Wednesday, March 3, 2010

Seluar pendek, baju pelbagai jenama tiruan dirampas

03/03/2010 11:27am


PADANG BESAR 3 Mac — Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas 77 helai seluar pendek dan 360 baju pelbagai jenama tiruan bernilai RM7,424 di Uptown Melaka, di sini lewat malam tadi.

Turut ditahan, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun bersama keretanya yang dimuatkan dengan pakaian rampasan.

Komander UPP Perlis, Deputi Supritenden Zakaria Abdul Rahman berkata, kejayaan tersebut hasil rondaan yang dilakukan oleh sepasukan anggota UPP di Jalan Kampung Sena dan telah terserempak dengan sebuah kereta yang mencurigakan lalu menahan untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan, katanya, UPP menemui pakaian berjenama tiruan terdiri daripada 77 helai seluar pendek dan 360 helai baju bernilai RM7,424.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu membeli pakaian berkenaan di Thailand melalui orang tengah dan ia bukan kesalahan pertama yang dilakukan lelaki tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata, kes itu telah diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment