Tuesday, March 9, 2010

Bekas peguam kena 2 tahun (10/3/10)

Oleh Siti Nurazlinee Azmi
sitinurazlinee@bharian.com.my
Lelaki mengaku salah pecah amanah RM97,350.18 kena 4 sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas peguam dihukum penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang milik seorang pelanggan berjumlah RM97,350.18 enam tahun lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff memerintahkan tertuduh Noor Hadi Sallehon, 47, menjalani hukuman penjara itu bermula semalam.

Terdahulu, Rozana menolak rayuan peguam bela yang mewakili Noor Hadi, Shamsul Sulaiman supaya tertuduh diberikan bon berkelakuan baik selepas mendapati hukuman itu tidak sesuai.

Katanya, rayuan yang dikemukakan peguam tidak munasabah kerana mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan seperti didakwa ke atas tertuduh memperuntukkan hukuman minimum dua tahun dan sebatan.

"Peruntukkan itu menunjukkan betapa seriusnya kes yang dilakukan tertuduh apatah lagi Noor Hadi adalah seorang peguam. Saya berharap supaya tertuduh insaf dengan apa yang dilakukan dan berubah serta berjanji tidak akan melakukan aktiviti jenayah lagi, " katanya.

Pada 28 Ogos 2009, Noor Hadi yang masih bujang dituduh sebagai peguam yang dilantik memegang amanah melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM9,350.18.

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Tetuan Hadi & Co di Suite 41-1 Jalan 2/27F, Pusat Bandar Wangsa Maju (KLSC) di sini, pada 29 Oktober 2004 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang mempunyai firma guamannya sendiri dilantik oleh sebuah firma untuk memegang amanah tiga keping cek semuanya berjumlah RM169,959 milik seorang pelanggan.

No comments:

Post a Comment