KUANTAN 17 Mac 2010 - Tindakan seorang lelaki yang menggunakan sebuah rumah tumpangan sebagai tempat menyimpan 20 pokok bonsai yang dicuri sekitar bandar ini terbongkar apabila dia ditahan polis di Balok di sini kelmarin.
Suspek berumur 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis yang menyerbu premis terbabit kira-kira pukul 8 malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkifli Taha berkata, penangkapan dibuat selepas menerima beberapa aduan daripada Persatuan Bonsai Kuantan yang mendakwa kehilangan pokok bonsai.
''Polis telah menerima beberapa laporan mengenai kehilangan pokok bonsai di sekitar bandar ini sejak bulan lalu.
"Usaha persatuan itu mencari pokok bonsai mereka yang hilang sejak bulan lalu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka menjumpai pokok itu di luar motel itu, kira-kira pukul 5 petang semalam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau, persatuan tersebut kemudian terus membuat laporan dan pada kira-kira pukul 8 malam, polis menyerbu premis terbabit.
"Hasil serbuan tersebut, polis menemui 20 pokok bonsai pelbagai saiz bernilai lebih RM30,000 yang diletakkan di luar bilik berkenaan," jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, sebahagian pokok bonsai itu telah dijual dipercayai sebagai menampung kehidupan seharian suspek.
"Polis percaya lebih 15 orang kehilangan pokok bonsai ini," jelasnya.
Zulkifli berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi IPD Kuantan di talian 09-5132222.
Wednesday, March 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment