoleh dari luar kawasan lesen pembalakan yang dibenarkan iaitu kawasan bersempadanan dengannya, Hutan Simpan Mersing, berdasarkan beberapa aduan dan bukti yang ditemui.

Tinjauan ke tempat kejadian mendapati kawasan pembalakan dilesenkan membabitkan tanah milik Felda Nitar Timur dengan lesen dikeluarkan kepada Felda Properties Sdn Bhd itu dengan keluasan sebanyak 78.91 hektar.

Selain itu, tempoh kuat kuasa lesen pembalakan bermula 15 Februari lalu sehingga 14 Ogos depan.

Kehadiran ribuan batang balak yang sudah dibersih dan dilonggok untuk dibawa keluar daripada balak bersaiz besar sehingga kecil serta sedia untuk diproses itu membuktikan kerakusan kontraktor pembalakan di kawasan terbabit dalam mencuri khazanah negara.

No comments:

Post a Comment