Tuesday, March 9, 2010

Lelaki ditahan jual minyak diesel subsidi

ANGGOTA Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri memeriksa sebahagian 500 liter minyak diesel ketika menahan sebuah lori di Labu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

SEREMBAN 9 Mac 2010 - Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri menahan seorang lelaki yang menjual minyak diesel bersubsidi secara haram dalam sebuah estet berhampiran Batu 10, Labu dekat sini petang semalam.

Dalam serbuan yang disertai tujuh anggota penguat kuasa itu, suspek berusia 29 tahun itu ditahan kerana memiliki 500 liter minyak diesel dipercayai untuk diedarkan sekitar estet berkenaan.

Pengarahnya, Norashiken Ishak berkata, serbuan itu dibuat hasil daripada maklumat orang ramai dan risikan yang dibuat oleh pihaknya.

"Lelaki berkenaan ditahan bagi tujuan soal siasat dan pihak kami telah bertindak merampas sebanyak 500 liter minyak diesel yang dimuatkan dalam sebuah lori satu tan.

"Hasil siasatan awal, kami percaya lelaki ini merupakan pembeli minyak diesel bersubsidi dari lori tangki syarikat tertentu dan kemudiannya bertindak menjual minyak berkenaan untuk diedarkan di kawasan estet itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, minyak tersebut dijual secara haram kepada pembeli lain di estet tersebut bagi kegunaan lain seperti mesin penjana.

"Kita juga percaya menerusi tangkapan ini ia akan membantu pihak kami untuk membongkar identiti dalang atau penjual minyak diesel subsidi sebenar.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Bagaimanapun, jelas Norashiken, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi membongkar sindiket dan dalang sebenar penjual minyak diesel subsidi secara haram ini.

No comments:

Post a Comment